Penjamin Pinjaman – Baca Sebelum Anda Jadi Penjamin

calendar-range
Dikirim 03/11/2021
(dikemaskini 21/12/2023)
Penjamin pinjaman

Boleh tak tolong jadi penjamin pinjaman saya? Pernah tak saudara mara atau rakan-rakan meminta pertolongan anda untuk menjadi penjamin untuk pinjaman yang mereka ingin mohon.

Jika anda berada di dalam situasi ini, apakah tindakan yang tepat – adakah anda bersetuju untuk menjadi penjamin pinjaman tersebut, atau anda perlu tolak kerana tidak mahu menanggung risiko? Macam mana pula jika peminjam tidak mampu membayar bayar balik pinjaman?

Apa itu penjamin pinjaman?

Sebelum anda menimbangkan untuk menerima permintaan untuk menjadi penjamin atau tidak,  fahamkan dahulu apa yang dimaksudkan dengan penjamin pinjaman.

Penjamin dalam istilah kewangan adalah seseorang individu yang berjanji untuk membayar baki hutang peminjam sekiranya peminjam tersebut gagal untuk memenuhi tanggungjawab pinjaman mereka.

Dalam sesetengah kes, seorang penjamin juga boleh mengisytiharkan aset (tanah/rumah) mereka sebagai cagaran untuk pinjaman tersebut.

Kalau seseorang individu ingin memohon pinjaman, sama ada pinjaman peribadi , pinjaman rumah, pinjaman kereta dan sebagainya, pihak pemberi pinjaman iaitu institusi kewangan ( bank / koperasi / kredit komuniti ) boleh meminta pemohon menyediakan penjamin.

Situasi ini berlaku apabila peminjam tidak memenuhi kelayakan untuk mohon, atau kelayakan mereka tidak cukup kuat untuk meluluskan permohonan pinjaman tersebut. Contohnya individu baru bekerja dan ingin buat pinjaman untuk membeli kereta pertama mereka.

Permohonan pinjaman juga boleh memerlukan penjamin sekiranya jumlah pinjaman dimohon adalah terlalu tinggi dan melebihi jumlah dibenarkan.

Oleh kerana pemiutang iaitu pihak institusi kewangan yang berkaitan tidak mahu menanggung risiko peminjam gagal buat bayaran, mereka memerlukan penjamin atau guarantor untuk memastikan tiada risiko perlu ditanggung sekiranya situasi ini berlaku.

Siapa boleh jadi penjamin?

Syarat menjadi penjamin

Tidak semua individu layak jadi penjamin. Secara ringkas berikut ialah syarat kelayakan untuk jadi penjamin pinjaman.

  1. Berumur 18 tahun ke atas.
  2. Berfikiran waras dan berkeupayaan dari segi mental untuk memahami tanggungjawab, dokumen dan kewajipan sebagai seorang penjamin.
  3. Tidak dipaksa untuk menjadi penjamin, iaitu bersetuju secara sukarela tanpa dipaksa, ditipu, dan berlaku kesilapan.
  4. Tidak berstatus muflis.

Syarat menjadi pinjaman di atas mungkin nampak mudah. Tetapi, walaupun anda memenuhi kelayakan di atas, tidak semestinya pihak institusi kewangan akan meluluskan permohonan menjadi penjamin.

Mereka tetap akan menilai faktor-faktor lain seperti pendapatan, komitmen, rekod kredit, sejarah kredit, dan sebagainya.

Jika penjamin itu sendiri mempunyai komitmen yang tinggi, dibebani hutang, tidak mempunyai aset yang boleh dicagarkan – besar kemungkinan permohonan untuk menjadi penjamin pinjaman akan ditolak.

Jenis-jenis penjamin pinjaman

Terdapat dua jenis atau kategori penjamin di Malaysia, iaitu penjamin sosial dan penjamin biasa, atau hanya dikenali sebagai penjamin. Jom kita lihat perbezaan antara kedua-dua kategori ini.

Penjamin sosial

Penjamin sosial adalah individu yang memberi jaminan kepada peminjam bukan untuk tujuan keuntungan atau komersial.

Penjamin yang termasuk di dalam kategori ini ialah pendidikan (sambung belajar), penyelidikan, transaksi sewa beli kenderaan untuk kegunaan persendirian (pinjaman kereta), dan transaksi gadai janji perumahan (pinjaman rumah) sebagai tempat tinggal bukan kediaman suami atau isteri peminjam.

Penjamin bukan sosial

Penjamin yang tidak termasuk di dalam kategori penjamin sosial hanya dikenali sebagai penjamin bukan sosial atau penjamin biasa. Contoh penjamin biasa ialah penjamin pinjaman peribadi, pinjaman komersial, atau pinjaman perniagaan.

Jaminan bersama dan berasingan

Terdapat juga kategori jaminan bersama, dan jaminan bersama dan berasingan. Jaminan bersama merujuk kepada kontrak melibatkan lebih daripada seorang penjamin.

Apabila salah seorang penjamin meninggal dunia, penjamin-penjamin selebihnya akan menanggung hutang tersebut.

Manakala untuk jaminan bersama dan berasingan pula, sekiranya salah seorang penjamin meninggal dunia, estet si mati dan penjamin-penjamin lain akan bertanggungjawab terhadap hutang tersebut.

Beza antara penama dan penjamin

Ramai juga bertanya apakah perbezaan antara penama dan penjamin.

Penama adalah situasi di mana individu lain menggunakan nama anda sebagai peminjam. Sebagai contoh, ada rakan atau ahli keluarga yang telah disenaraihitam (blacklist) oleh bank, atau institusi kewangan dan tidak dapat buat pinjaman.

Beliau meminta pertolongan untuk menggunakan nama anda sebagai pemohon pinjaman, tetapi bayaran ansuran bulanan beliau akan bayar.

Jadi anda sebagai penama akan buat permohonan pinjaman dengan bank. Segala urusan dan dokumen adalah di atas nama anda, bukan nama rakan.

Sekiranya beliau gagal buat bayaran bulanan, segala tanggungjawab anda tanggung bagi pihak beliau. Ini kerana hanya anda yang berurusan dengan bank, bukan beliau.

Penjamin pula adalah seperti yang saya telah tulis pada permulaan artikel ini. Jadi jelas, terdapat perbezaan ketara antara penama dan penjamin.

Hak sebagai penjamin

Sekiranya anda bersetuju untuk menjadi penjamin, anda diberi beberapa hak tertentu. Hak sebagai penjamin ini adalah untuk melindungi dan berlaku adil kepada penjamin.

Sebelum tandatangan

  • Anda mempunyai hak untuk mendapatkan nasihat guaman sebelum menandatangani sebarang kontrak jaminan. Walau bagaimanapun, kos atau fi guaman perlu anda tanggung sendiri.
  • Anda boleh memohon untuk mendapatkan salinan surat dan kontrak jaminan atau sebarang dokumen berkaitan pinjaman tersebut dari pihak institusi kewangan.

Selepas tandatangan

  • Anda boleh mohon untuk mendapatkan maklumat terkini akaun pinjaman seperti baki tertunggak dan sebagainya selepas mendapat kebenaran daripada peminjam.
  • Anda juga boleh minta peminjam buat bayaran balik hutang pinjaman untuk melepaskan tanggungan anda sebagai penjamin. Anda perlu menggunakan hak ini sebelum institusi kewangan yang berkaitan mengeluarkan notis tuntutan pinjaman. Tetapi, hak ini akan tertakluk kepada syarat pinjaman.
  • Hak untuk menuntut bayaran ganti rugi daripada peminjam untuk sebarang pembayaran yang telah anda buat kepada pemiutang, termasuk kos guaman. Dalam erti kata lain, anda boleh dakwa peminjam untuk jumlah yang telah anda bayar.

Risiko jadi penjamin

Banyak risiko perlu anda tanggung jika anda pilih untuk jadi penjamin. Malah dalam sesetengah situasi, risiko yang perlu anda tanggung lebih daripada yang ditanggung oleh peminjam itu sendiri.

Paling utama ialah jika peminjam tak dapat bayar balik hutang, sudah pasti anda yang kena bayar pinjaman tersebut. Jangan kerana nak bantu kawan baik dapat kereta idaman, anda pula yang perlu tanggung hutang kemudian hari.

Kesan kepada rekod dan skor kredit

ctos dan ccris

Jadi penjamin pun masuk dalam rekod CCRIS dan CTOS – ramai yang tak tahu perkara ni. Walaupun anda tidak ada rekod pinjaman, nama anda akan dimasukkan dalam rekod kredit CCRIS anda sebaik sahaja anda bersetuju jadi penjamin. Tidak kisahlah penjamin kereta atau rumah.

Bila dah masuk dalam rekod CCRIS, automatik akan masuk dalam CTOS dan ini secara langsung akan mempengaruhi skor kredit anda.

Liabiliti anda sebagai penjamin akan dikira sebagai komitmen anda dalam CCRIS dan CTOS.

Kesan kepada sejarah kredit ini akan anda rasa apabila anda ingin mohon pinjaman bank atau kad kredit. Pihak institusi kewangan mungkin sukar untuk meluluskan permohonan pinjaman anda selepas mengambil kira komitmen anda sebagai penjamin.

Dalam sesetengah kes, walaupun permohonan yang dimohon lulus, pihak institusi kewangan akan mengenakan caj kadar faedah yang lebih tinggi berbanding biasa.

Ini bukan hanya untuk pinjaman peribadi, tetapi juga untuk loan kereta dan pinjaman perumahan.

Aset boleh disita

Kegagalan anda untuk membayar balik hutang sebagai penjamin mungkin menyebabkan pihak pemiutang seperti bank menyita aset-aset anda untuk menyelesaikan baki pinjaman.

Tetapi, ini adalah kes serius dan perlu melalui beberapa proses undang-undang sebelum pihak institusi kewangan boleh merampas aset penjamin.

Terikat dengan hutang pinjaman

Perceraian, putus kawan, dan kematian adalah antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan penjamin menanggung hutang pinjaman. Jika ini berlaku, anda terikat dengan pinjaman tersebut dan terpaksa menanggung kos untuk buat bayaran balik.

Anda mungkin boleh berbincang dengan pihak institusi kewangan dan memohon untuk membatalkan diri sebagai penjamin. Namun demikian, kata putus sepenuhnya adalah bergantung kepada pihak institusi.

Seringkali terjadi mereka akan menolak permohonan anda kerana tidak mahu menanggung kerugian.

Ini bermakna anda tidak ada pilihan lain selain memikul tanggungjawab anda sebagai penjamin dan berusaha untuk menyelesaikan pinjaman tersebut.

Lebih malang lagi sekiranya bank melepaskan tanggungjawab kepada pihak ketiga seperti agen kutip hutang. Sudah pasti anda akan dikejar setiap masa.

Risiko muflis

Sebelum tahun 2017, seseorang individu boleh diisytiharkan sebagai muflis sekiranya mempunyai hutang sebanyak RM30,000 atau lebih.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2016 kerajaan telah meminda Akta Kebankrapan 1967 untuk mengurangkan jumlah kes kebankrapan.

Pindaan akta kebankrapan ini melibatkan had minimum kebankrapan dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM50,000. Melalui pindaan akta ini juga, pemiutang tidak boleh lagi mengisytiharkan status bankrap terhadap penjamin sosial.

Kerajaan juga memperkenalkan mekanisme pelepasan automatik di mana individu muflis boleh dilepaskan selepas tiga tahun jika memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Walau bagaimanapun, penjamin bukan sosial atau penjamin biasa masih menanggung risiko untuk di isytihar bankrap jika tak mampu bayar balik pinjaman. Cuma, proses untuk nak bankrapkan penjamin lebih sukar berbanding sebelum ini.

Selain itu, bank perlu buktikan yang mereka telah melakukan usaha untuk mengutip hutang daripada peminjam terlebih dahulu, dan perlu menunggu sekurang-kurangnya 6 tahun selepas tarikh hantar tuntutan pertama terhadap penjamin tersebut.

Banyak kekangan sekiranya anda di isytihar bankrap. Selepas anda muflis, kesemua aset anda akan berada di bawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI). Anda juga tidak boleh bebas bergerak ke luar negara tanpa kebenaran bertulis daripada KPI.

Akaun bank anda akan dinyahaktif, dan anda tidak boleh buat pengeluaran wang yang lebih. Anda juga dihadkan dalam menggunakan kad kredit – tidak boleh berbelanja lebih daripada RM1,000.

Bidang pekerjaan juga dihadkan. Anda tidak boleh bekerja dalam profesion yang mempunyai sekatan oleh persatuan profesional atau pihak berkuasa.

Walaupun penjamin sosial tidak boleh diisytiharkan muflis, mereka masih terikat dengan perlaksanaan undang-undang lain seperti Writ or Seizure and Sale (WSS), Orang Digarnis (Garnishee Proceeding), dan Saman Penghutang Kehakiman.

Sebelum anda turunkan tandatangan

Jika anda dah tahu risiko sebagai penjamin, tetapi masih nak jadi penjamin – berikut ialah perkara-perkara yang perlu anda beri perhatian sebelum anda sign agreement sebagai penjamin.

Sebelum turunkan tandangan penjamin

Fahami pinjaman tersebut

Pastikan anda faham sifat dan tujuan pinjaman yang ingin anda jamin.

Tanya peminjam apa tujuan sebenar mereka nak buat pinjaman. Jangan malu atau segan untuk bertanya kenapa mereka perlukan penjamin.

Jika peminjam memerlukan penjamin kerana syarat kelayakan mereka tidak cukup kuat, sudah pasti anda harus berfikir lebih lanjut sama ada anda ingin turunkan tandatangan atau tidak.

Begitu juga jika pinjaman yang ingin dimohon melebihi had yang dibenarkan. Sudah pasti anda sendiri akan teragak-agak untuk bersetuju.

Semak juga faedah pinjaman tersebut. Kadar faedah pinjaman tinggi sudah pasti akan bertambah jumlahnya dan menyukarkan bayaran balik.

Semak dokumen dengan teliti

Baca dokumen yang diberikan dari mula sampai habis – jangan abaikan dan terus tandatangan. Menurut undang-undang, jika anda tidak membaca dokumen sebelum menurunkan tandatangan, anda sukar untuk mendapat pembelaan jika dicabar di mahkamah.

Sekiranya anda masih kurang jelas selepas menyemak dokumen, lebih baik anda dapatkan nasihat peguam untuk mengelak sebarang implikasi undang-undang pada masa hadapan.

Jangan takut untuk menolak permintaan peminjam sekiranya anda rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan proses pinjaman tersebut. Walau bagaimanapun, tolaklah secara baik untuk menjaga hati semua pihak.

Lihat kemampuan anda

Walaupun anda berharap peminjam dapat buat bayaran ansuran bulanan tanpa sebarang masalah, lihat juga kemampuan anda sekiranya perkara buruk berlaku.

Adakah anda mampu untuk menyelesaikan pinjaman tersebut sekiranya peminjam gagal nak buat bayaran bulanan? Jika tak mampu, lebih baik anda tolak dari jadi penjamin.

Kenal pasti risiko sebagai penjamin

Baca semula bahagian risiko penjamin di atas. Fahamkan betul-betul risiko yang harus anda tanggung sekiranya peminjam gagal membayar semula pinjaman.

Jika anda rasa anda boleh menanggung risiko-risiko tersebut, maka tiada masalah untuk anda turunkan tandatangan.

Jangan tandatangan

Jangan sign agreement guarantor sekiranya:

  • Anda dapati pinjaman tersebut tidak perlu kepada peminjam, tidak beri manfaat kewangan kepada peminjam, akan digunakan untuk tujuan tidak bermoral;, atau anda ragu-ragu dengan pinjaman tersebut.
  • Anda ragu-ragu dengan kemampuan peminjam untuk menyelesaikan pinjaman tersebut.
  • Anda rasa anda seperti didesak dan dipaksa untuk menjadi penjamin.
  • Anda tidak faham syarat-syarat pinjaman dan tidak mendapatkan khidmat nasihat peguam.
  • Anda yakin tidak mampu menjelaskan hutang pinjaman sekiranya peminjam gagal.

Anda harus betul-betul faham selepas anda menandatangani dokumen sebagai penjamin, anda akan terikat dengan kontrak pinjaman dan sebarang urusan akan melalui prosedur undang-undang.

Sebarang risiko anda yang akan tanggung nanti. Jadi timbangkan betul-betul sebelum sign – buat keputusan dengan bijak.

Soalan yang sering ditanya

Berikut ialah soalan-soalan yang sering ditanya berhubung penjamin pinjaman.

Adakah tanggungan hutang penjamin sama seperti peminjam?

Benar. Jumlah tanggungan hutang yang perlu ditanggung oleh penjamin adalah sama seperti peminjam seperti yang telah dipersetujui di dalam perjanjian pinjaman.

Bolehkah peminjam meletakkan nama penjamin tanpa persetujuan?

Tidak boleh. Penjamin perlu menandatangani perjanjian (sign agreement) sebelum permohonan pinjaman diterima. Jadi pihak pemiutang tidak akan memproses permohonan sekiranya tidak mendapat tandatangan daripada penjamin.

Apa akan berlaku sekiranya penjamin meninggal dunia?

Selalunya pihak pemiutang/institusi kewangan tidak akan menganggu keluarga penjamin kerana mereka tidak ada kena mengena di dalam pinjaman. Kemungkinan yang berlaku ialah pihak pemiutang akan meneruskan kutipan daripada peminjam asal. Namun demikian, jika penjamin adalah jenis jaminan bersama dan berasingan, penjamin lain akan memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan hutang tersebut.

Bolehkah penjamin menandatangani perjanjian tanpa perlu pergi ke bank?

Biasanya tidak boleh. Perlu ada hitam putih di dalam perkara ini, di mana penjamin perlu kunjungi pihak institusi kewangan (bank/koperasi/pinjaman berlesen) untuk menurunkan tandatangan terhadap perjanjian pinjaman.

Bolehkah pihak institusi kewangan (bank/koperasi/kredit komuniti) buat tuntutan ke atas penjamin sekiranya perjanjian pinjaman asal sudah tidak sah?

Sekiranya berlaku perubahan terhadap perjanjian pinjaman asal yang buat pinjaman tersebut tidak sah, jaminan juga menjadi tidak sah. Oleh itu pihak pemiutang tidak dapat buat tuntutan bayar balik daripada penjamin.

Bolehkah penjamin tidak sanggup bayar hutang dan ingin menarik diri daripada kontrak pinjaman?

Boleh. Tetapi perkara ini harus diluluskan oleh institusi kewangan terlibat. Mereka mungkin bersetuju tetapi meminta anda untuk perkenalkan penjamin baru, Mereka juga boleh menolak atau meminta anda untuk menyelesaikan pinjaman sebelum menarik diri.

Apa berlaku sekiranya terdapat perubahan kepada kontrak perjanjian asal seperti tambahan pinjaman?

Apabila berlaku tambahan pinjaman kepada kontrak asal, tambahan tersebut memerlukan penjamin baru.

Bolehkah penjamin sosial di saman?

Boleh. Walaupun penjamin sosial tidak boleh di isytihar muflis, mereka masih boleh di saman atau masih terikat dengan proses Sitaan dan Jualan Harta, Saman Penghutang Penghakiman, atau Rampasan Baki Akaun Bank.

Adakah penjamin biasa boleh di isytihar bankrap?

Ya. Penjamin bukan sosial boleh dikenakan tindakan kebankrapan oleh institusi kewangan jika gagal bayar balik pinjaman atau melangsaikan jumlah terhutang.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

19 Comments
Inline Feedbacks
View all comments