Perbezaan Kad Kredit Dan Kad Debit – Sama Tapi Tak Serupa

calendar-range
Dikirim 30/07/2021
(dikemaskini 24/04/2024)
Perbezaan kad kredit dan kad debit

Pada masa sekarang penggunaan kad kredit dan kad debit bukanlah sesuatu yang asing lagi di negara kita. Penggunaan kedua-dua kad ini menjadi popular kerana dilihat sebagai pengganti wang tunai yang mudah dimohon. Tambahan pula kedua-dua kad ini membenarkan penggunaan transaksi dalam talian. Walaupun kedua-dua kad ini bertujuan untuk memudahkan cara perbelanjaan seseorang, terdapat beberapa perbezaan kad kredit dan kad debit yang masih ramai tak tahu.

Beza kad kredit dan kad debit

Untuk tahu apa yang membezakan kedua-dua kad ini, anda harus faham bagaimanakah fungsi kad debit dan kad kredit dari segi konsep dan penggunaan.

Apa itu kad debit?

Kad debit adalah sejenis kad bayaran yang ditawarkan kepada oleh bank pelanggan yang membuka akaun simpanan dengan bank tersebut. Kad ini juga dikenali sebagai kad bank dan kad ATM. Pada masa sekarang boleh dikatakan kebanyakan bank telah menamatkan kad ATM mereka dan menggantikannya dengan kad debit.

Setiap kad debit yang anda terima akan terikat dengan akaun simpanan anda. Oleh itu setiap kali anda buat bayaran atau guna kad debit, jumlah yang anda guna akan ditolak terus daripada akaun bank anda. Itu adalah maksud kad debit secara ringkas.

Terdapat banyak kad debit yang dikeluarkan oleh bank pada masa sekarang.

Apa itu kad kredit?

Kad kredit pula adalah kad pembayaran yang membenarkan anda meminjam wang daripada pengeluar kad kredit, iaitu bank dengan setiap pembelian anda. Dalam erti kata lain anda sebenarnya berhutang dengan bank setiap kali anda swipe kad anda. Jumlah yang anda guna dengan kad ini perlu anda bayar dengan bayaran ansuran. Bayaran bulanan ini termasuk caj tambahan kad kredit seperti kadar faedah kad kredit, caj pengeluaran dan sebagainya.

Bank akan menetapkan had yang boleh anda guna atau pinjam dengan anda. Had ini dikenali sebagai had kredit (credit limit). Limit kad kredit akan bergantung kepada jenis kad dan kelayakan anda.

Ada kad kredit yang menawarkan had yang tinggi seperti kad kredit platinum dan premium. Manakala kad asas yang disasarkan untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan kad kredit mengenakan ansuran bulanan yang lebih rendah. Ini untuk mengelakkan pengguna terbeban dengan hutang kad kredit.

Faktor ini juga telah menyebabkan Bank Negara Malaysia menetapkan jumlah kad krdit yang boleh dimiliki oleh setiap individu berdasarkan pendapatan tahunan mereka.

Elak terbeban hutang kad kredit
Elak daripada terbeban hutang kad kredit

Oleh itu, boleh kita katakan bahawa perbezaan kad kredit dan kad debit yang paling utama adalah bagaimana kedua-dua kad ini berfungsi. Dengan kad debit, anda tidak meminjam dengan bank, tetapi menggunakan dana daripada akaun bank anda. Kad kredit pula membenarkan anda meminjam atau berhutang dengan bank terlebih dahulu dan bayar kemudian.

Persamaan kad kredit dan debit

Walaupun banyak perbezaan antara kedua-dua kad ini, terdapat juga beberapa persamaan antara kad kredit dan kad debit. Jom kita lihat apakah persamaan kad debit dan kad kredit.

Syarikat perkhidmatan kad kredit

VISA, MasterCard, American Express (Amex), dan UnionPay adalah syarikat kewangan yang menyediakan perkhidmatan kad kredit dan kad debit. Jadi tidak hairanlah jika bank pengeluar kad menggunakan perkhidmatan daripada syarikat-syarikat ini untuk kad kredit dan kad debit mereka.

Tidak banyak perbezaan antara syarikat pembayaran kad kredit ini. Perbezaan yang paling utama ialah kelebihan dan keistimewaan yang ditawarkan. Sebagai syarikat VISA menawarkan keistimewaan VISA Privilege dan MasterCard mempunyai kelebihan perkhidmatan MasterCard concierge.

Begitu juga dengan ciri bayaran tanpa sentuh (contactless payment). VISA mempunyai Visa payWave manakala MasterCard menggunakan MasterCard PayPass.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah pedagang yang hanya menerima transaksi daripada kad Visa dan sebaliknya, terutamanya untuk transaksi atas talian (online).

Ciri keselamatan

Kedua-dua kad ini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang hampir sama. Antaranya ialah perlindungan penipuan yang dipantau oleh pihak bank yang mengeluarkan kad tersebut.

Kedua-dua kad ini mengandungi kod keselamatan yang dikenali sebagai CCV (Card Verification Value) atau CVC (Card Verification Code). Kod keselamatan ini selalunya tersembunyi di bahagian belakang kad. Ada juga kad dengan kod keselamatan di bahagian hadapan. Kod ini digunakan apabila anda melakukan transaksi kad kredit atau kad debit. Selalunya anda harus memasukkan kod keselamatan ini sebagai langkah terakhir dalam transaksi.

Penggunaan kad kredit lebih selamat kerana penolakan wang tidak berlaku secara terus daripada akaun bank berbanding penggunaan kad debit.

Jika mahu mempunyai kad debit, pastikan daftar untuk menerima mesej pemberitahuan aktiviti akaun sama ada melalui e-mel atau SMS.

Pengguna juga harus memantau bil-bil dan penyata akaun bank untuk mengesan apa-apa transaksi yang mencurigakan dan sentiasa berwaspada.

Ganjaran dan pulangan

Mereka yang memiliki kad kredit sudah pasti tidak asing dengan ganjaran dan pulangan yang ditawarkan bersama kad tersebut. Tetapi, ramai yang tak tahu kad debit juga mempunyai ganjaran dan pulangan seperti rebat tunai (cashback), mata ganjaran (rewards point) dan sebagainya.

Walau bagaimanapun tidak banyak bank yang menawarkan kad debit dengan ciri ganjaran dan pulangan, tidak seperti kad kredit. Paling tidak pun kad kredit asas akan didatangkan dengan ciri cash back atau rewards point.

Baca bahagian soalan lazim kad kredit jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang ganjaran dan pulangan yang ditawarkan, atau cari kad dengan ciri-ciri ini di laman Cari Kad Kredit yang kami sediakan.

Had Penggunaan

Kad kredit dan debit mempunyai had penggunaan
Kad kredit dan debit mempunyai had penggunaan

Kedua-dua kad debit dan kredit mempunyai had penggunaan yang telah ditetapkan oleh bank. Untuk kad kredit had penggunaan ditetapkan kepada had bulanan dalam bentuk had kredit atau “credit limit’. Had ini ditentukan oleh bank berdasarkan pendapatan tahunan anda. Lebih tinggi pendapatan, lebih tinggi had yang boleh diberikan oleh pihak bank kepada kad anda. Terdapat juga bank yang membenarkan anda memohon untuk meningkatkan had kredit yang telah ditetapkan. Bank akan menilai beberapa faktor seperti rekod dan skor kredit, risiko pekerjaan dan sebagainya untuk menentukan sama ada permohonan anda lulus atau tidak.

Bagi kad debit pula, walaupun tiada had bulanan, terdapat had perbelanjaan harian yang perlu anda beri perhatian. Had ini penting untuk menjaga akaun simpanan atau akaun semasa kerana caj kad ditolak terus daripada jumlah di dalam akaun anda. Kebanyakan bank membenarkan anda menetapkan berapa had penggunaan harian kad debit melalui sistem atas talian mereka. Contohnya pengguna kad debit Maybank boleh mengubah had belanja harian melalui aplikasi Maybank2u atau MAE.

Kelebihan dan kelemahan kad kredit dan kad debit

Oleh kerana kedua-dua kad ini berbeza dari segi ciri dan penggunaan, terdapat beberapa kelebihan dan kelemahan antara kedua-duanya.

Penggunaan kad kredit lebih mudah dalam segala urusan seperti membiayai untuk kecemasan jika pengguna menanggung perbelanjaan yang tidak dijangka, terutamanya semasa melancong ke luar negara. Sedangkan, kad debit adalah wang pengguna itu sendiri.

Pengguna tidak perlu bimbang tentang hutang pada hujung bulan kerana wang akan ditolak terus dari akaun pengguna. Tambahan pula, kad debit membantu pengguna mengawal perbelanjaan setiap bulan supaya pengguna tidak melebihi daripada apa yang telah dirancang untuk perbelanjaan harian.

Pengguna tidak boleh mengeluarkan wang tunai dari kad kredit. Oleh itu, ia hanya terhad kepada pusat membeli-belah atau kedai yang menyediakan perkhidmatan pembayaran melalui kad kredit.

Ini kerana peniaga tidak mahu menanggung risiko yang tinggi akibat berlakunya penyelewengan dalam urus niaga. Seterusnya, jika pengguna merupakan pengguna kad kredit tegar semasa membeli-belah, pengguna akan menjadi boros dan terjerumus ke dalam perangkap hutang.

Walau bagaimanapun, kelemahan kepada pengguna kad debit pula ialah tiada perlindungan kerana syarat kelayakan untuk memiliki kad debit adalah rendah. Penggunaan kad debit mempunyai risiko kehilangan wang dari akaun bank pengguna kerana transaksi secara talian.

Kad caj

Kad caj (Charge Card) adalah antara kemudahan kredit yang sering digunakan pada masa dahulu, sebelum penggunaan kad kredit dan kad debit menjadi popular. Secara ringkas, kad ini berfungsi sepenuhnya seperti kad kredit.

Semua transaksi dan perbelanjaan kad ini akan dibayar terlebih dahulu oleh pengeluar kad kepada saudagar atau peniaga. Perbelanjaan terkumpul akan dibilkan kepada pemegang kad pada setiap hujung bulan.

Apa yang membezakan kad caj dan kad kredit ialah pengguna kad ini perlu membayar sepenuhnya amaun yang tertera pada bil sebelum tarikh tamat tempoh, setiap bulan. Jika anda menjelaskan bil sebelum tarikh tamat, anda tidak akan dikenakan sebarang caj kadar faedah. Tetapi, jika anda gagal, caj lewat bayar akan dikenakan. Penalti lewat bayar ini adalah lebih tinggi berbanding caj lewat bayar kad kredit.

Pengguna kad kredit pula boleh memilih untuk buat bayaran bulanan minimum, atau buat bayaran penuh.

Kad caj selalunya ditawarkan oleh pihak bank kepada individu dengan pendapatan tinggi. Ini kerana had limit kredit kad ini lebih tinggi berbanding kad kredit. Antara charge card yang popular di Malaysia ialah kad caj American Express dan Diners Club yang ditawarkan oleh Maybank, Public Bank UOB dan Al-Rajhi.

Walau bagaimanapun, pada masa sekarang hanya Maybank yang masih menawarkan kad caj di dalam senarai produk kad mereka.

Kad Kredit, Debit atau Kad Caj?

Memilih kad yang sesuai adalah bergantung kepada penggunaan kewangan atau perbelanjaan anda. Ramai yang memilih kad kredit sebagai kemudahan untuk berbelanja kerana mempunyai pendapatan tetap dan terjamin. Ada juga yang menggunakan kad kredit untuk membina skor kredit yang sihat walaupun tidak memerlukan sangat kad ini untuk berbelanja.

Bagi individu yang tiada pendapatan tetap pula, mungkin kad debit adalah pilihan terbaik berbanding kad kredit. Pengurusan kewangan lebih mudah dengan kad debit kerana anda hanya boleh berbelanja mengikut kemampuan anda sahaja.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments