Keselamatan Kad Kredit dan Kad Debit – Elak Jadi Mangsa Penipuan

calendar-range
Dikirim 27/04/2024
(dikemaskini 08/05/2024)
Keselamatan kad kredit dan kad debit

Kad kredit dan kad debit menawarkan kemudahan untuk membeli-belah dan menguruskan kewangan. Walau bagaimanapun, kemudahan ini juga datang dengan risiko penipuan kad. Di Malaysia, penipuan kad kredit semakin meningkat setiap tahun. Jadi, adalah penting untuk anda meningkatkan ilmu berkaitan keselamatan kad kredit dan kad debit.

Peningkatan Kes Penipuan Kad Kredit

Walaupun tidak terdapat statistik khas yang menunjukkan peningkatan kes penipuan kad kredit, akhbar-akhbar utama sering memaparkan berita berkaitan kerugian yang dialami akibat daripada kes penipuan berkaitan kad kredit.

Malah pihak CTOS sendiri telah mengesan kebocoran sehingga 335,000 maklumat peribadi pada penghujung tahun 2023, di mana sebahagian besar daripada maklumat ini adalah butiran kad kredit dan kad debit.

Berita-berita ini menunjukkan betapa pentingnya anda mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan, sama ada kad kredit mahupun kad debit.

Jenis Penipuan Kad Kredit / Debit

Antara jenis penipuan kad kredit yang semakin berleluasa ialah:

  • Phishing – Scammer menghantar E-Mel atau SMS palsu untuk mencuri maklumat kad kredit mangsa.
  • Skimming – Scammer menggunakan alatan khas yang dipasang pada mesin ATM, CDM, terminal, atau kiosk untuk mendapatkan maklumat kad kredit atau kad debit.
  • Panggilan Palsu – Penipu menelefon mangsa dan menyamar sebagai bank atau pengeluar kad kredit dan meminta maklumat kad kredit/debit mangsa.
  • Card Not Present (CNP) – Scammer menggunakan maklumat kad yang dicuri daripada mangsa untuk melakukan transaksi CNP. Transaksi Card Not Present tidak memerlukan kehadiran pemegang kad, contohnya untuk transaksi dalam talian.

Jika anda berminat untuk tahu lebih lanjut tentang taktik penipuan yang digunakan oleh penjenayah, baca artikel Penipuan Kad Kredit.

Langkah Keselamatan Kad Kredit dan Kad Debit

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk memastikan keselamatan kad kredit dan kad debit anda.

Langkah Keselamatan Penerangan
Aktifkan Two-Factor Autenthication (2FA)2FA meningkatkan keselamatan dengan keperluan untuk memasukan kod pengesahan tambahan di samping nombor PIN, terutamanya untuk transaksi dalam talian.
Berhati-hati dengan transaksi tanpa sentuh (contactless payment)Walaupun menggunakan transaksi tanpa sentuh lebih mudah, elakkan jika boleh, terutamanya di tempat yang sesak. Scammer boleh mencuri maklumat kad anda dengan alatan elektronik khas apabila anda buat transaksi tersebut.
Jangan kongsi maklumat kad secara dalam talianPedagang dan peniaga yang sah tidak akan meminta maklumat penuh kad kredit atau kad debit anda menerusi telefon atau secara dalam talian. Berhati-hati juga dengan teknik phishing yang dijelaskan sebelum ini.
Lindungi diri daripada penipuan onlineJangan klik pautan yang mencurigakan atau muat turun attachment yang disertakan di dalam E-Mel atau media sosial, terutama daripada penghantar yang tidak dikenali. Buat pengesahan terlebih dahulu terhadap laman web sebelum mengisi maklumat kad anda.
Semak penyata kad kredit atau transaksi kad debitSentiasa semak penyata kad kredit dan transaksi kad debit anda. Langkah ini boleh membantu mengenal pasti transaksi palsu dengan lebih awal.
Tetapkan had transaksi pada kad debitAnda boleh menetapkan had maksimum untuk setiap transaksi kad debit anda. Kebanyakan bank menawarkan fungsi ini menerusi sistem perbankan online mereka.
Laporkan caj yang mencurigakanSekiranya anda mendapati terdapat caj yang mencurigakan pada penyata kad kredit atau transaksi kad debit anda, laporkan dengan segera kepada pihak Bank.
Jadual: Langkah keselamatan kad kredit dan kad debit

Ciri-Ciri Keselamatan Kad Kredit

Ciri keselamatan kad kredit

Pengeluar kad kredit sentiasa membina ciri-ciri terbaru untuk meningkatkan keselamatan kad kredit dan kad debit, serta melindungi pengguna daripada penipuan. Berikut ialah antara ciri umum yang boleh melindungi kad anda.

  • Teknologi EMV – Cip EMV adalah sebuah pemproses yang dimasukkan ke dalam kad kredit. Cip ini akan menjana kod unik bagi setiap transaksi kad. Penggunaan teknologi ini menyukarkan penipu untuk menyalin maklumat kad walaupun mereka berjaya mencuri kad kredit tersebut. Teknologi ini telah menjadi standard utama untuk transaksi chip-and-PIN dan digunakan oleh Europay, MasterCard, dan Visa.
  • 3D Secure – Ciri ini menambah lapisan keselamatan tambahan untuk transaksi kad dalam talian. Apabila anda melakukan transaksi dalam talian di laman web yang menyokong ciri 3D secure, anda akan diminta untuk memasukkan one-time-password (OTP) untuk mengesahkan transaksi tersebut. Ciri ini juga dikenali sebagai Verified by Visa dan MasterCard SecureCode.
  • Perlindungan Pembelian – Banyak kad kredit yang datang dengan perlindungan pembelian (purchase protection) bersama kad mereka. Ciri ini melindungi pembelian anda dan akan mengganti atau menanggung kos pembelian sekiranya barang hilang, rosak, atau berlaku penipuan. Ada kad yang hanya melindungi pembelian dalam talian sahaja.
  • Amaran Penipuan – Sesetengah bank menawarkan makluman penipuan serta-merta melalui SMS atau E-Mel. Makluman ini akan memaklumkan sebarang aktiviti yang mencurigakan seperti transaksi dalam jumlah yang besar di luar negara. Ciri keselamatan kad kredit ini memudahkan anda untuk menghubungi pihak bank dan melaporkan aktiviti tersebut.

Dengan memahami dan menggunakan ciri-ciri keselamatan ini, anda boleh mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan, dan menggunakan kad anda dengan lebih yakin. Jika anda ingin tahu lebih lanjut teknologi keselamatan kad kredit, baca artikel Ciri Keselamatan Kad Kredit Terbaru.

Penting untuk anda memilih kad yang sesuai dengan tabiat berbelanja dan ciri keselamatan yang anda ingini. Kami telah menyediakan Sistem Cari Kad Kredit untuk memudahkan anda buat pilihan kad kredit terbaik berdasarkan kelayakan dan keperluan anda.

Langkah Keselamatan Tambahan

Selain daripada langkah keselamatan yang dinyatakan pada jadual di atas, terdapat juga langkah-langkah tambahan yang boleh anda amalkan untuk meningkatkan keselamatan kad kredit dan kad debit anda.

  • Simpan kad di tempat yang selamat – Hanya bawa kad yang perlu sahaja untuk berbelanja.
  • Jangan tulis nombor pin di kad atau CVV/CSC di tempat lain.
  • Buat laporan segera kepada pengeluar kad/bank sekiranya kad anda hilang atau dicuri. Maybank mempunyai ciri Kill Switch yang membolehkan anda menyekat kad serta-merta melalui sistem perbankan online Maybank2u. Laman web Kill Switch Maybank.

Melindungi maklumat kad kredit dan kad debit anda adalah sangat penting. Dengan mengikuti langkah-langkah yang dinyatakan di atas, sentiasa berwaspada, dan memahami jenis penipuan kad kredit, anda akan dapat mengurangkan risiko kerugian.  

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments