Pernah tak anda berada dalam situasi kewangan di mana anda benar-benar memerlukan pinjaman? Malangnya, penipu atau scammer sedar akan situasi ini dan sentiasa cuba untuk mengambil kesempatan. Panduan ini akan membantu anda untuk mengenal pasti jenis penipuan pinjaman, dan bagaimana untuk mengelak daripada ditipu.
Kita akan membincangkan jenis-jenis penipuan pinjaman peribadi, tanda-tanda anda mungkin ditipu, langkah yang perlu diambil sekiranya anda telah ditipu, dan panduan lengkap untuk memilih pemberi pinjaman yang sah.
Kami cadangkan anda baca panduan ini dari mula sampai habis – anda akan mendapat ilmu lengkap bagaimana untuk memohon pinjaman dengan selamat tanpa perlu risau menjadi mangsa penipu pinjaman peribadi.
Isi Kandungan
- Memahami Penipuan Pinjaman Peribadi – 7 Taktik Utama
- Teknik Yang Digunakan Penipu – Tanda Anda Sedang Ditipu
- Melindungi Diri Anda Daripada Menjadi Mangsa Penipuan Pinjaman Peribadi
- Kena Tipu – Apa Langkah Seterusnya?
- Cara Memohon Pinjaman Peribadi Dengan Selamat
- Kesimpulan – Melindungi Masa Depan Kewangan Dengan Yakin
Memahami Penipuan Pinjaman Peribadi – 7 Taktik Utama
Penipu pinjaman peribadi pada masa sekarang sangat bijak, malah sering menyamar sebagai syarikat kredit komuniti atau pinjaman berlesen. Berikut adalah contoh penipuan pinjaman peribadi yang sering digunakan oleh penipu di Malaysia.
1. Menawarkan Pinjaman Secara Tiba-Tiba
Anda mungkin pernah menerima panggilan telefon (cold calling), SMS, mesej WhatsApp, atau e-mel yang mengandungi tawaran pinjaman peribadi, kad kredit, dan insurans. Ini adalah normal, dan kebanyakan institusi kewangan menggunakan teknik ini kepada pelanggan mereka.
Walau bagaimanapun, penipu pinjaman peribadi sangat licik dan mengambil kesempatan dengan menggunakan teknik ini untuk mencari mangsa. Mereka akan menghampiri mangsa dan menawarkan pelan pinjaman peribadi – walaupun anda tidak pernah memohon sebarang pinjaman. Atau, mereka mendapat maklumat anda daripada syarikat kredit komuniti melalui saluran belakang, dan memanipulasi maklumat tersebut untuk menipu.
Ini adalah taktik penipuan yang sering digunakan oleh scammer pinjaman peribadi untuk memancing mangsa. Jadi, sentiasa berhati-hati dan semak kesahihan tawaran tersebut sebelum buat keputusan.
2. Bayaran Pendahuluan/Wang Deposit
Pemberi pinjaman yang sah tidak akan meminta sebarang bayaran pendahuluan atau wang deposit sebelum pinjaman lulus. Penipu akan memberi pelbagai alasan untuk meminta bayaran deposit, yuran pemprosesan, yuran permohonan, bayaran insurans dan pelbagai lagi caj yang mencurigakan.
Bayaran dan yuran ini adalah tanda utama anda sedang ditipu, terutama sekali jika bayaran tersebut sangat tinggi.
14 Jenis wang pendahuluan yang sering diminta oleh scammer
Berikut adalah antara jenis-jenis deposit yang diminta oleh penipu untuk memperdaya mangsa dalam bentuk infografik.
Jika ada pihak yang menyatakan pinjaman anda telah lulus, tapi perlu bayar dahulu caj guaman, caj dokumen, caj proses, caj runner, dan sebagainya sebelum pinjaman dikreditkan ke akaun anda – block terus pihak terbabit dari contact anda.
3. Janji Yang Tidak Munasabah
Berhati-hati dengan pemberi pinjaman yang menawarkan kadar faedah yang sangat rendah atau menjamin permohonan pinjaman anda pasti lulus, terutama jika anda mempunyai rekod kredit yang buruk.
Pemberi pinjaman yang sah menetapkan kadar faedah pinjaman berdasarkan kepada faktor-faktor seperti skor kredit dan pendapatan pemohon. Jika pelan pinjaman yang ditawarkan kelihatan seperti tidak masuk akal, kemungkinan besar tawaran tersebut adalah skim penipuan.
4. Mendesak Untuk Buat Permohonan Segera
Penipu seringkali mewujudkan situasi kecemasan, mendesak anda untuk memohon dengan segera sebelum anda sempat menyiasat lebih lanjut tentang tawaran permohonan, atau kesahihan syarikat, atau bertanyakan lebih lanjut tentang syarat dan terma pinjaman.
Taktik ini akan buat anda sukar untuk buat keputusan yang berinformasi, seterusnya terjebak dengan penipuan pinjaman peribadi.
6. Maklumat Pinjaman Yang Tidak Lengkap
Pemberi pinjaman sah akan memaklumkan dan menerangkan kadar faedah, yuran yang terlibat, dan terma bayaran balik dengan jelas dan terperinci.
Berhati-hati dengan pemberi pinjaman yang mempunyai laman web yang mencurigakan, atau maklumat yang tidak lengkap tentang produk pinjaman mereka.
7. Blacklist Pun Boleh Lulus
Institusi kewangan dan syarikat kredit komuniti (pinjaman berlesen) beroperasi dengan bertanggungjawab dan perlu buat pengesahan terhadap sejarah dan rekod kredit peminjam – jadi, besar kemungkinan individu yang telah disenaraihitamkan sukar untuk mohon.
Walau bagaimanapun, penipu pinjaman peribadi akan mendakwa mereka boleh meluluskan pinjaman dalam situasi tersebut. Ini adalah antara taktik penipuan yang selalu digunakan oleh scammer.
Dengan memahami taktik penipuan yang digunakan oleh penipu, anda akan lebih berhati-hati dan berwaspada, seterusnya mengelak daripada menjadi mangsa.
Teknik Yang Digunakan Penipu – Tanda Anda Sedang Ditipu
Penting untuk anda kenal pasti teknik yang digunakan oleh penipu pinjaman peribadi supaya anda dapat mengesan dengan lebih awal dan elak daripada ditipu. Berikut adalah beberapa teknik yang digunakan
- Terlebih Mesra dan Mendesak
Penipu akan berlakon seperti mesra dan membantu, tetapi dalam masa yang sama mereka akan mendesak supaya anda mengambil langkah segera untuk mendapatkan pinjaman yang ditawarkan. Pemberi pinjaman wang yang sah sama sekali tidak akan memaksa pemohon – mereka faham proses meminjam wang memerlukan pertimbangan yang teliti sebelum buat keputusan. - Bermain Dengan Emosi
Penipu akan cuba memanipulasi emosi anda, terutama yang berkaitan dengan situasi kewangan. Mereka anda menonjolkan diri sebagai penyelamat dan benar-benar ingin membantu. Ayat-ayat seperti “Jangan risau, kami boleh bantu” atau “Ini peluang terakhir” sering digunakan untuk bermain dengan emosi mangsa. - Tempoh Terhad
Berhati-hati terhadap pemberi pinjaman yang mendakwa pinjaman yang ditawarkan adalah sangat terhad, dan anda perlu mohon dengan segera. Ini adalah antara teknik yang digunakan untuk mendorong anda buat keputusan dengan terburu-buru, tanpa berfikir panjang. - Komunikasi Tidak Profesional
Pemberi pinjaman yang sah mempunyai sikap dan penampilan yang profesional. Walaupun sesetengah penipu pinjaman cuba menonjolkan diri sebagai profesional, masih terdapat tanda-tanda yang mungkin mencurigakan. Sebagai contoh, laman web yang buruk dan kelihatan dibangunkan dengan tiba-tiba, atau alamat e-mel tidak profesional. - Syarat dan Terma Pinjaman Yang Tidak Jelas
Jika mereka mengelak atau memberi pelbagai alasan ketika anda bertanya tentang syarat dan terma pinjaman, besar kemungkinan anda sedang ditipu. Pemberi pinjaman yang sah tidak akan teragak-agak untuk menerangkan kepada anda syarat dan terma pinjaman yang ditawarkan.
Dengan mengenali teknik-teknik yang sering digunakan oleh scammer, anda boleh mengelak daripada diperdaya, terutama daripada segi emosi. Jangan terburu-buru ketika buat keputusan penting, terutama yang melibatkan kewangan.
Perbezaan Penipu Pinjaman Peribadi dan Ah Long
Dalam masa yang sama, ramai yang masih keliru antara penipu pinjaman peribadi dan lintah darat, ceti haram, atau ah long. Mereka menyangkakan tiada beza antara kedua-dua pihak ini. Walaupun penipu pinjaman dan ah long mengambil kesempatan ke atas peminjam yang mudah terpedaya, terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-duanya.
- Penipu Pinjaman
Menipu dan sering beroperasi dalam talian atau melalui panggilan telefon. Mereka menggunakan taktik seperti janji palsu, mendesak untuk memohon dengan segera, dan meminta bayaran wang pendahuluan untuk mencuri wang tanpa memberikan pinjaman. Dalam erti kata lain, pinjaman yang mereka tawarkan tidak wujud sama sekali. - Lintah Darat/Ceti Haram/Ah Long
Pemberi pinjaman wang tidak yang beroperasi secara berdepan. Kebanyakan ah long mempunyai pejabat operasi. Mereka mengenakan kadar faedah terlalu tinggi dan menggunakan taktik ganas untuk mengutip hutang, termasuk ugutan dan ancaman. Pihak ini sering melakukan tindakan kekerasan sekiranya peminjam gagal membayar hutang pinjaman.
Nota Penting: Kedua-dua penipu pinjaman dan ah long adalah beroperasi secara haram dan salah di sisi undang-undang.
Melindungi Diri Anda Daripada Menjadi Mangsa Penipuan Pinjaman Peribadi
Serba sedikit, anda telah faham tentang taktik dan teknik yang selalu digunakan oleh penipu pinjaman peribadi. Seterusnya, anda perlu tahu bagaimana untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa, dan bagaimana untuk memilih pemberi pinjaman yang sah.
1. Jangan Terburu-buru dan Semak Latar Belakang.
Jangan gelojoh untuk terima tawaran pinjaman. Luangkan sedikit masa untuk buat kajian dan semak latar belakang pemberi pinjaman terlebih dahulu. Jangan terpengaruh dengan janji palsu dan desakan penipu untuk terus mohon pinjaman.
Berikut adalah bagaimana anda boleh menyemak kesahihan pemberi pinjaman.
Semak Nombor Telefon dan Akaun Bank Melalui Portal Jenayah Komersial
Anda boleh semak nombor telefon dan akaun bank pemberi pinjaman melalui Portal Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia. Melalui Portal Jenayah Komersial ini, anda cuma perlu masukkan nombor telefon atau nombor akaun bank dan hasil carian akan memaparkan sama ada nombor tersebut mempunyai rekod laporan polis.
Portal ini ditubuhkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), atau juga dikenali sebagai Commercial Crime Investigation Department (CCID) Bukit Aman.
Cara Untuk Menyemak Nombor Telefon dan Akaun Bank Melalui Portal JSJK
- Buka laman web Semak Mule CCID. (Klik untuk membuka laman web Semakmule di tetingkap baru)
- Pilih Kategori “Nombor Telefon” atau “Akaun Bank”.
- Masukkan nombor telefon atau akaun bank yang anda ingin cari.
- Tulis semula “Captcha” seperti yang dipaparkan.
- Tekan butang “Semak Maklumat”.
- Maklumat berkaitan carian anda akan dipaparkan.
Semak Status Pendaftaran Pemberi Pinjaman
Semak dahulu status pemberi pinjaman yang menghubungi anda dengan tawaran pinjaman – walaupun mereka kelihatan sah. Jika anda menerima tawaran daripada institusi kewangan seperti bank atau koperasi kredit, anda dengan mudah dapat menghubungi pihak mereka melalui nombor yang tertera di laman web rasmi untuk buat pengesahan.
Jangan terkejut jika terdapat penipu pinjaman peribadi yang menyamar sebagai wakil bank dan koperasi kredit untuk memperdaya mangsa, walaupun mereka tahu risiko yang mereka tanggung lebih tinggi jika ditangkap.
Untuk syarikat kredit komuniti atau pinjaman berlesen pula, anda boleh semak status syarikat melalui aplikasi i-Kredikom yang dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Cara Semak Lesen Syarikat Kredit Komuniti (Pinjaman Berlesen) Melalui Aplikasi i-Kredikom
- Muat turun dan pasangkan (install) aplikasi i-KrediKom di Google Play atau Apple App Store. Anda hanya perlu buat carian “i-KrediKom” di Google Play atau Apple App Store. (Aplikasi i-Kredikom di Google Play dan Apple App Store).
- Jalankan aplikasi dan taip nama syarikat di ruangan carian.
- Hasil carian akan memaparkan maklumat syarikat sekiranya syarikat tersebut sah dan berdaftar dengan KPKT. Sekiranya syarikat tersebut tidak berdaftar, keputusan “Carian GAGAL” akan dipaparkan.
Penting!: Walaupun nama syarikat dipaparkan di aplikasi i-Kredikom, jangan terus bersetuju dan terima tawaran. Penipu pinjaman peribadi sering menyamar sebagai syarikat yang sah untuk memperdaya mangsa. Telefon syarikat tersebut dan sahkan dahulu status individu yang berurusan dengan anda.
Sebagai rujukan, anda boleh lihat Senarai Institusi Kewangan yang Menawarkan Pinjaman Peribadi, termasuk bank, koperasi kredit, dan syarikat pinjaman berlesen.
2. Baca dan Teliti Semua Butiran
Sebelum menandatangani sebarang perjanjian pinjaman, baca dan fahamkan betul-betul syarat dan terma pinjaman tersebut. Teliti maklumat berkaitan kadar faedah, yuran, jadual bayaran balik, dan sebarang caj atau penalti yang dikenakan.
Jangan teragak-agak untuk bertanya kepada wakil atau pegawai yang menguruskan pinjaman sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan atau soalan.
3. Lindungi Maklumat Peribadi
Jangan sekali-kali berkongsi maklumat peribadi atau kewangan, seperti nombor pin, nombor akaun bank, butiran kad kredit dengan pemberi pinjaman kecuali anda telah mengesahkan status mereka. Kadang-kala penipu pinjaman peribadi akan cuba untuk mendapatkan maklumat kewangan anda untuk digunakan dalam penipuan mereka.
Terdapat juga scammer yang mengugut mangsa dengan maklumat peribadi yang telah dikongsikan, seperti terpaksa melawat mangsa kerana mangsa menolak untuk mengambil pinjaman yang mereka tawarkan. Jadi, semak dahulu status pemberi pinjaman sebelum berkongsi maklumat peribadi.
Dengan mengikuti langkah-langkah ini, anda dapat mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan pinjaman dan boleh buat keputusan kewangan yang lebih berinformasi.
Kena Tipu – Apa Langkah Seterusnya?
Malangnya, walaupun dengan mengambil langkah berjaga-jaga, anda masih boleh menjadi mangsa penipuan. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil sekiranya anda percaya anda telah menjadi mangsa penipuan pinjaman peribadi.
1. Hentikan Komunikasi
Segera hentikan semua komunikasi dengan scammer. Jangan balas mesej, dan jangan beri maklum balas terhadap sebarang permintaan berkaitan duit atau maklumat peribadi dan kewangan.
2. Kumpulkan Bukti
Kumpulkan semua bukti berkaitan penipuan tersebut, termasuk nombor telefon penipu, e-mel, mesej-mesej, rekod transaksi dan sebarang dokumen yang berkaitan. Anda perlukan semua dokumen ini sebagai bukti ketika buat laporan kepada pihak berkuasa.
3. Buat Laporan
Terdapat beberapa saluran yang boleh anda guna untuk melaporkan situasi anda. Berikut adalah cara melaporkan penipuan pinjaman peribadi di Malaysia.
- Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Kunjungi balai polis terdekat dan buat laporan berhubung situasi anda. Anda juga boleh buat laporan secara dalam talian melalui sistem e-Reporting PDRM. (Klik untuk ke laman e-Reporting PDRM) - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)
Hubungi talian 03-2610 1559 / 03-2610 1599 untuk melaporkan penipuan yang telah berlaku. Anda juga boleh menghantar mesej melalui WhatsApp di nombor 013-211 1222. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN)
Pihak KPDN menyediakan portal eAduan KPDN untuk memudahkan pengguna buat aduan berhubung isu kepenggunaan, termasuk penipuan pinjaman peribadi. (Klik untuk ke laman eAduan KPDN) - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
Sekiranya penipu atau scammer menyamar sebagai syarikat kredit komuniti (pinjaman berlesen), anda boleh buat laporan kepada KPKT melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPKT. (Klik untuk ke laman web SISPAA KPKT)
Kemas Kini: Pihak KPKT telah menutup proses aduan melalui sistem e-Maps dan aplikasi mudah alih i-Kredikom. Aduan kini hanya boleh dilakukan melalui SISPAA.
4. Maklumkan Kepada Institusi Kewangan dan Penyedia Perkhidmatan
Hubungi bank atau institusi kewangan dan maklumkan situasi anda berhubung penipuan pinjaman peribadi tersebut. Dalam sesetengah kes, pihak bank boleh membatalkan transaksi dan mencegah transaksi selanjutnya.
5. Lindungi Maklumat Peribadi dan Kewangan
Jika anda yakin maklumat peribadi atau kewangan anda mungkin disalah-guna oleh penipu, ambil langkah segera untuk melindungi diri anda. Tukar kata laluan akaun bank, e-mel, dan sebarang akaun dalam talian, termasuk nombor pin kad bank, dan sebagainya.
Pantau sebarang aktiviti yang mencurigakan pada akaun anda seperti transaksi bank dan transaksi kad kredit – buat laporan segera kepada pihak bank sekiranya ada.
Pilihan Tambahan
- Dapatkan Nasihat Profesional
Pertimbangkan juga untuk mendapatkan nasihat kaunselor kredit atau penasihat kewangan yang dipercayai. Mereka dapat membantu anda menilai situasi, mengatur rancangan untuk menguruskan sebarang kerugian, dan memberi panduan untuk memperbaiki skor kredit anda - Kongsi Pengalaman Anda
Kongsikan pengalaman anda ditipu dengan rakan dan keluarga agar mereka juga dapat berwaspada. Anda juga boleh berkongsi kisah anda di platform dalam talian atau media sosial untuk memberi amaran tentang taktik yang digunakan oleh penipu. Walau bagaimanapun, jangan dedahkan terlalu banyak maklumat peribadi atau maklumat kewangan yang boleh membahayakan diri anda. Kongsi pengalaman penipuan pinjaman peribadi anda pada Ruangan Komen di bawah.
Dengan mengikuti langkah-langkah ini dan mendapatkan bantuan profesional jika diperlukan, anda boleh memulihkan diri daripada situasi tersebut dan mengambil langkah untuk melindungi kewangan anda pada masa hadapan.
Nota Penting: Maklumat ini bertujuan untuk panduan umum dan bukan nasihat undang-undang.
Cara Memohon Pinjaman Peribadi Dengan Selamat
Sekarang anda telah dilengkapi dengan pengetahuan untuk memilih pemberi pinjaman selamat dan berwibawa, mari kita lihat langkah-langkah yang terlibat dalam memohon pinjaman peribadi di Malaysia dengan selamat.
- Bandingkan Tawaran Pinjaman
Gunakan alat perbandingan dalam talian atau lawat laman web institusi kewangan (bank, koperasi kredit) atau syarikat kredit komuniti yang boleh dipercayai. Bandingkan kadar faedah, yuran, syarat bayaran balik, dan sebarang penalti penyelesaian awal. Anda juga boleh guna Sistem Semak Kelayakan Pinjaman Peribadi di laman web ini untuk buat perbandingan. - Sediakan Dokumen Lengkap
Setiap pemberi pinjaman mungkin mempunyai keperluan dokumen yang berbeza. Tetapi, kebiasaannya, dokumen umum adalah termasuk dokumen pengenalan diri (MyKad), bukti pendapatan (slip gaji atau penyata komisen), dan penyata bank. - Hantar Permohonan
Setelah memilih pemberi pinjaman yang sesuai dan mengumpul dokumen yang diperlukan, teruskan proses permohonan dengan memohon dalam talian atau melawat cawangan. Berikan maklumat anda dengan tepat. - Semak dan Tandatangan Perjanjian Pinjaman
Sebelum menandatangani apa-apa perjanjian, teliti syarat dan terma pinjaman terlebih dahulu. Pastikan anda faham semua butiran pinjaman, dan seperti biasa, tanya jika ada sebarang soalan. Pemberi pinjaman yang sah tidak akan teragak-agak untuk menangani sebarang kemusykilan anda.
Tip Tambahan
- Pertimbangkan Skor Kredit Anda
Skor kredit menunjukkan kemampuan anda membayar balik pinjaman. Skor tinggi selalunya melayakkan anda mendapat terma pinjaman yang lebih baik. Baca lebih lanjut tentang skor kredit di Panduan Skor Kredit. - Hati-hati dengan Lintah Darat (Ah Long)
Elakkan pemberi pinjaman wang haram yang sering mengenakan kadar faedah terlalu tinggi dan menggunakan taktik mengutip hutang yang ganas. Pihak kami telah menulis artikel bagaimana untuk membezakan syarikat pinjaman berlesen yang sah dan ah long di artikel Perbezaan Ah Long dan Syarikat Pinjaman yang Sah.
Kesimpulan – Melindungi Masa Depan Kewangan Dengan Yakin
Dengan mengikuti panduan dan sumber dalam artikel ini, anda telah mengambil langkah penting untuk mendapatkan pinjaman peribadi yang selamat.
Sentiasa Berwaspada, Sentiasa Selamat
- Jangan terburu-buru buat keputusan mengenai perjanjian pinjaman tanpa menyiasat terlebih dahulu.
- Guna otak, bukan emosi – jika sesuatu itu terlalu baik dan tidak masuk akal, kemungkinan besar itu adalah penipuan.
Kongsi Ilmu
Kongsikan maklumat ini dengan rakan, keluarga, atau sesiapa sahaja yang sedang mempertimbangkan untuk mohon pinjaman peribadi. Ilmu pengetahuan adalah faktor utama dalam memerangi penipuan pinjaman peribadi.
Teroka Sumber Tambahan
Baca ruangan komen di bawah. Ramai pembaca telah berkongsi pengalaman mereka yang telah menjadi mangsa penipu pinjaman peribadi. Pengalaman mereka sangat berharga dan dapat meningkatkan kesedaran anda.
Ambil Tindakan
Jangan teragak-agak untuk buat laporan kepada pihak yang berkenaan sekiranya ada merasakan anda telah ditipu. Jalankan tanggungjawab sosial anda untuk berbakti kepada masyarakat.
Semoga panduan ini membantu anda untuk menjadi peminjam yang lebih bertanggungjawab dalam mencapai matlamat kewangan anda.