Pinjaman Peribadi Maybank – Pilihan Pinjaman Konvensional & Islamik

calendar-range
Dikirim 14/12/2018
(dikemaskini 21/12/2023)
Pinjaman Peribadi Maybank

Nak tahu apakah antara pelan pinjaman peribadi yang popular di Malaysia? Jawapannya ialah Pinjaman peribadi Maybank.

Selari dengan status mereka sebagai institusi kewangan terbesar di negara kita, Maybank menawarkan dua jenis pelan pembiayaan peribadi di Malaysia.

Apakah perbezaan antara kedua-dua skim pembiayaan peribadi ini, dan mana satu yang lebih menarik untuk anda mohon?

Tentang Pinjaman Peribadi Maybank

Terdapat dua jenis pelan pembiayaan peribadi yang ditawarkan oleh Maybank, iaitu:

  1. Maybank Personal Loan.
  2. Maybank Islamic Personal Financing-i / Maybank Islamic Personal Loan.

Hanya dua jenis pinjaman tak bercagar ini sahaja yang ditawarkan oleh Maybank buat masa sekarang.

Bagaimana pula dengan pinjaman peribadi ASB?

Maybank ada menawarkan dua skim pinjaman ASB, iaitu Maybank ASB Financing dan Maybank ASB Financing-i.

Walau bagaimanapun, kita tidak akan membincangkan tentang pinjaman ASB dari Maybank ini kerana kedua-dua skim ini lebih menjurus kepada simpanan peribadi berbanding pinjaman peribadi.

Maybank One Solution & Skim 1Malaysia

Ada juga yang bertanya kepada saya pinjaman ‘Maybank One Solution’ dan ‘pinjaman Maybank 1 Malaysia’. Kedua-dua ini bukan skim pembiayaan peribadi yang ditawarkan oleh Maybank

Maybank One Solution adalah sistem atau servis dari Maybank untuk pengurusan kewangan peribadi. Salah satu servis yang ada pada One Solution adalah permohonan pinjaman peribadi Maybank Personal Financing-i. Sebab itu ramai yang keliru dan ingat One Solution adalah personal financing Maybank.

Maybank 1Malaysia juga bukan skim pembiayaan peribadi, tetapi adalah skim latihan yang disediakan oleh Maybank kepada graduan yang menganggur. Nama penuh skim ini ialah Skim Latihan 1Malaysia (SL1M – Maybank).

Jadi jangan masukkan One Solution dan SL1M dalam kategori yang sama dengan pelan pinjaman peribadi.

Maybank Personal Loan vs. Maybank Islamic Personal Financing-i – Apa Yang Berbeza?

Secara ringkas, Maybank Personal Loan adalah pinjaman peribadi konvensional, manakala Maybank Personal Financing-i pula adalah pinjaman peribadi Islamik.

Maybank Personal Financing-i ditawarkan oleh Maybank Islamic, iaitu salah satu cawangan Maybank yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam. Pinjaman ini juga boleh diperkenalkan sebagai Maybank Islamic Personal Loan.

Jadi, apakah perbezaan antara pinjaman peribadi konvensional dan pinjaman peribadi Islamik Maybank?

Konsep Pembiayaan

Perbezaan yang paling utama adalah dari aspek konsep pembiayaan yang digunakan. Konsep yang digunakan oleh pinjaman peribadi konvensional adalah berbeza dengan konsep pinjaman peribadi Islamik.

Yang paling ketara ialah pinjaman peribadi Islamik dari Maybank tidak mengenakan faedah terhadap pinjaman tersebut – no interest.

Tak ada faedah? Tak perlu bayar bunga jika pinjam Maybank Islamic Personal Financing-i? Ya, tak ada faedah untuk pinjaman Islamik Maybank – cuma ada kadar keuntungan.

Dalam perbankan Islam, kadar keuntungan adalah keuntungan yang anda perlu bayar kepada bank hasil dari jualan bank terhadap aset (pinjaman) anda.

Saya akan mengulas lebih lanjut tentang pinjaman peribadi Islamik pada artikel yang akan datang.

Jumlah Pembiayaan & Tempoh Pembiayaan

Maybank Personal Loan dan Financing-i menawarkan jumlah pinjaman dari RM5,000 hingga RM100,000 dengan tempoh pembiayaan dari 24 bulan hingga 72 bulan.

Tak ada sebarang perbezaan kat sini.

Kadar Faedah dan Kadar Keuntungan Pinjaman Maybank

Untuk Maybank Personal Loan, kadar faedah yang dikenakan adalah kadar faedah terapung (floating rate) iaitu serendah 6.5% p.a hingga 8% p.a.

Maybank Islamic juga mengenakan kadar keuntungan terapung untuk Personal Financing-i. Nilai yang sama, iaitu 6.5% p.a hingga 8% p.a.

Maybank mengira kadar faedah dan kadar keuntungan ini berdasarkan jumlah pinjaman yang lulus.

Kiraan kadar faedah/Keuntungan Pinjaman Peribadi Maybank

  1. Pinjaman RM5,000 – RM20,000 kadar faedah/keuntungan yang dikenakan ialah 8% p.a.
  2. Pinjaman RM20,001 – RM50,000 kadar faedah/keuntungan yang dikenakan ialah 7% p.a.
  3. Pinjaman RM50,000 – RM100,000 kadar faedah/keuntungan yang dikenakan ialah 6.5% p.a.

Lebih tinggi anda mohon, lebih rendah kadar faedah atau kadar keuntungan yang dikenakan.

Caj & Fi Yang Dikenakan

Terdapat sedikit perbezaan untuk caj yang dikenakan bagi kedua-dua pinjaman peribadi Maybank ini.

Kedua-dua pinjaman ini tidak mengenakan sebarang caj proses, tidak seperti kebanyakan pinjaman peribadi konvensional mahupun Islamik di Malaysia. Caj setem duti juga tidak dikenakan.

Dalam erti kata lain, kedua-dua pinjaman peribadi Maybank ini adalah “full disbursement”. Anda lulus RM5,000, anda dapat RM5,000.

Jadi apakah caj yang Maybank kenakan untuk pinjaman ini?

Untuk Maybank Personal Loan, caj yang dikenakan ialah caj penamatan awal dan caj lewat bayar. Caj penamatan awal (early termination fee) yang dikenakan ialah RM200 atau 3% daripada baki pinjaman, yang mana yang lebih tinggi.

Caj lewat bayar (late penalty fee) Maybank Personal Loan ialah 1% daripada jumlah tunggakan.

Maybank Personal Financing-i pula hanya mengenakan caj lewat bayar, juga 1% daripada jumlah tunggakan. Tiada caj penamatan awal seperti kebanyakan pinjaman peribadi Islamik.

Hanya konsep pinjaman dan caj pinjaman sahaja yang membezakan Maybank Personal Loan dan Financing-i. Ciri-ciri lain adalah sama.

Siapa Yang Boleh Mohon Pinjaman Peribadi Daripada Maybank ni?

Kedua-dua pinjaman ini ditawarkan kepada semua warganegara Malaysia tanpa mengira sektor pekerjaan. Secara ringkas, pinjaman ini dibuka kepada:

  • Kakitangan Kerajaan.
  • Kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government Linked Companies – GLC).
  • Pekerja sektor swasta.
  • Mereka yang bekerja sendiri.
  • Para pesara.

Walaubagaimanapun, pinjaman peribadi Maybank ini tidak ditawarkan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tak banyak pinjaman peribadi untuk Tentera seperti yang disenaraikan kat sini.

Apakah Syarat Kelayakan Untuk Mohon Pinjaman Peribadi Maybank?

Maybank menetapkan had umur layak mohon ialah antara 21 hingga 60 tahun.

Anda juga perlu mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM2,500 ke atas, atau pendapatan tahunan RM30,000 ke atas.

Kelayakan gaji minimum ini mungkin agak tinggi bagi sesetengah individu. Jika anda berpendapatan rendah (RM1,500 ke bawah), anda boleh cuba mohon pinjaman peribadi berpendapatan rendah yang telah kami senaraikan di laman web ini.

Syarat kelayakan lain adalah sama seperti kebanyakan pinjaman peribadi Bank, seperti:

  • Tidak disenaraihitamkan (blacklisted) dalam rekod CTOS oleh mana-mana institusi kewangan di Malaysia seperti Bank, AEON atau Koperasi.
  • Tiada akaun di bawah pengawasan khas (SAA) pada laporan CCRIS.
  • Bukan di bawah selaan Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit. (AKPK).

Jadi jika anda ada blacklist dengan Bank atau AEON, tak perlu cuba mohon pinjaman ni. Mungkin pinjaman peribadi koperasi yang disenaraikan kat sini lebih sesuai untuk anda.

Bagaimana pula dengan tunggakan CCRIS. Faktor CCRIS adalah lebih rumit dan bergantung kepada pihak Maybank.  Kadangkala walaupun anda ada tunggakan pada laporan CCRIS, tetapi rekod kredit anda sebelum ni cantik, atau skor pemarkahan anda tinggi – bank boleh pertimbangkan permohonan pinjaman peribadi Maybank anda.

Dalam erti kata lain, ini bergantung sepenuhnya kepada budi bicara pihak bank.

Apakah Dokumen Yang Diperlukan Untuk Mohon?

Dokumen untuk mohon pinjaman peribadi Maybank ni ringkas je. Anda cuma perlu sediakan dokumen-dokumen berikut berdasarkan jenis kerja anda.

Untuk pekerja bergaji (awam atau swasta)

  1. Salinan MyKad depan dan belakang.
  2. Salinan 3 bulan slip gaji terkini.
  3. Salinan 6 bulan penyata akaun bank yang dikreditkan gaji.
  4. Salinan borang BE dengan resit bayaran cukai.

Untuk bekerja sendiri

  1. Salinan MyKad depan dan belakang.
  2. Salinan Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM).
  3. Salinan 6 bulan penyata akaun bank syarikat.
  4. Salinan borang BE dengan resit bayaran cukai.

Untuk pekerja swasta tak perlu sediakan penyata KWSP untuk mohon. Tapi mungkin pihak Maybank akan minta kemudian jika perlu. Jadi pastikan anda ada caruman KWSP untuk kuatkan permohonan anda.

Ada juga yang bertanya saya beliau ada dengar tentang permohonan pinjaman peribadi Maybank tanpa slip gaji.

Tak ada pun sebenarnya.

Nak mohon pinjaman peribadi bank perlu sertakan bukti pendapatan tetap. Dalam konteks ni, bukti tersebut adalah slip atau baucar gaji anda. Jika tak bagaimana bank nak pastikan maklumat yang anda beri ketika mohon betul atau tidak. Ini “common sense”.

Jangan percaya jika ada pihak yang mengaku boleh tolong mohon pinjaman peribadi Maybank tanpa slip gaji. Besar kemungkinan mereka adalah scammer.

Ramai yang dah terkena seperti pendedahan di artikel bagaimana mengenali penipu pinjaman peribadi bank.

Bagaimana Nak Mohon Pinjaman Peribadi Maybank?

Untuk maklumat seterusnya seperti jadual pembayaran pinjaman, tempoh keputusan pinjaman, cara memohon termasuk cara mohon pinjaman peribadi Maybank secara online – anda boleh baca pada laman kedua-dua pinjaman ini kerana saya telah menulis dengan lebih detail kat situ.

Klik pautan di bawah untuk pelan pinjaman pilihan anda.

Maybank Personal Loan atau Maybank Islamic Financing-i?

Tidak ada jawapan khusus untuk soalan ini. Jika kita lihat ciri-ciri yang ditawarkan oleh kedua-dua pinjaman ini, pinjaman peribadi Islamik dari Maybank lebih menarik.

Yang paling ketara ialah pada bahagian caj dan fi yang dikenakan. Maybank Islamic Personal Financing-i tidak mengenakan caj penamatan awal, tidak seperti Maybank Personal Loan.

Kesimpulannya, ini bergantung kepada kehendak anda.

Jika anda ingin menjelaskan pinjaman peribadi anda lebih awal dari tempoh pembiayaan – pinjaman peribadi Islamic Maybank sangat sesuai.

Tetapi, jika anda lebih selesa dengan pinjaman konvensional – pilih Maybank Personal Loan.

Ada pengalaman dengan pinjaman peribadi Maybank, atau ada nak tanya sebarang soalan? Tinggalkan kat ruangan mesej di bawah.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

20 Comments
Inline Feedbacks
View all comments