Konsep Perbankan Islam – Memahami Konsep & Prinsip Yang Digunakan

calendar-range
Dikirim 09/09/2020
(dikemaskini 21/12/2023)
Konsep perbankan Islam

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perbankan Islam? Walaupun konsep perbankan Islam atau Islamic Banking telah lama diperkenalkan dan digunakan di negara kita, masih ramai yang keliru atau kurang jelas tentang konsep yang diguna pakai oleh perbankan Islamik.

Pada Entri blog kali ini saya akan cuba menjelaskan secara terperinci tentang sistem perbankan Islam, terutama yang digunakan di Malaysia.

Sejarah Perbankan Islam di Malaysia

Malaysia bukanlah nama asing di dalam amalan perbankan Islam. Terdapat banyak institusi kewangan yang mengamalkan produk dan perkhidmatan Islamik telah menerima anugerah global. Dalam erti kata lain, industri perbankan Islam di Malaysia telah matang dan diiktiraf serata dunia.

Industri kewangan Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (Lembaga Tabung Haji) pada tahun 1963. Pada tahun 1983 pula, Bank Islam pertama ditubuhkan dan pada tahun 1993 menyaksikan tertubuhnya bank komersial yang lain.

Selari dengan industri kewangan Islam yang berkembang pesat, Pihak Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan mengenai Perbankan Islam pada 1 Mei 1997. Industri ini berkembang dengan lebih pesat pada tahun 2004 di mana kerajaan membenarkan bank asing dan antarabangsa melaksanakan produk dan perkhidmatan perbankan Islam mereka di Malaysia.

Konsep Perbankan Islam

Perbankan Islam secara ringkas adalah sistem perbankan yang patuh undang-undang Islam, iaitu undang-undang Syariah.

Tujuan utama perbankan Islam di tubuhkan adalah untuk memberi alternatif dalam khidmat perbankan kepada umat Islam yang hanya mempunyai pilihan untuk menggunakan perbankan Konvensional pada masa dahulu.

Sistem Perbankan Islam (SPI) juga menjurus kepada memajukan dan meningkatkan ekonomi dan kewangan Islam dalam arena perbankan dunia.

Sistem perbankan ini mematuhi undang-undang Syariah yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan Hadis, dari segi transaksi yang dibenarkan dalam Islam iaitu fiqh muamalat.

Antara prinsip asas yang dipatuhi oleh perbankan Islamik ialah:

  1. Tidak boleh mengenakan unsur faedah (interest) yang menjurus kepada Riba.
  2. Produk dan perkhidmatan mestilah Halal dan patuh Syariah.
  3. Tidak menawarkan produk dan perkhidmatan dengan unsur-unsur Haram, Riba, Gharar, Zulm, Ikhtikar dan Maisir.

Tiada Unsur Faedah (Bunga Hutang)

Bunga hutang atau Riba adalah diharamkan dalam Agama Islam. Oleh itu perniagaan atau sistem yang patuh Syariah tidak boleh melibatkan sebarang urusan yang berunsur Riba seperti caj faedah yang jelas menjurus kepada Riba.

Jadi bagaimana pula institusi kewangan Islamik memperoleh keuntungan dan kenapa saya perlu membayar lebih untuk pinjaman sekiranya tiada caj faedah yang dikenakan?

Soalan ini adalah soalan yang sering ditanyakan kerana masih ramai yang kurang jelas dengan konsep perbankan Islam.

Sistem Perbankan Islamik (SPI) menggunakan beberapa konsep penyertaan ekuiti, atau perkongsian keuntungan untuk produk mereka. Sebagai contoh jika anda membuka akaun simpanan, keuntungan yang diterima daripada akaun tersebut akan dikongsi antara anda dan pihak bank dan diberikan sebagai dividen, atau sebagai hadiah (hibah).

Untuk pinjaman Islamik pula, pihak institusi kewangan Islamik menggunakan beberapa prinsip Syariah yang mengelakkan Riba. Prinsip-prinsip ini dijelaskan dengan lebih terperinci di bahagian Prinsip Syariah di bawah.

Mengelakkan Elemen Haram Dalam Kewangan Islam

Semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perbankan Islam mestilah halal dan patuh Syariah. Pelaburan dalam perniagaan yang mempunyai unsur haram seperti alkohol, perjudian dan sebagainya tidak dibenarkan.

Begitu juga elemen-elemen haram yang lain dalam kewangan Islam seperti aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada Gharar, Zulm, Ikhtikar dan Maisir.

Gharar

Gharar ialah satu konsep jual beli yang dilarang keras dalam Islam berdasarkan Hadis Sahih, iaitu:

“Sesungguhnya Nabi S.A.W melarang keras jual beli Gharar”

Riwayat Imam Muslim

Konsep Gharar ini adalah meluas dan tidak dapat dijelaskan secara spesifik. Para Ulama bersependapat bahawa Gharar secara umum bermaksud sesuatu yang tidak diketahui akibatnya, atau yang meragukan sehingga boleh timbul syak.

Namun begitu, para Ulama juga berpendapat tidak semua jual-beli berunsur Gharar dilarang. Seperti yang dijelaskan sebelum ini – konteks Gharar adalah sangat luas dan kompleks.

Perbincangan tentang Gharar adalah di luar skop artikel ini, dan anda boleh buat carian atau bertanya kepada mereka yang lebih arif tentang perkara ini.

Zulm

Zulm atau zulum pula merujuk kepada penindasan atau aktiviti yang kejam, zalim yang dilakukan oleh manusia. Oleh kerana Zulm dilarang di dalam Islam, perbuatan ini juga harus dielakkan dalam Sistem Perbankan Islamik.

Ikhtikar

Ikhtikar secara umum adalah menyembunyikan sesuatu. Dari sudut elemen jual beli pula, Ikhtikar lebih kepada menyembunyikan barangan untuk memperolehi keuntungan berlebihan.

Pasti anda sendiri tahu pada zaman sekarang ramai peniaga yang menggunakan Ikhtikar di dalam perniagaan mereka. Apabila ada ura-ura harga barang akan naik, ramai pembekal atau peniaga yang membeli barang tersebut dalam kuantiti yang banyak dan menyembunyikan barang tersebut dengan niat untuk menjual semula apabila harga telah naik – nak untung lebih.

Perbuatan ini adalah dilarang sama sekali dalam jual-beli Islam. Oleh itu Sistem Perbankan Islam tidak akan menggunakan segala jual-beli atau transaksi yang menjurus kepada Ikhtikar.

Maisir/Maysir

Maisir adalah aktiviti yang berunsur perjudian, di mana pertandingan atau pertaruhan antara dua pihak akan mengakibatkan kerugian kepada salah satu pihak. Maisir adalah lebih spesifik daripada Qimar.

Qimar adalah lebih umum dan merangkumi segala bentuk pertaruhan, manakala Maisir pula lebih kepada pertaruhan yang jelas menggunakan nasib daripada kemahiran.

Seperti yang anda tahu, segala bentuk perjudian adalah dilarang keras dalam Islam. Oleh itu konsep perbankan Islam akan mengelakkan aktiviti, produk dan perkhidmatan yang mempunyai unsur Maysir/Maisir.

Terdapat banyak lagi elemen-elemen dalam urusan kewangan Islam yang tidak akan saya sentuh dalam artikel ini kerana perkara tersebut lebih kepada hukum dan lebih baik dibincangkan oleh mereka yang lebih arif.

Perkara yang saya nyatakan di atas antara konsep utama atau asas yang digunakan oleh Sistem Perbankan Islam di dunia.

Prinsip Syariah Yang Digunakan Oleh Sistem Perbankan Islamik

Terdapat beberapa prinsip Syariah yang digunakan oleh perbankan Islamik. Konsep Syariah ini adalah seperti yang telah dipersetujui oleh para Ulama yang secara umum, atau badan panel institusi kewangan Islamik.

Bai’ Bithaman Ajil (BBA)

Konsep Bai’ Bithaman Ajil (BBA) merujuk kepada jualan aset atau barangan dengan harga tertangguh, atau secara mudah adalah perjanjian jual beli balik. Konsep ini adalah hampir sama dengan konsep Murabahah, tetapi bayaran semula dilakukan secara tangguh.

Dalam perbankan Islam, prinsip BBA digunakan untuk pinjaman di mana institusi kewangan membeli dahulu aset daripada pembekal atau penjual dengan harga tunai, dan menjual semual aset tersebut kepada pelanggan dengan harga belian ditambah keuntungan.

Pelanggan kemudiannya membayar balik secara tangguh dan ansuran berdasarkan tempoh yang dipersetujui antara bank dan pelanggan.

Bai’ Al-Dayn

Bai’ Al-Dayn dari segi bahasa boleh diterjemahkan sebagai jualan hutang. Dari segi kewangan Islamik pula, konsep Bai Al-Dayn pula digunakan sebagai kontrak jual beli hutang untuk produk, perkhidmatan atau perniagaan yang berlandaskan Syarak.

Cara penjualan  hak hutang ini adalah daripada pertukaran sama (ijarah, istisna’ dan sebagainya) yang berlandaskan akad.

Sebagai contoh;

  1. Ali meminjam duit Abu sebanyak RM1,000.
  2. Beberapa hari kemudian Abu pula meminjam duit Mamat sebanyak RM1,000 kerana ada urusan penting.
  3.  Abu memaklumkan kepada Mamat yang hutang beliau sebanyak RM1,000 akan dibayar oleh Ali kerana Ali telah berhutang dengan beliau.
  4. Mamat bersetuju dan Abu kemudiannya memaklumkan kepada Ali bahawa beliau perlu membayar duit RM1,000 tersebut kepada Mamat.
  5. Ali bersetuju untuk membayar semula hutangnya daripada Abu kepada Mamat.

Ini adalah antara contoh prinsip Bai Al-Dayn. Terdapat beberapa lagi kategori konsep ini yang luar skop artikel ini.

Prinsip Bay Al Dayn dibenarkan dalam aktiviti kewangan Islam asalkan tiada risiko produk atau perkhidmatan tidak diterima, hutang tersebut adalah sah dan dimiliki, dan tiada unsur Riba dah Gharar.

Bai’ Al-Inah

Konsep Bai Al-Inah atau Bai’ ‘ inah adalah prinsip perbankan Islamik yang digunakan secara meluas institusi kewangan Islamik. Konsep ini selalunya digunakan untuk pembiayaan atau pinjaman peribadi.

Bai Al-Inah secara ringkas adalah satu perjanjian atau kontrak yang melibatkan urusan jual beli semula aset oleh penjual. Penjual menjual aset kepada pembeli secara tunai dan akan membelinya semula pada harga tangguh yang lebih tinggi daripada harga jualan.

Penjual dalam konteks ini adalah institusi kewangan yang menawarkan skim pembiayaan Islamik.

Sebagai contoh;

  1. Anda buat pinjaman peribadi Islamik dengan jumlah RM10,000 daripada Bank Islamik. Bank sebagai penjual akan menjual aset, dalam situasi ini aset mungkin merujuk kepada Sijil Saham dan sebagainya. Tetapi, anda akan dapat wang tunai RM10,000 hasil dari penjualan aset tersebut.
  2. Bank kemudiannya akan membeli semula aset tersebut daripada anda pada harga tertangguh, iaitu harga yang lebih tinggi daripada RM10,000. Harga tertangguh di sini merujuk kepada tempoh pembiayaan yang anda persetujui ketika menerima aset tersebut.
  3. Perbezaan antara harga jualan (RM10,000) dan harga tertangguh yang bank beli semula dikenali sebagai kadar keuntungan (profit rate) yang dikenakan oleh Bank. Jadi anda tidak membayar sebarang caj faedah kepada bank, tetapi bank mengenakan caj keuntungan hasil dari pembelian semula aset tersebut.

Ini adalah contoh ringkas tentang prinsip ini. Sebenarnya konsep Bai’ Al-Inah adalah lebih kompleks dan masih menjadi perbalahan antara para Fuqaha’. Ada yang menyatakan konsep ini sebagai harus untuk meningkatkan ekonomi Islam, manakala ada yang tidak bersetuju sama sekali dengan aplikasi prinsip ini di dalam kewangan Islam.

Yang pasti prinsip Syariah ini adalah antara asas yang digunakan untuk institusi kewangan Islam menawarkan pelan pembiayaan kepada masyarakat.

Bai’ Al-Salam

Secara ringkas prinsip Bai’ Al-Salam dalam kewangan Islam adalah urusan jual beli dalam bentuk tempahan. Kaedah ini berlaku apabila pembeli membayar dahulu harga barang kepada penjual dan bersetuju untuk menerima barang pada tarikh yang dipersetujui oleh pembeli dan penjual.

Dalam perbankan Islam, konsep ini digunakan untuk pembiayaan terhadap barangan pertanian, atau pembiayaan berkaitan perniagaan.

Hibah

Dalam perbankan Islamik, Hibah adalah hadiah atau ganjaran yang diberikan oleh institusi kewangan Islamik kepada pelanggan mereka. Hadiah ini diberikan secara sukarela atau atas budi bicara institusi kewangan sebagai penghargaan kepada pelanggan.

Contoh yang paling mudah ialah apabila anda menggunakan akaun simpanan Islamik, anda akan diberikan hibah oleh pihak bank atas kesudian anda memberi kepercayaan kepada bank untuk menguruskan wang anda.

Bai’ Muajjal

Konsep ini merujuk kepada jualan daripada pihak penjual kepada pembeli di mana bayaran dilakukan secara sekali gus pada tarikh yang dipersetujui, atau secara ansuran dalam tempoh yang dipersetujui.

Ibra’

Ibra’ secara ringkas adalah rebat atau pengguguran daripada sebahagian atau keseluruhan tuntutan terhadap hutang (hak).

Dalam konsep perbankan Islam, institusi kewangan boleh memberi Ibra’ atau rebat kepada pelanggan mereka yang melangsaikan hutang lebih awal daripada tempoh perjanjian untuk pembiayaan tersebut.

Kemudahan rebat ini adalah bergantung sepenuhnya institusi kewangan yang terlibat.

Ijarah Thumma Al Bai’ (AITAB)

Konsep Al- Ijarah Thumma Al Bai’ atau AITAB dalam kewangan Islam adalah perjanjian sewa beli. Boleh dikatakan hampir kesemua institusi kewangan Islamik di Malaysia seperti bank menawarkan pembiayaan yang berlandaskan konsep AITAB pembiayaan kenderaan.

Kaedah yang digunakan adalah sama, iaitu;

  1. Pelanggan ingin membeli kereta dan memohon pembiayaan Al-Ijarah daripada bank.
  2. Permohonan diluluskan dan bank kemudiannya membeli kereta tersebut daripada penjual.
  3. Bank memajakkan/memberi sewa kereta tersebut kepada pelanggan dengan bayaran ansuran  (sewa Ijarah) dan tempoh bayaran semula yang telah dipersetujui.

Dalam kaedah ini, terdapat dua kontrak yang terlibat, iaitu kontrak Bai’ (jual beli)  dan kontrak Ijarah (pajakan/memberi sewa).

Prinsip sewa beli dalam kewangan Islam ini mematuhi Akta Sewa Beli 1967 yang telah digariskan untuk semua perjanjian sewa beli di Malaysia.

Istisna

Istisna’ adalah kontrak transaksi jual beli di mana penjual atau pengeluar bersetuju untuk menyiapkan pembuatan atau penghasilan aset berdasarkan kepada spesifikasi yang dipersetujui oleh pembeli. Cara pembayaran adalah dalam bentuk pendahuluan dan ansuran, dan ini perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak, iaitu penjual dan pembeli.

Konsep ini digunakan secara meluas dalam perbankan Islam untuk transaksi yang melibatkan pembinaan seperti bangunan, rumah kediaman dan juga industri pembuatan seperti pembinaan kapal terbang, mesin dan sebagainya.

Kafalah/Dhamanah

Kafalah secara ringkas merujuk kepada kontrak jaminan atau tanggungan. Kafalah berlaku apabila penjamin memberi jaminan kepada pihak ketiga atas kewajipan yang harus ditunaikan oleh pihak yang ditanggung atau dijamin.

Contoh termudah adalah apabila seseorang individu menjamin penghutang dalam proses membayar hutangnya kepada pemiutang (bank). Sekiranya penghutang gagal membayar hutangnya kepada pemiutang, penjamin perlu membayar hutang tersebut bagi pihak penghutang.

Selain jaminan harta, jaminan yang tidak melibatkan harta seperti jaminan terhadap diri penjamin juga tergolong di dalam konsep ini.

Konsep Kafalah ini juga dikenali sebagai dhamanah. Kafalah amat digalakkan oleh Islam sebagai perbuatan yang mulia.

Mudarabah/Mudharabah

Mudarabah adalah konsep yang sering digunakan dalam perbankan Islam. Prinsip Mudharabah merujuk kepada perjanjian atau aturan di antara pemberi modal dan peniaga/usahawan.

Pemberi modal akan menyediakan modal kepada peniaga/usahawan untuk sesuatu projek atau perniagaan. Keuntungan yang terhasil daripada perniagaan atau projek tersebut akan dikongsi bersama antara pemberi modal dan peniaga/usahawan. Jumlah perkongsian ini adalah jumlah yang dipersetujui antara kedua-dua pihak.

Walaupun keuntungan dikongsi bersama, kerugian adalah ditanggung sepenuhnya oleh pemberi modal.

Muqasah

Konsep Muqasah yang digunakan dalam perbankan Islam boleh dijelaskan sebagai rebat, atau pengurangan keuntungan untuk pihak pemberi hutang. Muqasah boleh dikategorikan sama seperi Ibra’, tetapi sedikit berbeza.

Sekiranya untuk Ibra’ pihak pemberi hutang akan memberi pelepasan hutang, Muqasah pula adalah pengurangan hutang.

Sebagai contoh jika pihak pemiutang ingin menyelesaikan hutang lebih awal daripada tempoh perjanjian, pihak pemberi hutang akan memberi rebat atau pengurangan terhadap baki hutang yang tinggal.

Murabahah

Murabahah merujuk kepada urusan atau kontrak jual beli antara penjual dan pembeli di mana harga kos dan keuntungan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Dalam prinsip Murabaha, penjual perlu memaklumkan kepada pembeli harga kos, dan berapakah keuntungan yang diperolehi daripada jualan tersebut.

Konsep perbankan Islam ini membolehkan pelanggan buat pembelian tanpa perlu buat sebarang pinjaman. Pembeli kemudiannya akan membayar semula pembiayaan dalam bentuk bayaran bulanan (Bai-Muajjal atau Bai’ Bithaman Ajil).

Musawamah

Seperti juga konsep Murabahah, Musawamah merujuk kepada kontrak jual beli antara penjual dan pembeli. Walau bagaimanapun, dalam transaksi Musawamah, penjual tidak perlu memaklumkan harga kos dan margin keuntungan kepada pembeli.

Konsep ini tidak boleh digunakan oleh penjual untuk mengaut keuntungan berganda. Tetapi, hanya boleh digunakan sekiranya penjual sendiri tidak dapat menentukan kos sebenar produk atau perkhidmatan yang ingin dijual.

Musyarakah

Musyarakah merujuk kepada perkongsian di dalam perdagangan atau perniagaan. Dalam konsep ini, keuntungan yang diperolehi daripada perniagaan akan dikongsi bersama oleh setiap rakan kongsi berdasarkan nisbah keuntungan yang telah dipersetujui oleh setiap rakan kongsi.

Jika berlaku kerugian pula, nisbah kerugian yang ditanggung pula akan dibahagikan berdasarkan nisbah pelaburan/modal yang dilaburkan oleh setiap rakan kongsi.

Qard

Juga dikenali sebagai Qard Al-Hasan atau Qadrul Hasan adalah kontrak pinjaman untuk tujuan kebajikan, dan dalam masa yang sama memenuhi keperluan kewangan peminjam.

Dalam kontrak ini, pemberi pinjaman perlu ikhlas dalam memberikan pinjaman dan tidak boleh mengenakan riba. Walau bagaimanapun, peminjam boleh membayar lebih daripada jumlah yang dipinjam sebagai penghargaan kepada pemberi pinjaman.

Rahn

Rahn secara ringkas adalah pajak gadai Islam, atau merujuk kepada cagaran atau gadaian dalam bentuk kontrak. Tujuan utama konsep ini ialah untuk membantu peminjam mendapat pembiayaan dengan menjadikan aset sebagai jaminan kepada pembiayaan tersebut.

Aset tersebut selain bertindak sebagai jaminan, boleh berfungsi sebagai bayaran kepada pembiayaan yang diterima sekiranya peminjam tidak lagi mampu untuk melunaskan bayaran yang telah dipersetujui.

Sukuk

Sukuk adalah sijil kewangan Islam. Konsep sijil kewangan di dalam Islam berasaskan kepada bon di dalam kewangan barat. Perkataan “Sukk” itu sendiri bermaksud sijil, dokumen atau instrumen bertulis di dalam Bahasa Arab

Walau bagaimanapun, Sukuk mematuhi undang-undang Syariah berbanding bon di dalam kewangan konvensional. Dalam erti kata lain, tidak ada unsur-unsur bon di dalam kewangan konvensional seperti elemen spekulasi, hutang, riba, perjudian dan keuntungan.

Takaful

Takaful adalah konsep Insurans di mana peserta yang menyertai skim Takaful bersetuju untuk menyumbang dana atau wang kepada peserta-peserta lain sekiranya diperlukan.

Produk insurans yang berasaskan Takaful adalah berlandaskan Syariah yang menggalakkan individu untuk sama-sama tolong-menolong dan bantu-membantu kepada mereka yang memerlukan sumbangan.

Konsep insurans Takaful diperkenalkan sebagai alternatif kepada insurans konvensional yang mengandungi unsur-unsur yang diharamkan di dalam Islam.

Tawarruq

Tawarruq juga dikenali sebagai Komoditi Murabahah adalah konsep jual beli aset secara Murabahah atau Musawamah daripada penjual kepada pembeli. Aset atau komoditi tersebut dijual secara tunai kepada pihak ketiga untuk mendapatkan tunai.

Konsep Tawarruq digunakan apabila konsep perbankan Islam yang lain tidak dapat digunakan transaksi jual beli. Sebagai contoh konsep ini digunakan secara meluas untuk produk perbankan Islam seperti pembiayaan peribadi Islamik dan kad kredit Islamik.

Ujrah

Ujrah secara ringkas adalah upah, gaji, komisen atau yuran yang dikenakan atau diberikan untuk sesuatu perkhidmatan yang disediakan.

Konsep Ujrah digunakan dalam produk kad kredit Islamik di Malaysia, terutama untuk program pendahuluan tunai (Cash Advance). Dalam situasi ini, pemegang kad kredit Islamik tidak akan dikenakan caj faedah, tetapi dikenakan bayaran untuk perkhidmatan dan keistimewaan yang disediakan oleh pihak bank.

Wadi’ah/Wadiah

Konsep Wadiah digunakan dalam produk akaun simpanan, khidmat pemegang amanah, dan peti simpanan deposit.

Konsep ini membenarkan individu mendeposit dana dalam bentuk wang tunai atau sebarang aset kepada institusi kewangan Islamik. Institusi kewangan pula berperanan sebagai penyimpan atau pemegang amanah untuk dana tersebut.

Antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh institusi kewangan yang mengamalkan perbankan Islam ialah:

  • Pendeposit berhak mengeluarkan wang atau aset pada bila-bila masa sahaja dan institusi kewangan/bank perlu menjamin wang atau aset tersebut akan dipulangkan kepada pendeposit.
  • Institusi kewangan/bank mungkin akan mengenakan sedikit caj atau fi sebagai upah menjaga wang atau aset tersebut.
  • Institusi kewangan/bank akan memberikan hadiah (hibah) kepada pendeposit jika perlu sebagai menghargai kesudian pendeposit memberi kepercayaan dan membenarkan penggunaan dana tersebut (atas budi bicara institusi kewangan).

Wakalah

Wakalah secara ringkas adalah kontrak di mana satu pihak mewakilkan atau memberi kuasa kepada satu pihak yang lain untuk melaksanakan tugasan tertentu yang patuh Syariah, secara sukarela atau dengan imbuhan/upah.

Konsep ini diaplikasikan secara meluas oleh bank yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islamik. Dalam situasi ini, pelanggan melantik pihak bank sebagai wakil untuk melakukan urus niaga atau perkhidmatan yang dipersetujui. Bank kemudiannya akan menerima upah dengan jumlah yang dipersetujui setelah selesai perkhidmatan tersebut.

Kesimpulan

Terdapat banyak lagi konsep yang digunakan di dalam industri kewangan Islam. Konsep-konsep yang saya senaraikan di atas adalah konsep yang sering digunakan dalam produk dan perkhidmatan sistem kewangan Islam.

Baca juga Perbezaan Sistem Perbankan Islamik dan Sistem Perbankan Konvensional.

Jangan teragak-agak untuk bertanya jika terdapat sebarang kemusykilan pada ruangan komen di bawah.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

6 Comments
Inline Feedbacks
View all comments