Pinjaman Koperasi atau Pinjaman Berlesen (Kredit Komuniti) – Nak Pilih Yang Mana?

calendar-range
Dikirim 14/02/2023
(dikemaskini 21/12/2023)
Pinjaman koperasi atau pinjaman berlesen 

Bagi yang sukar untuk mohon pinjaman peribadi bank, terdapat dua alternatif utama, iaitu pinjaman koperasi atau pinjaman berlesen (PPW), juga dikenali sebagai pinjaman kredit komuniti. Tetapi, antara kedua-dua pinjaman ini, mana satu yang lebih sesuai untuk anda mohon?

Pinjaman Koperasi atau Pinjaman Berlesen?

Walaupun terdapat perbezaan pinjaman peribadi koperasi dan pinjaman wang berlesen, ramai yang masih keliru dan menganggap kedua-dua jenis pinjaman peribadi ini hampir sama. Oleh itu, ramai yang tersalah pilih institusi kewangan apabila memohon pinjaman.

Penting untuk anda tahu apa ciri-ciri yang membezakan kedua-dua pinjaman ini, dan bagaimana untuk memilih pinjaman yang sesuai dengan kelayakan dan keperluan anda.

Pinjaman Koperasi

Secara ringkas, pinjaman koperasi adalah skim pinjaman atau pembiayaan yang ditawarkan oleh koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Koperasi-koperasi ini menawarkan pembiayaan dalam bentuk pinjaman peribadi dan pinjaman perniagaan. 

Suruhanjaya Koperasi Malaysia

Boleh dikatakan kebanyakan pinjaman peribadi koperasi hanya ditawarkan kepada kakitangan sektor awam, iaitu kakitangan kerajaan, kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan kakitangan badan berkanun. Walau bagaimanapun, terdapat juga koperasi yang membenarkan permohonan pinjaman koperasi daripada kakitangan sektor swasta.

Pinjaman peribadi koperasi adalah produk pembiayaan Islamik yang menggunakan konsep Murabaha’ atau Tawarruq. Oleh itu tiada unsur terlarang seperti Riba, Gharar, Zulm, dan Ikhtikar.

Baca lebih lanjut tentang konsep perbankan Islam jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang istilah-istilah ini.

Walaupun terdapat lebih daripada 400 koperasi berdaftar di Malaysia, tidak semua koperasi menawarkan produk pinjaman.

Pinjaman Berlesen (Kredit Komuniti)

Pinjaman berlesen atau pinjaman kredit komuniti pula adalah skim pinjaman yang ditawarkan oleh syarikat Pemberi Pinjam Wang (PPW). Syarikat PPW adalah syarikat-syarikat bukan bank yang diberi kebenaran oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menawarkan skim dan pelan pinjaman peribadi.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Dalam erti kata lain, semua syarikat pinjaman berlesen yang ingin menawarkan produk pinjaman perlu berdaftar dengan KPKT. Jika syarikat yang menawarkan pinjaman tidak berdaftar, syarikat tersebut adalah tidak sah, ditegah daripada menawarkan sebarang skim pinjaman, dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. 

Baca lebih lanjut tentang penipuan yang sering dilakukan oleh syarikat yang menyamar sebagai syarikat pinjaman berlesen/kredit komuniti.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menukar nama syarikat Pemberi Pinjam Wang kepada syarikat Kredit Komuniti pada tahun 2019. Langkah ini adalah untuk mengubah sentimen buruk yang sering dikaitkan dengan syarikat pinjaman berlesen.

Walaupun nama atau istilah syarikat telah ditukar, rakyat Malaysia masih menggunakan istilah pinjaman berlesen berbanding pinjaman kredit komuniti.

Pada masa sekarang terdapat beribu syarikat kredit komuniti berdaftar di seluruh negara yang menawarkan produk pinjaman.

Perbezaan Pinjaman Koperasi dan Pinjaman Berlesen

Pada permulaan, terdapat banyak perbezaan antara pinjaman koperasi dan pinjaman berlesen. Walau bagaimanapun, pada masa sekarang jurang perbezaan tersebut semakin berkurangan kerana semakin banyak syarikat pemberi pinjam wang yang menawarkan pakej pinjaman yang hampir sama dengan pakej pinjaman koperasi.

Oleh itu saya telah bahagikan perbezaan-perbezaan ini kepada beberapa bahagian untuk memudahkan pemahaman anda.

Rujuk maklumat di bawah untuk memudahkan anda pilih pinjaman koperasi atau pinjaman berlesen.

Badan Penyelia

Pinjaman koperasi yang diuruskan oleh Koperasi berdaftar dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia di bawah Akta Koperasi 1993. Hanya koperasi berdaftar di bawah SKM sahaja yang boleh menawarkan skim pembiayaan. 

Pinjaman berlesen/pinjaman kredit komuniti yang ditawarkan oleh syarikat pemberi pinjam wang/kredit komuniti dikawal selia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan akan dipantau oleh Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK).

Oleh itu, skim pinjaman hanya boleh ditawarkan oleh syarikat pinjaman berlesen yang berdaftar dengan KPKT.

Konvensional atau Islamik

Hampir semua skim pembiayaan koperasi ditawarkan dalam bentuk pembiayaan Islamik yang patuh Syariah, manakala kebanyakan pelan pinjaman berlesen adalah pinjaman konvensional.

Namun begitu, terdapat juga sebahagian besar syarikat kredit komuniti yang menawarkan pelan pembiayaan peribadi Islamik seperti pinjaman koperasi.

Baca Perbezaan Perbankan Islam dan Perbankan Konvensional jika anda ingin tahu apa perbezaan utama antara pinjaman konvensional dan Islamik.

Bercagar dan Tidak Bercagar

Pinjaman peribadi koperasi sering ditawarkan dalam bentuk pinjaman tanpa cagaran, atau unsecured loan. Pinjaman tidak bercagar tidak perlu sebarang cagaran (collateral) atau penjamin (guarantor) untuk dimohon.

Syarikat pinjaman berlesen juga banyak yang menawarkan pinjaman peribadi tanpa cagaran. Terdapat juga syarikat yang memberi pilihan kepada pemohon untuk menyediakan cagaran atau penjamin jika ingin mohon dalam jumlah pembiayaan yang tinggi atau ingin caj kadar faedah atau kadar keuntungan yang lebih rendah.

Kelayakan Mohon

Syarat kelayakan mohon pinjaman koperasi dan pinjaman berlesen selalunya lebih longgar berbanding pinjaman bank. Lebih-lebih lagi untuk pinjaman koperasi.

Pada awalnya, pinjaman koperasi adalah khusus untuk kakitangan sektor awam, manakala pinjaman berlesen pula disasarkan kepada kakitangan sektor swasta yang sukar untuk mohon pinjaman bank.

Walau bagaimanapun, pada masa sekarang boleh dikatakan skim pembiayaan koperasi dan pinjaman berlesen tidak lagi dihadkan kepada jenis pekerjaan.

Majoriti skim pinjaman peribadi koperasi disasarkan untuk kakitangan awam, risiko yang dihadapi oleh pihak koperasi adalah lebih rendah kerana kaedah bayaran balik adalah melalui potongan gaji secara automatik oleh Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA).

Untuk kakitangan swasta pula, bayaran balik dilakukan secara auto debit dari akaun bank.

Syarikat berlesen juga mengenakan syarat kelayakan memohon yang tidak membebankan. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat Pemberi Pinjam Wang masih menerima permohonan daripada individu yang mempunyai tunggakan di rekod CCRIS, di bawah Akaun Perhatian Khas (Special Attention Account – SAA), atau telah disenaraihitamkan di laporan CTOS

Jumlah Pembiayaan

Pinjaman peribadi koperasi selalunya menawarkan jumlah pembiayaan yang lebih tinggi berbanding pinjaman peribadi pinjaman berlesen. Jumlah pinjaman koperasi boleh menjangkau sehingga RM250,000 manakala majoriti syarikat pinjaman berlesen hanya menawarkan jumlah pinjaman sehingga RM150,000.

Walau bagaimanapun, pada masa sekarang terdapat beberapa syarikat pinjaman berlesen yang menawarkan jumlah pinjaman maksimum sehingga RM200,000. 

Tempoh Pembiayaan

Boleh dikatakan kebanyakan pinjaman koperasi menawarkan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun atau 120 bulan.

Walaupun terdapat beberapa syarikat pemberi pinjaman wang yang menawarkan tempoh pinjaman maksimum sehingga 10 tahun, rata-rata skim pinjaman kredit komuniti hanya membenarkan tempoh bayaran balik sehingga 5 tahun.

Caj Kadar Faedah/Keuntungan

Caj kadar faedah/keuntungan adalah salah satu perkara yang perlu dipertimbangkan ketika buat pilihan antara pinjaman koperasi dan pinjaman berlesen. Kadar faedah/keuntungan untuk pinjaman koperasi biasanya lebih rendah berbanding pinjaman berlesen.

Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang dijadikan rujukan oleh syarikat-syarikat kredit komuniti menetapkan bahawa jumlah kadar faedah bagi pinjaman tanpa cagaran atau tidak bercagar tidak boleh melebihi 18% setahun, dan pinjaman bercagar tidak boleh melebihi 12% setahun.

Oleh itu kebanyakan syarikat-syarikat ini memilih untuk mengenakan kadar faedah maksimum ke atas produk pinjaman peribadi mereka. 

Terdapat banyak syarikat pinjaman berlesen yang menawarkan pilihan untuk memilih pinjaman bercagar di samping pinjaman tanpa cagaran jika pemohon ingin dikenakan kadar faedah yang lebih rendah.

Bagi pinjaman koperasi pula, caj kadar keuntungan/faedah yang dikenakan boleh mencapai serendah 3% setahun, bergantung kepada tempoh dan jumlah pembiayaan.

Risiko Yang Dihadapi

Sekiranya anda mohon pinjaman koperasi atau pinjaman berlesen dengan koperasi berdaftar dan syarikat kredit komuniti yang sah, tiada sebarang risiko yang perlu anda tanggung. 

Masalah terjadi apabila individu mohon dengan koperasi palsu, atau syarikat pinjaman berlesen yang tidak berdaftar dengan KPKT. Syarikat yang tidak berdaftar, atau ah long menawarkan pinjaman peribadi yang mudah lulus, tetapi mengenakan caj kadar faedah yang melampau tinggi. 

Akibatnya pemohon sering terjerat untuk buat bayaran balik kerana perlu membayar bunga tinggi di luar kemampuan. Tambahan pula, ah long, ceti haram, atau lintah darat ini akan menggunakan sebarang cara untuk mengutip hutang, menyebabkan tekanan dan masalah jiwa kepada pemohon.

Baca panduan perbezaan ah long dan syarikat pinjaman berlesen jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang perkara ini.

Ramai yang tidak tahu bahawa setiap perjanjian pinjaman hendaklah diaku saksi di hadapan seorang Peguam bela dan Peguam cara di Mahkamah Tinggi, seorang pegawai dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang, Pesuruhjaya Sumpah, Jaksa Pendamai, Pegawai daerah atau orang-orang yang dilantik oleh Menteri untuk berbuat sedemikian. 

Dalam erti kata lain, perlu ada butiran pinjaman yang lengkap untuk disemak sebelum memeterai kontrak pinjaman.

Nak Pilih Yang Mana?

Sebagai alternatif kepada pinjaman bank, pinjaman koperasi adalah pilihan terbaik. Bagi yang sukar untuk mohon pinjaman bank dan koperasi pula, pinjaman berlesen adalah pilihan alternatif.

Jika dilihat daripada ciri-ciri perbezaan yang saya senaraikan di atas, tidak banyak beza antara pinjaman berlesen dan pinjaman koperasi pada masa sekarang.

Jadi, tidak ada masalah untuk anda pilih pinjaman koperasi atau pinjaman berlesen untuk pinjaman peribadi. Apa yang penting anda perlu teliti syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan oleh setiap pelan pinjaman yang ditawarkan. Tidak guna anda mohon sekiranya anda tidak cukup syarat atau tidak layak untuk pelan tersebut.

Anda juga perlu tahu jenis-jenis caj yang dikenakan, seperti caj kadar faedah atau kadar keuntungan, caj proses, caj lewat bayar, dan sebagainya. Baca dari mula sampai habis syarat-syarat atau perjanjian yang ditawarkan oleh pelan pinjaman tersebut.

Sekiranya anda masih keliru dan tak tahu nak pilih pinjaman koperasi atau pinjaman berlesen, guna Sistem Semak Kelayakan Pinjaman Peribadi yang kami sediakan untuk pilih pinjaman atau pembiayaan yang sesuai dengan kelayakan anda.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments