Kenapa Permohonan Kad Kredit Ditolak – Ini Sebab Utama

calendar-range
Dikirim 21/09/2020
(dikemaskini 21/12/2023)
Kenapa permohonan kad kredit ditolak

Tahu tak kenapa permohonan kad kredit ditolak? Penat-penat anda mohon kad kredit, keputusannya mengecewakan. Ramai yang menganggap permohonan kad kredit lebih mudah lulus berbanding permohonan pinjaman peribadi, kenderaan atau pinjaman perumahan.

Ini bukanlah 100% tidak betul kerana memang permohonan kad kredit lebih ringkas dan tidak memerlukan dokumen yang lebih rumit berbanding pelan pinjaman lain. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud anda mohon sahaja sudah pasti permohonan anda akan lulus.

Pihak bank masih meneliti permohonan anda dan akan melakukan semakan terhadap rekod kredit, skor kredit, latar-belakang anda dan sebagainya. Kriteria-kriteria ini sangat penting untuk menentukan sama ada permohonan anda ditolak atau diterima.

9 sebab utama kenapa permohonan kad kredit ditolak

Lebih mudah sekiranya kita tahu punca permohonan kad kredit kita ditolak bank. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan situasi pihak bank tidak akan memaklumkan atau memberi maklumat kepada pemohon kepada permohonan mereka ditolak.

Ini tidak bermaksud bank tidak mahu permohonan anda lulus, tetapi lebih kepada untuk mengelakkan persaingan antara bank, atau maklumat ini disalah-guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes terpencil, pegawai yang menguruskan permohonan anda mungkin akan beri sedikit maklumat ringkas kenapa permohonan kad kredit anda tidak lulus.

Jika anda tidak mendapat informasi daripada pihak bank kenapa permohonan kad kredit anda direject, anda boleh buat siasatan sendiri. Lakukan sedikit homework berdasarkan faktor-faktor kenapa permohonan kad kredit anda ditolak yang saya senaraikan di bawah.

1. Tidak semak syarat kelayakan

Pihak bank sering melakukan promosi untuk kad kredit. Kadang-kala promosi yang dilakukan buat kita tidak teragak-agak untuk mohon dengan segera hinggakan kita tidak semak betul-betul syarat kelayakan yang diperlukan. Ini adalah antara faktor utama permohonan kad kredit tidak lulus. Anda perlu teliti betul-betul syarat kelayakan seperti umur atau gaji yang diperlukan untuk mohon kad tersebut.

2. Dokumen atau maklumat permohonan tidak lengkap

Ini adalah faktor yang sering diambil-mudah oleh mereka yang memohon kad kredit. Ramai ingat jika syarat lain seperti umur dan gaji sudah layak, dokumen yang dihantar semasa mohon tidak penting. Seringkali dokumen yang dikemukakan ketika mohon tidak lengkap, tidak jelas atau menyukarkan pihak bank untuk buat pengesahan terhadap dokumen-dokumen tersebut.

3. Tidak menyemak laporan kredit sebelum mohon

Cukup syarat layak untuk mohon seperti gaji dan umur tidak semestinya menjanjikan permohonan kad kredit anda lulus. Anda juga perlu semak laporan kredit anda untuk memastikan tiada masalah dalam permohonan kad anda. Pihak bank tidak akan teragak-agak untuk menolak permohonan anda sekiranya laporan kredit anda bermasalah. Dapatkan dahulu laporan kredit CCRIS anda sebelum mohon sebarang kad kredit. Pastikan tiada tunggakan bayaran komitmen atau bil dalam tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum mohon.

4. Terlalu cepat mohon selepas dapat kerja baru, atau tukar kerja.

Bagi yang baru menjawat jawatan yang stabil dan menerima gaji pertama, sudah pasti teringin untuk memiliki kad kredit untuk kemudahan. Tunggu, jangan mohon lagi sekiranya anda baru sahaja bekerja. Anda perlu tunggu sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum mohon sebarang pinjaman, termasuk kad kredit. Bank perlukan bukti bahawa kerja anda betul-betul stabil sebelum menimbangkan permohonan anda. Jadi jangan terlalu gopoh untuk mohon kad kredit jika anda baru sahaja bekerja, atau menukar tempat kerja baru.

5. Pendapatan tidak stabil atau tidak konsisten

Salah satu faktor kenapa permohonan kad kredit ditolak adalah pendapatan yang tidak stabil. Bagi pihak bank, pendapatan pemohon yang tidak konsisten adalah antara ciri utama yang perlu ditolak. Jika pendapatan tidak stabil, bagaimana anda akan membayar bil kad kredit kemudian h ari. Contohnya anda sering mengambil cuti tanpa gaji, sering bertukar tempat kerja, atau tidak bekerja dalam waktu yang lama. Pastikan pendapatan anda konsisten dalam tempoh 6 bulan sebelum anda mohon kad kredit.

6. Nisbah hutang yang tinggi

Selain laporan kredit untuk menentukan skor kredit anda, nisbah hutang atau Debt Service Ratio (DSR) adalah antara kayu ukur yang digunakan oleh bank untuk menentukan permohonan kad kredit anda ditolak atau diterima. Nisbah hutang kepada pendapatan anda tidak boleh terlalu tinggi. Dalam erti kata lain, anda tidak boleh mempunyai terlalu banyak hutang jika pendapatan anda rendah. Selalunya nisbah yang disarankan adalah tidak lebih daripada 30%.

7. Memiliki terlalu banyak kad kredit

Ramai menganggap memiliki banyak kad kredit adalah memudahkan. Jika satu kad sudah sampai had, boleh guna kad yang lain. Tetapi ramai yang tidak sedar situasi ini lebih membebankan daripada memudahkan. Bank Negara Malaysia telah menetapkan individu yang berpendapatan kurang dari RM36,000 setahun hanya layak memiliki dua kad kredit. Jika anda berpendapatan kurang dari RM36,000, sudah memiliki dua kad kredit dan cuba untuk mohon kad yang baru – pihak bank tidak akan melayan permohonan anda.

8. Mohon terlalu banyak kad kredit pada masa yang sama

Ada juga yang cuba nasib mohon lebih daripada satu kad dalam masa yang sama. Kononnya kalau satu permohonan ditolak, mungkin permohonan yang lain akan diterima. Setiap permohonan kad kredit anda akan direkodkan di dalam laporan kredit CCRIS anda. Jika anda mohon lebih daripada satu kad kredit dalam masa yang sama, bank akan melihat anda sebagai terdesak – seterusnya menolak permohonan kad anda. Tidak lupa juga perbuatan ini akan menjejaskan skor kredit anda dan menyukarkan anda untuk berurusan dengan bank berkaitan permohonan kad kredit atau pinjaman pada masa hadapan.

Baca panduan skor kredit untuk memudahkan anda memahami bagaimana skor kredit berfungsi.

9. Mohon terlalu banyak kad kredit dalam jangka masa yang singkat

Begitu juga jika anda mohon banyak kad kredit dalam jarak masa yang dekat. Contohnya jika bulan ini permohonan kad anda tidak lulus, bulan depan anda cuba mohon lagi. Tidak lulus, bulan depan mohon lagi, dan anda tetap cuba mohon setiap bulan. Akhirnya sampai kesudah anda tidak akan memiliki kad kredit. Jangan lupa semua permohonan anda akan direkodkan di laporan kredit anda. Jadi jika permohonan kad kredit anda ditolak, bersabar dan tunggu 6 bulan sebelum mohon kad baru.

Semak permohonan betul-betul sebelum mohon kad kredit

Faktor-faktor yang saya senaraikan di atas adalah antara sebab utama kenapa permohonan kad kredit ditolak. Terdapat beberapa lagi faktor-faktor kecil seperti risiko berkaitan umur, kerja dan sebagainya. Tetapi, 9 faktor di atas adalah perkara yang perlu anda beri perhatian sebelum mohon kad kredit.

Pastikan anda semak dan teliti betul-betul permohonan anda sebelum anda hantar kepada pihak bank. Ambil sedikit masa untuk perbaiki apa yang perlu diperbaiki seperti skor kredit sebelum anda mohon.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments