Bahaya Keldai Akaun – Panduan Lengkap Untuk Elak Jadi Mangsa

calendar-range
Dikirim 28/12/2023
Bahaya Keldai Akaun - Elak Jadi Mangsa

Dalam era kemajuan teknologi masa kini, kemudahan akses Internet untuk urusan berkaitan kewangan seperti perbankan dalam talian memberi manfaat sangat besar. Walau bagaimanapun, kemudahan yang ditawarkan oleh dunia digital ini juga menjadi sasaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti haram. Antara scam atau penipuan yang semakin meningkat naik pada masa sekarang ialah aktiviti keldai akaun, juga dikenali sebagai “account mule” atau “money mule”.

Apa Itu Keldai Akaun?

Keldai akaun merujuk kepada individu yang meminjamkan nombor akaun bank mereka untuk kegunaan pihak lain, sama ada secara rela atau tanpa tahu tujuan sebenar akaun bagaimana akaun mereka akan digunakan.

Taktik penipuan ini sering digunakan oleh kumpulan jenayah seperti sindiket wang haram, scammer dalam talian, dan pelaku jenayah siber untuk mengelak transaksi haram mereka dari dikesan oleh pihak berkuasa. Di sinilah mereka menggunakan akaun pihak ketiga, yang digelar sebagai keldai akaun.

Jenis penipuan bukanlah perkara baru, malah telah lama digunakan sebelum kewujudan media sosial. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada tahun 2023 sahaja terdapat lebih daripada 10,000 kes penipuan keldai akaun yang dilaporkan dengan kerugian bernilai jutaan ringgit.

Bank Negara Malaysia pula melaporkan individu yang berusia antara 21 hingga 30 tahun lebih mudah ditipu untuk menjadi keldai akaun berdasarkan kajian yang dilakukan. Perkara ini mungkin berkaitan dengan golongan muda yang lebih banyak menggunakan media sosial dan platform online seperti yang dilaporkan oleh Pusat Keselamatan Siber Malaysia (MyCert).

Oleh kerana terdapat peningkatan kes yang melibatkan keldai akaun, Bank Negara Malaysia telah mengambil langkah dengan mewujudkan Portal Fraud Kebangsaan sebagai salah satu langkah untuk melawan aktiviti jenayah siber. Berita ini diumumkan pada September 2023 yang lalu dan portal ini sedang dibangunkan dengan kerjasama institusi perbankan negara.

Risiko dan Bahaya Menjadi Keldai Akaun

Anda mungkin beranggapan bahawa anda tidak dikenakan tindakan sekiranya akaun anda digunakan sebagai keldai akaun. Malangnya tanggapan ini salah. Walaupun anda ditipu dan  tidak tahu-menahu tentang aktiviti yang dijalankan menggunakan akaun anda, anda tetap bertanggungjawab terhadap aktiviti tersebut.

Seringkali mangsa yang terlibat dengan scam keldai akaun ditawarkan wang atau keuntungan segera dengan meminjamkan akaun mereka. Walaupun tawaran ini kelihatan lumayan, risiko dan bahaya yang mungkin dihadapi adalah jauh lebih besar daripada manfaat sementara tersebut.

Beberapa risiko yang mungkin ditanggung oleh keldai akaun termasuk:

  1. Hukuman denda dan penjara: Sekiranya anda terlibat dalam aktiviti haram, walau tidak secara langsung, boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga RM5 juta di bawah Akta 613 – Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001  atau lebih dikenali sebagai AMLATFA (Anti-Money Laundering and Anti-Terrosism Financing Act 2001).
  2. Reputasi dan skor kredit terjejas: Nama baik anda sudah pasti akan terjejas jika akaun bank anda digunakan untuk aktiviti haram. Transaksi yang mencurigakan juga boleh merosakkan skor kredit dan menyukarkan akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan pada masa hadapan.
  3. Hilang wang dan identiti: Risiko kecurian dan kehilangan data peribadi sangat tinggi bagi mangsa keldai akaun. Penjenayah boleh menggunakan maklumat ini untuk melakukan penipuan lain seperti penipuan kad kredit atau mengambil alih terus akaun anda termasuk duit di dalam akaun.
  4. Masalah susulan berkaitan kewangan: Akaun bank anda juga boleh dibekukan atau ditutup oleh bank jika mereka mendapati akaun tersebut digunakan untuk aktiviti yang mencurigakan. Selain itu, anda secara tidak langsung boleh terlibat dalam masalah undang-undang yang rumit, contohnya menjadi saksi dalam kes mahkamah atau menghadapi tuntutan dari mangsa penipuan hasil daripada penggunaan akaun bank anda.

Kisah Benar Mangsa Keldai Akaun Yang Menerima Padah

Selepas membaca tentang risiko dan bahaya menjadi mangsa penipuan keldai, anda mungkin beranggapan bahawa tidak mungkin perkara ini akan berlaku kepada anda. Tetapi, hakikatnya, ramai yang telah menjadi korban penipuan ini.

Di sini saya kongsikan kisah mereka yang menjadi mangsa account mule supaya anda boleh jadikan pengajaran.

1. Terpedaya dengan janji manis

Seorang jurujual berusia 21 tahun dari Pahang didenda RM2,5000 selepas didapati bersalah menjadi keldai akaun. Beliau yang tertarik dengan tawaran pinjaman peribadi dari iklan Facebook memohon pinjaman berjumlah RM30,000. Selepas memohon beliau dimaklumkan telah lulus, tetapi perlu memindahkan sejumlah wang berjumlah RM38,000 ke akaun pihak ketiga dari akaun belian. Siasatan dan semakan pihak bank mendapati akaun milik beliau telah digunakan untuk membantu aktiviti scammer.

2. Harga Kepercayaan yang Mahal

Dalam kes yang lain, seorang wanita juga didenda sebanyak RM2,500 kerana meminjamkan butiran perbankan peribadi dan kad bank beliau kepada individu lain melalui transaksi dalam talian. Pada awalnya, wanita berusia 49 tahun tersebut terpedaya dengan tawaran barangan dan hadiah dari luar negara dan telah mengalami kerugian sebanyak RM38,000.

3. Pelaburan Tidak Wujud

Dua wanita pula ditangkap di Johor Bahru setelah terjebak dalam aktiviti penipuan melalui media sosial. Wanita pertama menjadi keldai akaun untuk sindiket penipuan yang melibatkan urusan pelaburan online yang tidak wujud, manakala wanita kedua pula membantu sindiket yang menipu pinjaman wang dalam talian.

Kes-kes yang disenaraikan ini hanya merupakan sebahagian kecil dari kes penipuan yang melibatkan keldai akaun di Malaysia. Hilang wang, rosak reputasi, dan dijatuhkan hukuman adalah antara akibat yang perlu ditanggung oleh mangsa.

Oleh karena itu, penting untuk anda berwaspada dan meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan penipuan terkini untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Panduan Mengelak Penipuan Keldai Akaun

Terdapat beberapa tip dan panduan yang boleh anda amalkan untuk mengelak daripada menjadi mangsa keldai akaun.

Tingkatkan Benteng Pertahanan

  1. Pelihara data – Jangan kongsikan maklumat peribadi dan kewangan, seperti nombor akaun bank, nombor PIN, OTP, atau kata laluan perbankan Internet kepada sesiapa sahaja, di dalam mahupun di luar talian.
  2. Jangan terpedaya dengan tawaran mencurigakan – Elak daripada tergoda dengan tawaran kerja atau perniagaan online yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda tanpa perlu bekerja keras, terutama sekali jika melibatkan penggunaan informasi peribadi. Jadi skeptis dan lari jauh-jauh jika anda ditawarkan dihampiri oleh tawaran sebegini.
  3. Prihatin terhadap semua transaksi – Beri perhatian terhadap semua transaksi yang melibatkan akaun bank anda. Selalu semak dan pantau aktiviti dan sejarah yang dipaparkan oleh sistem perbankan anda, dan jangan teragak-agak untuk melaporkan kepada pihak bank sekiranya terdapat transaksi yang mencurigakan.
  4. Elak aplikasi yang tidak sah – Hanya pasang atau “install” aplikasi telefon pintar dari sumber rasmi seperti Google Play Store, Apple App Store, atau Huawei AppGallery. Jangan sekali-kali muat turun fail APK dan pasang di telefon anda, terutama daripada pihak ketiga.
  5. Tambah ilmu digital – Tingkatkan ilmu pengetahuan berhubung dunia digital, terutama yang berkaitan dengan keselamatan dan sekuriti digital. Tidak rugi juga jika anda sentiasa belajar tentang kaedah-kaedah yang digunakan oleh penipu atau scammer online supaya anda sentiasa berwaspada. Saya telah menulis panduan lengkap bagaimana untuk mengenali penipu pinjaman peribadi sebelum ini. Anda boleh di pautan Kenali Penipu Pinjaman Peribadi.

Waspada Terhadap Modus Operandi Penipuan Terkini

  1. Mencuri identiti – Penipu mungkin mencuri maklumat peribadi atau identiti anda secara dalam talian untuk membuka akaun bank berdasarkan maklumat peribadi anda. Situasi ini boleh menjurus kepada pelbagai penipuan tambahan di mana risikonya anda yang tanggung.
  2. Penipuan melalui media sosial – Penipuan jenis ini melibatkan mesej, kiriman, atau komen di laman media sosial dengan tawaran terhad, atau tawaran terbaik. Ingat, jika sesuatu perkara itu terlalu “too good to be true”, abaikan dan jangan layan.
  3. Undang-undang palsu – Scammer akan mengugut atau menggertak anda dengan undang-undang yang tidak wujud untuk mempengaruhi anda memberikan maklumat peribadi seperti akaun bank atau nombor PIN bank. Mereka selalunya menyamar sebagai pihak berkuasa atau mengaku daripada jabatan dan kementerian kerajaan untuk kelihatan sah.

Tindakan Jika Anda Berasa Seperti Ditipu

Sekiranya anda merasakan anda telah terjebak dengan penipuan keldai akaun, ikuti segera langkah-langkah berikut untuk mengelak daripada menjadi mangsa.

  1. Jangan panik. Selalunya mangsa akan panik dan  tidak dapat berfikir dengan waras, seterusnya menjurus kepada tindakan yang menguntungkan penipu.
  2. Kumpulkan bukti yang berkaitan. Jika anda berhubung dengan penipu melalui media sosial, buat tangkap layar (screen shot) semua komunikasi anda dengan penipu tersebut, termasuk transaksi atau butiran yang diberikan.
  3. Setelah anda kumpul semua bukti, segera hentikan semua komunikasi dengan scammer. Ini termasuk sama ada di dalam atau di luar talian. Jangan tergoda untuk meneruskan interaksi atau memberikan sebarang informasi.
  4. Buat laporan kepada pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM) melalui saluran berikut:
    Laman sesawang rasmi BNM (https://www.bnm.gov.my/)
    Widget Live chat di laman sesawang rasmi BNM. (https://bnmlink.bnm.gov.my/site/livechat).
    – Talian hotline BNMTELEFON di +603-2282 5000.
  5. Jalankan tanggungjawab sosial dengan berkongsi maklumat berkaitan pengalaman hampir ditipu keldai akaun yang anda alami. Gunakan laman media sosial dan minta bantuan rakan-rakan untuk berkongsi pengalaman anda supaya memberi manfaat kepada masyarakat.

Lindungi Diri Dari Ditipu

Ingat, maklumat peribadi dan identiti anda adalah sangat penting, terutama di zaman era digital. Sentiasa pelihara data peribadi anda terutama sekali maklumat berkaitan kewangan. Jangan mudah tergoda dengan tawaran atau rayuan pihak yang tidak bertanggungjawab – jadi pengguna bijak, online dan offline.

Sumber:
share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments