Cara Pilih Kad Kredit Pertama Anda

calendar-range
Dikirim 14/06/2020
(dikemaskini 24/04/2024)
Cara pilih kad kredit pertama

Apakah cara pilih kad kredit pertama yang terbaik untuk saya? Soalan ni ramai yang tanya, terutama mereka yang baru mula bekerja dan dah mula ada pendapatan.  Ada juga yang cuba elak daripada menggunakan kad kredit kerana terpengaruh dengan banyak pengalaman ngeri pengguna kad kredit.

Sebenarnya kad kredit ni banyak kelebihan, jika digunakan dengan cara yang betul. Maklumlah, apa sahaja kelapangan jika digunakan dengan kaedah yang salah, pasti akan memudaratkan.

Jadi, bagaimana cara memilih kad kredit yang sesuai untuk diri anda?

Perlu atau tidak?

Sebelum anda mula berjinak-jinak dengan penggunaan kad kredit, pastikan anda tahu tujuan utama anda ingin menggunakan kad tersebut? Adakah anda benar-benar perlu menggunakan kad, atau sekadar ingin ada kad kerana kawan-kawan semua ada?

Sebenarnya bagi kebanyakan individu, mereka tak perlu pun menggunakan kad kredit. Kad bukan keperluan, tetapi boleh membantu pengurusan kewangan. Salah satu faktor utama anda perlu kad terutama jika anda adalah “fresh graduate” ialah untuk membina skor kredit anda.

Pentingnya skor kredit ni pada masa hadapan apabila anda nak buat pinjaman dengan bank.

Saya dah tulis panjang lebar tentang skor kredit sebelum ni – anda boleh baca di Panduan Skor Kredit.

Selain itu kad kredit ni juga sangat penting jika ada kecemasan. Tetapi biarlah betul-betul kecemasan, bukan sebab kecemasan nak beli barang idaman anda.

Cara pilih kad kredit yang sesuai untuk anda

Jika anda dah buat keputusan untuk mendapatkan kad kredit, terdapat beberapa faktor yang perlu anda beri perhatian sebelum anda guna kad kredit pertama anda.

Kad kredit pertama anda

Lihat kemampuan

Kad kredit ni ada banyak jenis, dan syarat kelayakan untuk mendapatkan kad tersebut juga adalah berbeza. Pada masa sekarang, boleh dikatakan terdapat kad yang sesuai untuk setiap individu. Dalam erti kata lain, mesti ada kad yang sesuai dengan kelayakan dan kegunaan anda.

Oleh itu, anda perlu analisis kemampuan anda sebelum terikat dengan kad kredit. Berapa pendapatan tahunan anda, kemudian lihat kelayakan gaji yang diperlukan oleh kad tersebut. Jika gaji tak cukup, anda tak layak untuk mohon kad tersebut.

Lebih tinggi syarat kelayakan gaji untuk kad kredit, lebih banyak kelebihan dan keistimewaan yang datang dengan kad tersebut.

Ramai yang ingat perlu bergaji tinggi untuk pakai kad kredit, tapi hakikatnya tidak. Anda gaji kasar sebulan RM2,000 pun dah boleh apply credit card. Jenis kad kredit basic ni memang bank buat untuk mereka yang baru nak berjinak-jinak dengan kad kredit.

Fahamkan bagaimana kad kredit berfungsi

Kad kredit bukan sekadar alat untuk anda berhutang, tetapi lebih dari itu. Kad kredit juga boleh bantu anda untuk tingkatkan skor kredit anda, sekali gus membantu anda bina sejarah kredit yang sihat.

Terdapat banyak baik dan buruk dalam penggunaan kad kredit. Oleh itu anda perlu fahami bagaimana kad kredit berfungsi. Jika digunakan dengan bijak, kad kredit boleh membantu anda menguruskan kewangan dengan berhemah – dan sebaliknya.

Kenal pasti fi & caj kad kredit

Semua kad kredit mempunyai fi dan caj yang berbeza. Walaupun sekali pandang fi dan caj ini kelihatan sama, tetapi anda teliti dengan lebih lanjut anda akan dapati caj ini berbeza bergantung kepada jenis kad kredit dan bank yang mengeluarkan kad kredit tersebut.

Secara ringkas, terdapat dua jenis fi yang didatangkan bersama kad kredit.

Yang pertama ialah caj tetap atau ‘fixed charges’. Contoh caj tetap kad kredit ialah yuran tahunan (annual fees) dan cukai perkhidmatan (service tax). Caj tetap tambahan yang lain akan dinyatakan di dalam agreement kad anda. Sesetengah bank akan mengetepikan caj yuran tahunan sebagai tawaran khas, atau sesetengah bank tidak akan mengenakan caj ini. Begitu juga caj cukai perkhidmatan kad kredit.

Caj dan fi kad kredit yang ke dua ialah caj yang berubah atau ‘variable charges’. Contoh caj berubah ialah kadar faedah kad kredit, caj lewat bayar atau penalti lewat bayar kad kredit dan lain-lain. Caj-caj ini boleh berubah mengikut penggunaan kad anda. Sebagai contoh, caj penalti lewat bayar akan bertambah sekiranya anda terlupa untuk bayar bil kad kredit anda.

Adakah anda layak?

Sebelum anda mohon kad kredit pertama anda, semak dahulu kelayakan yang diletakkan oleh bank untuk kad kredit tersebut. Lain kad, lain kelayakan yang ditetapkan untuk mohon.

Walau bagaimanapun, syarat kelayakan mohon kad kredit yang asas ialah:

  • Anda perlu berumur 21 tahun ke atas.
  • Berpendapatan bulanan tidak kurang dari RM24,000 setahun.
  • Bekerja lebih dari 3 bulan.

Walaupun syarat ini mungkin berubah, ketiga-tiga ini adalah syarat utama yang ditetapkan oleh kebanyakan bank yang menawarkan produk kad kredit.

Seperti yang anda lihat, syarat untuk mohon kad kredit tidaklah begitu membebankan seperti syarat untuk mohon pinjaman peribadi. Tetapi, ini tidak bermakna anda boleh mohon kad kredit sesuka hati anda.

Kad Kredit pertama

Jika anda telah semak kemampuan, dan faham bagaimana kad kredit berfungsi, dan dah kenal pasti fi & caj kad – sekarang anda boleh bersedia untuk pilih kad kredit pertama anda.

Sesuaikan kad kredit dengan gaya hidup anda

Caj kadar faedah dan yuran tahunan

Anda perlu pilih kad yang tidak akan menjadi beban kepada hidup anda. Cara terbaik adalah pilih dengan yuran tahunan dan caj kadar faedah yang rendah. Lebih baik lagi jika kad tersebut ditawarkan dengan yuran tahunan yang diketepikan oleh bank.

Terdapat banyak bank yang menawarkan kad kredit dengan yuran tahunan diketepikan. Ciri ini selalunya dinyatakan sebagai tawaran khas, atau memang kad tersebut tidak ada caj yuran tahunan. Tetapi, ada syaratnya.

Kebanyakan bank akan meletakkan syarat jika anda ingin yuran tahunan kad anda diketepikan, anda harus guna kad tersebut beberapa kali dalam masa setahun. Syarat ini tidak menjadi masalah kerana anda boleh sahaja guna kad tersebut untuk beli barangan harian atau ketika mengisi minyak. Ada juga bank yang mengetepikan yuran tahunan jika anda berbelanja lebih daripada amaun yang ditetapkan dalam masa setahun.

Kekerapan guna kad kredit, dan amaun ini berbeza mengikut jenis kad dan bank yang mengeluarkan kad tersebut.

Caj kadar faedah kad kredit pula adalah caj yang perlu anda beri perhatian. Caj ini akan meningkat sekiranya anda lewat bayar bil bulanan kad kredit anda kerana caj ini dikenakan terhadap baki tertunggak kad anda. Sebaliknya jika anda bayar bil kad anda mengikut masa, kadar faedah yang dikenakan adalah lebih rendah.

Gaya hidup anda

Terdapat pelbagai dengan kad kredit di Malaysia yang mempunyai ciri-ciri dan kelebihan yang berbeza. Setiap ciri-ciri ini diperkenalkan oleh bank untuk memastikan kad tersebut sesuai dengan keperluan, kehendak, dan gaya hidup anda.

Jadi anda perlu pilih kad yang sesuai dengan cara anda berbelanja.

Jika anda kerap membeli-belah, mungkin anda boleh pilih kad dengan kelebihan rebat tunai (cashbacks) atau mata ganjaran (rewards points). Manakala jika anda selalu bercuti atau travel untuk urusan kerja, kad kredit airmiles atau ganjaran perjalanan mungkin pilihan yang lebih tepat.

Terdapat juga kad yang menawarkan ganjaran dalam bentuk rebat tunai atau mata ganjaran setiap kali anda mengisi petrol di stesen minyak yang terlibat.

Jumlah rebat tunai, mata ganjaran, ganjaran perjalanan dan ganjaran petrol ini berbeza mengikut jenis kad.

Mereka yang telah lama menggunakan kad kredit akan memiliki lebih daripada satu kad. Sebagai contoh mereka akan guna kad dengan rebat tunai atau mata ganjaran ketika beli belah, dan guna kad dengan airmiles setiap kali membeli tiket kapal terbang.

Walaubagaimanapun, anda mungkin belum sampai tahap ini – anda cuma ingin pilih kad kredit pertama anda.

Pilih kad kredit pertama anda

Anda telah fahami serba sedikit tentang asas kad kredit, dan bagaimana cara pilih kad kredit pertama anda. Sekarang anda perlu buat sedikit ‘research’ untuk melihat apakah kad yang sesuai dengan kehendak dan keperluan anda.

Saya telah membangunkan sistem ringkas untuk memudahkan anda pilih kad yang sesuai. Anda boleh cari kad kredit melalui sistem Cari Kad Kredit di laman web ini.

Jangan lupa untuk melihat ciri-ciri menarik dan kelebihan yang ditawarkan oleh setiap kad, dan juga fi & caj yang datang dengan kad tersebut.

share-nodes
Kongsi
Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Admin Pinjaman Peribadi Malaysia

Pengasas laman web Pinjaman Peribadi Malaysia yang ditubuhkan untuk berkongsi maklumat berkaitan pinjaman peribadi, pinjaman ASB, dan kad kredit dari institusi kewangan di Malaysia.

Tinggalkan soalan, mesej & komen

Ada sebarang soalan, mesej atau nak komen? Tanya atau tinggalkan mesej anda di bawah.
Subscribe
Notify of

2 Comments
Inline Feedbacks
View all comments