Panduan kali ini bertujuan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan anda, bagaimana untuk meminjam wang dengan lebih bertanggungjawab dan mengelak daripada terjerat dengan bahaya ah long. Di sini, kita akan membincangkan perbezaan antara pinjaman kredit komuniti dan lintah darat.
Isi Kandungan
- Memahami Syarikat Kredit Komuniti (Pinjaman Berlesen)
- Pinjaman Ah Long vs. Pinjaman Berlesen
- Mengapa Masih Ramai Yang Berurusan Dengan Ah Long?
- Risiko Berurusan dengan Ah Long
- Tanda-Tanda Amaran Ah Long
- Memilih Antara Bank, Koperasi Kredit, Dan Kredit Komuniti
- Jadi Peminjam Yang Bertanggungjawab
- Kesimpulan
Memahami Syarikat Kredit Komuniti (Pinjaman Berlesen)
Syarikat kredit komuniti, sebelum ini dikenali sebagai Pemberi Pinjaman Wang Berlesen (PPW), adalah alternatif terbaik apabila anda sukar untuk memohon pinjaman bank atau koperasi kredit. Mereka membuka peluang permohonan kepada individu dengan rekod kredit buruk atau yang telah disenaraihitamkan oleh bank berikutan masalah kewangan.
Syarikat-syarikat ini dikawal selia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan beroperasi di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. Dengan akta ini, kadar faedah ditetapkan tidak lebih daripada 18% setahun untuk pinjaman tidak bercagar, dan tidak lebih daripada 12% setahun untuk pinjaman bercagar. Faktor ini menjadikan pinjaman kredit komuniti lebih selamat berbanding pinjaman Ah Long.
KPKT menjenamakan syarikat Pemberi Pinjam Wang Berlesen kepada Kredit Komuniti pada April 2019.
Cara Menyemak Status Syarikat Kredit Komuniti
Anda boleh semak status syarikat Pinjaman Berlesen melalui aplikasi yang disediakan oleh KPKT, iaitu aplikasi i-Kredikom.
- Muat turun dan pasang aplikasi i-Kredikom melalui Google Play atau Apple App Store.
- Buka aplikasi tersebut dan pilih pilihan Bahasa.
- Taip nama syarikat pada ruangan yang disediakan.
- Hasil carian akan memaparkan butiran syarikat tersebut, termasuk status pendaftaran, nombor lesen, alamat pejabat, dan nombor untuk dihubungi.
- Sekiranya tiada maklumat syarikat dipaparkan, syarikat tersebut bukan syarikat sah dan tidak berdaftar dengan KPKT.
Anda juga boleh melayari laman Syarikat Kredit Komuniti di laman web ini yang menyenaraikan beberapa Syarikat yang boleh dipercayai.
Pinjaman Ah Long vs. Pinjaman Berlesen
Anda perlu tahu bagaimana untuk membezakan antara Ah Long dan pinjaman berlesen yang sah. Jadual di bawah menunjukkan perbezaan utama antara syarikat Pinjaman Berlesen dan Ah Long.
Ciri-ciri | Ah Long | Kredit Komuniti |
---|---|---|
Status undang-undang | Beroperasi secara haram | Berlesen dan dikawal selia oleh kerajaan (KPKT) |
Kadar faedah pinjaman | Terlalu tinggi | Dihadkan kepada 12% hingga 18% oleh Akta. |
Ketelusan | Tiada perjanjian jelas | Perjanjian pinjaman yang telus |
Kutipan bayaran pinjaman | Ugutan, ancaman, keganasan adalah biasa | Kaedah sah mengikut undang-undang |
Kaedah permohonan | Ringkas | Memerlukan semakan kelayakan dan dokumen |
Kelulusan pinjaman | Pantas atau serta-merta. | Mungkin mengambil sedikit masa |
Mengapa Masih Ramai Yang Berurusan Dengan Ah Long?
Walaupun terdapat banyak syarikat kredit komuniti, masih ramai yang memilih untuk meminjam daripada Ah Long, walaupun tahu risiko yang terlibat. Terdapat banyak faktor yang menjurus kepada situasi ini, antaranya:
- Terdesak dan perlukan wang segera – Desakan hidup, kecemasan, dan sebagainya boleh buat manusia tidak berfikir panjang dan memilih jalan mudah untuk penyelesaian. Lintah darat atau Ah Long mengeksploitasi situasi ini dengan menawarkan pinjaman yang mudah dan pantas.
- Kurang ilmu pengetahuan – Masih ramai yang tidak dapat membezakan anda syarikat kredit komuniti dan Ah Long. Tambahan pula Ah Long pada masa sekarang sering menyamar sebagai syarikat pinjaman berlesen yang sah dan berdaftar. Di sinilah ilmu pengetahuan memainkan peranan penting untuk mengelak daripada menjadi mangsa hutang pinjaman Ah Long.
- Terpedaya dengan janji manis – Janji manis yang ditabur oleh Ah Long seringkali mengelirukan dan memperdayakan mangsa, seterusnya terikat dengan pinjaman dengan kadar faedah yang tinggi dan membebankan.
Risiko Berurusan dengan Ah Long
Berurusan dengan Ah Long boleh menyebabkan kita terperangkap dalam masalah kewangan dan terperangkap dalam pusingan hutang. Antara risiko utama meminjam wang dengan Ah Long:
- Terbeban Dengan Hutang – Kadar faedah terlalu tinggi akan meningkatkan jumlah hutang dengan pantas. Seperti dilaporkan di akhbar The Star pada Januari 2024, mangsa yang meminjam dengan Ah Long dipaksa membayar hutang beberapa kali ganda daripada jumlah pinjaman asal.
- Ancaman dan Keganasan – Ah Long terkenal dengan amalan kutipan hutang secara ganas seperti menggunakan ugutan dan melakukan kekerasan.
- Kemusnahan Harta Benda – Selain ugutan dan keganasan fizikal, Ah Long juga terkenal dengan memusnahkan harta benda peminjam seperti kenderaan, rumah dan lain-lain untuk menakut-nakutkan peminjam. Kes membakar kereta yang dinyatakan sebelum ini adalah contoh terbaik.
- Kesan Psikologi – Tekanan dan ancaman berterusan daripada along boleh memberi kesan negatif kepada psikologi seperti kerisauan berlebihan, sentiasa berada dalam ketakutan, dan tekanan mental kepada peminjam dan keluarga mereka.
Tanda-Tanda Amaran Ah Long
Mengetahui bagaimana untuk mengenal pasti ciri-ciri lintah darat boleh melindungi diri anda. Berikut adalah tanda-tanda amaran yang perlu anda beri perhatian:
- Tidak memaparkan lesen: Syarikat pinjaman berlesen yang berdaftar wajib memaparkan lesen perniagaan dan perkhidmatan. Sekiranya tiada lesen dipaparkan, besar kemungkinan mereka adalah lintah darat atau ah long.
- Kadar faedah tinggi: Mengenakan kadar faedah yang terlalu tinggi adalah antara amaran utama yang perlu anda beri perhatian ketika buat pinjaman.
- Perjanjian pinjaman tidak jelas: Perjanjian yang sah akan menyenaraikan semua syarat dan terma, termasuk yuran dan caj. Jika terdapat kos tersembunyi yang tidak dinyatakan pada syarat dan terma, lari jauh-jauh.
- Memendekkan tempoh bayaran – Ah Long mungkin akan memendekkan tempoh pinjaman secara tiba-tiba, sekali gus menyukarkan peminjam untuk buat bayaran bulanan seperti yang telah dijanjikan sebelum ini.
- Mendesak untuk menandatangani surat perjanjian: Syarikat kredit komuniti akan menggalakkan peminjam untuk meneliti syarat perjanjian terlebih dahulu sebelum menandatangani perjanjian pinjaman. Desakan untuk terus menandatangani perjanjian adalah antara modus operandi ah long.
- Ugutan dan kekerasan – Ini adalah tanda amaran utama. Syarikat pinjaman berlesen yang sah tidak akan sama sekali menggunakan kekerasan ketika menuntut bayaran, sebaliknya akan menggunakan saluran undang-undang.
Memilih Antara Bank, Koperasi Kredit, Dan Kredit Komuniti
Pinjaman bank kebiasaannya menawarkan kadar faedah yang lebih rendah berbanding pinjaman kredit komuniti. Walau bagaimanapun, jika anda sukar untuk mohon pinjaman bank kerana skor kredit rendah atau rekod kredit buruk, pinjaman berlesen mungkin alternatif terbaik.
Berikut adalah antara faktor yang boleh bantu anda buat keputusan.
- Bank – Sesuai untuk individu dengan skor kredit yang baik dan layak untuk mendapatkan kadar faedah yang rendah dan berpatutan.
- Pinjaman berlesen – Alternatif terbaik dan selamat untuk peminjam dengan rekod kredit yang buruk atau disenaraihitamkan oleh bank. Walaupun kadar faedah lebih tinggi daripada bank, syarikat-syarikat ini dikawal selia dan patuh undang-undang.
- Koperasi kredit – Dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan menawarkan produk pinjaman kepada ahli dan bukan ahli. Kadar faedah selalunya berada di antara bank dan pinjaman berlesen. Pinjaman koperasi popular di kalangan penjawat sektor awam.
Jadi Peminjam Yang Bertanggungjawab
Tidak kira institusi kewangan yang anda pilih, penting untuk anda menjadi peminjam yang bertanggungjawab. Amalkan sikap berikut ketika buat pinjaman.
- Hanya pinjam setakat termampu – Kenal pasti situasi kewangan anda dan hanya pinjam jumlah yang anda rasakan anda mampu bayar semula setelah mengambil kira kadar faedah dan tempoh pinjaman.
- Baca dan fahamkan perjanjian pinjaman – Sebelum anda menandatangani perjanjian pinjaman, baca dan fahamkan betul-betul perjanjian tersebut, termasuk syarat dan terma pinjaman.
- Pertimbangkan semua pilihan yang tersedia – Buat kajian dan kenal pasti pilihan yang boleh anda ambil. Contohnya, jika anda ingin buat pinjaman baru untuk menutup pinjaman lama, pertimbangkan pilihan seperti penyatuan hutang atau penstrukturan semula pinjaman.
- Jangan takut untuk berbincang – Jika anda menghadapi masalah untuk buat bayaran bulanan, jangan teragak-agak untuk menghubungi pemberi pinjaman untuk berbincang. Pihak institusi kewangan sentiasa bersedia untuk mencari jalan penyelesaian untuk membantu anda.
Kesimpulan
Meminjam wang boleh menjadi keperluan, tetapi adalah penting untuk meminjam dengan bertanggungjawab. Dengan memahami perbezaan antara pinjaman kredit komuniti dan Ah Long, anda akan dapat membuat keputusan yang lebih tepat dengan mengelak daripada terjebak dengan perangkap Ah Long. Sentiasa berwaspada dan lakukan sedikit kajian sebelum meminjam.