Cara Tambah Limit Kad Kredit

calendar-range
Dikirim 18/11/2023
(dikemaskini 24/04/2024)
Cara tambah limit kad kredit

Pernah tak anda alami situasi anda ingin membayar barangan yang dibeli di pasar raya, atau membayar petrol di stesen minyak dengan kad kredit, tetapi bayaran kad anda ditolak. Setelah disiasat dengan lebih lanjut, rupa-rupanya anda telah melebihi had kredit atau credit limit kad anda.

Mungkin anda belum mengalami situasi ini, tetapi jika pernah ini tandanya sudah tiba masa untuk anda tambah limit kad kredit anda kerana belanja bulanan yang semakin meningkat.

Panduan kali ini akan menerangkan cara tambah limit kad kredit bagi yang memerlukannya.

Apa itu Had Kredit?

Had kredit, atau “credit limit” adalah jumlah maksimum yang boleh anda guna, atau pinjam daripada pengeluar kad kredit. Jumlah ini telah ditetapkan sebaik sahaja anda memohon kad anda.

Di Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan credit card limit untuk individu yang berpendapatan tahunan RM36,000 ke bawah adalah dua kali ganda pendapatan bulanan anda. Jadi, jika anda menerima gaji bulanan RM3,000, credit limit kad anda akan ditetapkan pada RM6,000.

Untuk individu yang berpendapatan tahunan lebih daripada RM36,000 pula, had kredit akan ditetapkan oleh institusi kewangan atau pengeluar kad kredit tersebut.

Pihak pengeluar kad akan menilai beberapa faktor untuk menetapkan jumlah credit limit seperti pendapatan bulanan, rekod dan sejarah kredit, umur, jenis pekerjaan dan risiko, dan pelbagai lagi faktor yang dirasakan perlu.

Tambah Had Kredit Sementara vs. Kekal

Kebanyakan institusi kewangan menawarkan dua pilihan untuk anda tambah credit limit kad anda, iaitu sementara atau “temporary increase credit limit” dan kekal atau “permanent increase credit limit”.

Tambahan limit sementara sesuai sekiranya anda ingin peningkatan kredit untuk jangka masa pendek. Contohnya anda ingin berbelanja lebih pada bulan tersebut, mungkin untuk kecemasan atau belanja yang tidak diduga.

Selalunya anda boleh mohon peningkatan had kredit sementara antara satu hingga enam bulan, bergantung kepada institusi kewangan. Pilihan ini juga lebih mudah lulus berbanding tambah limit kekal.

Peningkatan had kredit kekal pula seperti namanya adalah berkekalan. Sekiranya anda baru mengaktifkan kad kredit, anda dinasihatkan hanya mohon tambah limit kekal selepas menggunakan kad anda dalam tempoh antara 6 hingga 12 bulan, dengan bayaran bulanan kad kredit tepat pada masanya untuk meningkatkan peluang lulus.

Siapa Yang Layak Untuk Tambah Limit Kad Kredit?

Bukan semua orang layak untuk meningkatkan jumlah had kredit mereka. Anda boleh mohon, tetapi tidak semestinya bank atau pengeluar kad kredit akan meluluskan permohonan tersebut.

Seperti juga semasa menetapkan had kredit, pengeluar kad akan menilai banyak faktor sebelum meluluskan permohonan tambah limit kad kredit anda. Peluang untuk lulus cerah sekiranya anda mempunyai rekod bayaran bulanan kad kredit yang baik dan tidak pernah miss buat bayaran setiap bulan. 

Peningkatan pendapatan juga boleh meningkatkan peluang lulus kerana ini akan mengurangkan nisbah pendapatan kepada hutang atau debt service ratio (DSR). Sejarah penggunaan kad kredit juga membantu sekiranya anda telah lama menggunakan kad daripada bank tersebut.

Berapa Jumlah Had Kredit Yang Boleh Ditambah?

Jumlah had kredit yang boleh ditambah bergantung sepenuhnya kepada bank atau pengeluar kad. Tetapi, secara umum anda boleh meningkatkan limit kad kredit sebanyak 20% hingga 50% daripada had asal, itu pun setelah institusi kewangan menilai situasi kewangan pemohon.

Dalam erti kata lain, jumlah limit kad yang boleh ditambah adalah bergantung kepada faktor-faktor seperti pendapatan, tabiat berbelanja, sejarah kredit, dan rekod bayaran kad anda.

Adakah Terdapat Caj Yang Dikenakan Untuk Tingkatkan Had Kredit?

Kebiasaannya tiada caj yang dikenakan untuk tambah limit kad kredit. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa institusi kewangan yang mungkin mengenakan sedikit caj bergantung kepada faktor yang terlibat.

Sekiranya anda risau terdapat caj tambahan atau caj tersembunyi, anda boleh berhubung terus dengan pengeluar kad kredit anda sebelum memohon peningkatan had kredit. 

Berapa Lama Perlu Saya Tunggu Sebelum Permohonan Saya Lulus?

Tempoh tambah limit kad kredit anda diluluskan atau ditolak juga bergantung kepada institusi kewangan yang terlibat. Kebanyakan pengeluar kad akan mengambil masa antara 1 hingga 2 minggu sebelum buat keputusan.

Namun begitu, mereka mungkin meminta dokumen tambahan ketika memproses permohonan anda sekiranya dirasakan perlu. Ini mungkin berlaku jika terdapat masalah dengan dokumen anda, atau permohonan anda tidak begitu kuat.

Anda boleh semak keputusan tambah limit kad kredit anda dengan menghubungi institusi kewangan untuk tahu status terkini.

Bolehkah Permohonan Tambah Limit Kad Kredit Saya Ditolak?

Ya, permohonan anda boleh ditolak sekiranya pihak institusi kewangan membuat keputusan anda tidak layak untuk menerima peningkatan had kredit. Antara sebab-sebab umum permohonan anda ditolak ialah:

  • Anda baru sahaja memohon penambahan had kredit dalam masa terdekat untuk kad yang sama.
  • Penggunaan kad anda adalah terlalu tinggi seterusnya menunjukkan anda tidak bijak dalam mengawal perbelanjaan.
  • Pendapatan anda tidak mampu untuk menampung peningkatan had kredit.
  • Anda mempunyai terlalu banyak kad kredit dan nisbah penggunaan kredit kepada pendapatan adalah terlalu tinggi.

Dan beberapa faktor lain yang dianggap sebagai berisiko tinggi kepada pengeluar kad anda.

Sekiranya permohonan anda ditolak, anda tidak perlu risau. Anda hanya perlu menghubungi institusi kewangan untuk berbincang dan bertanya sebab utama permohonan anda tidak diluluskan.

Setelah mengetahui punca utama, anda boleh memperbaiki situasi kewangan anda untuk mengelakkan permohonan anda ditolak pada masa hadapan.

Cara Tambah Limit Kad Kredit Mengikut Jenis Kad Kredit

Setelah anda faham tentang had kredit, berikut saya senaraikan langkah-langkah untuk tambah credit limit berdasarkan institusi kewangan atau pengeluar kad.

Kad Kredit AEON

AEON Credit logo

AEON Credit Service menawarkan dua pilihan untuk menambah credit limit kad kredit AEON, iaitu peningkatan sementara atau kekal.

Untuk meningkatkan had kredit sementara, anda boleh menghubungi pegawai khidmat pelanggan AEON Credit di talian 03-2719 9999.

Untuk meningkatkan credit limit kekal, anda perlu mengikuti langkah berikut:

  1. Muat turun borang Credit Limit Review Form
  2. Sertakan dokumen bukti pendapatan (slip gaji, atau Borang B dengan resit LHDN, atau Borang EA, atau Penyata KWSP).
  3. E-Mail di alamat [email protected], atau Fax di talian 03-7863 7800. Anda juga boleh menghantar borang di cawangan AEON terdekat atau melalui surat menyurat di alamat:

AEON Credit Service (M) Bhd, AEON Credit Card Sales, Level 5, AEON BIG Subang Jaya, No. 3, Jalan SS16/1, 47500 Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Lihat senarai cawangan AEON terdekat

Kad Kredit Affin Bank

Affin Bank Berhad

Anda boleh tambah credit limit kad kredit Affin Bank dengan mengisi borang permohonan Permanent Increase Credit Limit (PICL) di laman Affin Always.

Hanya lengkapkan borang tersebut secara dalam talian dan hantar. Pihak Affin akan menghubungi anda untuk langkah seterusnya.

Muat turun Borang Permohonan Permanent Increase Credit Limit (PICL) Affin Bank

Kad Kredit Alliance Bank

Alliance bank logo

Untuk tambah limit kad kredit Alliance Bank anda perlu muat turun Borang Permohonan Meningkatkan Had Kredit Alliance Bank. Isi borang tersebut dan sediakan dokumen pengenalan diri dan pendapatan terkini.

Anda kemudiannya perlu hantar borang tersebut di cawangan Alliance Bank terdekat atau E-Mel ke alamat [email protected].

Kaedah ini adalah untuk tingkatkan had kredit kekal. Untuk tambah limit sementara pula, anda perlu menghubungi pihak Alliance di talian 03-5516 9988 dan ikuti arahan yang diberikan.

Muat turun Borang Permohonan Meningkatkan Had Kredit Alliance Bank

Kad Kredit Ambank

Ambank (M) Berhad

Anda boleh tambah credit limit kad kredit AmBank secara atas talian melalui sistem perbankan internet AmOnline atau aplikasi AmOnline.

Untuk mohon secara dalam talian, login ke akaun AmOnline anda dan pilih Apply, kemudiannya pilih Apply Credit Limit Increase. Anda kemudiannya akan menerima SMS dan notifikasi E-Mel berhubung permohonan anda.

Login ke akaun AmOnline

Anda juga boleh mengunjungi cawangan AmBank terdekat atau menelefon pihak AmBank di talian 03-2178 8888 berhubung permohonan peningkatan had kredit.

Jangan lupa untuk menyediakan dokumen berkaitan iaitu slip gaji 3 bulan terkini, atau penyata KWSP terkini, dan Borang EA/B/BE untuk yang bekerja sendiri.

Lihat senarai cawangan AmBank terdekat

Kad Kredit Bank Islam

Bank Islam Malaysia Berhad

Bank Islam menyediakan borang tambah limit kad kredit Bank Islam di laman web mereka. Anda perlu muat turun borang tersebut, isi dan hantar.

Anda juga perlu menghantar dokumen yang diperlukan iaitu salinan 2 bulan slip gaji terkini bagi yang bekerja makan gaji, atau salinan 6 bulan statement akaun bank terkini dan Borang B terkini dengan resit bayaran cukai bagi yang bekerja sendiri.

Muat turun borang tambah limit kad kredit Bank Islam

Kad Kredit Bank Muamalat

Bank Muamalat Logo

Anda perlu menghubungi bahagian Perkhidmatan Pelanggan Bank Muamalat di talian 03-2600 5500 untuk urusan berkaitan kad kredit Bank Muamalat anda termasuk menambah had kredit kad.

Kad Kredit Bank Rakyat

Bank rakyat bank kerjasama rakyat malaysia berhad

Malangnya pihak Bank Rakyat tidak menyediakan maklumat spesifik bagaimana untuk tambah credit limit kad kredit Bank Rakyat. Walau bagaimanapun, anda boleh menghubungi talian khidmat pelanggan tele-Rakyat Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454 untuk maklumat lanjut.

Kad Kredit Bank Simpanan Nasional (BSN)

Bank Simpanan Nasional

Pihak Bank Simpanan Nasional pula hanya menyediakan permohonan tambah limit kad kredit BSN melalui Borang Permohonan Peningkatan Had Kemudahan.

Muat turun borang tersebut, lengkapkan dan E-Mel di alamat [email protected].

Sertakan juga dokumen pendapatan seperti slip gaji sebulan terkini, atau Borang EA, atau Borang BE dengan resit bayaran cukai, atau statement EPF terkini.

Untuk yang bekerja sendiri pula, dokumen yang diperlukan ialah Borang B terkini dengan resit LHDN, dan penerima komisen pula perlu menyediakan Borang CP58 atau penyata komisen 6 bulan terkini.

Muat turun Borang Permohonan Peningkatan Had Kemudahan BSN

Kad Kredit CIMB Bank

CIMB Bank logo

Untuk tambah limit kad kredit CIMB, anda perlu menghubungi pusat khidmat pelanggan CIMB di talian 03-6204 7788 dan ejen CIMB berkaitan akan membimbing anda dengan langkah-langkah yang diperlukan.

Pastikan anda menyediakan dokumen yang diperlukan seperti bukti pendapatan iaitu slip gaji, penyata KWSP, atau resit LHDN sebagai bukti pembayaran cukai.

Kad Kredit Citibank

Citibank Berhad

Sekiranya anda masih menggunakan kad Citibank dan masih belum menerima kad kredit UOB, anda boleh tambah limit kad kredit Citibank melalui sistem perbankan internet Citibank Online.

UOB telah mengambil alih bahagian perbankan peribadi Citibank pada 1 November 2022. Pemegang kad kredit Citibank akan menerima kad kredit UOB untuk menggantikan kad Citibank mereka.

Anda boleh pilih untuk tingkatkan had kredit secara sementara atau kekal dengan menggunakan kemudahan dalam talian ini.

Anda cuma perlu login ke dalam akaun Citibank Online anda dan pilih pautan “Services”. Seterusnya pilih “Card Services” dan pilih sama ada untuk meningkatkan had kredit sementara atau kekal.

Isi maklumat yang diperlukan dan hantar permohonan anda.

Anda juga boleh menghubungi melalui perkhidmatan Citi Phone Banking di talian 03-2383 000 sekiranya anda sukar untuk menggunakan sistem perbankan internet Citi Online.

Kad Kredit Hong Leong Bank

Hong Leong Bank logo

Hong Leong Bank (HLB) menyediakan dua kaedah untuk anda mohon peningkatan limit kad kredit Hong Leong Bank. 

Kaedah pertama ialah melalui aplikasi Connect Mobile Banking HLB. 

  1. Tap “Menu” pada aplikasi tersebut.
  2. Pilih “Credit Card Services” dan pilih “Permanent/Temporary Increase Credit Limit”.
  3. Lengkapkan borang dan sediakan dokumen yang diperlukan.
  4. Isi maklumat kad kredit HLB dan had kredit yang diingini.
  5. Lengkap maklumat dan hantar permohonan.

Kaedah kedua ialah melalui sistem perbankan internet HLB Connect.

  1. Daftar masuk ke dalam sistem perbankan internet Connect.
  2. Pilih “Other Services” dan seterusnya “Request Increase in Credit Limit”.
  3. Ikuti arahan seterusnya untuk melengkapkan permohonan.

Login ke laman perbankan internet HLB Connect

Kad Kredit HSBC

HSBC Bank Malaysia Berhad

Pihak HSBC Malaysia menyediakan tiga cara tambah limit kad kredit HSBC untuk memudahkan pelanggan mereka.

Cara pertama ialah dengan mengisi borang atas talian di laman HSBC Smart Privileges (SP). 

  1. Layari laman HSBC SP dan lengkapkan borang permohonan tambah had kredit.
  2. Anda akan menerima SMS dengan pautan untuk muat naik (upload) dokumen pendapatan terkini.
  3. Wakil HSBC kemudiannya akan menghubungi anda untuk melengkapkan permohonan.

Layari laman HSBC Smart Privileges

Cara kedua pula dengan menelefon pengurus perhubungan Premier HSBC sekiranya anda adalah pelanggan Premier, atau bahagian khidmat pelanggan HSBC di talian 1300-88-1388 untuk pelanggan bukan Premier.

Cara ketiga ialah dengan mengunjungi cawangan HSBC berdekatan anda.

Kad Kredit ICBC

ICBC Malaysia

Sekiranya anda adalah pengguna kad kredit ICBC, anda perlu menghubungi pihak ICBC melalui saluran yang disediakan untuk meningkatkan had kredit kad ICBC anda.

  • Hotline perkhidmatan pelanggan ICBC di talian 1800-18-5588 untuk pelanggan dalam negara, atau +603-8321 5400 untuk talian luar negara.
  • Faks permohonan anda ke talian faks ICBC +603-2301 3388.
  • Hantar surat menyurat ke alamat ICBC Cards Centre, P.O Box 13435, 50810, Kuala Lumpur.
  • E-Mel ke alamat [email protected]

Pihak ICBC kemudiannya akan menghubungi anda untuk langkah seterusnya.

Kad Kredit Maybank

Maybank Malayan Banking Berhad

Pihak Maybank menyediakan dua kaedah untuk anda tambah limit kad kredit Maybank anda.

1. Borang Peningkatan Had Kredit

  1. Muat turun Borang Peningkatan Had Kredit Maybank melalu laman sesawang Maybank2u.
  2. Isi dan lengkapkan borang tersebut.
  3. Sertakan dokumen yang diperlukan seperti slip gaji, borang BE dengan resit bayaran cukai, salinan KWSP, atau penyata komisen untuk penerima komisen.
  4. Hantar borang di cawangan Maybank terdekat, atau E-Mel di alamat [email protected]

Muat turun Borang Peningkatan Had Kredit Maybank

Lihat senarai cawangan Maybank berdekatan anda

2. Secara Dalam Talian Melalui Perbankan Internet Maybank2u atau Aplikasi MAE

Anda juga boleh menggunakan laman perbankan internet Maybank2u, dengan pilihan untuk tambah credit limit kekal atau sementara.

  1. Login ke akaun Maybank2u anda.
  2. Pilih menu “Apply” > Cards > Increase Credit Limit.
  3. Ikuti arahan yang diberikan untuk meneruskan permohonan.

Login ke akaun Maybank2u

Kad Kredit OCBC

OCBC Bank Malaysia Berhad

Sekiranya anda adalah pemegang kad kredit OCBC dan ingin tambah limit kad anda, anda cuma perlu menghubungi pihak OCBC di talian 03-8317 5000 untuk urusan berkaitan perbankan peribadi seperti kad kredit.

Kad Kredit Public Bank

Public Bank Berhad

Pihak Public Bank hanya menyediakan kaedah surat menyurat untuk tambah limit kad kredit Public Bank. Anda perlu sediakan beberapa dokumen berkaitan untuk mohon credit limit increase.

Jika anda bekerja makan gaji, sediakan salinan slip gaji atau borang EA atau penyata KWSP terkini, dan surat pengesahan jawatan.

Untuk yang bekerja sendiri pula, sediakan penyata cukai atau resit bayaran LHDN, dan salinan 6 bulan penyata CASA.

Bagi penerima komisen dengan pendapatan bulanan tidak tetap, anda perlu sediakan salinan pendapatan 6 bulan terkini, dan salinan penyata dividen atau faedah dalam tempoh 3 tahun terkini.

Mereka yang menerima pendapatan dari luar negara pula perlu menyediakan bukti pendapatan dalam bentuk salinan slip gaji 3 bulan terkini, penyata akaun kemasukan gaji, dan surat pengesahan jawatan. Pekerja Singapura perlu menambah dokumen berkaitan seperti Notice of Assessment 2 tahun terkini, borang IR8A, atau Borang IR8E.

Setelah dokumen lengkap, hantar ke alamat:

PB Cards Services, 
10th Floor, Menara Public Bank,
146 Jalan Ampang,
P.O. Box 11722,
50754 Kuala Lumpur.

Anda boleh menghubungi talian Public Bank di nombor 03-2170 8000 untuk maklumat lanjut. 

Kad Kredit RHB

RHB Bank Berhad

Untuk tambah limit kad kredit RHB, anda perlu menghubungi sistem perbankan dalam talian RHB di nombor 03-9206 8118 dan ikuti arahan yang diberikan oleh sistem.

Kad Kredit Standard Chartered

Standard Chartered Bank Malaysia Berhad

Pihak Standard Chartered (SC) juga memerlukan anda menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan mereka di talian 1300-888-888 untuk pelanggan dalam Malaysia, atau 03-7711 8888 untuk pelanggan antarabangsa.

Pastikan anda menyediakan dokumen berkaitan untuk tambah limit kad kredit Standard Chartered anda seperti salinan pengenalan diri, bukti pendapatan, dan surat sokongan sekiranya ada.

Kad Kredit UOB

UOB United Overseas Bank Malaysia Bhd.

Seperti kebanyakan bank, United Overseas Bank (UOB) Malaysia menyediakan dua pilihan untuk pelanggan mereka menambah had kredit, iaitu tambahan kekal atau sementara.

Untuk tambah credit limit kad kredit UOB secara kekal, anda perlu muat turun Borang Permohonan, lengkapkan dan E-Mel di alamat [email protected]. Sertakan salinan 1 bulan slip gaji terkini di dalam E-Mel tersebut.

Untuk tambahan sementara pula, anda perlu menelefon UOB Call Center di talian 03-26128 121.

Kelebihan dan Keburukan Meningkatkan Had Kredit

Terdapat banyak kelebihan sekiranya anda berjaya tambah limit kad kredit anda. Kelebihan yang paling utama adalah fleksibiliti kewangan. Had kredit yang lebih tinggi akan menambah kuasa pembelian dan memudahkan anda mengurus kewangan dengan lebih fleksibel.

Tambahan pula di saat kecemasan. Had kredit yang tinggi boleh membantu anda menggunakan kelebihan ini di saat anda benar-benar memerlukan.

Menambah credit limit juga akan merendahkan nisbah penggunaan kredit, yang dikira berdasarkan baki tertunggak dan had kredit. Nisbah yang rendah boleh meningkatkan skor kredit anda pada jangka masa panjang.

Pihak institusi kewangan juga sering kali menawarkan tawaran, faedah, dan diskaun yang lebih kepada pemegang kad dengan had kredit yang tinggi.

Walau bagaimanapun, peningkatan had kredit juga datang dengan beberapa keburukan atau kelemahan.

Credit limit yang tinggi akan meningkatkan risiko boros. Ramai yang berbelanja melebihi kemampuan kerana mempunyai had yang tinggi, sekali gus menjurus kepada hutang tambahan. Hutang yang tertunggak ini menjadi semakin bertambah dengan penalti lewat bayar dan kadar faedah yang meningkat. Faktor-faktor ini boleh menjejaskan skor kredit anda secara langsung.

Kad kredit dengan had kredit yang tinggi juga sering menjadi tumpuan scammer dan penipu kad kredit. Dengan had yang tinggi, mereka boleh menggunakan kad anda dengan buat pembelian yang tinggi sebelum dikesan oleh institusi kewangan.

Oleh itu, lebih tinggi credit limit kad anda, lebih tinggi disiplin diri dan tanggungjawab anda untuk memastikan anda berbelanja dengan bijak untuk pengurusan kewangan yang sihat.

Alternatif Kepada Tambah Limit Kad Kredit

Meningkatkan had kredit kad kredit boleh dikatakan sebagai cara paling mudah untuk menambah kuasa membeli atau memberi lebih fleksibiliti. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa alternatif kepada tambah limit kad kredit. Kadang-kala alternatif ini adalah lebih baik bergantung kepada keperluan anda.

  • Guna pelan bayaran ansuran mudah. Sekiranya anda nak tambah limit hanya untuk mendapatkan barangan idaman, anda boleh menggunakan pelan bayaran ansuran mudah (Easy Payment Plan) yang didatangkan bersama kad anda. Terdapat pelan EPP yang tidak mengenakan kadar faedah (0% interest) dengan jumlah belian minimum rendah.
  • Mohon pinjaman peribadi. Pinjaman peribadi juga adalah antara alternatif kepada credit card limit increase, dengan syarat anda mohon pinjaman atau pembiayaan dengan kadar faedah terendah. Alternatif ini sesuai jika anda nak guna wang tunai dengan kadar segera. Sebagai contoh, Pinjaman Peribadi RHB boleh meluluskan pinjaman on-the-spot selepas anda hantar permohonan.

    Dapatkan maklumat lanjut berhubung Pinjaman Peribadi RHB
  • Mohon kad kredit baru. Ini adalah alternatif terakhir sekiranya anda benar-benar perlu tingkatkan had perbelanjaan bulanan kerana kaedah ini lebih banyak buruk dari baik. Kebaikan mendapatkan kad kredit tambahan adalah tambahan had kredit yang tinggi, akses kepada pulangan dan ganjaran, dan pelan kad kredit tambahan. Walau bagaimanapun, kaedah ini akan memberi kesan yang buruk kepada skor kredit anda sekiranya anda gagal mengawal perbelanjaan.

Apa pun alternatif pilihan anda, buat pilihan terbaik untuk mengelakkan anda terbeban dengan hutang kad kredit. Nilai kebaikan dan keburukan setiap kaedah dan apakah kesannya terhadap pengurusan kewangan anda.

Namun begitu, sekiranya anda pasti anda boleh mohon kad baru dan kawal perbelanjaan, and boleh guna sistem cari kad kredit yang kami sediakan untuk pilih kad terbaik berdasarkan keperluan dan kelayakan anda.

Cari dan Pilih Kad Kredit terbaik yang sesuai dengan kelayakan anda

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments