Ambank (M) Berhad adalah institusi kewangan di bawah AmBank Group – sebuah institusi kewangan yang terkenal di Malaysia. AmBank Group telah disenaraikan di Bursa Saham Malaysia pada tahun 1988, dan pada masa sekarang adalah kumpulan perbankan keenam terbesar di Malaysia.
Dengan pengalaman selama 42 tahun dalam bidang perbankan, AmBank Group menawarkan banyak produk dan perkhidmatan perbankan, konvensional dan juga Islamik.
Selain AmBank (M) Berhad, kumpulan AmBank Group terdiri daripada AmInvestment Bank, AmInvest, AmBank Islamic, AmGeneral Insurance, dan AmMetLife. AmBank Berhad pula adalah anak syarikat terbesar di dalam kumpulan AmBank.
Bank AmBank mempunyai 175 cawangan dan 766 mesin ATM di seluruh Malaysia. Perkhidmatan dan produk perbankan yang disediakan merangkumi perbankan konvensional dan juga perbankan Islamik.
Boleh dikatakan pihak Ambank menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan yang lengkap untuk individu dan juga korporat. Antara produk yang ditawarkan oleh Ambank Berhad ialah akaun simpanan, akaun semasa, simpanan tetap, pengurusan kewangan dalam bentuk unit amanah, Sukuk, pelaburan peribadi, dan penulisan wasiat, pembiayaan peribadi, kenderaan, perumahan dan perniagaan, kad kredit dan kad debit, dan perlindungan insurans.
Ambank juga menyediakan perkhidmatan perbankan atas-talian (internet banking) melalui AmOnline. Salah satu ciri menarik AmOnline yang membezakan perkhidmatan ini berbanding perkhidmatan perbankan atas-talian daripada bank yang ialah sistem pembantu maya (virtual assistant) yang dinamakan AMY.
AMY daripada Ambank Berhad ini boleh membantu pengguna berhubung hal-hal berkaitan kad kredit Ambank, seperti meningkatkan had kredit atau melaporkan kehilangan kad kredit.