Debt Service Ratio (DSR) – Memahami Nisbah Hutang Kepada Pendapatan

calendar-range
Dikirim 08/05/2024
Debt Service Ratio (DSR) - Nisbah Hutang Kepada Pendapatan 

Mengambil pinjaman boleh menjadi langkah untuk mencapai matlamat kewangan, sama ada untuk membeli kereta idaman, mendapatkan rumah impian, atau menyatukan hutang yang sedia ada. Tetapi sebelum anda mencapai impian ini, penting untuk memahami keupayaan anda untuk mengurus pembayaran balik pinjaman.

Di sinilah Debt Service Ratio (DSR) atau nisbah hutang kepada pendapatan memainkan peranan penting.

DSR adalah metrik penting yang membantu anda dan pemberi pinjaman menilai kesihatan kewangan. Nilai nisbah pendapatan kepada hutang menunjukkan berapa banyak pendapatan bulanan anda yang terikat dengan komitmen hutang. Memahami DSR boleh membantu anda meminjam dengan lebih bertanggungjawab untuk mencapai kewangan yang stabil.

Jadi, sama ada anda sering meminjam, atau baru berjinak-jinak, memastikan DSR sentiasa berada dalam nilai sihat adalah langkah kewangan yang bijak.

Setelah anda faham tentang DSR anda dan mempunyai idea tentang keupayaan meminjam, anda boleh guna Sistem Perbandingan Pinjaman Peribadi yang kami untuk mencari pinjaman yang sesuai dengan keperluan anda.

Apakah Debt Service Ratio (DSR) / Nisbah Hutang Kepada Pendapatan?

Bayangkan pendapatan bulanan anda seperti sebuah pizza. Sebahagian besar daripada potongan pizza tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan asas seperti makanan, utiliti, dan bil. Potongan lain pula mungkin akan digunakan untuk simpanan dan pelaburan.

Tetapi, sebahagian besar daripada potongan pizza tersebut sudah pasti diperuntukkan untuk bayaran hutang anda, seperti pinjaman dan kad kredit. DSR membantu anda melihat dengan lebih dekat berapa besar potongan pizza tersebut.

Bayangkan DSR sebagai peratusan yang menunjukkan berapa banyak gaji kasar anda digunakan untuk membayar hutang. Lebih rendah peratusan tersebut, lebih luas ruang untuk anda bernafas setiap bulan, di mana bahagian yang lebih besar daripada pendapatan bulanan anda boleh digunakan untuk perbelanjaan lain atau simpanan.

Nilai DSR yang lebih tinggi pula menunjukkan sebahagian besar daripada pendapatan anda sudah digunakan untuk menyelesaikan hutang, sekali gus mengurangkan kebebasan kewangan.

Kenapa DSR Penting di Malaysia?

Memahami DSR anda adalah sangat penting di Malaysia berdasarkan kepada dua factor utama: meminjam dengan bertanggungjawab dan kestabilan kewangan.

Bank Negara Malaysia (BNM) memainkan peranan penting dalam mempromosikan kestabilan kewangan dengan menetapkan had DSR bagi pinjaman yang ditawarkan oleh institusi kewangan. Ini memastikan peminjam tidak meminjam melebihi keupayaan untuk membayar balik.

DSR atau nisbah pendapatan kepada hutang juga bertindak sebagai isyarat awal kepada masalah kewangan. Nilai DSR yang tinggi menunjukkan sebahagian besar daripada pendapatan anda digunakan untuk membayar hutang. Keadaan ini boleh menyukarkan anda sekiranya anda menghadapi situasi kecemasan yang tidak diduga.

Statistik yang membimbangkan daripada Bank Negara Malaysia pada Mac 2023 menunjukkan 25% peminjam di Malaysia mempunyai nilai DSR melebihi 60%.

Ini menunjukkan kepentingan mengawal nilai DSR untuk mengelak risiko gagal membayar hutang sekali gus mengganggu kesihatan kewangan anda.

Mengira DSR – Langkah Demi Langkah

Bagaimana untuk mengira DSR dengan lebih terperinci? Ini adalah langkah-langkah untuk mengira sendiri nilai nisbah pembayaran hutang anda.

Langkah 1 – Senaraikan Hutang

Senaraikan semua komitmen hutang bulanan anda. Ini termasuk pinjaman peribadi, bayaran kad kredit, pinjaman kenderaan, pinjaman perumahan, pinjaman PTPTN, dan sebagainya. Jangan lupa untuk memasukkan bayaran bulanan tambahan seperti Buy Now Pay Later (BNPL) – Shopee SPayLater atau Atome.

Langkah 2 – Tentukan Gaji Kasar

Dapatkan jumlah sebenar gaji kasar anda, terutama bagi yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Mereka yang berpendapatan boleh mendapatkan jumlah gaji kasar daripada slip gaji atau penyata bank.

Langkah 3 – Kira DSR

Guna formula mengira DSR:

DSR  = (Jumlah hutang bulanan / Gaji kasar bulanan) x 100%

Sebagai contoh: Gaji kasar anda ialah RM4,000 sebulan, dan jumlah komitmen hutang bulanan ialah RM1,200. DSR anda ialah (1200/4000) x 100% = 30%.

Memahami Julat Nilai DSR

Mengetahui nilai DSR anda adalah penting, tetapi anda juga perlu tahu di mana kategori nisbah hutang kepada pendapatan anda. Berikut adalah kategori DSR di Malaysia secara kasar.

Julat DSRKategoriTahap Risiko
Di bawah 36%BaikBerisiko rendah
36% – 50%SederhanaBerisiko sederhana
50% – 60%TinggiBerisiko tinggi
60% ke atasSangat tinggiBerisiko sangat tinggi
Jadual: Julat kasar DSR, kategori, dan tahap risiko

Nilai DSR yang lebih rendah akan menunjukkan anda berada di dalam situasi kewangan yang baik. Keadaan ini menunjukkan anda berupaya untuk mengurus hutang dengan berkesan dan boleh menjurus kepada terma pinjaman yang lebih menguntungkan pada masa hadapan.

Dengan sentiasa mengawal nilai nisbah pembayaran hutang, anda boleh menikmati masa depan kewangan yang lebih stabil dan selamat.

Membaiki Debt Service Ratio – Kawal Kewangan Anda

Membaiki Debt Service Ratio – Kawal Kewangan Anda

Mempunyai nilai DSR yang tinggi mungkin membebankan, tetapi jangan risau. Terdapat beberapa tindakan yang boleh anda ambil untuk membaiki nisbah hutang kepada pendapatan anda.

  • Penyatuan hutang – Debt consolidation atau penyatuan hutang menyatukan hutang-hutang sedia ada, selalunya dengan kadar faedah tinggi kepada satu pinjaman baru dengan kadar faedah yang lebih berpatutan. Kaedah ini bukan sahaja boleh memudahkan bayaran balik, tetapi juga boleh mengurangkan bayaran hutang bulanan, sekali gus merendahkan nilai DSR anda.
  • Menambah pendapatan – Meningkatkan pendapatan adalah cara langsung untuk memperbaiki DSR. Cari kerja sambilan, mohon kenaikan gaji, atau belajar kemahiran baru untuk meningkatkan peluang menambah pendapatan.
  • Selesaikan hutang kadar faedah tinggi – Fokus untuk menyelesaikan hutang dengan kadar faedah tinggi terlebih dahulu. Ini akan mengurangkan kadar faedah secara keseluruhan dan memberi lebih pendapatan yang boleh digunakan untuk membayar hutang lain, sekali gus merendahkan nisbah pembayaran hutang. Salah satu teknik terbaik untuk menyelesaikan hutang adalah Teknik Snowball.
  • Belanjawan peribadi – Bajet peribadi boleh membantu anda memantau pendapatan dan perbelanjaan. Kenal pasti bahagian di mana anda boleh mengurangkan perbelanjaan dan pindahkan lebihan tersebut untuk membayar hutang.  Apa yang penting ialah anda konsisten dalam bajet anda.
  • Khidmat nasihat profesional – Sekiranya anda terlalu terbeban dengan hutang, cuba dapatkan khidmat nasihat daripada penasihat kewangan. Mereka boleh merancang strategi khas untuk membantu anda menyelesaikan hutang, dan memperbaiki DSR. Antara agensi kaunseling kewangan yang boleh dipercayai ialah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Dengan mengambil langkah-langkah ini dan sentiasa komited terhadap matlamat kewangan, anda secara tidak langsung boleh memperbaiki Debt Service Ratio dan mencapai kewangan yang lebih stabil.

Kesimpulan

Debt Service Ratio (DSR) adalah penanda aras yang penting untuk mengetahui kesihatan kewangan dan keupayaan meminjam. Dengan memahami nisbah pendapatan kepada hutang, anda boleh buat keputusan yang lebih tepat berkaitan pengurusan hutang sedia ada dan menjadi peminjam yang bertanggungjawab.

Anda perlu ingat, DSR yang sihat menunjukkan anda mampu mengurus hutang dan memberi lebih fleksibiliti untuk mencapai matlamat kewangan. Faktor ini secara tidak langsung memberi anda keupayaan untuk menyimpan dan bersedia untuk situasi yang tidak diduga.

Penafian
Maklumat yang diberikan dalam artikel ini adalah untuk pengetahuan umum sahaja dan bukan merupakan nasihat kewangan. Sila berbincang dengan penasihat kewangan profesional untuk panduan peribadi tentang pengurusan hutang dan langkah-langkah membaiki DSR anda.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments