Kebaikan dan Keburukan Kad Kredit

calendar-range
Dikirim 19/05/2023
(dikemaskini 21/12/2023)
Kebaikan dan keburukan kad kredit 

Kad kredit adalah medium pembayaran yang popular pada masa sekarang. Ramai individu memilih untuk menggunakan kad kredit kerana kemudahan dan kelebihan yang ditawarkan. Namun begitu, seperti semua perkara, kad kredit juga memiliki keburukan yang perlu diberi perhatian oleh setiap pengguna. Kali ini kita akan membincangkan tentang kebaikan dan keburukan kad kredit supaya anda boleh menggunakan kad kredit dengan bijak dan lebih berhemah.

Kebaikan dan kelebihan kad kredit

Kepada yang telah lama menggunakan kad kredit, sudah pasti anda telah sedar betapa pentingnya kad tersebut dalam urusan harian. Bagi yang baru nak mohon, atau baru menggunakan kad kredit, berikut adalah beberapa kelebihan dan kebaikan kad kredit yang boleh anda eksploitasi untuk keuntungan anda dan membantu dalam pengurusan kewangan.

Tidak perlu bawa wang tunai

Antara kelebihan utama kad kredit adalah anda tidak memerlukan wang tunai untuk transaksi bayaran. Pada masa sekarang, boleh dikatakan kebanyakan kedai atau pedagang telah menerima medium pembayaran selain wang tunai, seperti kad kredit, kad debit, e-Dompet, atau pindahan bayaran dalam talian. Oleh itu, sudah tidak menjadi masalah sekiranya anda tidak membawa wang tunai atau kehabisan cash ketika nak bayar.

Selain itu, kad kredit juga lebih selamat berbanding membawa wang tunai yang banyak di dalam dompet, yang boleh menyebabkan risiko kena rompak atau dicuri.

Diterima di mana-mana sahaja

Kad kredit diterima di mana-mana sahaja, di dalam dan luar negara. Dari restoran tepi jalan, sehinggalah kepada hotel lima bintang, atau laman sesawang e-dagang – kad kredit diterima sebagai medium bayaran. 

Kelebihan kad kredit ini secara langsung menjadikannya sebagai kaedah bayaran yang fleksibel dan memudahkan. Tambahan lagi jika anda gemar melancong ke luar negara, atau sering membeli-belah di laman e-commerce secara online.

Sangat berguna ketika kecemasan

Kad kredit juga boleh menjadi penyelamat di dalam situasi kecemasan. Contohnya untuk kos perubatan yang tidak dijangka, atau anda perlu menggantikan barangan keperluan penting yang hilang atau dicuri. Kad kredit boleh membantu dengan memberikan modal segera yang anda perlukan.

Pelan kad kredit seperti pendahuluan tunai atau pinjaman tunai (cash advance) juga sangat membantu sekiranya anda memerlukan wang tunai dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, pastikan anda baca dan teliti syarat-syarat untuk pelan ini supaya anda faham tentang caj yang dikenakan dan kaedah bayaran balik.

Pelbagai pulangan dan ganjaran

Pemegang kad kredit juga akan menerima pelbagai pulangan dan ganjaran daripada pengeluar kad kredit. Boleh dikatakan kebanyakan kad pada masa sekarang didatangkan dengan satu ganjaran atau lebih. Terdapat juga kad yang menawarkan pulangan dan ganjaran lengkap untuk setiap wang yang dibelanjakan, terutamanya kad kredit premium.

Ciri seperti pulangan tunai (cashbacks) yang boleh anda tukar kepada wang tunai, atau mata ganjaran (rewards points) yang boleh anda tebus untuk barangan atau perkhidmatan adalah antara kelebihan yang ditawarkan.

Terdapat juga kad yang menawarkan pelan ansuran mudah untuk kemudahan buat barangan dengan bayaran ansuran bulanan. Seperti juga pelan pendahuluan tunai, anda perlu teliti dahulu keperluan dan syarat yang ditetapkan oleh Easy Payment Plan ini untuk mengelak terbeban oleh hutang kad kredit.

Bantu bina sejarah kredit

Anda pasti tahu bahawa sejarah kredit yang baik sangat penting pada masa sekarang. Untuk mohon sebarang pinjaman, anda perlu ada sejarah kredit dan rekod kredit yang sihat.

Kad kredit boleh bantu anda bini sejarah kredit yang baik. Terutamanya jika anda tidak ada skor kredit, iaitu tidak pernah buat pinjaman atau kali pertama menggunakan kad kredit.

Sejarah kredit yang baik akan membawa kepada skor kredit yang tinggi. Ini bukan sahaja meningkatkan peluang lulus apabila anda mohon pinjaman, malah sesetengah pihak bank atau institusi kewangan boleh menawarkan kriteria pinjaman yang lebih menguntungkan seperti faedah yang rendah dan rebat untuk penamatan awal sekiranya anda memohon dengan skor kredit yang tinggi.

Contoh skor kredit CTOS

Tetapi pastikan anda buat bayaran bulanan kad kredit dengan bayaran penuh dan tepat pada masanya untuk bina rekod kredit yang baik.

Perlindungan pembelian

Sesetengah pengeluar kad kredit menawarkan perlindungan pembelian untuk transaksi dalam talian. Ramai yang tahu kad mereka mempunyai ciri ini. Kelebihan kad kredit ini memberikan perlindungan tambahan apabila anda buat pembelian dengan kad anda.

Perlindungan yang ditawarkan selalunya merangkumi barangan tidak diterima, barangan rosak, atau barangan yang diterima tidak seperti yang dijanjikan. Melalui perlindungan ini, anda boleh menggantikan barangan tersebut, atau membatalkan pembelian dan menerima kembali wang anda.

Kekurangan dan keburukan kad kredit

Walaupun terdapat pelbagai kelebihan, kad kredit juga mempunyai beberapa kelemahan atau keburukan. Keburukan kad kredit ini jika tidak diberi perhatian boleh beri kesan negatif kepada situasi kewangan anda, terutamanya dalam aspek hutang.

Oleh, di sini disenaraikan beberapa kekurangan kad kredit supaya anda dapat kenal pasti dan elakkan daripada terlibat dengan kelemahan-kelemahan ini.

Kadar faedah tinggi

Antara keburukan kad kredit yang utama adalah caj kadar faedah yang tinggi. Kadar faedah yang dikenakan untuk kad kredit adalah lebih tinggi berbanding kadar yang dikenakan oleh kaedah kredit lain seperti pinjaman peribadi. 

Walaupun terdapat kad dengan kadar faedah rendah, boleh dikatakan kebanyakan kad kredit datang dengan kadar faedah yang tinggi.

Tambahan lagi sekiranya anda gagal jelaskan bayaran bulanan kad anda, atau hanya buat bayaran minimum setiap bulan –  caj kadar faedah akan meningkat. Ini menambahkan hutang kad kredit anda sekali gus boleh menyebabkan masalah kewangan yang serius.

Terdapat caj dan yuran tersembunyi

Ramai yang tidak tahu, tetapi sebilangan kad kredit mempunyai caj dan yuran yang tersembunyi. Caj dan yuran ini mungkin tidak nyata, dan tersembunyi dalam syarat dan terma yang perlu dipersetujui oleh pengguna.

Antara caj dan yuran tersembunyi ini termasuk yuran tahunan, caj menggantikan kad hilang, caj transaksi mata wang asing, penalti lewat bayar, caj pengendalian, caj lebih had kredit, dan lain-lain.

Oleh itu, pastikan anda teliti terma dan syarat yang diberikan dan tanya tentang semua caj dan yuran yang akan dikenakan sebelum anda bersetuju untuk menerima kad anda.

Memupuk sikap boros berbelanja

Kad kredit juga boleh melatih anda berbelanja dengan boros tanpa anda sedar. Mana tidaknya, hanya ‘swipe’ sahaja kad untuk dapatkan barangan yang idamkan. Atau, guna pelan ansuran mudah dan bayar balik setiap bulan. 

Kemudahan kad kredit ini memang menyenangkan, tetapi jika disalah-guna, hal ini boleh menjadi serampang dua mata. Oleh itu, pastikan anda mendisiplinkan diri ketika menggunakan kad kredit. Dengan menggunakan kad kredit secara tidak berhemah akan menjurus kepada bebanan hutang yang tidak terkawal.

Tidak diterima di semua pedagang

Walaupun sebelum ini saya telah senaraikan antara kelebihan kad kredit ialah medium bayaran ini diterima di mana-mana sahaja, terdapat beberapa kelemahan di dalam situasi ini. Kedai-kedai luar bandar dan sesetengah kedai makan atau restoran hanya menerima bayaran dalam bentuk tunai.

Jenis-jenis kad kredit
Jenis-jenis kad kredit

Terdapat juga perbezaan penerimaan bayaran kad kredit dari aspek jenis kad kredit tersebut. Sebagai contoh, kad kredit Visa dan MasterCard boleh dikatakan diterima di mana-mana sahaja kedai atau pedagang yang menerima bayaran melalui kad kredit.

Kad American Express pula hanya diterima di sesetengah pedagang yang mengambil bahagian. Begitu juga kad Discover, Diners Club, dan JCB. Faktor ini adalah kerana American Express mengenakan caj yang lebih tinggi kepada pedagang berbanding Visa dan MasterCard. Discover, Diners Club, dan JCB pula mempunyai pasaran yang lebih besar di Amerika Syarikat berbanding negara lain.

Kad kredit UnionPay pula disasarkan kepada pasaran negara Negara China dan hanya mula meluaskan pasaran mereka ke tahap global.

Risiko di senarai hitam dan diisytiharkan muflis

Tidak perlu saya jelaskan bebanan hutang kad kredit yang tidak terkawal boleh menjurus kepada masalah kewangan yang serius, termasuk risiko untuk di senarai hitam (blacklist) atau diisytiharkan muflis (bankrupt).

Bukan sahaja masa depan kewangan anda akan terjejas, malah besar kemungkinan mereka yang menghadapi situasi akan terjejas dari segi mental dan emosi.

Sekiranya anda sedang menghadapi situasi ini, dapatkan khidmat nasihat daripada professional seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Risiko terlibat penipuan kad kredit

Risiko terlibat dengan penipuan kad kredit adalah satu lagi keburukan kad kredit yang perlu diberi perhatian. Pada zaman serba digital ini, penjenayah siber semakin bermaharajalela. Dengan mudah maklumat peribadi anda boleh dicuri dan disalah-guna, termasuk maklumat kad kredit.

Maklumat ini kemudiannya akan digunakan untuk melakukan transaksi tanpa pengetahuan anda. Terdapat banyak kes penipuan kad kredit yang dihadapi oleh mereka yang tidak berhati-hati. 

Walaupun dalam kebanyakan kes anda boleh batalkan transaksi tersebut, lebih baik mencegah daripada merawat. Pastikan anda sentiasa  berwaspada dan jangan mendedahkan maklumat kad anda kepada sesiapa sahaja.

Boleh merendahkan skor kredit

Keburukan lain yang perlu dipelajari oleh pemegang kad adalah bahawa penggunaan berlebihan kad kredit boleh mempengaruhi skor kredit anda. Kadar faedah tinggi, caj dan yuran tambahan, lewat bayar, dan hutang yang tidak terkawal semuanya memberi kesan kepada skor kredit anda.

Sekiranya anda menggunakan kad kredit melebihi had kredit (credit limit) anda, nisbah penggunaan kredit akan bertambah sekali gus merendahkan skor kredit. Atau anda sering bayar bil kad kredit lewat pada masa yang ditetapkan yang akan beri kesan negatif kepada rekod kredit. 

Apabila anda lewat buat bayaran, perkara ini akan direkodkan dalam laporan kredit anda sama ada Credit Reference Information System (CCRIS) atau CTOS. Laporan ini kemudiannya akan digunakan oleh institusi kewangan sebagai rujukan apabila anda ingin mohon sebarang kredit seperti pinjaman atau kad kredit lain.

Selain itu, menutup akaun kad kredit yang baru tetapi digunakan dengan berlebihan juga secara tidak langsung kepada skor kredit individu.

Jadi pengguna kad kredit yang bijak

Sebagai pemegang dan pengguna kad kredit, anda perlu faham semua kebaikan dan keburukan kad kredit, termasuk apakah manfaat dan risiko yang perlu anda tanggung. Dengan pemahaman yang jelas, kad kredit boleh menjadi medium yang berguna untuk menguruskan kewangan anda. 

Kelebihan kad kredit seperti kemudahan buat bayaran, boleh digunakan sebagai wang kecemasan, pelbagai pulangan dan ganjaran, dan keupayaan untuk bina sejarah kredit yang baik boleh menjadi alat yang akan membantu anda dalam sistem kewangan harian.

Walau bagaimanapun, kelemahan seperti penggunaan kad kredit yang berlebihan, risiko di senarai hitam, risiko muflis, merendahkan skor kredit, dan sebagainya harus anda kenal pasti dan pertimbangkan setiap kali anda guna kad anda.

Setiap perkara, bukan sahaja kad kredit, boleh beri kebaikan dan juga keburukan bergantung kepada cara penggunaan. Oleh itu, penting untuk anda ambil tahu dan jadi pengguna yang bijak dan bertanggungjawab. 

Pastikan anda baca semua syarat dan terma yang dikenakan oleh pengeluar kad, guna kad kredit tanpa melebihi credit limit, dan bayar bil kad kredit tepat pada masanya.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments