Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberikan pengecualian bayaran ruang letak kereta kepada pemilik kenderaan elektrik (EV) di kawasan bandar. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan hijau dan mengurangkan pencemaran udara di bandar-bandar utama.
Langkah ini diambil untuk mendorong lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada kenderaan elektrik, yang lebih mesra alam dan mampu mengurangkan pencemaran udara. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam mencapai sasaran Malaysia neutral karbon menjelang tahun 2050.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk mengecualikan bayaran ruang letak kereta untuk kenderaan elektrik bagi menggalakan lebih ramai rakyat membeli kenderaan EV daripada kereta bahan api fosil.
Beliau juga memaklumkan KPKT sedang berbincang dengan majlis tempatan untuk melaksanakan cadangan ini, dengan mengambil inspirasi daripada perlaksanaan yang sama di London, United Kingdom.
Kenyataan ini dibuat selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan pengurangan cukai jalan sehingga 85% untuk kenderaan elektrik dan plat hijau khas untuk memudahkan urusan di saat kecemasan.
Kepentingan Inisiatif Hijau
Menurut laporan dari Persatuan Pengeluar Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan elektrik di Malaysia meningkat sebanyak 69% pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya. Ini menunjukkan minat yang semakin meningkat dalam penggunaan kenderaan yang lebih mesra alam.
Cadangan pengecualian bayaran parkir untuk kenderaan elektrik ini adalah langkah progresif dalam usaha Malaysia menuju masa depan yang lebih hijau. Usaha ini bukan sahaja mendorong rakyat untuk beralih kepada kenderaan yang lebih mesra alam, tetapi juga menyokong matlamat negara untuk mengurangkan pencemaran dan mencapai neutral karbon.
Langkah ini akan memberi kesan positif dalam jangka masa panjang. Dengan lebih banyak kenderaan elektrik di jalan raya, kita dapat melihat pengurangan yang signifikan dalam kadar pencemaran udara di bandar-bandar besar. Walau bagaimanapun, kerajaan juga perlu memastikan infrastruktur sokongan seperti stesen pengecasan mencukupi untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar.