Permohonan Pinjaman Peribadi Tidak Diluluskan Bank? – Ini Antara Sebab Utama

calendar-range
Dikirim 07/03/2018
(dikemaskini 21/12/2023)
Permohonan pinjaman peribadi tidak diluluskan

Maaf, permohonan pinjaman peribadi anda tidak diluluskan. Ini adalah ayat yang sangat mengecewakan. Tambahan lagi jika kita betul-betul nak pakai duit, dan sedang terdesak.

Tahu tak menurut statistik semasa, lebih dari 50% permohonan pinjaman peribadi ditolak oleh pihak bank di Malaysia.

Kenapa permohonan pinjaman anda ditolak? Apakah faktor-faktor utama yang menyebabkan pinjaman peribadi tidak diluluskan? Tip pinjaman peribadi kali ini akan menjawab soalan-soalan ini.

9 Sebab Utama Permohonan Pinjaman Peribadi Tidak Diluluskan

Berikut ialah antara sebab utama bank menolak permohonan pinjaman peribadi anda. Baca sampai habis supaya anda faham dan kenal pasti kekurangan yang perlu anda baiki sebelum cuba memohon pinjaman peribadi bank.

sms permohonan pinjaman peribadi tidak diluluskan
SMS dari bank permohonan ditolak – tekanan!

Blacklist CTOS/AKPK/SAA

Ini adalah faktor utama yang dijamin akan buat permohonan pinjaman peribadi anda ditolak bulat-bulat oleh semua bank di Malaysia. Jika anda telah disenaraihitamkan oleh pihak bank, tak perlu anda cuba mohon pinjaman peribadi bank, atau sebarang pinjaman bank. Permohonan anda pasti akan ditolak oleh pihak bank.

Ada pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa boleh bantu anda mendapatkan pinjaman bank walaupun anda telah ada dalam senarai blacklist bank. Ini adalah penipuan atau scam.

Mereka mendakwa mempunyai hubungan di bank dan boleh meluluskan pinjaman peribadi anda walaupun anda disenaraihitam oleh bank. Modus operandi mereka ialah mereka akan minta anda membayar caj deposit atau bayaran upfront untuk servis mereka. Secara jelas ini adalah taktik menipu untuk mendapatkan wang anda. Elakkan jika anda bertemu dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ni.

Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes terdapat bank yang boleh “kautim” walaupun rekod anda CTOS atau CCRIS anda tak cantik. Sebagai contoh anda disenaraihitamkan (blacklist) oleh syarikat yang tidak terlibat dengan bank pada rekod CTOS anda. Ini termasuk syarikat telekomunikasi (telco), kedai motor, dan sebagainya.

Asalkan blacklist anda bukan dengan pihak bank atau institusi kewangan lain di Malaysia seperti koperasi, terdapat Institusi Kewangan yang boleh pertimbangkan permohonan anda.

Begitu juga dengan rekod CCRIS. Ada bank yang boleh pertimbangkan jika rekod CCRIS anda mempunyai tunggakan yang tak lebih dua bulan. Tetapi ini juga masih bergantung kepada faktor lain seperti jumlah gaji anda dan komitmen bulanan anda.

Klik di sini untuk lihat pinjaman peribadi yang boleh anda mohon walaupun anda ada rekod CTOS/CCRIS

Bagaimana pula jika anda ada Special Attention Account (SAA) pada rekod CCRIS? SAA atau akaun di bawah pemerhatian khas menyukarkan permohonan anda untuk lulus.

Peserta Program Pengurusan Kredit (PPK) di bawah kelolaan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga sukar untuk mohon pinjaman peribadi, atau sebarang pinjaman seperti pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan. Ini kerana mereka yang sedang mengikuti program ini sudah jelas mempunyai masalah kewangan dan memerlukan bantuan dalam menguruskan kredit mereka.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa Institusi Kewangan yang masih menerima permohonan dari mereka yang dibawah pemantauan AKPK.

Klik di sini untuk lihat pinjaman peribadi yang boleh anda mohon walaupun anda sedang mengikuti Program Pengurusan Kredit AKPK

Salah Pilih Bank Untuk Mohon Pinjaman Peribadi

Lain bank, lain syarat memohon yang dikenakan. Kami sering menerima soalan seperti “Apa syarat-syarat untuk nak mohon pinjaman peribadi bank?”. Soalan ini terlalu umum dan jawapan kami ialah “Bergantung kepada jenis pinjaman dan jenis bank”.

Pada masa sekarang kebanyakan bank di Malaysia menawarkan dua atau lebih jenis pinjaman peribadi. Itu tak termasuk kategori bercagar atau tidak bercagar. Setiap pinjaman peribadi ini mempunyai syarat kelayakan yang berbeza.

Sebagai contoh, pinjaman peribadi AEON iCash dan CIMB Xpress Cash hanya memerlukan kelayakan gaji bersih RM800 ke atas. Tetapi CIMB Cash Plus pula memerlukan pemohon mempunyai gaji kasar RM2,000 ke atas. Ada juga pinjaman peribadi dari CIMB, pinjaman bercagar yang hanya dikhususkan untuk kakitangan awam.Tetapi, walaupun gaji bersih anda RM900 (contoh), ini tidak bermakna dengan mudah anda akan lulus jika memohon pinjaman peribadi AEON iCash.

Terdapat banyak lagi faktor yang bank tengok sebelum meluluskan permohonan pinjaman peribadi anda.

Tempoh Bekerja Kurang Dari 6 Bulan

Berapa lama anda dah bekerja? Bank memerlukan sekurang-kurangnya 6 bulan tempoh bekerja minimum. Ini untuk mengelakkan mereka yang baru bekerja terlibat dalam membuat pinjaman yang akan membebankan diri sendiri pada masa hadapan.

Jika tempoh bekerja anda kurang dari 6 bulan dan anda cuba memohon pinjaman peribadi, sesetengah bank mungkin akan menerima permohonan anda. Tetapi kemungkinan besar permohonan anda akan ditolak oleh bank terbabit selepas diproses.Ini bukan sahaja merugikan masa anda, tetapi juga mempengaruhi rekod anda di Bank Negara Malaysia (BNM).

Jadi, jika anda baru bekerja dan ingin memohon pinjaman peribadi dengan bank, tunggu dahulu. Tempoh kerja kurang dari 6 bulan adalah antara sebab utama permohonan pinjaman peribadi tidak diluluskan.

Jenis Pekerjaan Tidak Sesuai Dengan Jenis Pinjaman Yang Dimohon

Jenis pekerjaan juga memainkan peranan penting apabila memohon pinjaman peribadi. Terdapat kategori pekerjaan yang diletakkan sebagai pekerjaan berisiko tinggi oleh bank.Ini termasuk polis, tentera atau pegawai keselamatan bersenjata.

Terdapat juga bank yang meletakkan pekerjaan off-shore seperti bekerja di pelantar minyak sebagai pekerjaan berisiko tinggi. Tidak semua bank menerima permohonan bagi mereka yang diletakkan dalam kategori pekerjaan berisiko tinggi.

Oleh itu semak dulu bank mana yang menerima jenis pekerjaan anda sebelum memohon. Begitu juga antara pekerja sektor awam dan sektor swasta. Terdapat bank yang menyediakan pembiayaan peribadi khas untuk pekerja sektor awam, dan sebaliknya.

Selalunya pembiayaan peribadi untuk kakitangan kerajaan adalah pinjaman peribadi bercagar, di mana pemohon boleh meminjam dengan jumlah yang lebih tinggi dan jangka masa bayaran balik yang lebih lama berbanding pinjaman peribadi tak bercagar.

Jadi untuk anggota Polis atau Tentera, lebih sesuai jika anda memohon pinjaman peribadi bercagar (potongan slip gaji) daripada anda memohon pinjaman peribadi tidak bercagar.

Skor Pemarkahan Yang Rendah

Setiap bank mempunyai sistem yang digunakan untuk melakukan analisis terhadap pemohon. Sistem ini dinamakan sistem skor pemarkahan.Setelah maklumat permohonan pinjaman peribadi anda dimasukkan ke dalam sistem ini, sistem akan melakukan “profiling” terhadap butiran peribadi anda.

Selalunya sistem akan mengira faktor-faktor seperti umur, tempat tinggal, tahap pendidikan, status perkahwinan, rekod kerja, dan sebagainya.Jika sistem mengeluarkan output yang rendah, besar kemungkinan permohonan pinjaman peribadi anda akan ditolak oleh bank.

Jika anda bertanya kepada pegawai pinjaman (loan officer) yang menguruskan pinjaman anda, beliau Cuma akan memberikan jawapan pinjaman anda ditolak kerana anda “fail score (fs)”.Ini bermaksud sistem menganggap anda tidak layak untuk mendapatkan pinjaman peribadi dari bank yang terlibat.

Skor Kredit Yang Rendah

Skor kredit adalah berbeza dengan skor pemarkahan. Jika skor pemarkahan melakukan analisa terhadap faktor peribadi, skor kredit pula mengambil kira rekod pembayaran balik anda terhadap semua pinjaman anda.

Dalam erti kata lain, skor kredit bergantung sepenuhnya kepada laporan CCRIS anda. Skor ini sangat penting kerana daripada skor kredit ini bank akan menentukan bagaimana anda menguruskan kewangan anda.

Walau bagaimanapun, cara bank tentukan skor kredit anda adalah berbeza antara bank – seperti juga sistem skor pemarkahan.Walau bagaimanapun, berikut adalah antara kriteria utama yang dinilai oleh bank pada CCRIS anda

  • Tiada rekod dalam CCRIS (tiada komitmen tidak semestinya senang lulus).
  • Rekod Kad Kredit seperti penggunaan, status lebih had dan pendaftaran.
  • Pembayaran balik pinjaman yang sedia ada dalam tempoh 6 bulan lepas.

Kriteria-kriteria ini, dan beberapa kriteria lain akan menentukan sama ada bank berani mengambil risiko untuk meluluskan pinjaman peribadi anda atau tidak.

Jika anda berminat nak ambil tahu lebih lanjut tentang skor kredit anda, baca Panduan Lengkap Skor Kredit yang telah saya tulis. Panduan 3000 patah perkataan lebih ini mungkin panjang, tetapi selepas anda habis baca anda akan lebih peka terhadap skor kredit anda dan akan tahu bagaimana skor kredit befungsi.

Rekod Kredit Yang Buruk

Rekod kredit tak sama dengan skor kredit. Anda boleh mendapat skor kredit yang tinggi, namun jika rekod kredit anda buruk – pinjaman anda akan ditolak.

Rekod ini diperlukan oleh bank untuk buat ramalan terhadap sikap anda membayar balik pinjaman.Apa yang dimaksudkan dengan rekod kredit ialah rekod pembayaran pinjaman anda.  Berapa kali anda pernah terlepas bayar untuk pinjaman-pinjaman anda. Jika lebih dari tiga kali dalam tempoh enam bulan, harapan untuk lulus ialah tipis.

Tambahan lagi jika anda ingin memohon personal loan di bank yang sama di mana anda mempunyai rekod kredit yang buruk. Jadi sangat penting untuk anda pilih pinjaman peribadi dengan bank yang sesuai berdasarkan rekod anda.

Nisbah Pembiayaan Hutang/Debt Service Ratio (DSR)

Nisbah hutang atau Debt Service Ratio (DSR) juga adalah salah satu faktor penting yang boleh menentukan permohonan pinjaman peribadi anda. Secara ringkas, DSR dikira berdasarkan jumlah semua hutang/komitmen bulanan anda. Komitmen-komitmen ini termasuk pinjaman peribadi bank, pinjaman kereta, pinjaman rumah, gadai janji, kad kredit, dan juga pinjaman lain jika ada.

Jumlah pinjaman ini kemudiannya dibahagikan dengan pendapatan bersih terkini anda. Setiap bank mempunyai nilai potongan nisbah pembiayaan hutang yang berbeza. Ada bank yang meletakkan had serendah 60%. Dan ada pula bank yang meletakkan nilai DSR sehingga 80%.

Dokumen Yang Tidak Lengkap Dan Menyedihkan

Menyediakan dokumen untuk diproses oleh bank ketika memohon pinjaman peribadi bank sangat penting. Dari dokumen-dokumen inilah bank akan menentukan sama ada pendapatan anda stabil atau tidak, dan adakah bank sanggup menanggung risiko untuk meluluskan permohonan pinjaman peribadi anda.

Ramai pemohon yang tidak sedar akan kepentingan dokumen yang jelas untuk kegunaan permohonan pinjaman peribadi bank. Daripada pengalaman kami sendiri yang menguruskan permohonan pinjaman – rata-rata pemohon memberikan dokumen yang tidak lengkap dan tidak jelas.

Ini menyukarkan bank untuk memproses permohonan pinjaman peribadi pemohon.Tidak menghairankan juga jika ramai yang cuba menipu permohonan dengan memberikan dokumen palsu. Selalunya slip gaji pendapatan. Ini adalah kerja bodoh dan tidak menguntungkan anda sama sekali.

Dokumen yang diperlukan oleh pihak bank juga berbeza mengikut jenis bank, dan juga jenis pendapatan. Sebagai contoh untuk kakitangan kerajaan, ada bank yang perlukan salinan pendapatan tahunan (EA/EC Form), dan ada bank yang tidak.

Mohon Jumlah Pinjaman Yang Tak Masuk Akal

Ini juga adalah antara sebab utama yang menyebabkan permohonan pinjaman peribadi anda ditolak oleh pihak bank. Selalunya jumlah yang boleh lulus untuk pinjaman peribadi bank tak bercagar (unsecured personal loan) adalah antara 8 hingga 12 kali ganda pendapatan pemohon. Pendapatan ini boleh dikira dari gaji kasar mahupun gaji bersih – bergantung kepada syarat kelayakan yang diletakkan oleh bank untuk pinjaman tersebut.

Contohnya jika jumlah pendapatan anda setelah ditolak komitmen bulanan (jika ada) adalah RM1,000, jumlah yang mungkin diluluskan bank ialah antara RM8,000 hingga RM12,000 sahaja. Jadi, jika pendapatan anda RM1,000 tetapi anda mohon jumlah pinjaman sehingga RM50,000 – agak-agak anda bank nak luluskan ke tak?

Jika anda lihat pada carta bayaran balik kebanyakkan pinjaman peribadi tak bercagar, untuk pinjaman RM50,000, bayaran bulanan ialah RM1,xxx setiap bulan untuk 60 bulan tempoh pinjaman. Jadi bagaimana bank nak luluskan jika gaji bersih anda tak cukup nak bayar bayaran balik setiap bulan?

Ramai yang bagi alasan saya ada pendapatan tambahan setiap bulan seperti jual burger, rumah sewa, berniaga pasar malam dan sebagainya. Malangnya pendapatan tambahan ini tidak boleh digunakan sebagai sokongan untuk permohonan pinjaman peribadi bank tak bercagar anda. Ini kerana bank hanya melihat kepada maklumat pendapatan yang tertera di slip gaji anda.

Walau bagaimanapun, jika anda kakitangan kerajaan dan mempunyai elaun atau claim yang konsisten setiap bulan (minimum 3 bulan), anda boleh gunakan maklumat ini sebagai sokongan untuk meningkatkan peluang lulus anda.

Terlalu Kerap Mohon Pinjaman

Anda jangan terkejut jika saya beritahu ada individu yang tiap-tiap minggu mohon pinjaman peribadi. Kadang-kadang tu hari ni kena reject, esok tu nak mohon semula. Kalau ada yang masih tak tahu – ini adalah antara faktor utama yang buatkan permohonan pinjaman peribadi anda ditolak bulat-bulat.

Selalunya jumlah permohonan maksimum akaun kredit yang boleh anda mohon dalam tempoh 12 bulan ialah 3 kali permohonan. Tidak kisah lah permohonan pinjaman peribadi, kad kredit, gadai-janji mahupun sewa-beli. Anda hanya boleh mohon 3 kali sahaja dalam tempoh 12 bulan. Anda boleh mohon lebih, institusi kewangan tak akan halang anda – tetapi jangan harap permohonan anda akan diluluskan. Tambahan pula amalan terlalu kerap mohon kredit ini akan menjejaskan skor kredit anda.

Setiap kali anda mohon akaun kredit (pinjaman, kad kredit dan sebagainya), lulus atau tidak, maklumat tersebut akan direkodkan oleh CCRIS. Perkara ini akan mempengaruhi penilaian kredit anda.

Oleh kerana itu saya sering nasihatkan mereka yang ingin mohon pinjaman baru walaupun ada pinjaman atau akaun kredit yang baru lulus – tunggu tempoh bertenang sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum mohon semula. Ini untuk meningkatkan keberangkalian lulus permohonan anda, dan untuk menjaga markah credit score anda supaya sentiasa berada di tahap sihat.Ini untuk meningkatkan keberangkalian lulus permohonan anda, dan untuk menjaga markah credit score anda supaya sentiasa berada di tahap sihat.

Faktor-faktor yang saya senaraikan di atas adalah antara sebab-sebab utama pinjaman peribadi tidak diluluskan oleh pihak bank.

Pilih Pinjaman Yang Sesuai Dengan Kelayakan Anda

Jika anda rasa ragu-ragu untuk memohon pinjaman peribadi dengan bank, takut pinjaman anda ditolak – biar kami bantu anda. Kami telah sediakan sistem semak kelayakan yang boleh anda guna untuk memilih pinjaman peribadi yang sesuai dengan kelayakan anda seperti:

  1. Jenis Pekerjaan – anda berkhidmat di sektor awam atau swasta, bekerja-sendiri, pesara atau angkatan tentera.
  2. Jumlah pendapatan.
  3. Jumlah pinjaman yang ingin dimohon.
  4. Tempoh pembiayaan yang sesuai dengan kemampuan anda.

Sistem ini akan memilih pinjaman yang sesuai berdasarkan kriteria-kriteria yang saya sebutkan di atas. Anda hanya perlu isi Borang Semak Kelayakan dan pilih pinjaman peribadi yang anda ingini. Anda juga boleh mohon secara online tanpa perlu walk-in ke bank.

SEMAK KELAYAKAN, PILIH PINJAMAN YANG SESUAI DAN MOHON ONLINE

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

165 Comments
Inline Feedbacks
View all comments