Memahami Kadar Faedah Pinjaman Peribadi di Malaysia

calendar-range
Dikirim 01/08/2023
(dikemaskini 21/12/2023)
Memahami kadar faedah pinjaman peribadi

Kadar faedah pinjaman peribadi adalah istilah yang sering diperhatikan apabila berbicara tentang pinjaman peribadi. Malangnya masih ramai yang kurang faham tentang kadar faedah secara keseluruhan dan kesannya terhadap pinjaman peribadi yang diambil.

Tidak dapat dinafikan, kadar faedah adalah salah satu faktor terpenting yang perlu dipertimbangkan ketika memilih pinjaman peribadi. Ia mempengaruhi jumlah yang perlu anda bayar balik kepada institusi kewangan, sekali gus mempengaruhi beban kewangan yang perlu ditanggung.

Dengan memahami konsep kadar faedah, anda bukan sahaja boleh berjimat, tetapi juga boleh merancang kewangan dengan lebih efisien.

Apa itu Kadar Faedah Pinjaman Peribadi?

Secara ringkas, caj kadar faedah pinjaman peribadi adalah kos atau bayaran yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kepada peminjam. Caj ini kebiasaannya diperkenalkan dalam bentuk peratusan daripada jumlah keseluruhan pinjaman, dan caj ini dikenakan sepanjang tempoh pinjaman. Kadar faedah akan mempengaruhi jumlah bayaran bulanan dan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar. Semakin tinggi kadar faedah, semakin tinggi bayaran bulanan pinjaman peribadi anda.

Sebagai contoh, jika anda pinjam RM10,000 untuk tempoh 5 tahun dan kadar faedah tahunan yang dikenakan ialah 5% setahun, anda akan membayar tambahan RM500 sebagai faedah setiap tahun sebelum tempoh tamat pinjaman. Jadi jumlah keseluruhan pinjaman anda akan menjadi RM12,500 (RM10,000 asal + RM2,500 faedah).

Ada juga institusi kewangan yang mengenakan caj kadar faedah pinjaman dalam bentuk kadar faedah bulanan. Tetapi ini jarang sekali berlaku, dan selalunya dikenakan untuk pinjaman habis bulan atau payday loan, pinjaman jangka masa pendek, dan pinjaman mikro.

Mengapa Institusi Kewangan Mengenakan Caj Kadar Faedah?

Anda mungkin tertanya-tanya kenapa institusi kewangan perlu mengenakan caj kadar faedah pinjaman peribadi? Bukankah ini akan membebankan pelanggan mereka dan mengurangkan peluang pelanggan baru untuk mohon pinjaman?

Jawapan utama untuk soalan tersebut adalah risiko dan kos peluang.

Setiap kali institusi kewangan memberi pinjaman peribadi, mereka akan menanggung risiko kemungkinan peminjam gagal membayar balik pinjaman tersebut. Dengan mengenakan caj kadar faedah, institusi kewangan dapat mengurangkan risiko ini dan meminimumkan kerugian yang mungkin perlu ditanggung.

Kos peluang pula merujuk kepada keuntungan yang hilang dari penggunaan wang tersebut dalam cara lain. Dengan kata lain, dengan meminjamkan wang kepada anda, institusi kewangan mungkin melepaskan peluang untuk menggunakan wang tersebut dalam pelaburan atau pinjaman lain yang mungkin memberikan pulangan lebih tinggi.

Jenis Kadar Faedah dan Perbezaan Antara Setiap Kadar Faedah

Terdapat beberapa jenis kadar faedah yang digunakan untuk pinjaman peribadi. Sebagai peminjam, penting untuk anda faham konsep, perbezaan, dan bagaimana jenis-jenis kadar faedah ini boleh mempengaruhi pinjaman anda.

  1. Kadar Faedah Tetap (fixed interest rate): Kadar faedah ini adalah tetap dan tidak berubah sepanjang tempoh pinjaman. Ini bermakna anda akan membayar jumlah yang telah ditetapkan sepanjang tempoh pinjaman.
  2. Kadar Faedah Terapung (floating interest rate): Juga dikenali sebagai kadar faedah berubah-ubah, kadar faedah ini tidak tetap boleh berubah sepanjang tempoh pinjaman. Jumlah caj faedah yang dikenakan adalah berdasarkan indeks kewangan seperti Base Rate (BR) atau Overnight Policy Rate (OPR). Pembayaran bulanan anda mungkin berubah sepanjang tempoh pinjaman sekiranya berlaku perubahan terhadap BR atau OPR. Jangan risau sekiranya anda keliru tentang BR dan OPR. Saya akan menjelaskan tentang kedua-dua dasar ini di bahagian selanjutnya.
  3. Kadar Faedah Campuran (blended rate): Kadar faedah ini selalunya dikenakan apabila berlaku penjadualan semula atau penstrukturan semula pinjaman. Dalam konteks penjadualan semula pinjaman, jika kadar faedah campuran pinjaman baru adalah lebih rendah daripada kadar faedah pinjaman lama, peminjam lebih untung dengan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah. Untuk penstrukturan semula pinjaman pula, pihak institusi kewangan mungkin bersetuju mengenakan caj kadar faedah campuran yang lebih rendah selepas mengambil kira situasi kewangan peminjam.

Pengaruh Kadar Asas (Base Rate) dan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate) Terhadap Kadar Faedah Pinjaman Peribadi

Kadar Asas atau Base Rate (BR) dan Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR) adalah dua istilah kewangan penting yang perlu anda faham apabila membincangkan kadar faedah pinjaman peribadi.

BR secara ringkas adalah kadar asas yang ditetapkan oleh bank-bank di Malaysia sebagai rujukan untuk mengira kadar faedah pinjaman. Kadar ini adalah kadar minimum yang akan dikenakan kepada peminjam, dan ia biasanya ditambah dengan spread (margin keuntungan) tertentu oleh bank.

Nilai BR adalah ditentukan berdasarkan OPR, yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). OPR adalah kadar faedah yang dikenakan oleh BNM kepada institusi kewangan untuk transaksi pinjaman atau deposit semalaman. OPR adalah sangat penting kerana kadar ini berfungsi sebagai dasar monetari yang digunakan oleh BNM untuk mengawal kestabilan ekonomi negara.

Apabila BNM menurunkan OPR, BR dan kadar faedah pinjaman biasanya akan turut menurun. Ini kerana kos pinjaman bagi bank telah berkurangan, dan mereka boleh memindahkan penjimatan ini kepada peminjam. Sebaliknya, jika OPR meningkat, BR dan kadar faedah pinjaman juga akan meningkat. Oleh itu, memahami OPR dan bagaimana ia mempengaruhi BR dan kadar faedah pinjaman anda adalah penting.

BR dan OPR bukan sahaja mempengaruhi bayaran bulanan pinjaman peribadi dengan kadar faedah terapung, tetapi juga pinjaman dengan kadar faedah tetap. Jika BR menurun, pihak institusi boleh menawarkan pinjaman peribadi kadar tetap dengan kadar faedah tahunan yang lebih rendah.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi OPR

Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang sekali gus akan mempengaruhi Kadar Asas (BR). 

  • Inflasi: BNM akan meningkatkan OPR sekiranya kadar inflasi negara meningkat. Situasi ini akan menyukarkan individu dan perniagaan untuk memohon pinjaman baru, seterusnya memperlahankan ekonomi dan menurunkan kadar inflasi. Sebaliknya, BNM akan menurunkan OPR sekiranya kadar inflasi menurun untuk menggalakkan semula pertumbuhan ekonomi negara.
  • Kadar tukaran mata wang asing: Exhange rate juga mempengaruhi kadar OPR. BNM akan menaikkan OPR sekiranya Ringgit lebih tinggi daripada mata wang asing untuk mengurangkan import. Tetapi, jika Ringgit lebih rendah daripada mata wang asing, BNM akan merendahkan kadar OPR untuk menggalakkan eksport.
  • Kadar faedah negara asing: Caj kadar faedah yang dikenakan di luar negara juga boleh mempengaruhi kadar OPR. BNM sentiasa memantau kadar faedah di seluruh dunia untuk kekal kompetitif.
  • Faktor domestik: Faktor -faktor dalam negara yang lain seperti pengangguran, posisi fiskal kerajaan, dan sebagainya juga mempengaruhi OPR.

Kadar Pinjaman Asas (Base Lending Rate)

Satu lagi istilah berkaitan yang perlu anda tahu ialah Kadar Pinjaman Asas, atau Base Lending Rate (BLR). BLR adalah berbeza dengan BR. Jika BR adalah kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia untuk pinjaman dan dikenakan kepada bank, BLR pula adalah kadar faedah yang ditetapkan oleh bank dan dikenakan pelanggan mereka.

BLR selalunya ditetapkan lebih tinggi dari BR setelah bank atau institusi kewangan mengambil kira beberapa faktor seperti kos dan margin.

Walau bagaimanapun, BLR telah ditamatkan pada Januari 2015 oleh BNM dan digantikan sepenuhnya oleh BR. Langkah ini adalah untuk menjadikan pinjaman di Malaysia lebih telus dan kompetitif. 

Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Kadar Faedah Pinjaman Peribadi

Walaupun kadar faedah pinjaman peribadi telah ditetapkan berdasarkan OPR, BR, dan institusi kewangan, masih terdapat beberapa faktor luar yang boleh mempengaruhi kadar faedah yang akan dikenakan terhadap permohonan pinjaman peribadi.

  • Skor Kredit: Skor kredit adalah sangat penting bagi pihak institusi kewangan menilai keupayaan anda untuk membayar hutang. Penilaian ini dilakukan berdasarkan rekod kredit anda. Pemohon pinjaman dengan skor kredit yang tinggi dan rekod kredit yang baik biasanya akan ditawarkan pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah kerana mereka dianggap sebagai pelanggan berisiko rendah.
  • Pendapatan: Pendapatan anda juga boleh mempengaruhi kadar faedah yang akan dikenakan kepada permohonan pinjaman peribadi anda. Peminjam dengan pendapatan tinggi kebiasaannya boleh mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah kerana mereka dianggap mampu dan tidak mempunyai masalah untuk membayar balik pinjaman.
  • Nisbah Pembayaran Hutang (debt-to-income ratio): Pihak institusi kewangan akan menilai nisbah pembayaran hutang pemohon, terutama sekali jika pemohon mempunyai banyak pinjaman aktif. Nisbah pembayaran hutang yang rendah berkemungkinan tinggi untuk ditawarkan dengan kadar faedah rendah.
  • Sejarah dan Risiko Pekerjaan: Pekerjaan anda juga boleh mempengaruhi kadar faedah. Anda akan dinilai berdasarkan sejarah pekerjaan dan risiko pekerjaan. Sebagai contoh, jika anda bekerja dalam sektor yang stabil dan mempunyai sejarah pekerjaan tetap, anda mungkin dapat mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah.
  • Tempoh Pinjaman: Tempoh pinjaman juga mempengaruhi kadar faedah secara langsung. Pinjaman atau pembiayaan dengan jangka masa yang lebih panjang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi berbanding pinjaman dalam jangka masa yang lebih pendek.
  • Jenis Pinjaman atau Pembiayaan: Sesetengah pelan pinjaman atau pelan pembiayaan mengenakan kadar faedah dan kadar keuntungan yang lebih rendah berbanding pelan pinjaman lain. Walau bagaimanapun, syarat pelan-pelan pinjaman tersebut adalah berbeza. Pelan pinjaman peribadi dengan kadar faedah rendah mungkin mengenakan syarat kelayakan yang lebih ketat dan mempunyai peluang lulus yang lebih rendah berbanding pinjaman dengan kadar faedah tinggi.

Faktor-faktor ini mungkin boleh kadar faedah yang dikenakan terhadap pinjaman peribadi anda. Terdapat banyak lagi faktor yang akan mempengaruhi perkara ini. Oleh itu penting untuk anda melakukan kajian dan membandingkan pelan-pelan pinjaman yang ditawarkan sebelum mohon.

Baca lebih lanjut tentang Panduan Lengkap Skor Kredit atau Faktor-faktor yang menyebabkan permohonan pinjaman anda ditolak.

Perbezaan Kadar Faedah Antara Pinjaman Konvensional dan Pinjaman Islamik

Apabila anda membandingkan pelan-pelan pinjaman peribadi, anda mungkin perasan terdapat sesetengah pinjaman yang tidak mengenakan kadar faedah, tetapi mengenakan kadar keuntungan. Ini adalah caj yang dikenakan untuk pinjaman peribadi Islamik.

Secara ringkas, kadar faedah (interest rate) dikenakan untuk pinjaman peribadi konvensional, manakala kadar keuntungan (profit rate) pula dikenakan untuk pinjaman peribadi Islamik. Oleh kerana dari segi konsep perbankan Islam, pinjaman Islamik bukanlah pinjaman sebenar, istilah pembiayaan sering digunakan berbanding istilah pinjaman.

Kadar Faedah Pinjaman Konvensional

Dalam sistem pinjaman konvensional, pinjaman adalah hutang dan peminjam perlu membayar kadar faedah yang dikenakan oleh pemberi pinjaman sebagai bayaran kepada perkhidmatan meminjamkan wang.

Ini bermaksud anda sebagai peminjam perlu membayar lebih daripada jumlah yang dipinjam, dan perbezaan ini memberi keuntungan bagi pemberi pinjaman. Walau bagaimanapun, terdapat undang-undang yang menetapkan jumlah maksimum kadar faedah yang boleh dikenakan oleh institusi kewangan terhadap pinjaman peribadi.

Sebagai contoh, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 menetapkan kadar faedah maksimum yang boleh dikenakan oleh syarikat Pemberi Pinjam Wang/Kredit Komuniti adalah antara 12% hingga 18% setahun. Ini adalah untuk mengelakkan institusi kewangan mengenakan caj kadar faedah yang melampau tinggi dan membebankan peminjam.

Kadar Keuntungan Pembiayaan Islamik

Dalam sistem perbankan Islam pula, konsep faedah (atau riba) adalah haram dan dilarang. Sebaliknya, institusi kewangan  menggunakan sistem keuntungan atau ‘profit rate’ untuk pembiayaan Islamik.

Melalui konsep ini, bank atau institusi kewangan Islamik akan membeli barang atau perkhidmatan dan menjualnya kembali kepada peminjam dengan harga yang lebih tinggi. Harga ini adalah termasuk keuntungan dan dibayar oleh peminjam dalam tempoh yang ditentukan.

Ini memastikan bahawa transaksi adalah adil dan berlaku pertukaran nilai yang sebenar, selaras dengan prinsip kewangan Islam. Pembiayaan Islamik tidak tertakluk kepada undang-undang Akta Pemberi Pinjam Wang, dan pihak institusi kewangan boleh mengenakan kadar keuntungan yang mereka tetapkan kepada peminjam.

Sekiranya anda berminat untuk tahu dengan lebih lanjut bagaimana konsep perbankan Islamik berfungsi, anda boleh baca artikel Konsep Perbankan Islam.

Lihat juga senarai lengkap Pinjaman Peribadi Konvensional atau Pembiayaan Peribadi Islamik yang ditawarkan untuk buat perbandingan.

Perbezaan Kadar Faedah Antara Pinjaman Peribadi Bercagar dan Tidak Bercagar

Walaupun kebanyakan pelan pinjaman dan pembiayaan peribadi yang ditawarkan adalah pinjaman tidak bercagar, terdapat pilihan pinjaman peribadi bercagar yang ditawarkan oleh sesetengah institusi kewangan.

Bagi yang masih kurang faham apa perbezaan antara kedua-dua jenis pinjaman ini, pinjaman peribadi bercagar adalah bentuk pinjaman yang memerlukan peminjam mencagarkan aset atau memperkenalkan penjamin sebagai jaminan kepada bank atau institusi kewangan. Aset dalam konteks ini adalah rumah, kereta, atau aset lain yang mempunyai nilai.

Jika anda gagal membayar balik pinjaman, institusi kewangan mempunyai hak untuk merampas dan menjual aset tersebut untuk melangsaikan hutang pinjaman anda.

Pinjaman peribadi tidak bercagar pula tidak memerlukan aset atau penjamin sebagai jaminan. Permohonan anda hanya akan dinilai berdasarkan faktor-faktor seperti pendapatan, skor kredit, sejarah dan rekod kredit, risiko pekerjaan, dan sebagainya untuk menentukan kelulusan permohonan.

Kadar faedah untuk pinjaman bercagar biasanya lebih rendah berbanding pinjaman tidak bercagar. Ini kerana risiko yang diambil oleh institusi kewangan adalah lebih rendah. Jika anda gagal membayar balik pinjaman, mereka boleh mendapatkan wang mereka kembali dengan merampas dan menjual aset peminjam.

Sebaliknya institusi kewangan perlu mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi untuk pinjaman peribadi tidak bercagar oleh kerana risiko yang lebih tinggi. Ini adalah cara bagi institusi kewangan melindungi perniagaan mereka dari kerugian jika anda gagal membayar balik pinjaman.

Bandingkan perbezaan kadar faedah antara Pinjaman Bercagar dan Pinjaman Tidak Bercagar.

Mana Satu yang Harus Dipilih?

Pilihan antara pinjaman peribadi bercagar dan tidak bercagar adalah bergantung sepenuhnya kepada keperluan dan keadaan kewangan anda. Jika anda mempunyai aset yang boleh digunakan sebagai jaminan dan anda yakin bahawa anda dapat membayar balik pinjaman, pinjaman bercagar mungkin menjadi pilihan yang lebih tepat kerana kadar faedah yang ditawarkan selalunya lebih rendah.

Walau bagaimanapun, jika anda tidak mempunyai aset untuk digunakan sebagai jaminan, atau anda tidak mahu mengambil risiko aset dirampas, pinjaman tidak bercagar mungkin satu-satunya pilihan anda. Cuma, anda perlu bersedia untuk membayar kadar faedah yang lebih tinggi, tetapi dalam masa yang sama anda tidak perlu risau tentang kehilangan aset yang mungkin berguna pada masa hadapan.

Sebelum anda buat keputusan untuk memilih antara pinjaman peribadi tidak bercagar atau bercagar, pastikan anda benar-benar faham syarat dan terma pelan pinjaman tersebut, dan ambil kira risiko dan situasi kewangan anda.

Manfaatkan Pengetahuan Anda Tentang Kadar Faedah Untuk Keputusan Pinjaman yang Tepat

Memahami kadar faedah dan bagaimana caj ini boleh mempengaruhi pinjaman peribadi yang anda ingin mohon adalah sangat penting sebelum anda buat keputusan. Dengan pengetahuan ini, anda boleh buat pilihan yang lebih tepat dan menguruskan kewangan dengan lebih baik.

Jangan lupa bahawa setiap pelan pinjaman peribadi yang ditawarkan mempunyai ciri dan syarat yang berbeza. Oleh itu, selalu baca dan fahami setiap terma dan syarat pinjaman sebelum buat keputusan. Jangan malu untuk bertanya sekiranya anda tidak faham frasa yang terdapat di dalam syarat dan terma pinjaman.

Selain itu, bandingkan tawaran dari pelbagai bank dan institusi kewangan. Dengan perbandingan ini, anda boleh memastikan bahawa anda mendapatkan kadar faedah terbaik dari pelan tersebut.

Pinjaman peribadi adalah komitmen kewangan jangka masa panjang. Oleh itu, pastikan anda mampu untuk membayar balik pinjaman sebelum mengambilnya. Jangan biarkan diri anda terjerumus dalam beban hutang yang tidak mampu anda bayar.

Sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut bagaimana untuk menguruskan kewangan lebih berhemah, baca panduan lengkap Pengurusan Kewangan Peribadi.

Jangan teragak-agak untuk bertanya pada ruangan komen di bawah sekiranya anda masih mempunyai soalan berhubung kadar faedah pinjaman peribadi.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments