Pinjaman Peribadi KWSP – Wujud Atau Scam?

calendar-range
Dikirim 07/04/2021
(dikemaskini 21/12/2023)
Pinjaman peribadi KWSP

Baru-baru ini laman sosial dipenuhi dengan individu atau syarikat yang menawarkan pelan pinjaman KWSP atau pinjaman peribadi KWSP.  Pelan-pelan ini menawarkan jumlah pinjaman dari serendah RM5,000 hingga menjangkau RM50,000 kepada pencarum akaun 1 yang berumur antar 54 hingga 55 tahun, dan berumur 49 hingga 50 tahun bagi pencarum akaun 2.

Wujud atau tidak pinjaman KWSP yang ditawarkan ini?

Pelan Pinjaman Peribadi KWSP Tidak Diiktiraf

Jawapan yang paling ringkas ialah pelan pinjaman peribadi KWSP ini tidak diiktiraf oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Malah pihak KWSP telah mengeluarkan kenyataan rasmi di laman sesawang mereka yang mengingatkan pencarum supaya berwaspada dengan tawaran pinjaman yang menggunakan akaun KWSP.

Menurut pihak KWSP, pinjaman peribadi dengan KWSP atau dengan cagaran KWSP ini tidak diiktiraf dan berbahaya. Dengan pelan pinjaman ini, anda bukan sahaja memberi peluang kepada pihak ketiga untuk mempergunakan simpanan anda, tetapi juga merugikan simpanan masa depan.

Modus Operandi Syarikat Yang Menawarkan Pelan Pinjaman KWSP

Jika dilihat iklan syarikat yang menawarkan pelan pinjaman ini, mereka mengaku mereka adalah syarikat kredit komuniti atau pemberi pinjam wang berlesen sah yang berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Tetapi tidak pula dinyatakan nama syarikat atau mempamerkan nombor lesen yang diberikan KPKT.

Malah mereka juga menggunakan logo KWSP dan KPKT untuk mengelirukan bakal mangsa.

AKTA PEMBERI PINJAM WANG 1951 tidak membenarkan syarikat Kredit Komuniti/Pemberi Pinjaman Wang Berlesen menawarkan pelan pinjaman yang menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai cagaran.

Iklan pinjaman peribadi KWSP tersebut juga tidak menyatakan ciri lengkap pinjaman seperti kadar faedah yang dikenakan, tempoh bayaran balik dan sebagainya. Hanya nombor untuk dihubungi melalui WhatsApp diberikan supaya mangsa konon-konon boleh buat pinjaman KWSP online untuk memancing mangsa.

Setelah mangsa menghubungi mereka, pihak yang tidak bertanggungjawab ini akan memujuk mangsa dengan kata-kata manis supaya mangsa terjerat dan bersetuju untuk buat pinjaman.

Kesan Buruk Akibat Pinjaman Tidak Sah

Anda sendiri tahu kesan negatif jika anda buat pinjaman daripada syarikat yang tidak sah, seperti Ah Long dengan caj kadar faedah yang tidak masuk akal. Cerita-cerita seperti pinjam RM2,500 bayar RM100,000 bukan cerita dongeng. Malah ada yang pinjam RM10,000 tapi terpaksa bayar sehingga RM1 juta!

Pihak Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sendiri mengesahkan kes-kes seperti ini. Malah menurut presiden PPIM, mereka menerima sehingga 40 aduan setiap hari berkaitan kes ditindas syarikat pinjaman yang tidak sah.

Baca perbezaan syarikat pinjaman berlesen dan ah long

Bagaimana pula jika iklan-iklan ini bukan daripada lintah darat, tetapi penipu pinjaman peribadi, atau scammer. Sudahlah tidak dapat duit, terpaksa pula berhabis duit untuk bayar wang pendahuluan, deposit dan sebagainya.

Baca cara mengenali penipu pinjaman peribadi

Pinjaman Peribadi Cagaran KWSP Merugikan Anda

Semua sedia maklum bahawa tujuan utama diwujudkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah untuk simpanan di hari tua selepas bersara. Oleh itu jika anda menjadikan simpanan anda sebagai cagaran untuk buat pinjaman, anda akan rugi.

Walaupun terdapat skim pinjaman KWSP, tetapi skim ini adalah untuk pembelian rumah. Skim ini membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan daripada akaun 2 KWSP untuk membeli rumah atau lot kedai dengan unit kediaman. Walau bagaimanapun, terdapat had pengeluaran yang ditetapkan untuk skim ini. Syarat-syarat yang dikenakan juga tidak merugikan pencarum dan bertujuan untuk membantu mereka yang layak.

Dalam erti kata lain, tidak ada skim pinjaman peribadi KWSP yang lain selain pinjaman KWSP untuk buat rumah.

Ada juga yang keliru antara i-Sinar dan pinjaman peribadi melalui KWSP. Pakej i-Sinar diwujudkan sebagai salah satu kemudahan kepada pencarum yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Pakej ini bukan pinjaman atau pembiayaan. Dengan pakej ini, anda mengeluarkan wang simpanan anda, bukan meminjam wang. Anda juga tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen seperti slip gaji untuk layak mohon i-Sinar. Ini berbeza dengan pelan pinjaman peribadi KWSP yang memerlukan dokumen untuk pengesahan pendapatan dan sebagainya.

Kesimpulannya, elak dari terpengaruh atau terpedaya dengan pelan pinjaman dan pembiayaan yang “too good to be true”. Pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mengambil kesempatan di atas kesusahan mangsa. Oleh itu jadi pengguna yang bijak dan sentiasa selidik dan kaji jika anda ditawarkan dengan pinjaman dan pembiayaan yang tidak masuk akal.

Kemaskini: Pinjaman KWSP FSA2 telah dilancarkan. Lihat senarai pinjaman KWSP FSA2.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments