Perbezaan Penjadualan Semula, Penstrukturan Semula, dan Pembiayaan Semula Pinjaman

calendar-range
Dikirim 08/08/2023
(dikemaskini 21/12/2023)
Penjadualan, Penstrukturan, dan Pembiayaan Semula Pinjaman

Penjadualan, penstrukturan, dan pembiayaan semula pinjaman adalah strategi pengurusan pinjaman yang sering digunakan untuk mengurangkan kos pinjaman atau memperbaiki situasi kewangan. Malah pada bulan Februari lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menggalakkan mereka yang terkesan dengan kenaikan OPR boleh memilih untuk buat penstrukturan semula pinjaman.

Adakah terdapat perbezaan antara penjadualan semula pinjaman, penstrukturan semula pinjaman, dan pembiayaan semula pinjaman? Jawapan ringkas adalah ya. Walaupun ketiga-tiga strategi pengurusan pinjaman yang sering digunakan ini kelihatan sama, terdapat perbezaan yang sangat ketara antara konsep pengurusan kewangan yang digunakan.

Panduan kali ini akan meneroka dengan lebih terperinci apakah perbezaan antara penjadualan semula pinjaman (loan reschedule), penstrukturan semula pinjaman (loan restructuring), dan pembiayaan semula pinjaman (loan refinance), sekali gus membantu anda buat keputusan untuk pilih yang mana satu untuk membantu anda mengurus kewangan dengan lebih berkesan.

Memahami Konsep Penstrukturan Semula, Penjadualan Semula, dan Pembiayaan Semula Pinjaman.

Memahami konsep penjadualan semula, penstrukturan semula, dan pembiayaan semula pinjaman

Sebelum kita melihat dengan lebih lanjut tentang perbezaan antara strategi pengurusan pinjaman ini, anda harus faham dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan penjadualan semula, penstrukturan semula, dan pembiayaan semula pinjaman.

Penjadualan Semula Pinjaman

Penjadualan semula pinjaman secara ringkas adalah proses mengubah jadual bayaran pinjaman tanpa mengusik syarat dan terma asal pinjaman.

Strategi Ini selalunya melibatkan perubahan pada jadual pembayaran bulanan.

Sebagai contoh, jika anda menghadapi masalah kewangan dan sukar untuk buat bayaran bulanan pinjaman, anda boleh mohon untuk menjadual semula pinjaman anda dengan memanjangkan tempoh bayaran sekali gus mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan.

Penstrukturan Semula Pinjaman

Penstrukturan semula pinjaman pula merujuk kepada proses mengubah syarat dan terma asal pinjaman. Perubahan Ini boleh merangkumi perubahan kepada caj atau jenis kadar faedah, penambahan atau pengurangan tempoh bayaran balik, atau menukar pinjaman tidak bercagar kepada pinjaman bercagar.

Seperti juga penjadualan semula, tujuan utama penstrukturan semula adalah untuk menyesuaikan pinjaman sedia ada dengan situasi kewangan peminjam.

Sebagai contoh, jika anda mempunyai pinjaman perumahan dengan kadar faedah tetap yang tinggi, anda mungkin ingin menstruktur semula pinjaman tersebut kepada kadar faedah terapung yang lebih rendah untuk mengurangkan bayaran bulanan anda.

Pembiayaan Semula Pinjaman

Pembiayaan semula pinjaman merujuk proses menggantikan pinjaman sedia ada dengan pinjaman baru. Strategi ini biasanya dilakukan apabila pinjaman baru adalah lebih menguntungkan peminjam.

Ini boleh termasuk kadar faedah yang lebih rendah, tempoh pinjaman yang lebih panjang, atau faedah dari nilai ekuiti rumah.

Contohnya, apabila kadar faedah pasaran menurun dengan mendadak, anda mungkin ingin membiayai semula pinjaman perumahan anda untuk mendapatkan kadar yang lebih rendah dan menguntungkan, seterusnya memberi penjimatan jangka masa panjang.

Jadual Perbandingan Antara Penjadualan Semula, Penstrukturan Semula, dan Pembiayaan Semula Pinjaman

Lihat perbandingan antara tiga strategi pinjaman ini untuk memudahkan pemahaman anda.

 Penstrukturan Semula PinjamanPenjadualan Semula PinjamanPembiayaan Semula Pinjaman
Tujuan UtamaMerendahkan bayaran ansuran bulananPerlepasan sementara ketika menghadapi masalah kewanganMendapatkan kadar faedah lebih rendah, tempoh bayaran lebih panjang, atau syarat dan terma yang lebih baik
Kadar FaedahBoleh berubahTidak berubahBoleh berubah
Tempoh Bayaran BalikBoleh diubahsuaiBoleh diubahsuaiBoleh diubahsuai
Syarat PinjamanBoleh dirunding semulaTidak berubahSyarat pinjaman baru menggantikan syarat pinjaman lama
KesanMungkin terdapat caj tambahan, memberi kesan kepada skor kreditMasih berhutang dengan jumlah yang samaMungkin perlu membayar kos penutupan akaun pinjaman.
Jadual 1.1: Perbandingan penjadualan, penstrukturan dan pembiayaan semula pinjaman

Jenis-jenis Penjadualan, Penstrukturan, dan Pembiayaan Semula Pinjaman

Untuk lebih memahami tentang tiga strategi pengurusan pinjaman ini, anda perlu tahu perbezaan jenis-jenis penjadualan semula pinjaman, penstrukturan semula pinjaman, dan pembiayaan semula pinjaman. Setiap jenis strategi ini berbeza dan mempunyai kegunaan tersendiri.

Jenis Penjadualan Semula Pinjaman

  1. Pengurangan Sementara Bayaran Balik Pinjaman (Temporary Payment Reduction): Membolehkan peminjam mengurangkan pembayaran bulanan dalam tempoh sementara. Jenis penjadualan semula pinjaman ini sering digunakan apabila peminjam menghadapi masalah kewangan sementara.
  2. Penangguhan Pembayaran (Payment Deferral): Membenarkan peminjam melangkau beberapa tempoh bayaran bulanan. Walau bagaimanapun, tempoh pembayaran yang ditangguhkan tersebut akan ditambah kepada tempoh pinjaman akhir.
  3. Penjadualan semula kadar faedah (Interest-only Rescheduling): Jenis penjadualan semula ini membenarkan peminjam cuma membayar kadar faedah untuk tempoh yang dipersetujui. Kaedah ini boleh merendahkan bayaran bulanan pinjaman, tetapi dalam masa yang sama akan memanjangkan tempoh bayaran balik.

Jenis Penstrukturan Semula Pinjaman

  1. Pengubahsuaian Kadar Faedah (Temporary Payment Reduction): Jenis penstrukturan semula pinjaman ini mengubah kadar faedah, sama ada dari kadar faedah tetap kepada kadar faedah terapung, atau sebaliknya. Terdapat juga situasi di mana peminjam boleh berunding dengan pihak institusi kewangan untuk mendapatkan kadar yang lebih rendah. Sekiranya anda masih kurang pasti bagaimana kadar faedah boleh mempengaruhi pengurusan kewangan, baca panduan lengkap kadar faedah pinjaman peribadi.
  2. Melanjutkan Tempoh (Term Extension): Kaedah ini memanjangkan atau melanjutkan tempoh bayaran ansuran untuk mengurangkan jumlah bayaran bulanan.
  3. Pengurangan Baki Pokok (Principal Reduction): Dalam sesetengah situasi di mana peminjam mengalami kesukaran kewangan yang serius, kaedah pengurangan baki pokok akan digunakan dengan mengurangkan jumlah baki pokok atau prinsipal pinjaman.
  4. Penyatuan Hutang (Debt Consolidation): Jenis strategi pinjaman ini sering digunakan dan sesetengah pelan pinjaman ditawarkan khas dengan ciri penyatuan hutang. Kaedah ini menggabungkan beberapa pinjaman atau hutang kepada satu pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah atau syarat dan terma yang lebih menguntungkan peminjam. Sekiranya anda berminat untuk buat penyatuan hutang, anda boleh lihat senarai Pinjaman Peribadi Penyatuan Hutang yang boleh anda mohon.

Jenis Pembiayaan Semula Pinjaman

  1. Pembiayaan Semula Kadar dan Tempoh (Rate-and-Term Refinancing): Jenis pembiayaan semula ini mengubah nilai kadar faedah dan/atau tempoh pinjaman tanpa menjejaskan jumlah baki pokok.
  2. Pembiayaan Semula Tunai Keluar (Cash-Out Refinancing): Kaedah ini sering digunakan untuk mendapatkan tunai. Dalam situasi ini peminjam meminjam lebih daripada baki pinjaman sedia ada dan menerima perbezaan tersebut dalam bentuk tunai. Tempoh bayaran bulanan mungkin bertambah dan strategi pembiayaan semula ini mungkin memberi kesan kepada skor kredit peminjam.
  3. Pembiayaan Semula Tunai Masuk (Cash-In Refinancing): Peminjam menyelesaikan atau membayar sebahagian daripada baki pinjaman sedia ada dengan tujuan untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah atau memenuhi keperluan nisbah pinjaman kepada nilai (Loan To Value- LVT).
  4. Penyelarasan Pembiayaan Semula (Streamline Refinancing): Kaedah ini meringkaskan proses pembiayaan semula, selalunya dengan syarat kelayakan yang lebih mudah. Selalunya peminjam tidak perlu melalui penilaian kredit untuk layak mohon. Strategi pembiayaan semula ini sering digunakan untuk pinjaman yang disokong oleh badan kerajaan.

Kelebihan dan Kekurangan

Setiap strategi pinjaman ini mempunyai kelebihan dan kekurangan. Faktor ini akan mempengaruhi keputusan yang anda sama ada anda memilih penjadualan semula pinjaman, penstrukturan semula pinjaman, atau pembiayaan semula pinjaman. 

Penjadualan SemulaPenstrukturan SemulaPembiayaan Semula
Kelebihan
  • Penyelesaian sementara terbaik ketika menghadapi situasi kewangan yang sukar.
  • Proses yang lebih mudah dan pantas.
  • Tidak mengubah syarat dan terma asal pinjaman.
  • Lebih fleksibiliti dalam syarat dan terma pinjaman.
  • Berpotensi untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah.
  • Boleh mengurangkan baki pokok.
  • Berpeluang mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah.
  • Mendapatkan syarat dan terma yang lebih menguntungkan.
  • Melindungi daripada kadar faedah yang semakin meningkat.
  • Berpotensi untuk mengeluarkan ekuiti rumah bagi pinjaman perumahan.
Kekurangan
  • Bukan penyelesaian jangka panjang untuk masalah kewangan.
  • Mungkin melibatkan kos tambahan.
  • Boleh memanjangkan tempoh pinjaman.
  • Meningkatkan jumlah faedah keseluruhan yang perlu dibayar.
  • Proses yang lebih rumit dan memakan masa.
  • Mungkin melibatkan dokumen dan kos tambahan.
  • Mungkin mempengaruhi skor kredit.
  • Risiko perlu membayar kadar faedah yang lebih tinggi jika pasaran berubah.
  • Mungkin hanya ditawarkan kepada sesetengah peminjam.
  • Proses yang lebih rumit.
  • Mungkin memerlukan dokumen baru.
  • Mungkin melibatkan caj atau kos tambahan.
  • Berdepan dengan risiko meningkatkan bebanan hutang jika tidak diuruskan dengan betul.
  • Mungkin hanya boleh dimohon oleh sesetengah peminjam.
Jadual 1.2: Kekurangan dan kelebihan penjadualan, penstrukturan dan pembiayaan semula pinjaman

Faktor Yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Buat Pilihan

Faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih penjadualan, penstrukturan atau pembiayaan semula pinjaman.

Sebelum anda buat pilihan antara penjadualan, penstrukturan, dan pembiayaan semula pinjaman, terdapat beberapa faktor yang perlu anda pertimbangkan. Mengkaji dan menilai faktor-faktor ini adalah sangat penting kerana keputusan yang anda buat akan melibatkan masa depan anda.

Tujuan dan Matlamat

Apakah matlamat anda untuk pinjaman anda? Adakah anda mahu mengurangkan pembayaran bulanan anda? Adakah anda mahu melunaskan pinjaman anda dengan lebih cepat? Matlamat anda akan membantu anda menentukan pilihan yang tepat.

Jika anda mahu mengurangkan bayaran bulanan, penjadualan semula pinjaman atau penstrukturan semula pinjaman mungkin pilihan yang tepat. Walau bagaimanapun, jika anda berhasrat untuk menyelesaikan atau melunaskan pinjaman anda dengan segera, pembiayaan semula adalah pilihan yang lebih sesuai.

Situasi kewangan

Faktor situasi kewangan memainkan peranan yang sangat penting apabila ingin buat pilihan. Tanya diri anda soalan-soalan seperti berapa banyak saya berhutang? Berapa pendapatan bersih saya setiap bulan? Berapa perbelanjaan bulanan saya?, dan sebagainya sebelum buat keputusan.

Jika anda mempunyai dibebani hutang dan berasa sukar untuk buat bayaran bulanan, penstrukturan semula pinjaman boleh membantu. Kaedah penstrukturan semula penyatuan hutang boleh menggabungkan beberapa hutang kepada satu pinjaman baru dengan kadar faedah yang lebih rendah, sekali gus mengurangkan bayaran balik pinjaman setiap bulan.

Penjadualan semula pinjaman juga mungkin boleh menjadi pilihan di dalam situasi yang sama. Kedua-dua strategi pengurusan pinjaman ini boleh membantu dengan kadar segera sekiranya anda menjangkakan situasi kewangan anda akan pulih dalam masa terdekat.

Skor Kredit

Skor kredit terkini anda sangat mempengaruhi kelayakan anda untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah apabila anda membuat keputusan untuk memohon salah satu daripada strategi pengurusan pinjaman.

Peminjam dengan skor kredit yang baik berkemungkinan tinggi mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah untuk pinjaman yang dibiayai semula, sekali gus menjimatkan wang dalam jangka panjang.

Walaubagaimanapun, sekiranya anda mempunyai skor kredit yang rendah atau rekod kredit yang lemah, bukan sahaja kadar faedah menjadi lebih tinggi, malah anda mungkin tidak layak untuk penjadualan semula pinjaman, atau pembiayaan semula pinjaman. Dalam kes ini, penstrukturan semula pinjaman mungkin pilihan yang lebih sesuai.

Baca lebih lanjut tentang skor kredit di Panduan Lengkap Skor Kredit.

Terma Pinjaman Sedia Ada

Terma pinjaman sedia ada akan mempengaruhi secara langsung jumlah penjimatan yang boleh anda capai dengan membiayai semula atau menstruktur semula pinjaman anda. Antara soalan yang anda perlu tanya diri anda ialah apakah kadar faedah semasa dan tempoh bayaran balik pinjaman anda yang sedang aktif?

Sekiranya anda sedang membayar semula pinjaman dengan kadar faedah tinggi, pembiayaan semula pinjaman boleh membantu. Ini boleh membantu anda menjimatkan wang dengan mengurangkan bayaran faedah sepanjang tempoh pinjaman berlangsung.

Tetapi, jika anda mempunyai tempoh bayaran balik yang panjang pula, memohon penstrukturan semula pinjaman adalah lebih sesuai. Strategi ini boleh mengurangkan bayaran bulanan dan memudahkan anda menyusun semula pengurusan kewangan anda.

Faktor Tambahan Yang Perlu Dipertimbangkan

Selain daripada faktor-faktor yang saya senaraikan di atas, terdapat beberapa faktor tambahan yang perlu dipertimbangkan sebelum anda buat keputusan.

Kos Penutupan

Jika anda memilih untuk membiayai semula pinjaman, pihak institusi kewangan mungkin akan mengenakan caj kos penutupan (closing costs). Caj ini akan dikenakan sekali sahaja, tetapi boleh sehingga ribuan ringgit.

Pengaruh Terhadap Skor Kredit

Pembiayaan semula atau penstrukturan semula pinjaman anda boleh mempengaruhi skor kredit anda. Tidak perlu saya nyatakan betapa pentingnya skor kredit terhadap rekod kewangan anda. Sekiranya anda bimbang bagaimana memilih salah satu daripada strategi pengurusan pinjaman ini boleh mempengaruhi skor kredit anda, bawa berbincang dengan pihak institusi kewangan sebelum buat keputusan.

Kemampuan Untuk Buat Bayaran Bulanan

Sekiranya anda sukar untuk buat bayaran bulanan bagi pinjaman sedia ada, tidak mustahil anda masih dibebani dengan masalah yang sama selepas buat penjadualan, penstrukturan, atau pembiayaan semula pinjaman. Jadi, buat kira-kira dengan terperinci supaya anda tidak mempunyai masalah untuk buat pembayaran balik setelah memilih salah satu daripada kaedah pengurusan pinjaman ini.

Penjadualan, Penstrukturan, dan Pembiayaan Semula Pinjaman Peribadi

Strategi penjadualan semula, penstrukturan semula, dan pembiayaan semula seringkali digunakan untuk pinjaman perumahan (mortgage) dan pinjaman kenderaan (hire purchase), dan jarang digunakan untuk pinjaman atau pembiayaan peribadi.

Antara sebab tidak semua institusi kewangan menawarkan penjadualan, penstrukturan, dan pembiayaan semula pinjaman peribadi ialah pinjaman peribadi selalunya mempunyai tempoh bayaran balik yang lebih pendek berbanding pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan.

Selain itu, pinjaman peribadi juga kebanyakannya adalah pinjaman tidak bercagar, di mana tiada aset yang boleh membantu institusi kewangan mendapatkan kembali kos mereka sekiranya peminjam gagal buat bayaran balik. 

Caj kadar faedah pinjaman peribadi juga seringkali lebih tinggi daripada pinjaman perumahan dan kenderaan. Ini boleh buat kos untuk menjadual, menstruktur, atau membiayai semula pinjaman peribadi menjadi lebih tinggi berbanding pinjaman perumahan dan kenderaan.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah institusi kewangan yang menawarkan strategi pengurusan kewangan ini untuk pinjaman peribadi, walaupun mereka tidak melalukan promosi atau hebahan berhubung perkara ini.

Jadi, sekiranya anda sedang dibebani dengan hutang pinjaman peribadi dan berhasrat untuk memohon salah satu strategi kewangan ini, hubungi institusi kewangan yang terlibat untuk bertanyakan sama ada mereka menawarkan penjadualan, penstrukturan, atau penjadualan semula pinjaman peribadi.

Antara bank yang menawarkan strategi pengurusan pinjaman untuk pinjaman peribadi ialah CIMB, Maybank, Public Bank, Hong Leong Bank, Bank Simpanan Nasional, dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Contoh Situasi dan Strategi Pengurusan Pinjaman Yang Sesuai

Contoh situasi dan strategi pengurusan kewangan yang sesuai

Untuk lebih memudahkan anda memilih mana satu strategi yang sesuai antara ketiga-tiga strategi pengurusan pinjaman yang telah dibincangkan, di sini saya senaraikan beberapa senario atau situasi dan pilihan yang sesuai.

Situasi Penjadualan Semula Pinjaman

Situasi 1: Masalah Kewangan Sementara

Seorang pemilik perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengalami kerugian berikutan keadaan ekonomi yang merosot. Beliau yakin keadaan ekonomi akan pulih dan beliau akan menjana keuntungan semua. 

Dalam situasi ini penjadualan semula pinjaman adalah pilihan terbaik kerana pemilik perniagaan tersebut dapat mengurangkan bayaran balik bulanan dengan melanjutkan tempoh pinjaman. Strategi ini memberi bantuan jangka masa pendek tanpa mengubah syarat dan terma asal pinjaman.

Situasi 2: Perbelanjaan Perubatan Yang Tidak Dijangka

Sebuah keluarga mengalami situasi di mana mereka perlu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk kos perubatan yang tidak dijangka.

Untuk mengurangkan beban bulanan, mereka memilih untuk menjadual semula pinjaman perumahan mereka supaya dapat mengurangkan bayaran bulanan. Penjimatan daripada pengurangan bayaran bulanan tersebut boleh mereka gunakan untuk menampung kos perubatan.

Penjadualan semula pinjaman dapat memberikan bantuan sementara di saat kecemasan seperti situasi di atas.

Situasi Penstrukturan Semula Pinjaman

Situasi 1: Perubahan Kadar Faedah

Seorang pemilik perusahaan mempunyai pinjaman dengan kadar faedah terapung, dan nilai kadar faedah semasa telah naik dengan ketara. 

Penstrukturan semula pinjaman sedia ada kepada pinjaman dengan kadar faedah tetap dapat melindungi perusahaan beliau daripada perlu membayar kadar faedah yang mungkin akan naik dengan lebih tinggi pada masa hadapan.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil, menstruktur semula pinjaman dengan mengubah jenis kadar faedah dapat melindungi peminjam pada jangka masa panjang.

Situasi 2: Perubahan Kewangan Jangka Masa Panjang

Sebuah keluarga mengalami pengarangan dalam pendapatan bulanan mereka apabila salah satu sumber pendapatan mereka terputus.

Setelah menilai situasi tersebut, mereka buat keputusan untuk melakukan penstrukturan semula pinjaman kereta mereka bagi mendapatkan bayaran bulanan yang lebih rendah dengan melanjutkan tempoh pinjaman.

Apabila berlaku masalah kewangan yang kekal atau dalam jangka masa panjang, penstrukturan semula pinjaman untuk menyesuaikan keadaan dengan situasi kewangan tersebut adalah pilihan yang tepat.

Situasi Pembiayaan Semula Pinjaman

Situasi 1: Kadar Faedah Menurun

Sepasang suami isteri yang baru membuat pinjaman perumahan dengan kadar faedah 5% setahun. Walaubagaimanapun, selepas beberapa tahun mereka mendapati kadar faedah semasa telah menurun kepada 3.5%.

Mereka mengambil keputusan untuk melakukan pembiayaan semula pinjaman perumahan mereka untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah,

Dalam situasi ini, melakukan pembiayaan semula pinjaman adalah langkah terbaik kerana secara mudah pasangan tersebut dapat menjimatkan wang dalam jangka masa panjang.

Situasi 2: Pembiayaan Semula Tunai Keluar

Sebuah keluarga ingin mengubahsuai rumah mereka tetapi tidak mempunyai modal yang mencukupi. Setelah berbincang dengan pihak bank, mereka membuat keputusan untuk melakukan pembiayaan semula dalam bentuk tunai keluar. 

Pembiayaan semula ini membolehkan mereka mendapatkan tunai lebihan untuk mengubahsuai rumah mereka. Keluarga ini menggunakan ekuiti yang terkumpul daripada rumah mereka dan melaburkan semula sebagai modal untuk mengubahsuai rumah.

Apa yang Perlu Difahami?

Penstrukturan semula pinjaman, penjadualan semula pinjaman, dan pembiayaan semula pinjaman adalah tiga strategi pengurusan pinjaman yang berbeza dan boleh membantu anda mengurus pinjaman dengan lebih efektif.

Walaupun penstrukturan semula melibatkan perubahan kepada syarat dan terma asal pinjaman, penjadualan semula hanya mengubah jadual pembayaran pinjaman, dan pembiayaan semula pula menggantikan pinjaman lama dengan pinjaman baru.

Dengan memahami perbezaan antara ketiga-tiga strategi ini, iaitu penstrukturan semula pinjaman, penjadualan semula pinjaman, dan pembiayaan semula pinjaman, anda akan lebih bersedia untuk membuat keputusan yang tepat mengenai pengurusan pinjaman anda.

Soalan Lazim

Apakah kos-kos yang terlibat dengan penjadualan semula pinjaman, penstrukturan semula pinjaman, dan pembiayaan semula pinjaman?

Kos-kos yang terlibat adalah berbeza bergantung kepada institusi kewangan dan situasi. Penjadualan semula mungkin melibatkan kos minimum, dan penstrukturan semula mungkin melibatkan yuran perubahan syarat dan terma pinjaman. Pembiayaan semula pula biasanya mengenakan caj yuran pinjaman baru, yuran penilaian, dan mungkin mengenakan penalti penyelesaian awal untuk pinjaman sedia ada.

Bagaimana nak tahu sama ada saya layak atau tidak untuk penjadualan semula pinjaman, penstrukturan semula pinjaman, atau pembiayaan semula pinjaman?

Kelayakan bergantung kepada faktor seperti skor kredit, pendapatan, nilai cagaran (jika ada), dan kriteria khusus yang dikenakan oleh institusi kewangan. Cara terbaik untuk tahu anda layak atau tidak adalah dengan menghubungi institusi kewangan terlibat dan berbincang.

Bolehkah saya membiayai semula pinjaman dengan pemberi pinjaman yang berbeza?

Ya, anda boleh membiayai semula pinjaman dengan institusi kewangan atau pemberi pinjaman yang berbeza. Malah dalam sesetengah kes, langkah Ini lebih menguntungkan jika pelan pinjaman dari institusi kewangan berbeza boleh menawarkan terma atau kadar faedah yang lebih baik.

Bagaimana penstrukturan semula pinjaman mempengaruhi skor kredit saya?

Penstrukturan semula pinjaman boleh memberi kesan yang berbeza kepada skor kredit anda. Jika anda melakukan penstrukturan semula sebagai langkah proaktif untuk menguruskan kewangan anda dengan bertanggungjawab, situasi ini mungkin mempunyai kesan neutral atau positif kepada skor kredit. Walau bagaimanapun, jika tujuan anda adalah untuk menampung bayaran tertunggak atau kesukaran kewangan, faktor ini akan memberi kesan sebaliknya.

Adakah penjadualan semula pinjaman adalah terbaik sebagai penyelesaian jangka panjang untuk masalah kewangan?

Penjadualan semula pinjaman biasanya digunakan sebagai penyelesaian jangka pendek yang untuk memberikan bantuan sementara di dalam situasi kewangan yang sukar. Strategi ini tidak mengubah syarat dan terma asal pinjaman, seterusnya menjadikan strategi ini tidak sesuai sebagai penyelesaian jangka panjang.

Bolehkah saya membiayai lebih daripada satu pinjaman pada masa yang sama?

Ya, anda boleh membiayai semula lebih daripada satu pinjaman pada masa yang sama, selalunya menggabungkan pinjaman-pinjaman tersebut menjadi satu pinjaman dengan ciri yang lebih baik dan menguntungkan. Kaedah ini dikenali sebagai penyatuan hutang dan boleh membantu pengurusan kewangan.

Apakah risiko yang terlibat dalam penstrukturan semula pinjaman?

Risiko yang terlibat mungkin tempoh bayaran balik yang bertambah, sekali gus menyebabkan caj bayaran kadar faedah yang bertambah, yuran potensi, dan mungkin kesan negatif kepada skor kredit.

Soalan-soalan lazim ini hanya sebagai maklumat tambahan secara umum, dan tidak boleh dianggap sebagai jawapan yang tepat kerana situasi setiap individu adalah berbeza. Langkah terbaik untuk mengatasi masalah kewangan dan mengimplementasikan strategi pengurusan pinjaman yang tepat adalah berbincang dengan institusi kewangan terlibat.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments