7 Mitos Pembiayaan Islamik Yang Ramai Masih Percaya

calendar-range
Dikirim 23/02/2021
(dikemaskini 21/12/2023)
Mitos Pembiayaan Islamik

Sistem perbankan Islam (SPI) telah lama bertapak di Malaysia, dan produk seperti pembiayaan Islamik telah berkembang dan menjadi popular. Walau bagaimanapun, masih banyak mitos pembiayaan Islamik yang berlegar dan masih ramai yang mempercayai mitos-mitos ini.

Penulisan saya kali ini akan cuba membongkar fakta-fakta tidak benar tentang produk pembiayaan Islamik di Malaysia.

Mitos-Mitos Pembiayaan Islamik

Sebenarnya tidak ada istilah pinjaman Islamik. Produk daripada Sistem Perbankan Islamik ini dikenali sebagai pembiayaan, bukan pinjaman. Ini kerana pihak institusi kewangan tidak meminjamkan wang kepada pelanggan, tetapi secara menjual aset (dalam bentuk wang) kepada pelanggan.

Jadi istilah pinjaman Islamik tidak wujud, dan istilah pembiayaan digunakan sebaliknya. Sama juga istilah di dalam Bahasa Inggeris di mana pinjaman konvensional dinamakan sebagai ‘Personal Loan’ manakala pembiayaan Islamik pula sebagai ‘Personal Financing’.

Berikut ialah senarai mitos pembiayaan Islamik yang masih berlegar di Malaysia.

1. Pembiayaan Islamik hanya untuk Muslim

Ini adalah antara mitos utama yang berlegar kepada Perbankan Islamik diperkenalkan. Malah, bukan sahaja penganut agama bukan Islam (non-Muslim) yang keliru, tetapi ramai juga masyarakat Islam yang percaya akan mitos ini.

Walaupun dikenali sebagai pembiayaan Islamik dan ditawarkan oleh Bank Islamik, produk pembiayaan ini adalah untuk semua masyarakat tanpa mengira Agama. Jadi, persepsi bahawa produk dan perkhidmatan perbankan Islamik hanya untuk Muslim adalah salah sama sekali.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah institusi kewangan yang meletakkan syarat bahawa produk pembiayaan Islamik yang mereka tawarkan hanya boleh digunakan untuk urusan patuh Syariah. Jadi kegunaan untuk urusan yang haram seperti judi, arak dan sebagainya adalah tidak dibenarkan.

2. Lebih mudah lulus berbanding pinjaman konvensional

Ada juga yang menganggap bahawa permohonan pembiayaan Islamik lebih mudah lulus berbanding permohonan pinjaman konvensional – tidak sebenarnya.

Proses permohonan untuk pinjaman konvensional dan pembiayaan Islamik boleh dikatakan hampir sama, dan syarat kelayakan mohon juga tidak ada beza. Mungkin terdapat sedikit perbezaan dari segi dokumen yang perlu disediakan, tetapi secara umum hampir tidak ada perbezaan antara pembiayaan Islamik dan pinjaman konvensional dari aspek peratusan lulus.

Institusi kewangan Islamik atau konvensional tetap akan mengambil kira faktor-faktor seperti skor kredit, rekod kredit, risiko pemohon, dan sebagainya untuk menentukan sama ada permohonan anda lulus atau tidak.

3. Tidak semua institusi kewangan menawarkan pembiayaan Islamik.

Fakta ini mungkin betul ketika Sistem Perbankan Islam (SPI) mula diperkenalkan. Pada masa dahulu, hanya bank Islamik yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islamik tanpa produk perbankan konvensional.

Walau bagaimanapun, pada masa sekarang boleh dikatakan hampir semua bank mempunyai anak syarikat yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam. Institusi kewangan lain yang menawarkan pinjaman seperti Koperasi dan Kredit Komuniti (Pinjaman Berlesen) juga ada menawarkan pembiayaan Islamik selain daripada pinjaman konvensional.

Jadi mitos bahawa tidak semua institusi kewangan mempunyai produk pembiayaan Islamik sudah tidak boleh dipakai pada masa sekarang.

4. Lebih menguntungkan kerana tidak perlu bayar faedah

Pembiayaan Islamik tidak mengenakan caj kadar faedah seperti pinjaman konvensional. Walau bagaimanapun, masih terdapat caj yang dikenakan iaitu caj perkongsian kadar keuntungan atau profit rate.

Jika kadar faedah pinjaman konvensional dikenakan ke atas jumlah pinjaman pokok, untuk pembiayaan Islamik pula jumlah kadar keuntungan yang dikenakan adalah daripada jualan aset (wang pembiayaan) kepada pembeli (pemohon).

Jadi masih ada caj yang dikenakan untuk produk pembiayaan Islamik, walaupun tidak ada caj kadar faedah.

5. Jumlah pembiayaan tidak setinggi pinjaman konvensional

Sebenarnya jumlah pinjaman atau pembiayaan yang boleh dimohon bukan bergantung kepada jenis pinjaman konvensional atau Islamik, tetapi lebih bergantung kepada jenis pinjaman/pembiayaan dan institusi kewangan yang menawarkan pelan tersebut.

Jumlah pinjaman/pembiayaan maksimum untuk pinjaman atau pembiayaan peribadi boleh bermula dari serendah RM1,000 hingga mencecah RM300,000 atau lebih – tidak kira sama ada pinjaman konvensional mahupun pembiayaan Islamik.

Tetapi anda harus ingat, mohon RM300,000 tidak semestinya jumlah tersebut akan diluluskan oleh institusi kewangan. Pihak institusi kewangan seperti bank masih menilai faktor-faktor seperti skor dan rekod kredit anda sebelum meluluskan jumlah yang anda mohon.

6. Banyak caj tersembunyi yang merugikan

Benar terdapat caj yang dikenakan sekiranya permohonan pembiayaan anda lulus. Tetapi caj seperti caj Wakalah atau upah agensi ini hanya sekitar RM30 hingga RM50 sahaja, dan akan ditolak daripada pembiayaan yang lulus. Caj ini juga tidak meningkatkan jumlah pembiayaan, jadi caj kadar keuntungan yang perlu dibayar tidak berubah.

7. Tiada perlindungan Insurans

Sistem Perbankan Islamik tidak menawarkan perlindungan Insurans konvensional, tetapi menawarkan perlindungan Takaful.

Walaupun perlindungan Insurans konvensional tidak dilarang oleh Islam, tetapi sumber perniagaan tersebut masih ragu dan tidak digalakkan. Oleh itu, perlindungan yang dibenarkan adalah perlindungan Takaful sebagai alternatif kepada insurans konvensional.wp

Seperti juga pinjaman konvensional, terdapat pelan pembiayaan Islamik yang mewajibkan perlindungan Takaful, dan ada yang menawarkan perlindungan Takaful sebagai pilihan untuk melindungi pelan pembiayaan tersebut.

Walaupun mitos pembiayaan Islamik ini masih menular, Sistem Perbankan Islam semakin popular pada masa sekarang. Kebanyakan masyarakat telah celik dan memahami konsep dan prinsip yang digunakan oleh perbankan Islamik.

Sekiranya anda ingin maklumat lanjut tentang kewangan Islamik, anda boleh baca artikel Konsep Perbankan Islam yang telah saya tulis sebelum ini. Baca juga panduan Perbezaan Antara Perbankan Islam dan Konvensional.

Jika anda sedang mencari pembiayaan Islamik terbaik, guna Sistem Semak Kelayakan Pinjaman/Pembiayaan yang kami sediakan atau lihat Senarai Pembiayaan Islamik di Malaysia.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments