Perbezaan Penyatuan Hutang dan Pinjaman Bertindih

calendar-range
Dikirim 26/10/2023
(dikemaskini 21/12/2023)
Perbezaan Penyatuan Hutang dan Pinjaman Bertindih

Dalam dunia kewangan, terdapat pelbagai strategi dan kaedah yang boleh digunakan untuk mengurus dan membayar hutang. Sebelum ini saya telah menulis tentang strategi pengurusan pinjaman pada artikel lepas. Antara komponen yang sering digunakan dalam strategi ini ialah penyatuan hutang (debt consolidation) dan pinjaman bertindih (overlapping loan).

Walaupun kedua-dua strategi ini mungkin kelihatan sama, tetapi sebenarnya terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-duanya. Dalam artikel ini, kita akan melihat perbezaan utama antara pinjaman penyatuan hutang dan pinjaman bertindih, serta bagaimana kedua-dua strategi ini boleh digunakan untuk membantu anda mengurangkan beban hutang.

Apakah Penyatuan Hutang?

Penyatuan hutang atau debt consolidation adalah proses di mana anda mengambil satu pinjaman besar untuk membayar beberapa hutang atau pinjaman yang lebih kecil. Tujuan utama menggabungkan hutang seperti kad kredit atau pembiayaan peribadi adalah untuk mengurangkan pembayaran hutang dengan mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah.

Dalam kaedah penyatuan hutang, anda hanya perlu buat satu bayaran bulanan kepada institusi kewangan atau pemberi pinjam berbanding pelbagai bayaran setiap bulan kepada pemberi pinjaman yang berbeza.

Sebagai contoh, anda mempunyai 3 pinjaman peribadi dengan kadar faedah tahunan yang berbeza dari 3 institusi kewangan. Anda mohon dan lulus pinjaman penyatuan hutang yang baru dengan kadar faedah yang lebih rendah dari ketiga-tiga pelan pinjaman sebelum ini.

Anda boleh guna dana dari pinjaman penyatuan hutang tersebut untuk menyelesaikan baki ketiga-tiga pinjaman sebelum ini. Selepas itu anda hanya perlu bayar satu pinjaman sahaja dengan kadar yang lebih rendah.

Atau anda mempunyai lima kad kredit dengan baki dan kadar faedah yang berbeza. Anda boleh dapatkan pinjaman peribadi penyatuan hutang dengan kadar faedah yang lebih rendah untuk melunaskan semua baki kad kredit anda. Seterusnya, anda hanya perlu bayar pembiayaan yang baru, bukan lima pembayaran kad kredit.

Contoh Kiraan Debt Consolidation

Berikut adalah contoh pengiraan penyatuan hutang untuk memudahkan pemahaman.

Anda mempunyai tiga pinjaman peribadi dengan baki dan kadar faedah seperti berikut:

PinjamanBakiKadar FaedahTempoh PembiayaanAnsuran Bulanan
Pinjaman 1RM10,00010%5 tahunRM220
Pinjaman 2RM5,0008%3 tahunRM145
Pinjaman 3RM3,0007%2 tahunRM135

Jumlah keseluruhan baki hutang anda ialah RM18,000 dan jumlah bayaran bulanan ialah RM500. 

Anda boleh mohon pinjaman penyatuan hutang untuk menyatukan ketiga-tiga pinjaman tersebut kepada satu pembiayaan baru dengan kadar faedah yang lebih rendah. Sebagai contoh anda layak untuk mohon pelan pinjaman dengan kadar faedah 6% setahun dan tempoh pembiayaan 5 tahun.

Sekiranya lulus, anda hanya perlu bayar RM350 setiap bulan, berbanding RM600. Anda dapat menjimatkan RM150 untuk bayaran bulanan.

Apakah Pinjaman Bertindih?

Pinjaman bertindih atau overlapping loan adalah kaedah memohon pinjaman baru untuk melunaskan pinjaman sedia ada. Seperti juga penyatuan hutang, strategi ini sering digunakan apabila pinjaman baru menawarkan kadar faedah yang lebih rendah atau tempoh pembiayaan yang lebih panjang. Ada juga yang menggunakan pinjaman bertindih tersebut untuk mendapatkan tunai daripada pinjaman baru.

Contoh Kiraan Loan Overlap

Anda mempunyai satu pinjaman peribadi bank dengan ciri berikut:

BakiKadar FaedahTempoh PembiayaanAnsuran Bulanan
RM10,00010%5 TahunRM220

Pihak bank menawarkan pinjaman baru dengan kadar faedah yang lebih rendah, iaitu 6% setahun untuk tempoh pinjaman selama 5 tahun.

Anda mendapatkan pinjaman berjumlah RM10,000 dan bayaran bulanan anda selama 5 tahun hanya RM175. Anda boleh guna dana daripada pinjaman baru untuk menyelesaikan pinjaman lama. Dengan ini anda bukan sahaja dapat melunaskan hutang pinjaman lama, tetapi juga dapat buat bayaran bulanan yang lebih rendah.

Perbezaan Antara Penyatuan Hutang dan Pinjaman Bertindih

Walaupun kedua-dua strategi pengurusan hutang ini melibatkan permohonan pinjaman baru untuk melunaskan pinjaman atau hutang sedia ada, terdapat beberapa perbezaan ketara anda strategi ini.

Penyatuan hutang secara asasnya menggabungkan dua atau lebih hutang kepada satu, manakala pinjaman bertindih pula menggantikan pinjaman lama dengan pinjaman baru. 

Pinjaman bertindih atau loan overlap hanya boleh dimohon daripada institusi kewangan yang sama. Ini berbeza dengan penyatuan hutang di mana tidak ada syarat atau kekangan untuk mohon daripada institusi kewangan yang sama. 

Kaedah penyatuan hutang adalah pilihan yang tepat sekiranya anda mempunyai banyak hutang atau kredit, sama ada pinjaman atau hutang kad kredit. Kaedah pinjaman bertindih pula sesuai sekiranya anda hanya mempunyai satu pinjaman yang aktif.

Kelebihan dan Kekurangan Penyatuan Hutang

Strategi penyatuan hutang menawarkan beberapa kelebihan dan juga kekurangan. 

Kelebihan Penyatuan Hutang

  • Kaedah ini memudahkan anda mengurus bayaran bulanan. Dengan menggabungkan semua hutang menjadi satu, anda hanya perlu membuat satu bayaran balik setiap bulan. Ini boleh menjadikan pengurusan hutang lebih mudah dan teratur.
  • Mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah. Boleh dikatakan kebanyakan pinjaman penyatuan hutang menawarkan kadar faedah yang lebih rendah berbanding pinjaman yang tidak didatangkan ciri debt consolidation.
  • Membantu skor kredit. Strategi penyatuan hutang boleh membantu anda meningkatkan skor kredit kerana kaedah ini akan merendahkan nisbah penggunaan kredit, iaitu jumlah hutang keseluruhan berbanding jumlah kredit yang tersedia.

Kekurangan Penyatuan Hutang

  • Mungkin melibatkan kos dan yuran tambahan. Beberapa pinjaman penyatuan hutang mungkin mengenakan caj yuran awal atau yuran penyelesaian pinjaman yang boleh meningkatkan kos.
  • Tidak sesuai untuk hutang yang terlalu tinggi. Kaedah ini mungkin sesuai untuk mereka dengan hutang yang rendah atau sederhana. Walau bagaimanapun, mereka yang dibebani hutang yang terlalu tinggi mungkin sukar untuk lulus pinjaman penyatuan hutang. Jika lulus pun, mungkin akan dikenakan kadar faedah atau kadar keuntungan yang lebih tinggi.

Kelebihan dan Kekurangan Pinjaman Bertindih

Seperti juga strategi penyatuan hutang, pinjaman bertindih juga mempunyai kelebihan dan kekurangan yang perlu anda pertimbangkan jika anda ingin menggunakan kaedah ini.

Kelebihan Pinjaman Bertindih

  • Kadar faedah lebih rendah. Seperti juga penyatuan hutang, tujuan utama pinjaman bertindih adalah untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah daripada pinjaman sedia ada. Kadar faedah yang lebih rendah boleh membantu anda menjimatkan wang pada jangka masa panjang.
  • Bayaran bulanan lebih rendah. Dengan kadar faedah yang lebih rendah dan tempoh pinjaman yang lebih panjang, secara automatik bayaran bulanan anda menjadi lebih rendah. 
  • Selesaikan satu atau lebih hutang. Pinjaman bertindih juga boleh digunakan untuk melunaskan lebih daripada satu hutang. Tetapi kaedah ini tidak digalakkan kerana lebih sesuai sekiranya anda buat pinjaman penyatuan hutang sekiranya anda ingin menyelesaikan lebih daripada satu hutang.

Kekurangan Pinjaman Bertindih

  • Melibatkan kos tambahan. Seperti juga penyatuan hutang, pinjaman bertindih juga mungkin caj dan kos tambahan. Ini termasuk yuran pemprosesan, yuran penyelesaian awal, dan sebagainya.
  • Tempoh hutang bertambah. Jika anda memilih untuk merendahkan bayaran bulanan dengan memanjangkan tempoh bayaran balik, anda akan memanjangkan tempoh pembiayaan anda, dan ini adalah salah satu faktor yang perlu dielakkan untuk pengurusan kewangan berhemah.

Jadual Perbandingan Penyatuan Hutang dan Pinjaman Bertindih

Berikut adalah jadual lengkap perbandingan antara penyatuan hutang dan pinjaman bertindih.

Ciri-ciriPenyatuan HutangPinjaman Bertindih
DefinisiMenggabungkan beberapa hutang kepada satu pinjamanMengambil pinjaman baru untuk melangsaikan pinjaman sedia ada
TujuanMenjimatkan wang, memudahkan pembayaran bulanan, dan memudahkan pengurusan hutangMendapatkan kadar faedah yang lebih rendah, melanjutkan tempoh pembiayaan, menyelesaikan pinjaman sedia ada
KelayakanMemerlukan skor kredit yang baik dan nisbah hutang kepada pendapatan yang rendahMungkin lebih longgar dengan keperluan skor kredit dan nisbah hutang kepada pendapatan yang tidak terlalu ketat
Kadar FaedahSelalunya lebih rendah daripada pelan pinjaman yang tidak menawarkan ciri penyatuan hutangPerlu lebih rendah daripada pinjaman sedia ada
Tempoh Bayaran BalikLebih lama daripada tempoh bayaran balik pada pinjaman sedia adaLebih lama daripada tempoh bayaran balik pada pinjaman sedia ada
YuranMungkin mempunyai caj dan yuranMungkin mempunyai caj dan yuran
Kesan ke atas Skor KreditMemberi kesan kepada skor untuk sementara waktuMemberi kesan kepada skor untuk sementara waktu
Jadual perbandingan penyatuan hutang dan pinjaman bertindih

Memilih Antara Penyatuan Hutang dan Pinjaman Bertindih

Memilih antara pinjaman bertindih dan penyatuan memerlukan anda menilai situasi kewangan anda. Sekiranya anda mempunyai banyak pinjaman atau kad kredit dan sukar untuk buat bayaran bulanan, penyatuan hutang mungkin pilihan yang sesuai di mana anda boleh menggabungkan hutang-hutang tersebut kepada satu pinjaman, sekali gus merendahkan bayaran bulanan.

Tetapi, jika anda hanya mempunyai satu hutang dengan kadar faedah yang terlalu tinggi, pinjaman bertindih boleh membantu. Anda boleh mohon pinjaman baru dengan faedah atau keuntungan yang lebih rendah dan langsaikan pinjaman lama dengan pinjaman baru.

Untuk membantu lebih lanjut, berikut adalah beberapa faktor yang boleh anda pertimbangkan sebelum memilih untuk buat penyatuan hutang atau pinjaman bertindih.

  1. Nilai skor kredit anda. Sekiranya anda mempunyai skor kredit yang baik, anda mungkin layak mendapatkan pinjaman penyatuan hutang atau pinjaman bertindih dengan kadar faedah atau kadar keuntungan yang lebih rendah. Sebaliknya, jika skor kredit anda rendah atau anda mempunyai rekod kredit yang buruk, pihak institusi kewangan mungkin mengenakan kadar yang lebih tinggi.
  2. Kenal pasti nisbah hutang kepada pendapatan (debt to income ratio). Nisbah ini adalah jumlah hutang keseluruhan kepada pendapatan anda. Sekiranya nisbah hutang kepada pendapatan anda tinggi, sukar untuk anda mohon penyatuan hutang atau buat loan overlap.
  3. Nilai semula matlamat kewangan anda. Adakah anda ingin menjimatkan bayaran bulanan dengan kadar faedah yang lebih rendah? Memudahkan bayaran bulanan? Ingin menguruskan hutang dengan lebih berkesan? Ingin memanjangkan tempoh bayaran balik? Apabila anda tahu matlamat dan tujuan kewangan, anda dapat memilih antara kedua-dua strategi kewangan ini dengan lebih berkesan.

Penyatuan hutang dan pinjaman bertindih adalah dua strategi pengurusan kewangan yang berbeza dan digunakan untuk membantu mengurangkan beban hutang. Kedua-dua strategi ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, dan pilihan yang terbaik adalah bergantung kepada situasi kewangan anda. Sekiranya anda masih keliru, anda boleh dapatkan khidmat nasihat daripada pegawai yang menguruskan pinjaman atau penasihat kewangan.

Anda juga boleh lihat senarai pelan pinjaman peribadi penyatuan hutang, atau guna sistem Semak Kelayakan Pinjaman Peribadi yang kami sediakan untuk pilih pelan yang sesuai dengan kelayakan dan keperluan anda.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments