Pengurusan Kewangan Peribadi – Bukan Sekadar Simpan Duit Bawah Bantal

calendar-range
Dikirim 24/03/2022
(dikemaskini 21/12/2023)
Pengurusan kewangan peribadi

Pengurusan kewangan peribadi bukan perkara yang mudah. Ini adalah fakta dan walaupun ramai yang cakap mudah sahaja nak urus kewangan peribadi, tetapi hakikatnya – uruskan kewangan peribadi perlukan rancangan yang teliti, perlaksanaan yang bijak, dan disiplin diri yang tinggi.

Jika pengurusan kewangan peribadi mudah dilaksanakan, sudah pasti statistik terkini tidak menunjukkan lebih daripada separuh rakyat Malaysia menghadapi kesukaran untuk kelangsungan hidup di saat kecemasan. Ramai juga yang perlu mengikuti Program Pengurusan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kerana tak mampu bayar hutang. Ini semua berpunca daripada pengurusan kewangan yang tidak berhemah.

Anda tidak perlu menjadi pakar kewangan atau jutawan untuk bijak merancang kewangan. Hanya perlu tingkatkan pengetahuan kewangan anda celik kewangan, perancangan yang teliti, dan disiplin tinggi untuk menguruskan kewangan dengan berhemah.

Apakah yang dimaksudkan dengan kewangan peribadi

Maksud kewangan peribadi

Sebelum bercakap tentang pengurusan kewangan, penting kita tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kewangan peribadi. Ilmu kewangan peribadi ini sangat penting sebelum anda mula merancang kewangan.

Kewangan peribadi merujuk kepada beberapa komponen yang terlibat dalam proses merancang dan menguruskan aktiviti kewangan. Komponen-komponen ini adalah seperti sumber pendapatan, perbelanjaan, simpanan, pelaburan dan perlindungan.

Proses menguruskan kewangan ini boleh dizahirkan dengan belanjawan atau pelan kewangan individu. 

1. Sumber pendapatan

Sumber pendapatan adalah aliran tunai anda. Ini bermaksud tunai yang diterima untuk menyara kehidupan, sama ada diri sendiri atau keluarga boleh dikategorikan sebagai sumber pendapatan. Antara contoh sumber pendapatan ialah gaji, bonus, pencen, dan dividen. Contoh-contoh ini menjana tunai yang boleh diguna untuk perbelanjaan, simpanan, atau pelaburan. 

2. Perbelanjaan

Perbelanjaan pula merangkumi semua jenis bayaran, sama ada beli barang atau bayar perkhidmatan secara tunai atau hutang.

Contoh paling mudah ialah sewa rumah, bayar hutang pinjaman atau rumah, bil kad kredit, cukai, makanan, hiburan, melancong dan sebagainya.

3. Simpanan

Sumber pendapatan yang tidak digunakan untuk perbelanjaan boleh dikategorikan sebagai simpanan. Selain simpanan, lebihan tunai juga boleh digunakan untuk pelaburan. Simpanan adalah antara aktiviti kewangan yang penting dalam pengurusan kewangan peribadi.

Ini juga adalah antara kategori yang sering beri masalah kepada individu. Dalam erti kata lain, tidak ramai individu yang beri perhatian kepada simpanan.

4. Pelaburan

Pelaburan adalah belian aset yang akan menjana keuntungan dalam sesuatu jangka masa, tidak kira sama adalah jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, tidak semua pelaburan menjanjikan keuntungan.

Lebih tinggi pulangan, lebih tinggi risiko yang harus ditanggung oleh pelabur.

Antara contoh pelaburan ialah saham, bon, dana bersama, hartanah, komoditi, dan sebagainya. Pada masa sekarang mungkin membeli mata wang kripto (cryptocurrency) seperti Bitcoin atau Ethereum juga boleh dikategorikan sebagai pelaburan.

Pelaburan adalah kategori kewangan peribadi yang kompleks. Oleh itu, anda harus bijak dan buat kerja rumah terlebih dahulu sebelum melabur.

5. Perlindungan

Perlindungan pula merujuk kepada produk atau perkhidmatan yang boleh digunakan untuk melindungi diri, keluarga, aset dan sebagainya daripada perkara atau peristiwa yang tidak dijangka. 

Contoh perlindungan yang mudah ialah insurans hayat, insurans harta, insurans kesihatan, dan perancangan harta pusaka.

Komponen-komponen yang terlibat di dalam cara urus kewangan peribadi ini memainkan peranan yang penting untuk proses pengurusan kewangan.

Kepentingan pengurusan kewangan peribadi

Kepentingan memahami pengurusan kewangan

Dari penerangan di atas, sekarang anda dah tahu yang pengurusan kewangan peribadi bukan sekadar simpan duit di bank atau melabur dalam ASB. Menguruskan kewangan lebih kompleks dan perlu perancangan yang teliti.

Ini perlu kerana mengurus dan merancang kewangan adalah sangat penting untuk memastikan kehidupan yang lebih terurus dan kebebasan kewangan.

Tetapi, jika nak lebih detail, berikut ialah sebab kenapa anda perlu buat pengurusan kewangan.

Analisis pendapatan

Anda dapat menganalisis pendapatan anda dan tahu di mana anda belanjakan pendapatan anda. Perkara ini dapat menjurus kepada perbelanjaan yang lebih berhemah untuk penjimatan dalam hidup anda.

Memahami aliran tunai

Dengan merancang perbelanjaan lebih awal anda akan dapat meneliti aliran tunai. Ini sangat penting untuk pengurusan kewangan peribadi yang bijak kerana aliran tunai memastikan anda tahu daripada mana sumber pendapatan anda dan di mana ia dibelanjakan.

Memaksimumkan pelaburan

Perancangan yang teliti akan dapat memaksimumkan pelaburan anda dalam jangka masa panjang. Faktor ini boleh menentukan sama ada anda akan mencapai kebebasan kewangan atau tidak.

Jaminan masa hadapan

Memahami kepentingan untuk melindungi diri sendiri dan keluarga daripada perkara-perkara yang tidak diingini melalui perlindungan insurans dan Takaful.

Peningkatan taraf hidup

Meningkatkan taraf hidup untuk keselesaan tanpa perlu risau tentang masalah atau kepincangan kewangan yang perlu dihadapi.

Pemahaman kewangan

Dengan pengurusan kewangan peribadi, anda lebih faham tentang kewangan dan komponen yang terlibat. Sudah pasti dengan meningkatkan pemahaman kewangan akan menjurus kepada pengurusan kewangan peribadi berkesan.

Memaksimumkan simpanan

Anda akan sentiasa mempunyai wang tunai atau aset mudah cair yang boleh dicairkan pada bila-bila masa sahaja dengan pengurusan kewangan yang betul.

Faktor-faktor ini sahaja sudah cukup untuk menunjukkan kepentingan menguruskan kewangan peribadi. Dalam erti kata lain, tidak mustahil anda boleh membina kekayaan dengan pengurusan kewangan peribadi berkesan.

Tetapi jika anda ingin tingkatkan lagi motivasi untuk mula merancang kewangan, baca artikel kepentingan perancangan kewangan peribadi.

Proses merancang kewangan peribadi

Proses merancang kewangan peribadi

Anda dah tahu apa itu definisi kewangan peribadi, dan kenapa pengurusan kewangan peribadi sangat penting dalam hidup. Bahagian ini akan mengajar anda langkah-langkah proses merancang kewangan peribadi dari mula hingga tamat. 

1. Kenal pasti situasi kewangan anda.

Langkah pertama di dalam proses merancang kewangan ialah dengan mengenal pasti situasi kewangan semasa anda. Nilai dan analisis kewangan anda, dan bagaimana anda boleh mengubah situasi kewangan tersebut. 

Sebagai contoh lihat bajet bulanan anda seperti komitmen bulanan, dan belanja keluarga. Atau, pelaburan dan simpanan semasa anda. Bagaimana pula dengan hutang dan cukai yang perlu anda bayar setiap tahun?

Kenal pasti perkara-perkara ini dan senaraikan sebagai langkah pertama merancang kewangan.

2. Tetapkan matlamat kewangan

Sekiranya anda  mengenal pasti matlamat anda, lebih tinggi kebarangkalian anda akan mencapainya. Menetapkan matlamat kewangan adalah antara langkah penting dalam merancang kewangan.

Matlamat untuk setiap individu adalah berbeza, oleh itu anda perlu kenal pasti apa yang anda ingin capai dalam hidup. Tidak perlu tiru atau tetapkan matlamat seperti kawan atau kenalan anda.

Sebagai contoh, mereka yang masih bujang mungkin akan menetapkan sasaran seperti berkahwin dan mendirikan rumahtangga, membeli rumah dan hartanah, dan sebagainya.

Manakala mereka yang sudah berkahwin mungkin lebih cenderung kepada memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sewajarnya, atau rancangan selepas bersara. 

3. Susun keutamaan 

Setelah anda menetapkan matlamat atau apa yang anda ingin capai, anda harus menyusun matlamat tersebut mengikut keutamaan.

Tujuan utama proses ini adalah untuk:

  1. Membezakan apa yang anda perlu berbanding apa yang anda ingini.
  2. Pilih atau susun matlamat anda berdasarkan kepentingan. 
  3. Menyusun matlamat jangka pendek, pertengahan, dan jangka panjang.

Sebagai contoh:

  • Bebas hutang (sangat penting).
  • Simpanan hari tua (penting).
  • Simpanan untuk percutian (tidak penting).

Mungkin beberapa matlamat anda akan bertindih. Ini adalah perkara biasa dan anda harus susun matlamat-matlamat tersebut mengikut kepentingan. Apa yang penting ialah pastikan perancangan anda realistik dan sasaran boleh dicapai.

4. Pelan bajet

Apabila anda sudah menetapkan matlamat dan menyusun mengikut kepentingan, anda sudah boleh merangka pelan bajet untuk pengurusan kewangan peribadi anda. Di sini anda perlu rujuk kembali langkah 1, iaitu menilai situasi kewangan. Penting membuat bajet berdasarkan situasi kewangan anda.

Di sini saya beri contoh paling mudah untuk merangka bajet kewangan.

  1. Senaraikan perbelanjaan anda dalam tempoh 30 hari lepas.
  2. Bahagikan perbelanjaan kepada dua bahagian, iaitu perbelanjaan tetap dan tidak tetap. Perbelanjaan tetap adalah jumlah yang wajib anda keluarkan atau bayar setiap bulan. Contoh perbelanjaan tetap adalah seperti sewa rumah, insurans, pinjaman peribadi bank, pinjaman kereta, bil, bayaran bulanan secara automatik, dan sebagainya. Perbelanjaan tidak tetap pula adalah seperti barang runcit, makan luar, gunting rambut, dan sebagainya. 
  3. Nilai perbelanjaan tidak tetap anda dan kenal pasti bagaimana untuk mengurangkan perbelanjaan ini. Sebagai contoh, mungkin anda boleh kurangkan makan di luar dengan lebih kerap makan di rumah.
  4. Ketepikan jumlah yang anda jimat daripada perbelanjaan tidak tetap untuk simpanan setiap bulan. Di sini anda mungkin boleh guna formula 50/30/20, di mana 50 peratus daripada pendapatan adalah untuk keperluan asas atau perbelanjaan tetap, 30 peratus untuk perbelanjaan tidak tetap, dan 20 peratus untuk simpanan.
  5. Semak semula bajet bulanan anda dan buat perubahan di mana yang perlu.

Jangan kecewa sekiranya anda tidak dapat mencapai bajet anda. Ini adalah perkara biasa yang anda akan hadapi ketika merancang bajet dan matlamat kewangan. 

Elak “over analyzed”

Perkara ini tidak termasuk di dalam proses merancang kewangan, tetapi adalah antara kesalahan yang sering dilakukan oleh mereka yang baru berjinak-jinak dalam perancangan kewangan. 

Analisis memang perlu dalam proses ini, tetapi ada individu yang membuang masa dengan merancang dan analisa tanpa mengambil sebarang tindakan. Situasi ini dikenali sebagai lumpuh analisis (analysis paralysis).

Elakkan daripada terjebak dalam keadaan ini, di mana anda berfikir terlalu banyak dan takut untuk melaksanakan rancangan kewangan anda.

Tip bijak uruskan Kewangan Peribadi

Tip bijak uruskan kewangan peribadi

Selain daripada memahami apa yang dimaksudkan dengan pengurusan kewangan peribadi dan mengetahui bagaimana untuk merangka pelan mengurus kewangan, terdapat beberapa tip dan strategi uruskan kewangan yang boleh anda amalkan untuk memudahkan anda mencapai matlamat kewangan anda.

Rancang perbelanjaan dan buat belanjawan

Anda telah tahu proses merancang kewangan. Jadi, jangan tunggu lagi dan terus buat belanjawan peribadi dengan segera. Dengan merealisasikan pelan ada dalam bentuk hitam putih, anda akan lebih berdisiplin dan dapat mencacat rekod perbelanjaan.

Anda juga dapat menyemak rekod perbelanjaan anda dan dapat mengubahsuai belanjawan mengikut kesesuaian.

Pilih kawan

Bijak memilih kawan juga memainkan peranan dalam merancang kewangan peribadi. Manusia sangat mudah terpengaruh dengan orang sekeliling mereka. Jika anda ramai kawan yang boros berbelanja, tidak mustahil anda juga akan terpengaruh.

Pilih sahabat yang pandai menguruskan kewangan. Tidak semestinya mereka ini orang berada atau kaya, tetapi jika anda ada kawan yang sudah mencapai kebebasan kewangan (financial freedom), anda boleh belajar corak perbelanjaan mereka.

Simpan semua resit

Jika boleh simpan semua resit perbelanjaan anda. Ini akan memudahkan anda menyemak ke mana duit dibelanjakan. Amalan simpan resit ini lebih mudah pada masa sekarang kerana terdapat transaksi atas talian (online).

Dengan transaksi online, anda boleh sahaja simpan resit dalam bentuk fail digital. Lebih senang nak rujuk.

Berbelanja ikut kemampuan

Perlu ke tukar handphone baru? Perlu ke beli kasut baru semata-mata kerana ada sales sedangkan kasut lama masih boleh dipakai. Ini adalah antara punca utama ramai gagal uruskan kewangan dengan berhemah.

Hanya beli benda yang betul-betul perlu sahaja. Elakkan daripada berbelanja di luar kemampuan untuk benda yang bukannya keperluan. Imbangi antara keperluan dan kehendak.

Fikir lama sebelum berbelanja 

Sekiranya anda teringin sangat nak beli sesuatu yang di luar perancangan kewangan, berhenti seketika dan ambil masa untuk berfikir. Fikir betul-betul, ambil masa anda. Jika boleh lebih daripada seminggu sebelum beli.

Jika lepas seminggu dua anda rasakan barang tersebut benar-benar perlu dibeli, teruskan. Jika tidak, abaikan atau delete daripada shopping cart Shopee anda.

Kurangkan makan di luar

Tahu tak anda boleh jimat antara 30% hingga 50% sekiranya anda memilih untuk masak sendiri di rumah berbanding makan di luar? Tambahan lagi makan di rumah lebih sihat jika betul menunya jika dibandingkan dengan makan di luar.

Selain itu, siapa tahu berapa banyak serbuk perasa yang diletakkan atau berapa kali minyak masak diguna semula untuk menggoreng lauk di kedai-kedai makan. 

Elakkan penggunaan kad kredit

Menggunakan kad kredit memang mudah, swipe atau wave sahaja untuk bayar. Tetapi, anda sebenarnya berhutang dengan bank apabila anda menggunakan kad kredit. Tambahan lagi jika anda memiliki lebih daripada satu kad kredit.

Kadangkala kelebihan yang ditawarkan oleh kad kredit seperti pulangan tunai atau mata ganjaran menggalakkan pengguna berbelanja lebih daripada kemampuan dengan motivasi untuk mendapatkan ganjaran tersebut. 

Anda boleh memilih untuk menggunakan kad debit berbanding kad kredit.

Langsaikan semua hutang kad kredit

Jika masih perlu menggunakan kad kredit, pasti anda bayar hutang kad kredit sepenuhnya setiap bulan. Hutang kad kredit yang tertunggak adalah sangat merugikan kerana kadar faedah lebih tinggi berbanding biasa. 

Bukan sahaja anda berhutang, malah jumlah hutang yang perlu dibayar akan meningkat dan membebankan. 

Baca juga cara selesaikan hutang dengan Teknik Snowball.

Usaha untuk tingkatkan pendapatan

Ini mungkin sukar untuk dilaksanakan, tetapi tidak mustahil. Tambahan pula dengan sumber yang mudah pada masa sekarang.

Cari satu bidang yang anda minat, atau anda yakin boleh membantu anda meningkatkan atau menjana pendapatan sampingan. Kemudian tingkatkan pengetahuan dan kemahiran anda dalam bidang tersebut.

Banyak sumber atau tutorial yang boleh anda dapatkan daripada Internet – mahu atau tak mahu sahaja.

Setelah bersedia, laksanakan pelan tingkatkan pendapatan anda atau jana pendapatan sampingan, pasif untuk mengurangkan beban hidup. 

Simpan aset, bukan liabiliti

Aset merujuk kepada sesuatu perkara yang memberi keuntungan atau pulangan. Liabiliti pula adalah sesuatu yang memerlukan perbelanjaan. Contoh mudah untuk aset adalah hartanah seperti rumah atau tanah.

Beli rumah atau sewakan rumah juga termasuk dalam aset. Manakala contoh mudah untuk liabiliti ialah kereta. Jadi, tumpukan kepada pemilikan aset berbanding liabiliti untuk mengelak kebocoran kewangan.

Mula melabur jika mampu

Setelah anda melaksanakan rancangan kewangan, pendapatan semakin meningkat, kebanyakan hutang telah dilangsaikan, wang simpanan telah konsisten – anda boleh mula melabur.

Tip untuk melabur ialah dengan menggunakan pendapatan atau wang lebihan yang mampu hilang. Dalam erti kata lain, anda boleh pejam mata sekiranya pelaburan anda rugi. 

Anda juga harus faham yang semua pelaburan ada risiko. Jika skim pelaburan tersebut menjanjikan 100% keuntungan – lari jauh-jauh. Anda juga boleh variasikan pelaburan anda dengan gabungan pelaburan berisiko tinggi dan rendah, atau aktif dan pasif.

Contoh pelaburan yang paling mudah dan selamat adalah dengan unit Amanah Saham. 

Menggunakan khidmat penasihat kewangan

 Proses merancang kewangan dan mengurus kewangan peribadi bukan sesuatu yang mudah. Proses ini memerlukan perancangan yang teliti dan perlaksanaan yang konsisten. Sekiranya anda merasakan sukar untuk melaksanakan proses ini, anda boleh guna khidmat penasihat kewangan, atau financial planner.

Penasihat kewangan adalah individu profesional atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan untuk menguruskan kewangan anda. Pada artikel yang akan datang saya akan beri panduan bagaimana untuk memilih penasihat kewangan yang sesuai.

Sekiranya anda ada soalan berhubung pengurusan kewangan peribadi, jangan teragak-agak untuk bertanya pada ruangan komen di bawah.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

1 Comment
Inline Feedbacks
View all comments