Penipuan Kad Kredit di Malaysia – Elak Jadi Mangsa

calendar-range
Dikirim 06/05/2024
Penipuan kad kredit

Kad kredit adalah salah satu kaedah yang mudah untuk mengurus kewangan. Walau bagaimanapun, kemudahan ini datang dengan ancaman tersembunyi, iaitu penipuan kad kredit. Pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mencari cara baru untuk mencuri wang anda, dan ‘credit card fraud’ adalah salah satu penipuan yang sering digunakan.

Panduan kali ini akan mendalami jenis-jenis penipuan kad kredit yang selalu digunakan, terutama di Malaysia. Melalui panduan ini anda akan dapat mengenal pasti jenis penipuan dan bagaimana untuk melindungi diri anda.

Memahami Penipuan Kad Kredit di Malaysia

Terdapat pelbagai teknik yang digunakan oleh scammer untuk melakukan penipuan kad -kredit. Tetapi, beberapa teknik menipu yang sering digunakan di Malaysia adalah seperti berikut.

  • Skimming – Teknik ini melibatkan kecurian data jalur magnetik kad anda dengan menggunakan peranti atau perkakasan khas. Peranti ini dipasang pada mesin ATM, CDM, atau pembaca card (card reader). Penjenayah kemudiannya menggunakan data yang dicuri untuk buat kad palsu. Untuk mengelak daripada menjadi mangsa skimming, anda perlu berhati-hati ketika mengeluarkan duit di mesin ATM atau semasa menggunakan pembaca kad kredit.
  • Card Not Present (CNP) – CNP terjadi apabila maklumat kad kredit anda dicuri dalam talian dan digunakan untuk melakukan transaksi pembelian yang tidak dibenarkan tanpa kehadiran kad fizikal. Maklumat kad anda selalunya diperolehi melalui teknik phishing E-Mel atau kecurian data (data breach). Pastikan anda hanya melayari dan menggunakan laman web yang boleh dipercayai untuk membeli-belah dalam talian. Jika boleh, elakkan daripada menggunakan Wi-Fi awam untuk transaksi yang melibatkan kad kredit, atau transaksi bank.
  • Berlaku juga penipuan kad kredit di mana pemegang kad itu sendiri yang menipu. Dalam kes ini, pemegang kad buat pembelian yang sah dengan kad kredit, tetapi kemudiannya melaporkan pembelian tersebut sebagai tidak sah kepada bank untuk mendapatkan bayaran balik.

Ancaman Penipuan Kad Kredit Yang Semakin Berkembang

Berhati-hati ketika melakukan transaksi online
Berhati-hati ketika melakukan transaksi online

Penjenayah semakin canggih dan sering mencipta teknik baru untuk melakukan penipuan. Terdapat beberapa teknik penyelewengan kad kredit terbaru yang perlu anda beri perhatian.

  • Laman web e-Dagang palsu – Laman web yang dibangunkan oleh penjenayah dengan tujuan utama untuk mencuri data kad kredit mangsa. Laman-laman ini selalunya menyerupai laman yang sah. Mangsa yang kurang peka akan memasukkan maklumat kad mereka ketika buat pembelian tanpa menyedari mereka memberi maklumat kepada penjenayah.
  • Serangan Malware – Perisian berbahaya (malware) yang dimuat turun melalui pautan atau attachment yang mencurigakan boleh mencuri maklumat kad kredit yang disimpan di peranti anda. Pastikan anda hanya muat turun dan pasang aplikasi dari sumber yang boleh dipercayai, dan elakkan daripada melayari atau klik pautan dan attachment yang tidak dikenali.
  • Serangan Brute-force – Penjenayah akan menggunakan perisian khas yang boleh meneka kata laluan anda untuk log masuk ke akaun dalam talian anda. Jika berjaya, mereka dengan mudah dapat mengakses maklumat kad kredit anda dan menggunakannya untuk aktiviti penipuan.
  • Merampas akaun – Taktik penipuan ini menggunakan teknik ‘social engineering’ seperti menyamar sebagai pegawai bank atau wakil khidmat pelanggan melalui panggilan telefon. Penjenayah akan mempengaruhi mangsa untuk mendedahkan maklumat kad kredit yang kemudiannya akan digunakan untuk aktiviti penipuan.
  • Penipuan akaun baru – Penipuan ini melibatkan permohonan kad kredit baru menggunakan maklumat peribadi individu yang dicuri. Sentiasa semak laporan kredit anda untuk mengelak daripada menjadi mangsa taktik ini.
  • Penipuan transaksi tanpa sentuh – Sistem contactless payment dengan teknologi tap-and-pay memang memudahkan urusan bayaran. Tetapi, teknologi ini juga terdedah kepada bahaya kecurian elektronik. Penjenayah boleh menggunakan pengimbas khas untuk mencuri maklumat kad kredit apabila mereka berada dekat dengan mangsa.
  • Mengintai – Penjenayah mengintai mangsa memasukkan maklumat kad kredit di terminal pembayaran atau nombor PIN di mesin ATM tanpa disedari mangsa. Sentiasa berwaspada terhadap persekitaran anda terutama transaksi yang melibatkan maklumat sulit.

Mengurangkan Risiko Ditipu

Dengan memahami taktik penipuan kad kredit yang digunakan oleh penjenayah, anda secara tidak langsung boleh mengurangkan risiko menjadi mangsa. Anda boleh baca panduan terperinci bagaimana untuk melindungi maklumat kad kredit anda dan tip keselamatan yang boleh diamalkan melalui artikel Keselamatan Kad Kredit dan Kad Debit. Jika anda ingin mengambil tahu tentang teknologi terbaru yang diimplementasikan ke atas kad kredit, baca artikel Ciri Keselamatan Terbaru Kad Kredit.

Kesimpulan

Penipuan kad kredit adalah jenayah yang semakin serius. Dengan sentiasa peka terhadap taktik-taktik yang digunakan oleh penjenayah, anda boleh mengurangkan risiko menjadi mangsa. Jangan lupa untuk membaca artikel-artikel sampingan berhubung keselamatan kad kredit yang telah saya kongsi di atas untuk menggunakan kad anda dengan lebih yakin.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments