Cara Membaca Laporan CTOS dan Laporan CCRIS

calendar-range
Dikirim 28/09/2018
(dikemaskini 21/12/2023)
Membaca laporan ctos dan laporan ccris

Ramai yang masih belum jelas cara membaca laporan CTOS dan laporan CCRIS mereka. Laporan kredit CTOS adalah sangat penting untuk anda mengetahui status kredit anda. Laporan ini menyenaraikan status pinjaman anda dan sama ada anda telah disenaraihitamkan (blacklisted) oleh institusi kewangan atau sebarang syarikat.

Pada tip yang lepas saya telah menerangkan apa itu CTOS dan CCRIS, dan bagaimana cara untuk mendapatkan laporan CTOS dan laporan CCRIS. Jika anda masih belum baca tip-tip tersebut, anda boleh baca melalui pautan di bawah.

Kali ini saya nak menerangkan pula bagaimana cara untuk anda membaca laporan CTOS dan laporan CCRIS. Ini sangat penting supaya anda tahu status kredit terkini anda – memudahkan anda untuk memohon sebarang pinjaman dengan institusi kewangan seperti bank.

Membaca laporan ctos dan ccris

Cara Membaca Laporan CTOS

Laporan CTOS dikeluarkan oleh syarikat CTOS Data System Sdn. Bhd. (CTOS). Seperti yang dijelaskan pada artikel lepas, CTOS adalah sebuah syarikat swasta di Malaysia yang mengumpul maklumat kredit individu daripada pelbagai sumber.

Maklumat-maklumat kredit ini kemudiannya disenaraikan dalam satu laporan yang dikenali sebagai laporan CTOS.

Setelah anda mendapatkan laporan CTOS anda dari sumber yang dinyatakan pada artikel lepas, anda akan diberi sebuah laporan dalam format PDF yang dihantar ke E-Mail anda.

Jika anda memilih untuk mendapatkan laporan CTOS Basic (percuma), laporan tersebut hanya akan menyenaraikan maklumat kredit CTOS, dan tiada laporan kredit CCRIS.

Membaca Laporan CTOS Basic

Laporan CTOS percuma (MyCTOS Basic Report) selalunya mengandungi antara 3 hingga 5 mukasurat – bergantung kepada maklumat kredit anda.

Muka surat 1

Muka surat pertama akan memaparkan maklumat ringkas tentang laporan CTOS tersebut.

Laporan CTOS mukasurat 1
Laporan CTOS mukasurat pertama

Muka surat 2

Muka surat ke dua pula akan memaparkan maklumat individu yang dibahagikan kepada beberapa bahagian.

Laporan CTOS mukasurat 2
Laporan CTOS mukasurat 2

A: SNAPSHOT – ID Verification

Bahagian ini memaparkan maklumat individu seperti nama, kad pengenalan, tarikh lahir dan kewarganegaraan individu.

Credit Info at a Glance

Bahagian ini akan memaparkan maklumat kredit anda secara ringkas. Sekiranya anda telah disenaraihitamkan oleh mana-mana syarikat dan maklumat tersebut telah dikumpul oleh pihak CTOS, “Value” pada “Availability of Trade Referee Listing” akan  dipaparkan sebagai “YES”.

Top 5 Directorships & Business Interests

Bahagian ini pula memberi maklumat sekiranya anda mempunyai syarikat yang berdaftar. Jika tidak bahagian ini akan ditinggalkan kosong.

Muka surat 3

Muka surat tiga akan memaparkan maklumat kredit anda. Jika anda mendapatkan laporan CTOS basic, bahagian ini tidak akan memaparkan laporan CCRIS anda.

Laporan CTOS mukasurat 3
Laporan CTOS mukasurat 3

B1: DIRECTORSHIPS AND BUSINESS INTERESTS

Memaparkan maklumat individu yang bersangkut paut syarikat. Gambar di bawah adalah contoh maklumat sekiranya anda adalah pemilik atau mempunyai perkongsian di dalam sebarang syarikat.

Laporan CTOS perniagaan
Laporan CTOS syarikat

B2: ADDRESS RECORDS

Memaparkan alamat individu yang diperolehi CTOS dari sumber berkaitan.

C1: BANKING PAYMENT HISTORY

Tidak mengandungi maklumat pada laporan CTOS Basic.

C2: DISHONOURED CHEQUES

Mengandungi rekod cek anda.

D1 hingga D4

Mengandungi maklumat untuk sebarang kes mahkamah individu.

E: TRADE REFERENCE

Memaparkan maklumat pinjaman tertunggak. Jika anda telah disenaraihitamkan oleh mana-mana institusi kewangan atau syarikat, maklumat tersebut akan dipaparkan pada bahagian ini.

Sebagai contoh, individu pada laporan CTOS di bawah telah disenaraihitamkan oleh pihak AEON dan Maxis.

Laporan CTOS blacklist
Laporan CTOS nama disenaraihitamkan

Membaca Laporan CTOS Penuh (Score Report)

Sekiranya anda memilih untuk mendapatkan laporan CTOS penuh (MyCTOS Score Report), laporan tersebut akan mengandungi maklumat tambahan, iaitu Skor kredit dan maklumat CCRIS anda.

Skor kredit atau credit score adalah satu sistem pemarkahan yang digunakan oleh pihak CTOS untuk menentukan kesihatan kredit anda. Dalam erti kata lain, sekiranya skor kredit anda baik atau sihat, peluang untuk anda lulus pinjaman adalah tinggi dan sebaliknya. Saya telah menulis panjang lebar tentang credit score di Panduan Lengkap Skor Kredit. Saya nasihatkan anda baca panduan tersebut untuk tahu lebih lanjut tentang pemarkahan kredit dan bagaimana cara nak kira skor kredit anda.

Bahagian CCRIS pada laporan CTOS penuh pula memaparkan maklumat CCRIS anda. Maklumat ini adalah sama dengan laporan CCRIS yang anda dapatkan daripada Bank Negara Malaysia.

Membaca Laporan CCRIS dari CTOS

Sekali pandang pada bahagian CCRIS ini akan buat ramai yang keliru. Di sini saya jelaskan satu-persatu apa yang terkandung di bahagian CCRIS dan cara membaca laporan CCRIS anda.

C1: BANKING PAYMENT RECORDS (SOURCE: CCRIS, BANK NEGARA MALAYSIA)

Laporan CCRIS dari CTOS
Laporan CCRIS dari CTOS

CCRIS SUMMARY

Bahagian in memaparkan maklumat ringkas kredit anda. Sebarang pinjaman anda dalam tempoh 12 bulan sebelum ini akan dipaparkan. Maklumat Special Attention Account juga akan dipaparkan sekiranya anda di bawah SAA (Special Attention Account).

CCRIS DETAILS

Bahagian ini memaparkan rekod pembayaran anda. Segala pinjaman anda akan disenaraikan di sini. Jika anda mempunyai tunggakan terhadap pembayaran pinjaman anda, bahagian CCRIS DETAILS akan memaparkan tunggakan-tunggakan tersebut berdasarkan bulan pembayaran/tunggakan.

Sebagai contoh jika anda mempunyai 2 bulan tunggakan, angka pada bulan tersebut akan dipaparkan sebagai angka 2.

Singkatan yang perlu anda ambil tahu ialah:-

  • HSLNFNCE – Housing Loans/Financing – Pinjaman perumahan.
  • CRDTCARD – Credit Card – Kad kredit.
  • PCPASCAR – Purchase Of Passenger Cars – Pinjaman kereta.
  • PELNFNCE – Personal Loans/Financing – Pinjaman peribadi.
  • ISPWNBKG – Pawnbroking – Pajakan.
  • O – Outstanding – Tunggakan atau pinjaman masih aktif.
  • A – Approved by FI – Diluluskan on institusi kewangan.
  • P – Pending Approval – Menunggu kelulusan dari institusi kewangan.
  • T – Pending Acceptance by applicant – Menunggu keputusan pemohon.
  • R – Rejected by Financial Institution – Permohonan ditolak oleh institusi kewangan.

Laporan CCRIS dari Bank Negara Malaysia

Laporan CCRIS dari Bank Negara Malaysia (BNM) adalah sedikit berbeza daripada laporan CCRIS dari pihak CTOS. Tetapi, maklumat yang terkandung di dalam laporan CCRIS BNM adalah sama dengan laporan CCRIS dari pihak CTOS.

Bank Negara Malaysia telah menyediakan contoh laporan CCRIS berserta penerangan lengkap tentang apakah maklumat yang terkandung di dalam setiap ruangan di dalam laporan CCRIS atau eCCRIS dari BNM.

Anda boleh dapatkan contoh laporan tersebut di laman web rasmi Bank Negara Malaysia di pautan ini. (fail adalah dalam format PDF).

Jika anda malas nak download fail tersebut, kat sini saya jelaskan kembali apa yang terkandung di dokumen tersebut.

Laporan CCRIS Bank Negara Malaysia
Laporan CCRIS Bank Negara Malaysia
  • A – Bahagian ini adalah nombor turutan bagi laporan CCRIS BNM.
  • B – Merujuk kepada:
    1. Tarikh lulus untuk akaun di bawah Kredit Belum Jelas, Akaun di Bawah Pemerhatian Khas (SAA), dan Permohonan untuk Kredit yang telah lulus.
    2. Tarikh permohonan di buat untuk Permohonan Untuk Kredit yang masih dalam pertimbangan oleh institusi kewangan (pending).
    3. Tarikh penstrukturan/penjadualan semula pinjaman dari tarikh pertama dilaporkan oleh institusi kewangan. (Rescheduled or restructured).
  • C – Status Kredit
    1. Belum jelas (Outstanding): Semua kredit belum jelas.
    2. Kemudahan kredit penjadualan semula (Rescheduled credit facility): Jadual asal pembayaran balik kredit penjadualan semula.
    3. Kemudahan kredit yang disusun semula oleh AKPK (Restructured credit under AKPK).
  • D – Kemudahan kredit yang diambil secara langsung, atau pinjaman bersama , atau diperoleh syarikat pemilikan tunggal (peminjam adalah pemilik syarikat tersebut).
  • E – Nama institusi kewangan yang memberi kredit/pinjaman.
  • F – Cawangan institusi kewangan di mana kemudahan kredit diperolehi.
  • G – Jenis kemudahan kredit, contohnya kad kredit, kad caj, pinjaman peribadi, pinjaman kenderaan, pinjaman perumahan dan lain-lain.
  • H – Nombor rujukan kemudahan kredit yang diberikan oleh institusi kewangan.
  • I – Jumlah baki belum jelas untuk kemudahan kredit terlibat.
  • J – Tarikh tunggakan belum jelas yang dilaporkan kali terakhir.
  • K – Merujuk kepada:
    1. Jumlah keseluruhan jumlah pinjaman yang diluluskan oleh institusi kewangan, atau
    2. Jumlah pinjaman yang perlu dibayar pada masa yang telah ditetapkan secara beransur sehingga jumlah keseluruhan dilangsaikan.
  • L – Jenis sekuriti atau cagaran untuk pinjaman.
  • M – Kekerapan pembayaran untuk setiap pinjaman – bulanan atau mingguan.
  • N – Merujuk kepada rekod pembayaran untuk setiap kemudahan kredit. 0 (tiada tunggakan), 1 (sebulan tunggakan), 2 ( 2 bulan tunggakan), dan seterusnya.
  • O – Tindakan undang-undang yang diambil terhadap peminjam.
  • P – Tarikh terkini tindakan undang-undang yang diambil.
  • Q – Tunggakan kemudahan kredit yang belum jelas.
  • R – Pinjaman di bawah pemerhatian dan selaan oleh institusi kewangan.
  • S – Permohonan kredit dalam tempoh 12 bulan lalu yang masih dalam pertimbangan atau yang lulus.
  • T – Maklumat cawangan pemberi pinjaman dan jenis cagaran.

Seperti yang dijelaskan, kebanyakan maklumat pada laporan CCRIS BNM adalah hampir sama dengan maklumat pada laporan CCRIS dari pihak CTOS.

Laporan CCRIS dari Experian (RAM Credit Info – RAMCI)

Selain CTOS dan Bank Negara Malaysia, anda boleh mendapatkan laporan CCRIS lengkap daripada pihak Experian (RAM Credit Info). Laporan “Personal Credit Report PLUS (PCRP) yang disediakan oleh RAMCI mengandungi laporan kredit lengkap, termasuk skor kredit anda.

Berikut ialah bagaimana untuk membaca laporan CCRIS dari RAMCI.

Laporan ccris RAMCI page 1
Laporan ccris RAMCI mukasurat 1

Personal Information

Bahagian ini mengandungi maklumat peribadi individu seperi nama, nombor kad pengenalan dan alamat terkini.

Credit Score

Bahagian ini memaparkan skor kredit terkini individu. Skor ini adalah berdasarkan sistem i-SCORE yang digunakan oleh pihak RAMCI.

Laporan ccris RAMCI page 2
Laporan ccris RAMCI mukasurat 2

Banking Credit Information

Bahagian ini memaparkan rekod kredit, sama seperti yang dipaparkan oleh laporan CCRIS Bank Negara Malaysia. Seperti nota yang dipaparkan, rekod kredit ini adalah diambil daripada Bank Negara Malaysia.

Kepentingan Mengetahui Maklumat Kredit Terkini Anda

Sekarang anda telah tahu bagaimana untuk membaca laporan CTOS dan laporan CCRIS anda. Laporan kredit anda, sama ada laporan CTOS ataupun CCRIS adalah sangat penting. Laporan ini membantu institusi kewangan membuat penilaian terhadap permohonan pinjaman anda. Skor kredit yang bagus sudah pasti membantu permohonan anda.

Oleh itu, penting anda sentiasa mengambil tahu maklumat dan skor kredit terkini anda. Maklumat-maklumat ini akan membantu anda untuk menguruskan kewangan anda dengan lebih berhemah.

Jika anda berminat untuk tahu lebih lanjut tentang maklumat kredit anda, baca lebih lanjut di Panduan Skor Kredit.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments