Cara Buat Pinjaman Wang Berlesen Yang Selamat – Elak Ditipu

calendar-range
Dikirim 22/03/2022
(dikemaskini 21/12/2023)
Cara buat pinjaman wang berlesen yang selamat

Pinjaman wang berlesen adalah salah satu kategori pinjaman peribadi yang popular di negara kita. Terdapat banyak syarikat Kredit Komuniti, atau dahulunya dikenali sebagai Pemberi Pinjam Wang Berlesen (PPW) yang menawarkan pinjaman kepada individu atau peniaga yang sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan seperti bank atau koperasi. Jadi tidak hairanlah pinjaman wang berlesen sering menjadi pilihan kepada individu-individu ini.

Panduan kali ini akan menjelaskan bagaimana cara buat pinjaman wang berlesen yang selamat supaya anda dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan oleh syarikat-syarikat Kredit Komuniti ini.

Kenapa pinjaman berlesen?

Sekiranya anda sukar untuk mendapatkan pinjaman bank atau koperasi kerana anda mempunyai masalah dengan skor kredit anda, pinjaman berlesen adalah alternatif terbaik.

Seperti yang anda tahu, bank sukar untuk meluluskan permohonan pinjaman daripada individu yang telah disenaraihitamkan di dalam laporan CTOS, atau mempunyai tunggakan pinjaman dalam rekod CCRIS. 

Malah, sesetengah bank dan koperasi tidak memproses langsung permohonan-permohonan ini. 

Di sinilah syarikat pemberi pinjam wang atau kredit komuniti memainkan peranan. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat pinjaman berlesen akan menerima permohonan daripada individu yang telah di blacklist atau mempunyai tunggakan pinjaman.

Terdapat juga syarikat PPW yang membenarkan individu yang mempunyai Akaun Di Dalam Pemerhatian Khas (Special Attention Account – SAA), atau yang sedang mengikuti Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK untuk mohon. 

Faktor-faktor ini adalah antara sebab utama kenapa ramai yang lebih gemar memilih untuk mohon pinjaman berlesen daripada pinjaman bank atau koperasi.

Cara buat pinjaman wang berlesen yang selamat

Sebelum anda teruja dan ingin buat pinjaman dengan syarikat pinjaman wang berlesen, terdapat beberapa perkara yang harus anda lakukan untuk memastikan anda buat pinjaman berlesen yang selamat sebagai peminjam atau penghutang.

Seringkali kita dengar banyak kes penipuan atau ditindas oleh syarikat pemberi pinjam wang. Tetapi, apabila disiasat dengan lebih lanjut, kes-kes tersebut berlaku kerana pemohon tidak buat kerja rumah atau homework sebelum mohon.

Akibatnya mereka bukan meminjam dengan syarikat yang sah, tetapi dengan penipu atau scammer, atau pun buat pinjaman dengan ah long atau lintah darat.

Di bawah adalah beberapa panduan bagaimana untuk buat pinjaman berlesen yang selamat.

Semak latar belakang Syarikat Kredit Komuniti/Pinjaman Wang Berlesen (PPW)

Jika anda rajin melayari media sosial, sudah pasti anda akan dihidangkan dengan pelbagai jenis iklan daripada syarikat pinjaman berlesen. Iklan-iklan tersebut membuatkan anda tidak sabar-sabar untuk mohon pinjaman.

Atau pun, anda akan dihubungi oleh ejen yang mengaku kononnya mereka adalah wakil daripada syarikat kredit komuniti dan anda terpilih untuk mendapatkan pelan pinjaman yang syarikat mereka tawarkan.

Terdapat juga ejen yang sering memberikan risalah atau kad kepada umum.

Jika anda sedang terdesak memerlukan wang, sudah pasti anda tidak berfikir panjang dan terus bersetuju untuk meneruskan permohonan dengan pelan yang ditawarkan. Ini adalah antara faktor utama yang menyebabkan ramai kena tipu.

Sebelum anda bersetuju, semak dahulu kesahihan syarikat tersebut. Semua syarikat Kredit Komuniti atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) perlu berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)

Syarikat-syarikat ini juga terikat dengan AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951 yang menetapkan beberapa syarat-syarat untuk melindungi hak peminjam.

Guna Sistem eMAPS

Cara paling mudah untuk menyemak sama ada syarikat tersebut sah atau tidak adalah melalui sistem eMAPS yang disediakan oleh pihak KPKT.

Sistem eMAPS ini menyimpan maklumat syarikat pinjaman berlesen sah yang berdaftar dengan KPKT di dalam pangkalan data. Jadi anda boleh melakukan carian melalui sistem ini untuk menyemak kesahihan syarikat tersebut.

Baca lebih lanjut bagaimana nak semak syarikat kredit komuniti/pinjaman wang berlesen melalui sistem eMAPS.

Jangan bayar sebarang deposit, upfront atau wang pendahuluan

Ini adalah antara taktik yang sering digunakan oleh penipu pinjaman berlesen untuk mengelirukan mangsa. Mereka akan meminta deposit, wang pendahuluan atau bayaran upfront daripada mangsa sebelum memindahkan wang ke dalam akaun mangsa.

Jangan bayar deposit, upfront, atau wang pendahuluan
Jangan bayar sebarang deposit

Syarikat pemberi pinjam wang yang sah tidak boleh dan tidak akan meminta sebarang wang pendahuluan daripada pemohon.

Semua wang pendahuluan atau caj yang dikenakan seperti caj duti setem, caj insurans, caj guaman dan lain-lain akan ditolak terus daripada jumlah pinjaman yang lulus.

Dalam erti kata lain, anda tidak perlu bayar satu sen pun kepada syarikat sebelum anda dapat duit pinjaman.

Jadi pastikan jika syarikat tersebut meminta deposit dalam bentuk tunai, atau perlu dipindahkan ke akaun mereka, batalkan terus pinjaman tersebut kerana sudah pasti itu bukan syarikat kredit komuniti yang sah.

Semak kadar faedah pinjaman yang dikenakan

Apabila anda ditawarkan dengan pelan pinjaman, semak betul-betul caj kadar faedah bulanan atau tahunan yang dikenakan.

Syarikat pinjaman berlesen yang terikat di bawah AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951 tidak boleh mengenakan caj kadar faedah tahunan tidak lebih daripada 12% setahun untuk pinjaman bercagar, dan tidak lebih daripada 18% setahun untuk pinjaman tidak bercagar.

Jika anda ditawarkan pelan pinjaman dengan caj kadar faedah tahunan lebih daripada yang dinyatakan di atas, besar kemungkinan syarikat tersebut adalah syarikat yang tidak berdaftar dengan KPKT – iaitu syarikat lintah darat atau ah long. 

Syarikat yang tidak berdaftar boleh suka-suka hati mengenakan sebarang caj kadar faedah untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

Jadi berhati-hati sebelum anda terjerat dengan perangkap syarikat pinjaman tidak berlesen seperti ah long.

Ketahui hak anda sebagai peminjam

Selain daripada semak kesahihan syarikat dan kadar faedah yang dikenakan, anda sendiri perlu mengetahui apakah hak-hak anda sebagai peminjam wang.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menggariskan beberapa hak-hak peminjam yang harus dipatuhi oleh setiap syarikat pinjaman berlesen yang berdaftar.

Syarikat perlu memberi informasi atau maklumat pinjaman yang lengkap dan tidak mengelirukan kepada pemohon.

Semak syarat dan terma serta borang pinjaman
Semak syarat dan terma

Terdapat ejen atau syarikat yang akan mendesak anda untuk terus menandatangani perjanjian pinjaman tanpa melalui syarat dan terma pinjaman tersebut.

Kadang-kadang situasi ini berlaku kerana terdapat perkara tersembunyi dalam perjanjian pinjaman. Jadi pastikan anda teliti betul-betul isi kandungan pinjaman dan syarat dan terma.

Jika anda kurang faham, terus tanya pada ejen atau syarikat kerana mereka perlu menjelaskan perkara tersebut kepada anda sehingga anda faham.

Perlu menggunakan borang pinjaman KPKT.

Semua permohonan pinjaman daripada syarikat Kredit Komuniti / Pemberi Pinjam Wang (PPW) wajib menggunakan borang pinjaman yang telah ditetapkan oleh Kementerian, iaitu borang Jadual J untuk pinjaman tidak bercagar, atau Jadual K untuk pinjaman bercagar.

Anda berhak mendapatkan salinan perjanjian.

Sebagai peminjam, anda berhak mendapatkan sekurang-kurangnya satu salinan perjanjian pinjaman anda secara percuma. Ini bermaksud syarikat perlu memberikan salinan perjanjian kepada anda tanpa mengenakan sebarang caj.

Jika pihak syarikat mengenakan caj untuk salinan perjanjian, anda boleh membuat aduan kepada pihak KPKT.

Anda berhak mendapatkan resit bayaran balik

Jangan lupa untuk meminta resit bayaran setiap kali anda buat bayaran bulanan kepada syarikat. Ini untuk mengelakkan syarikat mendakwa bahawa anda tidak buat bayaran bulanan sedangkan anda tidak perlu miss bayar setiap bulan.

Pemberi Pinjam Wang atau wakil tidak boleh menuntut bayaran hutang pinjaman di kediaman, pejabat atau mana-mana tempat.

Tidak seperti lintah darat atau ah long, syarikat kredit komuniti tidak boleh menuntut bayaran bulanan termasuk tunggakan dengan cara mengugut anda atau keluarga anda.

Sekiranya mereka berkelakuan sedemikian, mereka boleh didenda antara RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara tidak lebih dari tempoh 3 tahun, atau kedua-duanya. Ini telah dinyatakan di bawah Seksyen 29B AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951.

Sebelum tandatangan borang perjanjian pinjaman berlesen

Sebelum anda tandatangani sebarang perjanjian pinjaman berlesen, semak dahulu senarai berikut untuk melancarkan proses pinjaman anda.

  • Anda telah semak latar belakang syarikat dan yakin syarikat adalah sah, berdaftar dengan KPKT dan masih aktif.
  • Anda tidak bayar sebarang deposit, wang pendahuluan, atau wang upfront kepada ejen atau syarikat.
  • Caj kadar faedah tahunan yang dikenakan tidak melebihi daripada kadar yang ditetapkan di bawah AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951.
  • Borang permohonan pinjaman yang digunakan adalah borang rasmi KPKT.
  • Anda telah faham semua maklumat, terma dan syarat yang dikenakan oleh pinjaman tersebut.
  • Jangan tandatangani borang perjanjian yang kosong atau tidak lengkap.
  • Perjanjian pinjaman tersebut telah diakusaksi oleh salah satu daripada individu berikut; Peguam bela dan Peguam cara di Mahkamah Tinggi, Pesuruhjaya Sumpah, pegawai dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang, Jaksa Pendamai, Pegawai Daerah atau orang-orang yang dilantik oleh Menteri untuk berbuat sedemikian.

Hanya tandatangan borang perjanjian pinjaman anda sekiranya anda telah melakukan perkara-perkara di dalam senarai semak di atas.

Ditipu pinjaman berlesen, apa langkah seterusnya

Malang tidak berbau. Kadang-kala walaupun kita telah mengambil langkah berjaga-jaga, musibah masih melanda.

Sekiranya anda merasakan anda telah ditipu oleh syarikat kredit komuniti atau syarikat pemberi pinjaman wang berlesen, terdapat beberapa tindakan yang boleh anda ambil seperti buat aduan ke Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK) KPKT, 

Saya telah menulis tindakan-tindakan yang perlu diambil apabila ditipu scammer pinjaman, tidak kisahlah pinjaman bank, koperasi, mahupun pinjaman berlesen.

Anda boleh baca tindakan lengkap di panduan Mengenal Penipu Pinjaman Peribadi.

Cuma, sebelum anda buat aduan atau mengambil tindakan-tindakan yang dinyatakan pada panduan tersebut, pastikan anda yakin yang anda ditipu oleh syarikat sebenar, bukan scammer yang menyamar sebagai wakil syarikat.

Ini kerana seringkali terjadi mangsa diperdaya oleh penipu yang menyamar sebagai wakil syarikat yang sah, sedangkan syarikat tidak tahu-menahu akan kes tersebut. Mangsa tidak buat semakan tentang kesahihan tawaran pinjaman, lalu terpedaya dengan janji manis penipu. Setelah ditipu, mangsa menyalahkan syarikat sedangkan penipu sebenar masih bebas dan terus menipu.

Jadi berhati-hati sebelum anda menandatangani sebarang perjanjian pinjaman. Baca dari mula sampai habis panduan di atas.

Sekiranya anda ingin buat pinjaman dengan syarikat yang berdaftar dan boleh dipercayai, rujuk senarai Syarikat Kredit Komuniti / Pemberi Pinjam Wang (PPW) atau senarai Pelan Pinjaman Wang Berlesen yang telah kami senaraikan di laman web ini.

Alternatif kepada pinjaman wang berlesen 

Jika anda masih berasa ragu-ragu atau was-was untuk buat pinjaman peribadi berlesen, masih ada alternatif iaitu pinjaman peribadi bank dan pinjaman peribadi koperasi. Sebenarnya, syarat mohon pinjaman untuk kedua-dua pinjaman ini tidaklah begitu ketat seperti mana yang diwar-warkan.

Seringkali pihak insititusi kewangan seperti bank dan koperasi boleh berunding dan bawa berbincang tentang masalah yang dihadapi pemohon ketika memohon pinjaman. Masalah-masalah kecil seperti dokumen tidak lengkap, atau skor kredit atas pagar boleh diketepikan sekiranya pemohon melepasi syarat-syarat lain yang ditetapkan.

Jadi, tidak ada salahnya anda cuba dahulu mohon pinjaman bank atau pinjaman koperasi sebelum mohon pinjaman wang berlesen.

Lihat senarai Pinjaman Peribadi Bank atau Pinjaman Peribadi Koperasi yang ditawarkan. Anda juga boleh guna Sistem Semak Kelayakan yang pihak kami sediakan untuk memilih pelan pinjaman yang paling sesuai dengan kelayakan anda.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

8 Comments
Inline Feedbacks
View all comments