Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 LHDN – Peluang Terakhir Mengisytiharkan Pendapatan

calendar-range
Dikirim 28/12/2023
Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) sekali lagi mengingatkan masyarakat pada 27 Disember 2023 untuk memanfaatkan peluang untuk berdaftar dan melaporkan pendapatan peribadi, perniagaan, atau pendapatan tambahan yang belum pernah dilaporkan sebelum ini menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0.

Pengarah Bahagian Operasi Dasar LHDN, Puan Dr. Rasyidah Che Rosli memaklumkan bahawa peluang masih terbuka di bawah program ini bagi yang masih belum mengambil tindakan. Beliau juga berkata jangan teragak-agak untuk mengisytiharkan pendapatan anda kerana ini adalah peluang terakhir sebelum pihak LHDN melaksanakan sistem e-invoicing.

Sistem e-invoicing akan dilaksanakan bermula dari 1 Ogos 2024 untuk pembayar cukai dengan pendapatan tahunan melebihi RM100 juta dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada 1 Julai 2025.

Apakah Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 (PKPS)?

Program Khas Pengakuan Sukarela 2.0 (PKPS 2.0) LHDN

PKPS 2.0 atau Special Voluntary Disclosure Programme (SVDP) 2.0 adalah program yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk meningkatkan pengakuan sukarela masyarakat terhadap pendapatan yang tidak pernah dilaporkan menerusi konsep AES (Awareness, Education, Services).

Dalam erti kata lain, program LHDN Ini memberi peluang kepada anda untuk mematuhi peraturan cukai tanpa perlu bimbang tentang denda, pemeriksaan, atau dikenakan tindakan undang-undang. Program ini mula diperkenalkan pada 6 Jun 2023 yang lalu dan akan berlangsung sehingga 31 Mei 2024 untuk memberi tempoh yang cukup kepada masyarakat untuk mengambil tindakan.

Siapa yang Layak Menyertai PKPS 2.0?

Program PKPS 2.0 boleh disertai oleh sesiapa sahaja dengan pendapatan yang tidak dilaporkan dari tahun penilaian 2022 dan sebelumnya. Ini termasuk individu, perniagaan, dan sesiapa sahaja yang ingin mengemaskini cukai pendapatan mereka.

Untuk lebih terperinci, berikut adalah kategori pembayar cukai yang dimaksudkan:

  1. Pembayar cukai baharu.
  2. Pembayar cukai sedia ada yang gagal mengemukakan BNCP / BNCKHT.
  3. Pembayar cukai sedia ada yang pernah melaporkan pendapatan tetapi gagal melaporkan pendapatan tambahan.
  4. Pembayar duti yang tidak buat penyeteman dokumen / perjanjian.

Tahun taksiran yang terlibat pula boleh dikategorikan seperti berikut:

  1. Pembayar cukai baharu – Tahun taksiran 2022 dan sebelumnya.
  2. Pembayar cukai sedia ada – Tahun taksiran 2021 dan sebelumnya.
  3. Pembayar cukai yang tidak melaporkan pendapatan tambahan – Tahun taksiran 2021 dan sebelumnya.
  4. Pembayar duti – Dilaksanakan (ditandatangani) pada atau sebelum 1 Mei 2023 untuk penyeteman dari 6 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.

Sama ada anda terlepas pandang untuk melaporkan pendapatan dari sumber sampingan, hartanah, sewa, atau sebarang sumber lain, PKPS  2.0 boleh membantu anda menyelesaikan masalah ini.

Faedah Menggunakan Program LHDN Ini

Faedah utama yang boleh anda nikmati melalui PKPS 2.0 adalah pengecualian penuh dari denda, siasatan, dan tindakan undang-undang. Dengan mengambil bahagian di dalam program ini juga membolehkan anda tampil  jujur tanpa menghadapi implikasi kewangan yang membebankan.

Selain itu, anda dapat mengelakkan tekanan daripada tindakan undang-undang yang mungkin diambil berikutan gagal mengisytiharkan cukai pendapatan kepada LHDN.

Bagaimana Cara Mengisytiharkan Pendapatan Melalui PKPS 2.0?

Proses mengisytiharkan pendapatan yang tidak dilaporkan sebelum ini melalui PKPS 2.0 adalah sangat ringkas.

Anda boleh mengemukakan pengakuan anda secara elektronik melalui portal MyTax atau menghantar borang fizikal terus kepada LHDN. Pastikan anda mengumpul semua dokumen yang diperlukan, seperti penyata kewangan, resit, dan penyata bank, untuk menyokong proses tersebut.

Rujuk Carta Alir yang disediakan oleh pihak LHDN untuk memudahkan proses permohonan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0.

Bagaimana Dengan Cukai?

Walaupun anda tidak akan dikenakan denda atau tindakan undang-undang, dengan melaporkan pendapatan yang tidak diisytiharkan sebelum ini bermakna anda masih perlu membayar cukai yang sepatutnya.

LHDN akan mengira cukai yang tertunggak berdasarkan maklumat anda dan akan menyediakan jadual pembayaran. Adalah penting untuk jujur dalam laporan anda untuk mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.

Kesan PKPS 2.0 Kepada Individu dan Negara

Program Pengakuan Khas Sukarela 2.0 boleh dilihat sebagai langkah baik oleh LHDN untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk menutup buku lama, membuka buku baru dalam hal berkaitan cukai pendapatan. Melalui program ini, risiko disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang dapat ditolak ke tepi sekali gus memberi ketenangan minda.

Walaubagaimanapun, masyarakat masih perlu membayar cukai yang tertunggak, dan ini mungkin menjejaskan kewangan bagi sesetengah pihak. Mereka yang tidak mengisytiharkan pendapatan dan harta sebelum ini juga mungkin akan mengalami kesan terhadap stigma sosial mereka.

Pihak kerajaan pula walaupun akan meningkatkan pendapatan melalui cukai tertunggak yang dijelaskan, mungkin mengalami kerugian jangka pendek daripada penalti dan denda yang dikecualikan. Terdapat juga risiko penipuan atau penyelewengan cukai oleh mereka yang tidak bertanggungjawab pada masa hadapan.

Maklumat Tambahan PKPS 2.0

Tidak dapat dinafikan mengurus cukai pendapatan bukan perkara yang mudah. Dalam hal ini, menggunakan bantuan dan khidmat profesional boleh menjadi keputusan bijak. Sekiranya anda menghadapi masalah untuk menguruskan perkara ini, gunakan khidmat perunding cukai atau akauntan berdaftar yang boleh membimbing anda melalui proses PKPS 2.0 untuk memastikan anda memenuhi syarat dan keperluan.

Selalunya kos untuk menggunakan khidmat profesional tidaklah begitu membebankan, malah mungkin boleh menjimatkan kos daripada terlibat dengan denda hasil daripada kesilapan ketika mengendalikan laporan.

PKPS 2.0 adalah peluang anda untuk menyelesaikan hal berkaitan cukai anda dengan mudah. Manfaatkan program ini sebelum tarikh tamat pada 31 Mei 2024.

Layari laman web rasmi LHDN atau laman PKPS 2.0 untuk maklumat lanjut.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments