Panduan kad kredit di Malaysia 

Cara Pilih Kad Kredit Terbaik di Malaysia untuk Dapat Faedah Maksimum

Panduan kad kredit

Pada masa sekarang, kad kredit adalah salah satu kaedah pembayaran yang popular di Malaysia. Tetapi apakah sebenarnya kad kredit itu, dan bagaimana ia berfungsi? Panduan ini akan memberikan gambaran asas untuk memudahkan anda mengenali fungsi kad kredit dengan lebih dekat. 

Pengenalan

Pengenalan kad kredit

Secara ringkas, kad kredit ialah sekeping kad yang dikeluarkan oleh pengeluar kad kredit, sama ada bank atau institusi kewangan lain yang membolehkan anda membuat pembelian dan meminjam wang sehingga had tertentu yang ditetapkan sebagai had kredit (credit limt). Kad ini menggunakan rangkaian pembayaran utama seperti Visa, Mastercard, American Express (AMEX), atau UnionPay untuk memproses transaksi pembayaran. 

Tidak seperti kad debit yang menggunakan dana secara terus daripada akaun bank, simpanan atau semasa, kad kredit menawarkan kemudahan kredit yang boleh anda dahulukan untuk membayar barangan dan perkhidmatan. Anda kemudiannya diberikan tempoh untuk menjelaskan baki tertunggak yang anda gunakan. Baki ini perlu dijelaskan sebelum caj kadar faedah meningkat kepada jumlah yang lebih tinggi. 

Menggunakan kad kredit di Malaysia menawarkan beberapa kelebihan. Medium pembayaran ini menyediakan cara yang mudah untuk anda buat pembelian tanpa perlu membawa wang tunai. 

Tambahan pula, banyak kad kredit menawarkan keistimewaan seperti program yang membolehkan anda mendapat mata ganjaran, pulangan tunai, atau mata Air Miles dengan setiap perbelanjaan. Ganjaran ini kemudiannya boleh ditebus dengan pelbagai faedah. Penggunaan kad kredit yang bertanggungjawab juga boleh membantu membina sejarah kredit, seterusnya memberi manfaat dalam jangka panjang. 

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menggunakan kad kredit dengan berhemah. Sentiasa berwaspada dengan perbelanjaan anda dan pastikan anda mampu membayar balik baki tertunggak setiap bulan untuk mengelakkan terbeban dengan hutang kad kredit dan dikenakan caj faedah yang lebih tinggi.

Menurut laporan terkini Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung statistik pembayaran, nilai purata transaksi membabitkan kad kredit di Malaysia meningkat daripada RM775,139.7 pada tahun 2021 kepada RM928,146 pada tahun 2022 

https://www.bnm.gov.my/payment-statistics

Faedah dan Kelebihan Kad Kredit

Kad kredit menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan, bukan sekadar memudahkan cara pembayaran. Berikut adalah beberapa faktor mengapa kad kredit menjadi begitu popular di Malaysia.

1. Kemudahan

Salah satu faktor utama yang buat kad kredit popular adalah kemudahan pembayaran tanpa tunai.

  • Transaksi Tanpa Tunai: Membawa wang tunai yang banyak bukan sahaja menyusahkan, tetapi juga mempunyai risiko keselamatan. Kad kredit mengurangkan risiko ini dengan menjadikan setiap transaksi lebih mudah dan selamat.
  • Beli-belah Dalam Talian: Boleh dikatakan pada masa sekarang, majoriti peniaga dalam talian menerima kad kredit sebagai kaedah pembayaran, menjadikan pengalaman membeli-belah dalam talian lebih mudah dan lancar.
  • Pembayaran Tanpa Sentuh: Semua kad kredit menawarkan pilihan pembayaran tanpa sentuh (contactless payment) melalui teknologi seperti Near Field Communication (NFC), meningkatkan lagi kemudahan transaksi di pedagang yang mengambil bahagian.

2. Membina Skor Kredit

Skor kredit yang positif memainkan peranan penting apabila anda ingin memohon kredit, seperti pinjaman atau pembiayaan. Di sinilah kad kredit boleh membantu.

  • Penggunaan Bertanggungjawab: Menggunakan kad kredit dengan bertanggungjawab boleh membantu bina sejarah kredit yang baik.
  • Bayar Bil Tepat Pada Masa: Buat bayaran penuh bil kad kredit anda tepat pada masa setiap bulan. Silap ini menunjukkan anda seorang yang bertanggungjawab dalam menguruskan kewangan kepada institusi kewangan.
  • Elak Perbelanjaan Berlebihan: Mengekalkan baki rendah setiap bulan berbanding jumlah had kredit yang ditetapkan boleh membantu untuk meningkatkan skor kredit.

3. Program Ganjaran

Kebanyakan kad kredit di Malaysia datang dengan pelbagai program ganjaran yang menarik dan menguntungkan.

  • Pulangan Tunai (Cashback): Peratusan daripada transaksi perbelanjaan anda akan ditukar kepada tunai dan akan dikreditkan kepada penyata atau dimasukkan ke dalam akaun bank anda.
  • Mata Ganjaran (Reward Point): Dapatkan mata ganjaran dengan setiap pembelian menggunakan kad anda. Mata ini boleh ditebus untuk pelbagai ganjaran seperti barangan, hadiah, baucar, atau diskaun.
  • Air Miles: Kad kredit perjalanan menawarkan program mileage, di mana anda boleh mendapatkan mata air miles dengan setiap perbelanjaan. Mata ini kemudiannya boleh digunakan untuk menebus atau naik taraf penerbangan, atau manfaat lain berkaitan pelancongan.

4. Perlindungan Insurans

Sesetengah kad kredit menawarkan manfaat perlindungan insurans atau Takaful dengan percuma.

  • Insurans/Takaful Perjalanan: Pelan ini melindungi kemalangan sepanjang perjalanan, kecemasan perubatan, pembatalan perjalanan, atau kehilangan bagasi semasa melancong.
  • Perlindungan Pembelian: Perlindungan Insurans ini boleh melindungi pembelian anda daripada kecurian atau kerosakan untuk tempoh tertentu selepas pembelian. Selalunya ditawarkan untuk transaksi e-Dagang atau pembelian dalam talian.

5. Pilihan Pembiayaan

Kad kredit boleh menyediakan cara yang mudah untuk menguruskan pembelian besar dengan membenarkan anda membahagikan kos kepada bayaran ansuran bulanan yang lebih kecil dan berpatutan.

  • Pelan Pindahan Baki (Balance Transfer Plan): Pelan ini membenarkan anda memindahkan baki dari kad lain ke kad kredit baru, selalunya dengan kadar faedah yang lebih rendah dalam tempoh tertentu.
  • Pelan Bayaran Mudah (Easy Payment Plan): Pelan ini memudahkan anda menukar pembelian barangan atau perkhidmatan yang mahal kepada bayaran ansuran bulanan, tanpa atau dengan caj faedah yang rendah.
  • Pelan Ansuran Tunai (Cash Instalment Plan):  Pelan ini boleh digunakan di saat kecemasan apabila anda memerlukan tunai dengan kadar segera. Anda boleh meminjam sebahagian daripada had kredit anda sebagai tunai dan buat bayar balik secara ansuran bulanan.

Walaupun pelan-pelan ini memudahkan pengurusan kewangan, anda perlu peka dengan kadar faedah dan caj berkaitan yang datang dengan pelan-pelan ini.

Ciri-ciri dan Jenis Kad Kredit

Ciri dan Jenis Kad Kredit

Memilih kad kredit yang sesuai bukan sekadar bergantung kepada faktor ganjaran dan kemudahan semata-mata. Memahami ciri-ciri utama dan jenis kad yang berbeza yang ditawarkan oleh pengeluar kad kredit di Malaysia boleh membantu anda buat keputusan yang lebih bijak berdasarkan keperluan. Berikut adalah penerangan ringkas beberapa ciri utama dan jenis kad kredit yang popular.

Ciri-ciri Kad Kredit

  • Yuran Tahunan: Kad kredit mengenakan yuran tahunan, iaitu caj tahunan untuk menggunakan kad. Kad premium dengan program ganjaran yang lebih tinggi atau kelebihan eksklusif biasanya datang dengan yuran tahunan yang lebih tinggi. Anda perlu pertimbangkan sama ada manfaat yang ditawarkan mengatasi kos tahunan. Terdapat juga kad asas tanpa yuran tahunan dan percuma seumur hidup.
  • Kadar Faedah: Ini adalah kadar yang dikenakan ke atas sebarang baki tertunggak yang dibawa ke bulan berikutnya. Oleh itu, penting untuk membayar baki penuh bagi mengelakkan caj faedah terakru (terkumpul). Kad yang berbeza menawarkan kadar faedah yang berbeza, jadi bandingkan kadar faedah bagi setiap kad.
  • Had Kredit: Ini adalah jumlah maksimum yang anda boleh pinjam daripada kad. Faktor seperti pendapatan dan sejarah kredit anda menentukan had kredit atau credit limit yang akan dibenarkan oleh pengeluar kad. Guna kad kredit anda dengan bertanggungjawab dan jika boleh kekalkan baki di bawah had kredit untuk membina skor kredit yang baik.
  • Tempoh Penangguhan: Ini adalah tempoh bebas faedah yang diberikan untuk membayar balik baki tertunggak sebelum caj faedah mula terakru. Tempoh ini biasanya antara 20 hingga 55 hari, jadi pembayaran tepat pada masa adalah sangat penting.
  • Caj Lewat Bayar: Gagal membuat pembayaran minimum pada tarikh akhir boleh mengakibatkan caj atau penalti lewat bayar. Penalti ini boleh terkumpul dan meningkat dengan cepat. Pastikan anda memahami caj lewat bayar yang berkaitan sebelum memohon.

Jenis Kad Kredit

Institusi kewangan di Malaysia menawarkan pelbagai jenis kad kredit, dengan setiap kad tersebut mempunyai ciri dan kelebihan untuk memenuhi tabiat perbelanjaan tertentu. Berikut adalah gambaran ringkas beberapa jenis kad kredit di Malaysia.

JenisCiri-ciriKelebihan
Kad Kredit Perjalanan (Travel)Khusus untuk mereka yang sering melancong dan mengembara, terutama dengan kapal terbang.Menawarkan akses percuma ke Plaza Premium Lounge di lapangan terbang, perlindungan insurans/Takaful, mata Air Miles, diskaun dan tawaran berkaitan percutian. Lihat contoh kad kredit perjalanan.
Kad Kredit Pulangan Tunai (Cashback)Memberi pulangan tunai dalam bentuk peratusan daripada nilai perbelanjaan.Sesuai untuk kegunaan perbelanjaan harian. Jumlah pulangan tunai akan dikreditkan kepada penyata bulanan atau dimasukkan terus ke akaun bank. Lihat contoh kad kredit pulangan tunai.
Kad Kredit Perniagaan (Business)Ditawarkan kepada pemilik perniagaan atau badan korporat untuk memudahkan pengurusan kewangan syarikat.Menawarkan kelebihan seperti diskaun korporat, mengawal perbelanjaan syarikat, program ganjaran, dan had kredit yang fleksibel. Lihat contoh kad kredit perniagaan.
Kad Kredit Faedah KhususMenawarkan kelebihan dan manfaat yang sesuai untuk kategori perbelanjaan tertentu.Menawarkan ciri-ciri seperti diskaun minyak, ganjaran transaksi untuk platform dalam talian, keistimewaan menjamu selera, keistimewaan kelab bola sepak, dan sebagainya. Contoh: CIMB e, Maybank Manchester United Visa Card, PBE Petron Visa Gold.
Jadual: Jenis kad kredit di Malaysia.

Dengan memahami ciri-ciri ini dan mengenali pelbagai jenis kad kredit yang ditawarkan, anda boleh membuat pilihan yang lebih bijak ketika memilih kad. Pertimbangkan tabiat berbelanja, ganjaran yang diingini, dan keupayaan belanjawan untuk memilih kad yang menawarkan nilai terbaik untuk anda. Ingat, penggunaan kad kredit yang bertanggungjawab adalah kunci untuk memaksimumkan faedah dan mengelakkan risiko terbeban dengan hutang kad kredit.

Panduan Memilih Kad Kredit Terbaik

Panduan memilih kad kredit terbaik

Mencari kad kredit terbaik bukanlah sekadar memilih kad yang menawarkan pelbagai ganjaran atau keistimewaan. Apa yang penting ialah mencari kad yang benar-benar memenuhi matlamat kewangan dan tabiat perbelanjaan anda. Berikut adalah panduan langkah demi langkah untuk membantu anda dalam proses memilih kad kredit terbaik.

1. Kaji Corak Perbelanjaan Anda.

Lihat dengan teliti perbelanjaan bulanan anda. Apakah kategori perbelanjaan yang paling banyak dibelanjakan? Contohnya barangan runcit, makan dan menjamu selera, percutian, hiburan, petrol, atau membeli-belah dalam talian. Kenal pasti kategori perbelanjaan utama dan pilih kad dengan program ganjaran atau pulangan yang paling sesuai dengan belanja bulanan.

2. Pertimbangkan Matlamat Kewangan.

Adakah anda mencari kad yang membantu anda menjimatkan wang melalui pulangan tunai? Atau, anda mengutamakan keistimewaan perjalanan seperti akses ke plaza premium lounge di lapangan terbang dan ganjaran mata air miles? Dengan memahami matlamat dan tujuan kewangan, anda akan lebih teliti dalam proses memilih kad kredit yang sesuai.

3. Semak Kelayakan Kredit.

Skor kredit memainkan peranan penting dalam menentukan kelayakan untuk mohon kad kredit. Kebiasaannya, kad premium atau kad denga had kredit yang lebih tinggi memerlukan pemohon mempunyai sejarah kredit yang baik. Oleh itu, semak skor kredit anda terlebih dahulu untuk mengelakkan permohonan kad kredit anda ditolak disebabkan oleh laporan kredit yang buruk.

4. Program Ganjaran dan Pulangan yang Ditawarkan.

Kebanyakan kad kredit menawarkan program ganjaran atau pulangan yang menarik. Adakah anda gemar mengumpul pulangan tunai dengan setiap perbelanjaan harian? Adakah anda sering melancong dan ingin mengumpul mata air miles atau ganjaran dari syarikat penerbangan? Jika ya, utamakan kad yang menawarkan ganjaran dan pulangan yang sesuai dengan kehendak anda.

5. Bandingkan dan Pilih.

Setelah anda mendapat gambaran yang lebih jelas tentang keperluan dan matlamat kewangan anda, guna Sistem Perbandingan Kad Kredit yang kami sediakan untuk membandingkan kad kredit berdasarkan kelayakan dan keperluan anda. Perhatikan ciri utama seperti yuran tahunan, kadar faedah, had kredit, dan ganjaran atau pulangan yang ditawarkan.

Tip Tambahan:

  • Jangan terpengaruh dengan promosi atau tawaran. Pertimbangkan manfaat jangka masa panjang dan kesesuaian kad berdasarkan corak perbelanjaan anda.
  • Baca syarat dan terma dengan teliti. Fahamkan caj yuran, kadar faedah, serta terma dan syarat berkaitan sebelum memohon.
  • Mulakan dengan kad asas jika anda tiada rekod kredit. Membina sejarah kredit yang baik dengan penggunaan kad yang bertanggungjawab boleh membuka peluang kepada pilihan kad kredit yang lebih baik di masa hadapan.

Dengan mengikuti langkah-langkah di atas dan memberi lebih tumpuan kepada situasi kewangan, anda boleh memilih kad kredit yang sesuai dengan gaya hidup anda dan membantu anda menguruskan kewangan dengan lebih berkesan.

Memohon Kad Kredit Di Malaysia

Memohon kad kredit di Malaysia

Setelah anda memilih kad yang sesuai, langkah seterusnya ialah proses permohonan. Berikut adalah panduan bagaimana untuk memohon kad kredit di Malaysia.

Langkah-langkah Memohon Kad Kredit

  1. Pilih Kad Anda: Pastikan anda telah memilih kad yang sesuai dengan tabiat perbelanjaan dan matlamat kewangan anda.
  2. Layari Laman Web atau Kunjungi Cawangan Bank: Kebanyakan bank atau pengeluar kad kredit menyediakan proses permohonan dalam talian. Atau, anda juga boleh mengunjungi cawangan berdekatan dan berbincang dengan pegawai terlibat untuk mohon.
  3. Lengkapkan Borang Permohonan: Isi borang permohonan kad kredit sama ada secara online atau offline dengan tepat. Lengkapkan butiran seperti maklumat peribadi, status pekerjaan, dan pendapatan.
  4. Kemukakan Dokumen yang Diperlukan: Sertakan dokumen yang diperlukan (seperti di bawah untuk mengesahkan identiti, pendapatan, dan status pekerjaan anda.
  5. Tunggu Keputusan: Bank akan menyemak permohonan anda dan memaklumkan keputusan dalam beberapa hari bergantung kepada kelayakan dan dokumen yang dihantar semasa permohonan.

Dokumen Yang Diperlukan

  • Butiran Pengenalan Diri: Bagi warganegara Malaysia, salinan kad pengenalan (MyKad) yang sah adalah wajib. Untuk ekspatriat pula, anda perlu mengemukakan Pasport.
  • Bukti Pendapatan: Dokumen seperti slip gaji terkini, pulangan cukai pendapatan (Borang B/BE), atau surat pengesahan jawatan mungkin diperlukan bergantung kepada pendapatan dan status pekerjaan anda.
  • Penyata Bank: Dalam sesetengah kes, bank mungkin memerlukan penyata bank terkini untuk menilai kedudukan kewangan anda.

Kriteria Kelayakan

Syarat kelayakan berbeza bergantung kad kredit dan institusi kewangan tertentu. Namun begitu, beberapa kriteria umum adalah termasuk:

  • Memenuhi syarat umur minimum 21 tahun ke atas.
  • Mempunyai sumber pendapatan yang stabil.
  • Memiliki sejarah kredit yang baik (jika berkenaan).

Kesilapan yang Perlu Dielakkan Ketika Memohon Kad Kredit

  • Memohon Banyak Kad Dalam Masa yang Sama: Menghantar banyak permohonan kad kredit dalam masa terdekat boleh menjejaskan skor kredit anda. Mohon berdasarkan keperluan kewangan anda.
  • Memberi Maklumat yang Tidak Tepat: Pastikan semua butiran dalam borang permohonan adalah tepat untuk mengelakkan kelewatan atau permohonan anda ditolak.
  • Tidak Menyemak Terma dan Syarat: Baca dan fahami terma dan syarat kad dengan teliti, termasuk yuran tahunan, kadar faedah, dan caj lewat bayar yang dikenakan.

Petua Tambahan

  • Semak skor kredit anda terlebih dahulu. Skor kredit yang baik dapat meningkatkan peluang lulus dan berpotensi untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah.
  • Pertimbangkan tawaran pra-lulus. Bank mungkin menawarkan kad kredit pra-lulus berdasarkan hubungan perbankan anda. Kad kredit jenis ini selalunya ditawarkan dengan terma yang lebih menguntungkan.

Dengan mengikuti langkah-langkah ini, anda dapat melancarkan proses permohonan kad kredit di Malaysia dan mungkin meningkatkan peluang lulus. Penggunaan kad kredit yang bertanggungjawab adalah kunci untuk memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang ditawarkan oleh kad kredit.

Penggunaan Kad Kredit Secara Bijak

Penggunaan kad kredit secara bijak

Setelah mendapatkan kad kredit, anda perlu tahu bagaimana untuk menggunakannya dengan bertanggungjawab. Kad kredit boleh menjadi medium kewangan yang berkuasa, tetapi penting untuk menguruskannya dengan bijak supaya anda mendapat manfaat sepenuhnya dan mengelak daripada terbeban dengan hutang kad kredit. Berikut adalah beberapa tip utama untuk memastikan penggunaan kad kredit dengan bijak.

  • Belanjawan: Ini adalah asas utama. Bina belanjawan dengan realistik yang menggariskan pendapatan dan perbelanjaan anda. Peruntukkan jumlah tertentu untuk perbelanjaan kad kredit dan patuhi garis panduan tersebut.
  • Pantau Perbelanjaan Anda: Pantau transaksi kad kredit anda sepanjang masa. Banyak bank menawarkan aplikasi mudah alih untuk menjejak perbelanjaan secara automatik, terutama yang melibatkan kad kredit. Sikap ini boleh membantu anda kekal dalam belanjawan dan mengelakkan perbelanjaan berlebihan.
  • Pengurusan Had Kredit: Jangan keliru antara had kredit (credit limit) dan had perbelanjaan (spending limit). Had kredit ialah jumlah maksimum yang boleh anda pinjam, atau guna. Walaupun anda boleh guna sehingga credit limit, anda dinasihatkan untuk kekal di bawah had tersebut. Secara ideal, cuba untuk guna kurang daripada 30% had kredit bagi mengekalkan skor kredit yang baik dan mengelakkan caj faedah tinggi.
  • Elakkan Pembelian Impulsif: Kad kredit boleh mendorong pembelian impulsif. Elak diri daripada membeli barangan yang tidak perlu, atau di luar kemampuan. Timbang baik dan buruk sebelum buat pembelian mahal untuk pastikan ia selari dengan belanjawan dan keperluan anda.
  • Bayar Bil Tepat pada Masa: Bayar bil kad kredit anda sepenuhnya dan tepat pada masanya. Jika boleh, elak buat bayaran minimum kerana perkara ini boleh mengumpul caj faedah, menjurus kepada peningkatan hutang. Pembayaran tepat pada masa juga boleh membantu meningkatkan skor kredit anda.
  • Bahaya Hutang: Hutang kad kredit boleh meningkat dengan cepat pada kadar faedah yang tinggi. Hanya guna dan pinjam jumlah yang anda mampu bayar balik setiap bulan untuk mengelak terperangkap dalam pusingan hutang.

Ingat, kad kredit adalah alat, dan seperti setiap alat, ia memerlukan penggunaan yang bertanggungjawab. Dengan mengikuti tip dan panduan ini, anda dapat memanfaatkan kuasa kad kredit untuk membina skor kredit, memperoleh ganjaran, dan menguruskan kewangan secara efektif.

Kesimpulan

Tahniah! Anda telah memulakan langkah penting untuk menguruskan kewangan dengan lebih berkesan dengan memahami tentang kad kredit. Panduan ini telah menyediakan maklumat bagaimana untuk memilih kad kredit terbaik untuk keperluan anda, dan bagaimana untuk menggunakan kad kredit dengan bijak. Dengan mengikuti panduan dan tip ini, anda boleh:

  • Mendapatkan ganjaran dan kelebihan sesuai dengan tabiat berbelanja anda.
  • Membina skor kredit yang baik, seterusnya membuka jalan kepada peluang kewangan yang lebih baik pada masa hadapan.
  • Mengurus kewangan dengan lebih berkesan dan mengelak daripada terjerat dengan hutang yang tidak diingini.

Dengan membuat keputusan yang bijak dan menggunakan kad kredit secara berhemah, anda dapat membina landasan untuk masa depan kewangan yang sihat.

credit-card

Sumber Tambahan

Jangan lupa untuk menambah ilmu berkaitan kad kredit melalui sumber tambahan yang kami sediakan.

Cari Kad Kredit Terbaik

Cari kad kredit terbaik
Guna sistem cari kad kredit kami yang mudah untuk mencari dan membandingkan beratus-ratus kad kredit yang ditawarkan di Malaysia.
Cari & Bandingkanchevron-right

Soalan Lazim Kad Kredit (FAQ)

Soalan Lazim (FAQ) Kad Kredit
Semak laman Soalan Lazim (FAQ) untuk mendapatkan jawapan terhadap soalan-soalan yang sering ditanya.
Dapatkan Jawapanchevron-right

Glosari Kad Kredit

Glosari Kad Kredit
Layari laman Glosari untuk definisi ringkas berhubung istilah yang sering digunakan berkaitan kad kredit.
Lihat Glosarichevron-right
newspaper

Berita dan Artikel Kad Kredit Terkini

Dapatkan maklumat dan berita terbaru berhubung kad kredit di Malaysia melalui laman blog Kad Kredit.
Ciri keselamatan kad kredit terbaru di Malaysia

Kenali ciri keselamatan kad kredit terbaru yang ditawarkan oleh bank dan pengeluar kad kredit, meningkatkan keselamatan dan…

Keselamatan kad kredit dan kad debit

Jenayah siber semakin meningkat, antaranya ialah penipuan kad kredit dan kad debit. Panduan kali ini…

Kempen 8x Mata Bonus CIMB Tahun Baru Cina 2024

Pemegang kad kredit CIMB, dapatkan 8x Mata Bonus dengan setiap perbelanjaan dalam negara dengan kempen…

Kempen Standard Chartered RM1

Anda pemilik kad kredit Standard Chartered dan gemar menjamu selera? Berita gembira untuk anda. Pihak…

Lihat semua berita & artikel kad kredit
chevron-right