Perbezaan Perbankan Islam dan Perbankan Konvensional

calendar-range
Dikirim 07/12/2020
(dikemaskini 21/12/2023)
Perbezaan Perbankan Islam dan Perbankan Konvensional

Pada artikel yang lepas saya telah menyentuh tentang konsep perbankan Islam atau Sistem Perbankan Islamik (SPI). Artikel kali ini pula akan melihat kepada perbezaan perbankan Islam dan perbankan konvensional dari sudut prinsip dan produk perbankan. Artikel ini juga akan menjelaskan mitos-mitos yang sering disalah-anggap berkaitan produk perbankan Islam.

Seperti juga dalam pegangan dan kehidupan, terdapat perbezaan antara perbankan Islam dan perbankan konvensional. Walaupun dalam sekali pandang, kedua-dua kategori perbankan ini kelihatan sama, tetapi sebenarnya terdapat banyak perbezaan yang membezakan kedua-dua sistem perbankan ini.

Perbezaan perbankan Islam dan perbankan konvensional dari sudut prinsip

Prinsip utama yang ditekankan oleh perbankan Islamik ialah segala urusan perbankan untuk produk dan perkhidmatan perlu dilaksanakan tanpa melibatkan elemen haram seperti Riba, Gharar, Zulm, Ikhtikar, dan Maisir. Sistem perbankan konvensional pula tidak mempunyai masalah untuk menggunakan elemen-elemen ini di dalam urusan perniagaan mereka.

Asas utama perbankan Islam secara ringkas ialah perniagaan yang dijalankan perlu berlandaskan akidah Islamiah, berdasarkan iman dan takwa, mengambil kira pahala dan dosa, dan mencari keredaan Allah di dalam setiap urusniaga yang dijalankan.

Perbankan konvensional pula berasaskan mencari keuntungan semaksimum yang mungkin. Tidak ada akidah, pahala atau dosa, dan juga perniagaan perbankan konvensional tidak perlu mencari reda Allah di dalam urusan perniagaan yang berlangsung.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud sistem perbankan konvensional adalah sistem yang buruk. Cuma, perbezaan prinsip antara perbankan Islam dan perbankan konvensional adalah begitu ketara jika di buat perbandingan.

Perbezaan operasi dan tadbir urus perbankan Islam dan perbankan konvensional

Jika prinsip adalah berbeza, sudah pasti cara beroperasi, pengurusan dan pentadbiran juga berbeza.

Pemantauan

Dalam Sistem Perbankan Islamik (SPI), terdapat Ahli atau Majlis Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Audit Syariah. Ahli atau majlis jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memantau segala urusan dalam perbankan Islamik untuk memastikan bahawa setiap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan mematuhi hukum Syariah.

Sistem perbankan konvensional pula tidak mempunyai pemantauan dan tidak perlu patuh kepada undang-undang Syariah dalam operasi, produk mahupun perkhidmatan yang ditawarkan.

Kontrak dan transaksi

Segala kontrak dan transaksi yang berlaku dalam perbankan Islam perlu mematuhi syarak melalui prinsip Syariah seperti Bai’, Wadi’ah, Wakalah, Tawarruq dan sebagainya.

Anda boleh rujuk prinsip Syariah lengkap yang digunakan oleh Sistem Perbankan Islamik (SPI) pada artikel Konsep Perbankan Islam.

Perbankan konvensional pula tidak perlu mematuhi akad dan kontrak seperti yang terdapat di dalam perbankan Islamik. Boleh dikatakan hampir kesemua urusan jual-beli untuk Sistem Perbankan Konvensional melibatkan riba.

Untung vs. Riba

Pelanggan yang menggunakan sistem perbankan Islam tidak akan dikenakan caj faedah (interest), tetapi akan berkongsi kadar keuntungan hasil daripada urusan jual-beli yang mematuhi hukum Syarak. Prinsip ini selalunya digunakan untuk produk pembiayaan Islamik yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islamik.

Caj kadar faedah pula akan dikenakan untuk perbankan konvensional. Caj ini adalah riba dan diharamkan di dalam prinsip kewangan Islamik.

Denda dan penalti

Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan caj ganti rugi yang dibenarkan adalah 1% daripada jumlah tunggakan. Garis panduan ini diikuti oleh institusi kewangan yang menawarkan produk dan perkhidmatan Islamik di Malaysia.

Manakala untuk produk dan perkhidmatan konvensional pula, walaupun caj atau ganti rugi masih mengikut garis panduan BNM, seringkali caj yang akan dikenakan sekiranya pelanggan lewat bayar sering digandakan dan hasilnya akan menambah beban kepada pelanggan.

Zakat

Sistem perbankan Islam menitik-beratkan tanggungjawab pembayaran zakat selari dengan tanggungjawab sebagai penganut agama Islam.

Sistem perbankan konvensional pula tidak perlu mengambil berat perkara berkaitan sumbangan dan bayaran zakat.

Hubungan dengan pelanggan

Pelanggan yang menggunakan produk dan perkhidmatan perbankan Islam akan menjalin hubungan dengan institusi kewangan Islamik berasaskan transaksi jual-beli, pelaburan atau perkongsian untung rugi terhadap aset yang didagangkan.

Untuk perbankan konvensional pula, seringkali hubungan yang terhasil adalah antara peminjam (pelanggan) dan pemberi pinjaman (institusi kewangan/bank).

Perbezaan produk perbankan Islam dan produk perbankan konvensional

Walaupun produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan perbankan konvensional dan perbankan Islam kelihatan sama, terdapat banyak perbezaan antara kedua-dua produk dan perkhidmatan ini.

Deposit (Akaun Simpanan/Semasa)

Kedua-dua sistem perbankan menawarkan produk deposit seperti akaun simpanan dan akaun semasa, terdapat perbezaan yang ketara antara dua sistem perbankan ini.

Deposit Islamik

Produk deposit sistem perbankan Islam adalah berteraskan konsep kontrak Wadi’ah Yad Dhamanah yang bermaksud simpanan dengan jaminan. Dengan konsep ini, penyimpan menyimpan aset kepada pihak institusi kewangan atau bank untuk simpanan dengan jaminan keselamatan. Pihak bank atau institusi kewangan memberi jaminan akan mengembalikan simpanan penyimpan sepenuhnya apabila tiba tempoh matang atau dengan permintaan penyimpan, tanpa mengira risiko rugi yang dialami oleh bank. Walaubagaimanapun, pihak bank atau institusi kewangan boleh menggunakan simpanan yang diberikan untuk tujuan pelaburan dengan persetujuan penyimpan. Pihak institusi kewangan juga boleh memberi hadiah atau Hibah kepada penyimpan jika dirasakan perlu.

Produk deposit sistem perbankan Islam adalah berteraskan konsep kontrak Qard yang bermaksud bayaran dengan jaminan. Dengan konsep ini, Qard adalah kontrak di mana pemberi pinjaman (pelanggan) meminjamkan wang kepada peminjam (Bank). Pihak Bank akan membayar semula wang tersebut apabila dikehendaki oleh pelanggan dengan jumlah yang sama mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Bank. Pihak Bank juga boleh memberi hadiah atau Hibah, bergantung kepada budi bicara Bank.

Pihak Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan panduan supaya deposit yang menggunakan kontrak Wadi’ah Yad Dhamanah ditukar kepada kontrak Qard pada tahun 2016.

Deposit konvensional

Dalam perbankan konvensional, pelanggan yang membuka akaun deposit akan dijanjikan pulangan tertentu untuk simpanan yang dibuat. Pulangan ini selalunya adalah dijamin oleh institusi kewangan/bank. Institusi kewangan atau bank yang mengamalkan perbankan konvensional juga boleh menggunakan aset atau duit yang disimpan untuk menjalankan aktiviti perniagaan untuk mendapatkan keuntungan. Konsep ini secara langsung adalah riba, iaitu yang pulangan yang dijamin.

Sistem Perbankan IslamSistem Perbankan Konvensional
ProdukAkaun Simpanan/SemasaAkaun Simpanan/Semasa
KonsepKontrak QardTiada
PulanganHadiah atau Hibah (Bergantung kepada budi bicara institusi kewangan/bank)Pulangan tetap (faedah dijamin)
Perbezaan antara produk deposit Islamik dan deposit Konvensional

Pembiayaan dan pinjaman

Perbezaan utama adalah istilah yang digunakan. Produk pinjaman Islamik tidak menggunakan istilah pinjaman tetapi menggunakan istilah pembiayaan kerana dari segi konsep yang digunakan, pihak institusi kewangan tidak memberi pinjaman kepada individu. Produk konvensional pula menggunakan istilah pinjaman kerana konsep yang digunakan adalah peminjam meminjam wang daripada pemberi pinjaman.

Pembiayaan Islamik

Oleh kerana konsep perbankan Islamik mengharamkan riba, pembiayaan Islamik menggunakan konsep kewangan Islam seperti Bai’ Al-Inah dan Tawarruq. Dengan konsep ini, proses yang terhasil ialah urusan kontrak jual beli yang menghasilkan hutang (Dayn).

Hutang ini adalah bukan dari pinjaman, tetapi adalah dari urusan jual beli. Dalam erti kata lain, pihak peminjam iaitu bank atau institusi kewangan Islamik membeli aset bagi pihak peminjam dan menjualnya semula kepada peminjam dengan satu kadar keuntungan (profit rate) yang jelas dan telah dipersetujui kedua-dua pihak.

Kadar keuntungan ini bergantung sama ada kadar keuntungan tetap (fixed profit rate) atau kadar keuntungan terapung (floating profit rate).

Caj lewat bayar yang dikenakan untuk pembiayaan Islamik adalah hanya kos rugi daripada baki pembiayaan yang dihadapi oleh institusi kewangan atau bank kerana pelanggan tidak dapat menjelaskan hutangnya.

Pembiayaan Islamik juga menggunakan perlindungan insurans Takaful yang patuh Syariah dengan konsep kerjasama dan perkongsian risiko.

Pinjaman Konvensional

Untuk perbankan konvensional pula, urusan pinjaman adalah peminjam meminjam wang daripada institusi kewangan atau bank dan akan dikenakan caj kadar faedah (interest rate) daripada jumlah prinsipal untuk memberi keuntungan kepada institusi kewangan atau bank. Kadar faedah ini adalah kadar faedah tetap (fixed interest rate) atau kadar faedah terapung (floating interest rate). Jelas di sini bahawa kadar faedah yang dikenakan adalah riba.

Jumlah pinjaman yang perlu dibayar oleh peminjam juga boleh berubah mengikut Kadar Pinjaman Asas (Base Lending Rate – BLR). Berbeza dengan pembiayaan Islamik, di dalam pinjaman konvensional kos kerugian akan ditanggung oleh peminjam.

Jika pembiayaan Islamik mengenakan caj lewat bayar daripada kos rugi, untuk pinjaman konvensional pula caj lewat bayar akan dikenakan faedah kompaun (compounding interest), yang membebankan peminjam.

Pinjaman konvensional menggunakan perlindungan insurans konvensional berbanding insurans Takaful yang digunakan oleh pembiayaan Islamik.

Sistem Perbankan IslamikSistem Perbankan Konvensional
IstilahPembiayaan Peribadi / Kenderaan / Perumahan / PerniagaanPinjaman Peribadi / Kenderaan / Perumahan / Perniagaan
KonsepBerlandaskan prinsip SyariahKonsep pinjaman (hutang)
KeuntunganPerkongsian keuntungan daripada jualanFaedah yang dikenakan atas jumlah pinjaman
AsetAset yang dibenarkan hukum SyarakTiada kekangan
Amaun bayaranTetap sepanjang tempoh pembiayaanBoleh berubah berdasarkan BLR
Pemilikan asetDimiliki oleh penjualTiada
Caj lewat bayarAkan dikenakan ganti rugi (Ta’widh)Faedah terkompaun
Perlindungan InsuransTakafulKonvensional
Perbezaan antara produk pembiayaan Islamik dan pinjaman konvensional

Pelaburan

Seperti juga produk deposit dan pembiayaan/pinjaman, terdapat juga perbezaan untuk pelaburan Islamik dan konvensional.

Pelaburan Islamik

Sistem kewangan Islamik (SPI) menggunakan konsep berkongsi keuntungan dan risiko. Konsep ini adalah adil, tidak berat sebelah iaitu tidak membebankan salah satu pihak antara pelabur atau pengusaha (bank). Seringkali konsep Syariah yang digunakan ialah kontrak Al-Mudharabah (pelaburan).

Dengan konsep ini, pelanggan adalah pelabur dan institusi kewangan atau bank sebagai pengusaha akan berkongsi keuntungan dengan pelabur sekiranya terdapat keuntungan dalam pelaburan. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat kerugian atas pelaburan tersebut – kos rugi akan ditanggung oleh pelanggan atau pelabur.

Ini selari dengan kaedah feqah yang menjelaskan tiada pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang tetap, iaitu setiap pelaburan mengandungi risiko.

Pelaburan Konvensional

Konsep pelaburan yang digunakan oleh perbankan konvensional pula adalah berbeza dengan pelaburan Islamik. Dalam sistem pelaburan konvensional, pihak pengusaha (bank atau institusi kewangan) menjanjikan pulangan tetap kepada pelanggan sebagai pelabur. Pulangan tetap ini adalah jelas sebagai riba dan haram di dalam kewangan Islam.

Sistem Perbankan IslamikSistem Perbankan Konvensional
ProdukAkaun pelaburan am/khasDeposit tetap
KonsepPrinsip Al-MudharabahTiada
PulanganPerkongsian keuntungan yang dipersetujui antara pelabur dan pengusahaFaedah tetap (Riba)
Perbezaan antara produk pelaburan Islamik dan pelaburan konvensional

Kelemahan perbankan Islamik berbanding perbankan konvensional

Berdasarkan maklumat di atas, jelas terdapat banyak kelebihan Sistem Perbankan Islamik (SPI) berbanding Sistem Perbankan Konvensional. Walau bagaimanapun, perbankan Islamik juga tidak dapat lari daripada beberapa kekurangan dan kelemahan.

Tetapi, harus diingat bahawa kelemahan dan kekurangan ini bukanlah berpunca daripada undang-undang Syariah yang telah ditetapkan oleh hukum Allah. Tetapi lebih kepada kelemahan berdasarkan pemahaman dan olahan undang-undang tersebut oleh manusia.

Antara kelemahan utama perbankan Islamik adalah terdapat institusi kewangan atau bank yang mengenakan caj pentadbiran atau pengurusan akaun terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Caj yang dikenakan ini kadang-kala terlalu tinggi dan hampir menyamai caj yang dikenakan oleh produk dan perkhidmatan perbankan konvensional.

Selain itu, syarat utama yang ditetapkan iaitu transaksi atau urus-niaga yang dilakukan dengan produk Islamik haruslah patuh Syarak dan halal. Dalam erti kata lain, pemilik kad kredit Islamik tidak boleh melakukan transaksi yang tidak halal seperti membeli minuman keras atau makanan yang tidak halal. Ini bukanlah sesuatu yang membebankan bagi Muslim, tetapi bagi pemilik produk perbankan Islam yang tidak beragama Islam, ini adalah kekangan utama untuk mereka menggunakan produk Sistem Perbankan Islamik.

Saya akan menyentuh tentang kontroversi dan mitos yang dikaitkan dengan perbankan Islamik pada artikel yang akan datang. Jangan teragak-agak untuk berkongsi pendapat atau ajukan pertanyaan berkaitan artikel ini di ruangan komen di bawah.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

7 Comments
Inline Feedbacks
View all comments