Ciri Keselamatan Kad Kredit Terbaru di Malaysia – Berbelanja Dengan Selamat

calendar-range
Dikirim 03/05/2024
(dikemaskini 08/05/2024)
Ciri keselamatan kad kredit terbaru di Malaysia

Kad kredit telah menjadi sebahagian alatan kewangan penting dalam kehidupan kita di Malaysia dengan menawarkan cara yang mudah dan selamat untuk buat pembelian. Sama ada anda membeli-belah dalam talian atau ‘swipe’ kad di pasar raya, kad kredit memberi tahap fleksibiliti yang tidak dapat dicapai dengan wang tunai. Walau bagaimanapun, kemudahan ini datang dengan tanggungjawab untuk melindungi diri anda daripada penipuan kad kredit.

Ciri keselamatan kad kredit sentiasa berubah, dengan ciri keselamatan inovatif yang dibangunkan untuk memerangi taktik penipuan yang semakin canggih. Walaupun ciri-ciri seperti teknologi cip dan ‘one time password (OTP)’ sudah menjadi kebiasaan, penting untuk anda sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan terkini dalam bidang keselamatan kad kredit.

Memahami Ciri Keselamatan Kad Kredit Secara Umum

Sebelum meneroka teknologi keselamatan kad kredit terbaru, apa kata kita lihat terlebih dahulu teknologi yang sudah digunakan oleh semua kad. Anda mungkin sudah biasa dengan ciri-ciri ini yang merupakan asas kepada fungsi keselamatan kad kredit.

  • Teknologi Cip EMV – Cip yang dilengkapkan dengan kad kredit ini menjana kod unik untuk setiap transaksi kad. Fungsi ini menyukarkan penipu atau scammer untuk menyalin maklumat kad anda.
  • One-Time Passwords (OTP) – Apabila anda melakukan transaksi dalam talian dengan kad anda, anda mungkin diminta untuk memasukkan kata laluan yang dihantar melalui SMS atau aplikasi perbankan mudah alih di telefon anda. Langkah keselamatan tambahan ini menyekat transaksi palsu daripada berlaku.

Kedua-dua ciri ini adalah ciri keselamatan yang telah diimplementasikan sejak dahulu lagi terhadap kad kredit dan digunakan untuk menjadikan transaksi kad kredit lebih selamat.

Ciri Keselamatan Kad Kredit Terbaru di Malaysia

Walaupun ciri-ciri keselamatan kad kredit seperti cip EMV dan OTP sangat membantu, bank dan pengeluar kad kredit di Malaysia sentiasa mengambil langkah proaktif dan memperkenalkan teknologi keselamatan terbaru mengurangkan kes penipuan berkaitan kad kredit.

Berikut adalah antara beberapa fungsi keselamatan kad kredit terbaru yang sedang diimplementasikan di negara kita.

Pengesahan Biometrik

Bayangkan menggunakan cap jari atau imbasan wajah untuk mengesahkan transaksi kad kredit anda. Situasi ini nampak seperti babak dalam filem sains fiksyen, tetapi, konsep ini hampir menjadi kenyataan. Terdapat beberapa bank yang menawarkan ciri keselamatan ini dengan kad kredit mereka.

Teknologi ini menambah lapisan keselamatan dengan menggunakan ciri fizikal pemegang kad, menjadikan hampir mustahil untuk pihak ketiga menyamar dan menggunakan identiti anda untuk melakukan transaksi palsu.

Kod CVV Berubah

Kod keselamatan tiga digit (CVV) yang dipaparkan di belakang setiap kad kredit dan kad debit adalah antara ciri keselamatan penting, terutama dalam transaksi dalam talian. Walau bagaimanapun, nombor CVV ini boleh terdedah dan digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, pihak  bank sedang membangunkan konsep kod CVV yang sentiasa berubah. Kod ini berubah mengikut jangka masa tertentu, sekali gus mengurangkan risiko transaksi kad kredit palsu, terutama untuk pembelian atas talian jika kod CVV anda terdedah.

Contoh kad kredit yang menggunakan fungsi kod CVV berubah ialah kad kredit RHB Rewards Motion Code. Kod CVV pada kad ini berubah setiap 4 jam.

Pemantauan Penipuan Secara Real-time

Penipu dan scammer sentiasa mencuba taktik terbaru untuk menipu. Namun begitu, bank dan pengeluar kad kredit di Malaysia sedang mencuba sistem pemantauan penipuan secara real-time untuk melawan taktik terbaru scammer.

Sistem ini memantau pola perbelanjaan kad kredit anda dan menggunakan algoritma yang kompleks untuk mengenal pasti jika terdapat transaksi yang mencurigakan. Jika sistem ini mengesan cubaan untuk menipu, bank mungkin akan menghubungi anda serta merta untuk buat pengesahan, atau menyekat kad anda serta merta untuk mengurangkan kerugian.

Kawalan Berdasarkan Lokasi

Kes penipuan kad kredit bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi lebih meluas di luar negara. Tidak mustahil maklumat kad anda dicuri dan digunakan untuk transaksi di luar negara.

Situasi ini boleh dicegah dengan ciri keselamatan kad kredit yang mengawal kad anda berdasarkan lokasi. Dengan teknologi ini, pemegang kad kredit boleh menghadkan transaksi yang dibenarkan berdasarkan lokasi. Contohnya anda boleh membenarkan kad anda digunakan hanya untuk transaksi di Malaysia, dan sebaliknya.

Ciri keselamatan kad kredit ini sangat berguna jika anda sering melancong ke luar negara untuk mengelak kad anda digunakan untuk penipuan antarabangsa.

Kawalan Kad Dengan Aplikasi Perbankan

Kebiasaannya, anda perlu menelefon bank untuk melaporkan kehilangan kad atau untuk menyekat penggunaan kad. Walau bagaimanapun, pada masa sekarang, kebanyakan bank telah memperkenalkan fungsi kawalan kad kredit dalam aplikasi perbankan mudah alih mereka.

Aplikasi ini selalunya didatangkan dengan ciri seperti:

  • Menyekat penggunaan kad – Jika anda mengesyaki kad anda hilang atau dicuri, anda boleh menyekat dan membatalkan kad anda dengan segera melalui aplikasi ini.
  • Menetapkan had perbelanjaan – Anda juga boleh menetapkan had perbelanjaan yang dibenarkan untuk kad anda. Fungsi ini bukan sahaja dapat mengelak penipuan kad, tetapi juga boleh membantu pengurusan kewangan.
  • Menerima makluman real-time – Sentiasa peka dengan aktiviti kad anda melalui makluman yang dihantar melalui aplikasi perbankan, terutama untuk transaksi kad kredit. Ciri ini membantu anda mengenal pasti transaksi yang tidak dibenarkan dengan lebih awal.

Maybank menawarkan ciri Kill Switch melalui aplikasi MAE dan sistem perbankan Maybank2u. Ciri membenarkan anda menyekat kad serta-merta jika mengesyaki berlaku transaksi mencurigakan. Laman web fungsi Kill Switch Maybank.

Ciri Keselamatan KeteranganKelebihan
Pengesahan BiometrikPenggunaan cap jari atau imbasan wajah untuk mengesahkan transkasi kadMeningkatkan keselamatan, mengurangkan bergantung kepada PIN atau kata laluan
CVV BerubahKod 3 digit CVV yang berubah secara automatik pada masa tertentuMengurangkan risiko transaksi palsu terutama untuk transaksi dalam talian jika CVV terdedah.
Pemantauan masa nyataAlgoritma canggih yang memantau setiap transaksi kad kredit dalam masa nyata (real time)Mencegah transaksi palsu sebelum ianya berlaku.
Kawalan berdasarkan lokasiMenghadkan transaksi kepada lokasi tertentu sahajaMencegah transaksi yang tidak dibenarkan di luar negara.
Kawalan aplikasi perbankan mudah alihMengawal keselamatan kad kredit melalui aplikasi perbankan (menyekat kad, menghadkan jumlah transaksi, menerima makluman transaksi)Memberi lebih kawalan kepada pemegang kad, membenarkan tindakan lebih pantas jika kad kredit hilang atau dicuri
Jadual: Ciri keselamatan kad kredit dan keterangan

Kelebihan Menggunakan Ciri-Ciri Terbaru Ini

Ciri-ciri keselamatan kad kredit terbaru ini menawarkan pelbagai kelebihan dan manfaat kepada pengguna kad kredit. Dengan ciri-ciri ini, bukan sahaja anda dapat berbelanja dengan lebih tenang, tetapi juga dapat mengawal perbelanjaan kad kredit anda dengan lebih berkesan.

Selain itu, anda juga dapat menikmati kelebihan-kelebihan ini:

  • Meningkatkan keselamatan – Pengesahan biometrik, kod CVV yang berubah, dan pemantauan real-time memainkan peranan antara satu sama lain untuk membentuk perisai keselamatan yang lebih kukuh terhadap transaksi kad kredit palsu. Ciri-ciri ini menyukarkan penipu untuk mengeksploitasi kelemahan kad dan mencuri wang anda.
  • Mengurangkan risiko penipuan kad kredit dalam masa nyata– Ciri seperti kawalan berdasarkan lokasi dan keupayaan untuk menyekat kad serta-merta melalui aplikasi perbankan membenarkan anda untuk bertindak segera sekiranya berlaku penipuan. Faktor ini sekali gus mengurangkan risiko kerugian oleh aktiviti penipuan.
  • Kawalan yang lebih ketat – Kawalan kad kredit melalui aplikasi perbankan mudah alih juga memberi kebebasan kepada pemegang kad untuk memantau transaksi kad anda dalam masa nyata, atau menyekat dan membatalkan kad. Tahap kawalan ini memudahkan anda untuk mengurus kewangan dengan lebih efektif dan bertindak balas dengan segera terhadap aktiviti yang mencurigakan.
  • Ketenangan minda ketika berbelanja – Kelebihan yang paling utama sudah pasti ketenangan minda dengan mengetahui yang anda sentiasa dilindungi oleh ciri-ciri keselamatan kad kredit untuk memerangi penipuan kad kredit.

Dengan menggunakan ciri dan teknologi keselamatan terbaru ini, anda bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi juga membantu membina ekosistem kewangan yang lebih selamat di Malaysia.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang teknik penipuan yang digunakan oleh penjenayah, baca artikel Penipuan Kad Kredit.

Tip Menggunakan Kad Kredit Dengan Lebih Selamat

Mengetahui dan menggunakan ciri keselamatan terbaru kad kredit sahaja tidak cukup untuk melindungi diri anda daripada penipuan. Ikuti langkah-langkah di bawah untuk meningkatkan keselamatan ketika menggunakan kad anda.

  • Hubungi bank/pengeluar kad – Anda boleh menghubungi bank atau pengeluar kad anda untuk mengetahui apakah ciri-ciri keselamatan yang didatangkan bersama kad kredit atau kad debit anda.
  • Muat turun aplikasi perbankan mudah alih – Walaupun bank telah memperkenalkan aplikasi perbankan mudah alih, tidak ramai yang menggunakannya. Aplikasi ini sangat membantu,  terutama daripada segi keselamatan dan pengurusan kewangan.
  • Tanam sikap berhati-hati – Ciri keselamatan terbaru tidak berguna sekiranya anda tidak mengamalkan sikap berhati-hati, terutama untuk urusan dalam talian. Guna kata laluan yang lebih kuat, dan elak daripada melayari laman web yang mencurigakan, terutama melalui pautan yang diterima melalui SMS atau E-Mel.

Untuk mendapatkan tip dan panduan lengkap bagaimana untuk menggunakan kad kredit dengan lebih selamat, anda boleh rujuk kepada artikel Keselamatan Kad Kredit dan Kad Debit.

Kesimpulan

Teknologi keselamatan kad kredit sering berubah, dan ciri keselamatan yang inovatif sentiasa diperkenalkan untuk membanteras cubaan menipu yang semakin kompleks. Dengan memahami ciri keselamatan kad kredit terbaru seperti pengesahan biometrik, CVV berubah, dan pemantauan masa nyata, anda boleh secara tidak langsung boleh meningkatkan keselamatan kewangan anda.

Mengawal keselamatan kad kredit anda bukanlah sukar seperti yang dijangkakan. Jangan teragak-agak untuk menghubungi bank atau pengeluar kad kredit anda untuk mengetahui ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan.

Dengan mengenal pasti ciri-ciri ini, anda sentiasa peka dan boleh mengambil langkah yang lebih proaktif untuk menggunakan kad kredit dengan lebih selamat. Gunakan ciri-ciri keselamatan ini untuk berbelanja dengan lebih yakin.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments