Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengumumkan rancangan komprehensif untuk membangunkan aplikasi mudah alih baharu bagi menaik taraf platform i-KrediKom bermula tahun hadapan. Langkah strategik ini bertujuan memperkasakan pengguna dengan alat digital yang lebih canggih untuk menyemak status pemberi pinjaman wang, sekaligus membendung kegiatan pinjaman wang tanpa lesen atau “Ah Long” yang sering menjerat peminjam di Malaysia.
Transformasi Digital untuk Keselamatan Peminjam
Dalam persidangan di Dewan Negara pada 10hb Disember yang lalu , Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu, menjelaskan bahawa aplikasi baharu ini direka khusus untuk membantu bakal peminjam membuat semakan awal berkenaan status lesen syarikat Kredit Komuniti (pemberi pinjam wang berlesen) sebelum memohon pinjaman.
Naiktaraf ini bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi melibatkan integrasi teknologi keselamatan terkini. Antara ciri utama yang bakal diperkenalkan termasuk:
- Imbasan Kod QR: Membolehkan pengguna mengimbas kod di premis syarikat Kredit Komuniti untuk pengesahan serta-merta.
- Sijil Lesen Digital: Menyediakan paparan lesen yang sukar dipalsukan untuk memastikan ketulenan syarikat.
- Semakan Akaun Kedai: Memudahkan pengguna menyemak kesahihan akaun perniagaan pemberi pinjaman berlesen.
Aplikasi yang membantu bakal peminjam membuat semakan awal status lesen syarikat pembeli pinjam wang itu akan dipertingkat melalui ciri imbasan kod QR, sijil lesen digital dan semakan kedai akaun.
– Datuk Aiman Athirah Sabu.
Kerjasama Strategik Membanteras Iklan Haram
Selain pembangunan aplikasi, KPKT turut mempergiatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Fokus utama kolaborasi ini adalah untuk mengenal pasti dan membanteras kegiatan ah long serta menghapuskan iklan-iklan pinjaman haram di platform digital.
Setakat ini, usaha bersepadu ini telah menampakkan hasil yang memberangsangkan, antaranya:
- Lebih 300 laman sesawang yang mengiklankan pinjaman wang tanpa lesen telah berjaya dinyahaktifkan.
- Proses integrasi data antara i-KrediKom, PDRM, dan MCMC akan diteruskan secara berperingkat untuk menyekat promosi pinjaman yang menyalahi undang-undang.
Konteks Perundangan: Akta Kredit Pengguna 2025
Usaha menaik taraf i-KrediKom ini bergerak seiring dengan reformasi kewangan negara di bawah Akta Kredit Pengguna 2025. Undang-undang baharu ini menetapkan piawaian yang konsisten bagi penyedia kredit bukan bank, termasuk penyedia “Beli Sekarang, Bayar Kemudian” (Buy Now, Pay Later -BNPL).
Sebuah badan pengawal selia baharu, iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna, akan mengambil alih kawal selia pemberi pinjaman wang secara berperingkat, memastikan pasaran kredit yang lebih telus dan selamat.
Apa Kesannya Terhadap Kewangan Anda?
Pengumuman ini boleh dilihat sebagai bukan sahaja kemas kini teknikal, tetapi persediaan penting menjelang pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 yang akan memperkasakan lagi penyeliaan kredit untuk institusi kewangan bukan bank.
1. Kod QR Adalah “Game Changer”
Masalah utama sebelum ini ialah pemalsuan dokumen. Ah Long sering memalsukan nombor lesen pada risalah iklan mereka. Dengan ciri Sijil Lesen Digital dan Imbasan QR, pengguna kini mempunyai alat kukuh untuk mengelak daripada tertipu. Jika anda imbas kod QR di syarikat kredit komuniti dan aplikasi tidak mengeluarkan maklumat yang sah, lari serta-merta. Itu bukan pemberi pinjaman berlesen yang berdaftar dengan KPKT.
2. Jangan Terpedaya dengan Iklan Media Sosial
Walaupun KPKT dan MCMC telah menurunkan 300 laman web haram, iklan baharu akan sentiasa muncul, terutamanya di media sosial. Aplikasi i-Kredikom yang dipertingkatkan ini memberi kuasa di tangan anda. Jangan percaya bulat-bulat iklan di Facebook atau TikTok yang menjanjikan “lulus segera” tanpa semakan dokumen, atau “blacklist pun boleh apply”. Gunakan aplikasi rasmi KPKT untuk pengesahan.
3. Semak Sebelum Sain
Sementara menunggu aplikasi ini siap tahun depan, amalkan langkah keselamatan ini sekarang untuk elak dari tertipu:
- Guna aplikasi i-KrediKom sedia ada untuk buat semakan sebelum mohon.
- Jangan lupa peraturan ini: Pemberi pinjam wang berlesen TIDAK BOLEH meminta sebarang wang pendahuluan. Jika diminta bayar “yuran pemprosesan” sebelum duit masuk, sahih mereka adalah penipu.
- Tingkatkan pengetahuan anda berhubung penipuan pinjaman peribadi melalui panduan Mengenali Penipuan Pinjaman Peribadi yang kami sediakan.
Sekiranya anda merancang untuk membuat pinjaman peribadi dalam masa, pastikan anda memilih pelan pinjaman yang sesuai dengan kemampuan dan kelayakan anda. Guna laman Semak Kelayakan Pinjaman Perbadi kami untuk membantu, semua institusi kewangan adalah sah dan anda tidak perlu risau ditipu.

