Kepentingan Perancangan Kewangan Peribadi

calendar-range
Dikirim 28/03/2022
(dikemaskini 21/12/2023)
Kepentingan perancangan kewangan peribadi

Semua orang tahu kepentingan perancangan kewangan peribadi, tambahan pula pada zaman yang serba mencabar akibat pandemik yang melanda. Pada artikel yang lepas saya telah menulis panduan pengurusan kewangan iaitu konsep menguruskan kewangan dan proses yang perlu dilakukan. Kali ini saya ingin berkongsi kenapa anda perlu merancang kewangan seberapa segera yang mungkin.

Maksud Perancangan Kewangan Peribadi

Secara ringkas, maksud perancangan kewangan peribadi boleh dijelaskan sebagai sebuah proses mewujudkan pelan kewangan yang merangkumi bajet, akaun simpanan, pengurusan hutang, pelaburan, perlindungan dan sebagainya.

Merancang kewangan adalah sesuatu yang penting. Proses ini bukan sekadar mengurangkan belanja, mengurus hutang anda, menyimpan duit lebih, atau melabur dalam ASB atau pelaburan jangka panjang.

Sebenarnya maksud perancangan kewangan peribadi lebih luas dan agak kompleks jika ingin dibincangkan dengan lebih mendalam.

Sekiranya anda ingin tahu lebih lanjut tentang konsep menguruskan kewangan, baca panduan Pengurusan Kewangan Peribadi yang telah saya kongsi sebelum ini.

Proses Perancangan Kewangan Peribadi

Begitu juga dengan proses perancangan kewangan peribadi yang juga telah saya terangkan dengan detail pada artikel sebelum.

Walau bagaimanapun, secara ringkas beberapa komponen yang terlibat dalam proses ini adalah:

  1. Mengenal pasti situasi kewangan atau menilai kedudukan kewangan semasa.
  2. Menetapkan matlamat kewangan yang ingin anda capai.
  3. Menyusun keutamaan perbelanjaan mengikut kepentingan – bezakan antara keperluan dan kehendak anda.
  4. Menyediakan pelan bajet yang lengkap.

Proses perancangan kewangan merupakan proses yang dinamik dan berterusan. Anda boleh baca lebih lanjut proses perancangan kewangan yang menyeluruh pada artikel panduan pengurusan kewangan peribadi.

Kepentingan Perancangan Kewangan Peribadi Dengan Efektif

Ramai individu atau keluarga yang ingin merancang kewangan mereka, tetapi masih rdi atas pagar kerana mereka tidak tahu betapa pentingnya merancang kewangan peribadi.

Kesan tiada pelan kewangan boleh dilihat ketika kegawatan ekonomi akibat kesan pandemik baru-baru ini.

Ramai yang kehilangan pekerjaan dan tidak mampu untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat tidak ada pelan kewangan atau tidak merancang kewangan sebelum ini. Tambahan lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan apabila pendapatan tidak lebih daripada gaji minimum yang diperlukan.

Malah ada juga yang terpaksa mengikuti Program Pengurusan Kredit di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Oleh itu jika anda masih ragu-ragu, berikut adalah 7 sebab utama kepentingan perancangan peribadi untuk diri sendiri dan keluarga.

Mudah mencapai kestabilan kewangan

Dengan mudah dapat mencapai kestabilan kewangan jika anda merancang dan mengurus kewangan dengan berhemah.

Dengan mencapai status kewangan yang stabil, sudah pasti hidup lebih terjamin dan masalah berkaitan kewangan dapat dikurangkan. Tambahan pula jika anda mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.

Boleh memenuhi keperluan perbelanjaan anda

Jika anda merancang kewangan dengan teliti, dengan mudah wang sentiasa cukup untuk keperluan perbelanjaan tanpa perlu risau.

Dengan pengurusan perbelanjaan yang teliti, anda boleh tahu apa yang dibelanjakan dengan terperinci berdasarkan penyata aliran tunai (cash flow).

Tiada lagi masalah dengan belanja bulanan kerana dah tahu berapa yang diperlukan untuk perbelanjaan harian atau bulanan anda.

Dapat mencapai matlamat kewangan

Semua orang mempunyai matlamat kewangan yang ingin dicapai. Di sinilah kepentingan perancangan kewangan peribadi memainkan peranan penting. 

Tidak kira sama ada matlamat tersebut untuk diri anda sendiri atau keluarga, anda boleh mencapainya dengan merancang dan mengurus kewangan dengan pelan dan perancangan yang teliti.

Apa yang penting anda perlu buat pelan yang bijak dan laksanakan pelan tersebut dengan berdisiplin supaya kehidupan berubah kepada lebih baik.

Lebih tinggi motivasi anda, lebih lancar proses yang dilalui dan lebih mudah mengelak krisis kewangan.

Sentiasa mempunyai simpanan yang mencukupi

Walaupun ramai yang menyimpan wang untuk masa hadapan atau kecemasan, seringkali simpanan tersebut tidak mencukupi kerana sering digunakan untuk kecemasan dan sebagainya.

Anda tidak akan mengalami situasi ini sekiranya anda menyimpan setelah merancang kewangan peribadi.

Pengurusan kewangan yang berhemah bukan sahaja memupuk tabiat menyimpan untuk diri anda sendiri, tetapi juga dapat mempengaruhi keluarga seperti anak-anak untuk menyimpan daripada kecil.

Mempunyai dana kecemasan

Anda tidak perlu lagi risau tidak ada wang untuk kecemasan. Ini kerana semasa semasa merancang kewangan anda akan menyediakan dana untuk kecemasan di dalam rancangan perbelanjaan. 

Kecemasan di merujuk kepada kesulitan seperti dtimpa penyakit, kereta rosak, dilanda bencana alam, dan sebagainya.

Mempunyai perlindungan insurans/takaful yang mencukupi 

Ramai yang merasakan membazir untuk mengambil perlindungan insurans kerana duit yang digunakan untuk bayar insurans atau Takaful boleh digunakan untuk belanja bulanan yang lain.

Tetapi sebenarnya perlindungan juga adalah salah satu daripada komponen dalam pengurusan kewangan peribadi.

Perlindungan dari insurans/takaful adalah perlu terutama pada masa sekarang di mana kos perubatan semakin meningkat dan kecelakaan boleh menimpa pada bila-bila masa sahaja.

Oleh itu, apabila mula merancang kewangan, anda akan memasukkan pelan insurans di dalam rancangan kewangan untuk memberi perlindungan kepada anda dan keluarga.

Mampu menanggung kos penjagaan kesihatan

Selain simpanan untuk kecemasan kesihatan dan perlindungan insurans atau Takaful, salah satu kepentingan perancangan kewangan peribadi adalah untuk membiayai kos penjagaan kesihatan.

Kos kesihatan yang dimaksudkan di sini adalah seperti yuran gim, alatan bersukan dan beriadah, makanan tambahan, vitamin dan sebagainya. 

Gaya hidup yang sihat juga penting untuk memastikan anda kekal cergas untuk mengelakkan risiko penyakit kronik, seterusnya mengurangkan perbelanjaan perubatan.

Bijak menguruskan hutang

Semua orang kalau boleh nak elak daripada berhutang. Tetapi, malangnya berhutang memang perlu pada masa sekarang. Sukar untuk mendapatkan keperluan hidup sekiranya tidak berhutang. 

Hutang seperti pinjaman dan pembiayaan peribadi, kereta, rumah, barangan dan sebagainya boleh dikatakan sudah menjadi kebiasaan. Jangan lupa, kad kredit juga adalah salah satu daripada bentuk hutang yang sering digunakan.

Sebenarnya, berhutang tak salah. Malah jika anda rancang kewangan dengan teliti, hutang boleh membantu dalam mencapai matlamat kewangan peribadi anda dengan lebih pantas. Perkara yang perlu ialah pengetahuan kewangan untuk pengurusan kredit yang berhemah dan tingkah laku kewangan positif.

Baca juga Teknik Snowball untuk bebas hutang.

Mencapai kebebasan kewangan

Boleh dikatakan semua orang mengimpikan kebebasan kewangan, atau financial freedom. Perkara ini boleh dikatakan adalah puncak bagi mereka yang pandai menguruskan kewangan.

Jangan keliru antara hidup bebas hutang dan kebebasan kewangan. Anda boleh mencapai kebebasan kewangan walaupun masih berhutang.

Dengan merancang perbelanjaan dan kewangan anda, tidak mustahil anda juga akan berjaya mencapai kebebasan kewangan.  

Menjalani kehidupan yang selesa selepas bersara

Siapa yang tak mahu hidup selesa selepas bersara. Setelah penat bekerja mencari pendapatan, sudah pasti ingin kehidupan yang santai dan tidak tertekan selepas kita bersara.

Perkara ini juga adalah salah satu sebab utama kenapa anda perlu rancang kewangan peribadi seawal mungkin. Lebih cepat buat perancangan, lebih mudah dapat menentukan bagaimana anda ingin hidup selepas bersara.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments