Panduan Pinjaman Peribadi di Malaysia 

Lengkapkan Diri Dengan Ilmu Untuk Meminjam Dengan Bijak

Panduan pinjaman peribadi di Malaysia

Sebelum anda memohon pinjaman dengan institusi kewangan seperti bank, koperasi, atau kredit komuniti/pinjaman berlesen, baca dahulu panduan lengkap ini supaya anda faham apa itu pinjaman peribadi dan bagaimana tingkatkan peluang lulus ketika mohon.

Apa Itu Pinjaman Peribadi?

Panduan pinjaman peribadi

Secara ringkas, pinjaman peribadi adalah wang yang anda ‘pinjam’ dari institusi kewangan dengan kadar faedah dipersetujui dan perlu anda bayar dalam tempoh tertentu.

Anda boleh guna pinjaman peribadi untuk banyak perkara, contohnya buat modal kahwin, beli kereta terpakai, bayar hutang PTPTN, melancong, dan sebagainya. Jenis pinjaman ini juga dikenali sebagai pinjaman jangka pendek, atau short-term loan.

Kelebihan dan Kekurangan Pinjaman Peribadi

Pinjaman peribadi menawarkan pelbagai kelebihan. Antara kelebihan utama ialah jenis kredit ini mudah dimohon oleh sesiapa sahaja asalkan mereka memenuhi syarat kelayakan yang diperlukan.

Pinjaman peribadi juga sangat fleksibel dari aspek jumlah dan tempoh pembiayaan, dan caj kadar faedah atau kadar keuntungan yang dikenakan. Di samping itu, tidak ada kekangan ke atas penggunaan pinjaman. Dalam erti kata lain, asalkan pinjaman lulus, dana tersebut boleh anda guna untuk sebarang tujuan.

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa kelemahan yang datang dengan pinjaman peribadi. Kadar faedah mungkin agak tinggi berbanding pinjaman sewa-beli (hire purchase) atau pinjaman perumahan dan hartanah.

Seperti kebanyakan jenis kredit, pembiayaan peribadi juga akan memberi kesan kepada rekod kredit. Tidak ada masalah jika anda buat bayaran pinjaman tanpa gagal. Tetapi, jika berlaku kelewatan atau kegagalan buat bayaran, impak terhadap skor kredit.

Faktor ini juga boleh menyebabkan anda terbeban dengan hutang berlebihan. Jangan terkejut jika saya katakan ramai sanggup buat pinjaman baru untuk membayar pinjaman lama. Walaupun kaedah ini boleh diguna pakai dalam sesetengah kes, ia bukanlah teknik terbaik untuk menyelesaikan hutang.

Kenal pasti kelebihan dan kelemahan ini untuk memudahkan anda buat pilihan bijak dalam misi mencari pinjaman peribadi terbaik.

Cara Pilih Pelan Pinjaman Peribadi Terbaik

Terdapat beberapa faktor penting yang perlu dipertimbangkan untuk memilih pinjaman peribadi terbaik yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan anda. Tip di bawah boleh membantu anda buat pilihan.

  • Bandingkan kadar faedah atau kadar keuntungan beberapa pelan pinjaman. Jika boleh pilih pelan dengan kadar faedah terendah untuk mengurangkan jumlah keseluruhan pinjaman dan merendahkan bayaran ansuran bulanan.
  • Bercakap tentang bayaran ansuran, kenal pasti berapa jumlah bayaran bulanan yang perlu anda bayar setiap bulan setelah mengira total pinjaman. Pastikan jumlah tersebut tidak membebankan dan anda mampu untuk bayar. Jangan pilih bayaran ansuran di luar kemampuan. 
  • Kenal pasti semua caj dan yuran. Terdapat banyak caj dan yuran tersembunyi yang anda mungkin tidak sedar. Contohnya penalti lewat bayar atau caj penamatan awal. Anda boleh baca lebih lanjut tentang caj tersembunyi ini di bahagian caj yang dikenakan di bawah.
  • Kaji betul-betul syarat kelayakan yang diperlukan oleh pelan pinjaman tersebut. Pastikan anda benar-benar layak sebelum mohon. Tidak guna mohon pinjaman peribadi terbaik sekiranya anda tidak cukup syarat kelayakan.
  • Buat sedikit kajian berkaitan reputasi pemberi pinjaman. Mungkin tidak ada masalah sekiranya anda mohon daripada institusi kewangan seperti bank atau koperasi kredit. Tetapi, jika anda ingin mohon daripada syarikat Kredit Komuniti (Pinjaman Berlesen), buat “research” dahulu berkaitan syarikat tersebut sebelum mohon. Ini penting untuk elak masalah pada masa hadapan.

Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, anda dapat buat keputusan yang lebih tepat dan sesuai.

Untuk memudahkan anda, pihak kami telah menyediakan Sistem Semak Kelayakan Pinjaman Peribadi. Anda boleh pilih pinjaman peribadi terbaik berdasarkan kelayakan dan keperluan anda dengan menyemak kelayakan menerusi sistem ini. 

Klik pada menu/tab “Semak Kelayakan” di atas dan cari pinjaman peribadi terbaik untuk anda.

Atau, teruskan baca untuk menambah ilmu berkaitan. Sedikit sebanyak sudah pasti ilmu yang saya kongsi ini pasti akan membantu anda buat pilihan dengan lebih tepat.

Institusi Kewangan Yang Menawarkan Pinjaman Peribadi di Malaysia

Institusi kewangan yang menawarkan pinjaman peribadi

Produk pinjaman peribadi ditawarkan oleh beberapa institusi kewangan di Malaysia, seperti:

  • Bank komersial (Commercial banks) – boleh dikatakan hampir semua bank di Malaysia menawarkan produk pinjaman dan pembiayaan peribadi. Bank komersial dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan perlu mengikut garis panduan yang ketat. Oleh kerana Bank komersial sering bersaing, mereka selalunya menawarkan kadar faedah dan terma pinjaman yang lebih kompetitif.
  • Koperasi kredit (Credit co-operatives) – koperasi kredit adalah institusi kewangan yang dimiliki oleh ahli koperasi dan dikawal selia oleh kementerian kewangan. Institusi ini menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan, termasuk pinjaman peribadi. Koperasi kredit juga bersaing dengan bank komersial dan sering menawarkan kadar faedah lebih rendah tetapi dengan syarat kelayakan lebih ketat, terutamanya untuk kakitangan sektor awam. Terdapat juga koperasi yang mengambil dana atau menjalinkan kerjasama dengan bank komersial untuk menawarkan produk pinjaman.
  • Syarikat kredit komuniti (Credit communities) – Kredit komuniti dahulunya dikenali sebagai pinjaman berlesen adalah syarikat swasta yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menawarkan produk pinjaman. Syarikat-syarikat ini tidak dikawal selia oleh BNM, tetapi terikat dengan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. Syarikat kredit komuniti sering dijadikan sebagai alternatif utama bagi mereka yang sukar untuk mohon pinjaman peribadi bank atau koperasi.
  • Institusi bukan perbankan (Non-banking institutions) – Institusi kewangan bukan perbankan adalah institusi yang tidak menerima lesen perbankan penuh daripada BNM. Ini bermaksud mereka tidak boleh menerima deposit, tetapi masih dapat menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan, seperti pinjaman peribadi. Antara contoh institusi bukan perbankan ialah syarikat kewangan seperti AEON Credit dan MBSB, institusi kewangan Islamik, syarikat insurans, dan bank pelaburan.
  • Platform pinjaman P2P (Peer-to-peer lending platforms) – Platform pinjaman P2P adalah platform pinjaman terbaru dan semakin popular. Melalui platform ini, peminjam berhubung terus dengan pemberi pinjaman secara dalam talian. Oleh kerana proses permohonan lebih ringkas, Platform pinjaman P2P selalunya menawarkan kadar faedah dan caj pinjaman yang lebih rendah.
  • Pemberi pinjaman tanpa lesen (Unlicensed money lender) – Ah long, Along, Lintah Darat, atau Ceti Haram adalah istilah yang sering dikaitkan dengan pemberi pinjaman tanpa lesen. Mereka tidak berdaftar dan tidak dikawal selia oleh BNM, KPKT, atau sebarang kementerian. Malah, mereka juga tidak berdaftar dengan SSM. Oleh kerana mereka tidak terikat dengan undang-undang, pemberi pinjaman tanpa lesen sering meminjamkan wang dengan kadar faedah sangat tinggi dan tidak masuk akal. Pemberi pinjam wang tidak berlesen adalah haram di Malaysia. Lari jauh-jauh sekiranya anda ditawarkan pinjaman daripada Ah Long.

Konsultan pinjaman (Loan consultant)

Terdapat juga syarikat yang tidak menawarkan pinjaman, tetapi bertindak sebagai konsultan atau broker pinjaman. Mereka menawarkan perkhidmatan untuk memadankan pelanggan dengan pinjaman peribadi terbaik. Syarikat-syarikat ini selalunya mempunyai hubungan terus dengan institusi kewangan dan menerima komisen sekiranya pinjaman anda lulus.

Antara contoh syarikat konsultan pinjaman yang popular dan boleh dipercayai adalah Direct Lending, RinggitPlus, iMoney, dan CompareHero.

Jenis Pinjaman Peribadi

Terdapat dua jenis pembiayaan peribadi yang ditawarkan, iaitu bercagar dan tidak bercagar.

Pembiayaan Peribadi Tidak Bercagar (Unsecured Personal Loan)

Ini adalah jenis pinjaman peribadi yang sering ditawarkan. Jenis pinjaman ini tidak memerlukan cagaran seperti aset atau penjamin.

Lulus atau tidak permohonan adalah bergantung sepenuhnya kepada kelayakan pemohon seperti jumlah pendapatan, status dan rekod kredit, risiko, pekerjaan dan sebagainya.

Walaupun anda tidak perlu cagaran atau penjamin,  pemberi pinjaman masih boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam termasuk mengambil alih aset untuk menyelesaikan tunggakan bayaran sekiranya anda gagal buat bayaran bulanan.

Pembiayaan Peribadi Bercagar (Secured Personal Loan)

Terdapat juga institusi kewangan yang menawarkan pinjaman peribadi bercagar sebagai produk kewangan mereka.

Pinjaman jenis ini memerlukan cagaran untuk dimohon. Sekiranya peminjam gagal untuk buat bayaran, pihak pemberi pinjaman berhak untuk merampas atau menyita aset yang telah dicagarkan.

Selain aset, sesetengah pinjaman memerlukan sekuriti tambahan seperti penjamin atau guarantor. Sekiranya peminjam gagal untuk menjelaskan bayaran, pihak penjamin akan bertanggungjawab terhadap pinjaman tersebut.

Contoh pinjaman bercagar bukan pinjaman peribadi adalah pinjaman kenderaan (hire purchase) dan pinjaman perumahan (mortgage). 

Pinjaman Bercagar vs. Tidak Bercagar

Pinjaman tidak bercagar atau pinjaman bercagar mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Pinjaman tidak bercagar sering dimohon kerana syarat kelayakan longgar dan proses permohonan yang pantas dan mudah. Pinjaman bercagar pula boleh menawarkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi dengan kadar faedah lebih rendah berbanding pinjaman bercagar.

Pinjaman Peribadi Konvensional dan Pembiayaan Peribadi Islamik

Selain pinjaman bercagar dan tidak bercagar, pinjaman juga boleh diklasifikasikan kepada pinjaman konvensional dan pembiayaan Islamik. Sehingga ke hari ini masih ramai yang keliru antara kedua-dua jenis pinjaman ini.

Pembiayaan Islamik (Islamic Financing)

Pinjaman peribadi Islamik adalah konsep pembiayaan peribadi patuh Syariah yang diperkenalkan oleh Institusi kewangan Islamik di Malaysia.

Pinjaman jenis ini menggunakan konsep pembiayaan tanpa faedah untuk mengelakkan Riba di dalam transaksi. Sebaliknya, pinjaman Islamik menggunakan konsep kadar keuntungan. Melalui kaedah ini, institusi kewangan akan membeli sesuatu bagi pihak peminjam, dan kemudiannya akan menjual semula kepada peminjam dengan mengambil keuntungan di atas jualan tersebut.

Konsep ini menjadikan pinjaman Islamik tidak mempunyai kadar faedah, tetapi menggunakan kadar keuntungan (iaitu keuntungan dari jualan kepada peminjam). 

Pinjaman Konvensional (Conventional Loan)

Pinjaman konvensional pula menggunakan konsep di mana pemberi pinjaman memberi pinjaman kepada peminjam dan mengambil keuntungan dengan mengenakan kadar faedah.

Ini adalah konsep pinjaman peribadi yang digunakan sebelum perbankan Islam dan pembiayaan Islamik diperkenalkan. Kadar faedah pula bergantung kepada beberapa faktor dan akan ditetapkan oleh institusi kewangan tersebut.

Kadar faedah ini boleh ditawarkan sebagai kadar tetap, atau kadar terapung – seperti juga pinjaman Islamik.

Pembiayaan Islamik atau Pinjaman Konvensional?

Selain daripada konsep, tidak banyak perbezaan antara pembiayaan Islamik dan pinjaman konvensional.

Walaupun pinjaman Islamik tidak mengenakan caj kadar faedah, peminjam masih perlu membayar caj kadar keuntungan tahunan yang dikenakan.

Konsep pembiayaan yang digunakan oleh pinjaman Islamik adalah lebih kompleks dan rumit daripada pinjaman konvensional. Kedua-dua jenis pinjaman ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Untuk pilih pinjaman peribadi terbaik, anda perlu meneliti ciri-ciri pinjaman tersebut seperti kadar faedah/keuntungan, jumlah pinjaman yang ditawarkan, tempoh pembiayaan yang diberikan, caj dan fi yang dikenakan, dan juga syarat kelayakan.

Yang penting pilih pelan pinjaman konvensional atau pembiayaan Islamik sesuai dengan kemampuan kewangan anda

Jumlah Pinjaman Peribadi Yang Boleh Dimohon

Jumlah pembiayaan peribadi

Jumlah pinjaman atau jumlah pembiayaan yang boleh anda mohon adalah bergantung sepenuhnya kepada pelan pinjaman peribadi yang ditawarkan.

Ada pelan pinjaman peribadi yang menawarkan jumlah pinjaman serendah RM1,000 dan ada pula yang menawarkan jumlah pembiayaan peribadi sehingga RM400,000. 

Untuk pinjaman peribadi tak bercagar, rata-rata bank hanya meluluskan jumlah pinjaman 8 hingga 12 kali ganda pendapatan bulanan anda (kecuali Bank Rakyat yang boleh meluluskan sehingga 25 kali ganda pendapatan).

Setiap institusi kewangan mempunyai kiraan mereka sendiri untuk buat keputusan berapa yang boleh mereka luluskan untuk permohonan anda.

Mereka perlu mengambil kira risiko yang perlu mereka tanggung sekiranya pemohon gagal buat bayaran semula seperti telah dipersetujui. Risiko ini dikira melalui sistem pemarkahan yang dibangunkan oleh institusi kewangan tersebut. Lebih tinggi risiko, lebih rendah jumlah yang mereka berani luluskan.

Tempoh Pembiayaan & Jumlah Bayaran Ansuran

Tempoh pembiayaan pinjaman peribadi juga bergantung kepada jenis pelan pinjaman. Kebanyakan institusi kewangan menawarkan tempoh pembiayaan antara 1 hingga 10 tahun. Anda boleh pilih tempoh bayaran semula ini mengikut kemampuan kewangan anda.

Jumlah bayaran ansuran pula bergantung tempoh dan kadar faedah yang dikenakan oleh pelan pinjaman tersebut. Lebih lama anda pinjam, lebih tinggi faedah yang perlu anda bayar, dan ini mempengaruhi jumlah bayaran ansuran pinjaman anda.

Kadar Faedah Pinjaman Peribadi

Kadar faedah (interest rate), adalah caj yang dikenakan terhadap institusi kewangan terhadap pelan pinjaman yang diberikan. Untuk pinjaman Islamik pula, pihak pemberi pinjaman mengenakan caj kadar keuntungan (profit rate). Caj ini dikira sebagai peratusan daripada jumlah pinjaman, dan dikenakan setiap tahun (per annum).

Kadar Faedah Rata (Flat rate)

Kadar faedah rata dikira berdasarkan kepada jumlah pinjaman keseluruhan dan tidak akan berubah sepanjang tempoh pinjaman walaupun baki pinjaman semakin berkurang. Jenis faedah Ini memudahkan anda merancang pengurusan kewangan.

Sebagai contoh anda buat pinjaman sebanyak RM10,000 selama 5 tahun dengan kadar faedah rata 10%. Jumlah faedah yang perlu ada bayar  Jadi setiap tahun anda perlu bayar faedah sebanyak RM500. Selepas 10 tahun jumlah kadar faedah yang anda telah bayar ialah RM5,000.

Kadar Faedah Tetap (Fixed Rate)

Kadar faedah tetap adalah tetap dan tidak berubah walaupun Base Lending Rate (BLR) atau Overnight Policy Rate (OPR) berubah. Contoh pengiraan untuk kadar faedah rata di atas boleh digunakan untuk kadar faedah tetap.

Walaupun cara pengiraan dan jumlah yang perlu dibayar adalah sama, konsep yang digunakan untuk kadar faedah rata dan kadar faedah tetap adalah berbeza.

Kadar Faedah Terapung (Floating rate)

Kadar faedah terapung pula adalah kadar faedah yang boleh berubah sepanjang tempoh pembiayaan. Nilai kadar faedah jenis ini akan ditentukan oleh institusi kewangan yang memberikan pinjaman.

Kadar ini selalunya dikira berdasarkan Base Lending Rate (BLR) atau Overnight Policy Rate (OPR). Dalam erti kata lain, kadar faedah yang dikenakan boleh meningkat atau berkurang berdasarkan kadar semasa.

Sekiranya anda mampu dan ingin buat bayaran ansuran lebih setiap bulan, memilih pinjaman peribadi dengan kadar faedah terapung adalah lebih menguntungkan. Tetapi, anda akan mengambil risiko sekiranya BLR atau OPR meningkat.

Kadar Faedah Baki Berkurangan (Reducing balance)

Kadar faedah berkurangan, juga dikenali sebagai kadar faedah berkesan/efektif adalah dikira berdasarkan baki pinjaman yang masih tinggal. Ini bermaksud caj kadar faedah efektif yang dikenakan akan semakin berkurang setiap kali anda bayar balik pinjaman.

Jika kita ambil contoh yang sama seperti pengiraan kadar faedah rata di atas, anda pinjam RM10,000 selama 10 tahun dengan kadar faedah baki berkurangan/efektif sebanyak 5% setahun. Kadar faedah efektif 5% ini akan dikenakan ke atas setiap bayaran bulanan anda. Jadi selepas 10 tahun, anda hanya perlu bayar caj faedah sebanyak RM2,730.

Walaupun kadar faedah berkurangan ini selalunya digunakan untuk pinjaman perumahan, terdapat juga sesetengah pelan pinjaman peribadi mengenakan caj kadar faedah baki berkurangan.

Saya telah menulis dengan lebih terperinci berkaitan topik ini sekiranya anda ingin belajar dan tahu lebih lanjut tentang kadar faedah.

Baca panduan memahami kadar faedah pinjaman peribadi.

Syarat Kelayakan Mohon Pinjaman Peribadi

Syarat kelayakan untuk mohon pinjaman peribadi adalah berbeza dan bergantung kepada pelan pinjaman yang ditawarkan oleh institusi kewangan. Antara syarat kelayakan yang perlu anda beri perhatian ialah:

  1. Had umur – Kelayakan had umur adalah berbeza mengikut jenis pinjaman yang ditawarkan. Sebagai contoh had umur untuk pinjaman AEON iCash ialah 18 hingga 65 tahun, manakala kebanyakan pinjaman lain pula mengenakan syarat had umur tidak kurang daripada 21 tahun.
  2. Jenis pekerjaan – Terdapat pinjaman peribadi yang hanya ditawarkan kepada kakitangan kerajaan, manakala ada pula pinjaman yang hanya ditawarkan kepada kakitangan sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri. Terdapat juga pinjaman khusus untuk anggota badan beruniform seperti Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan ada juga pinjaman khas untuk pesara.
  3. Jumlah pendapatan – Syarat kelayakan gaji adalah antara syarat terpenting yang perlu anda teliti sebelum mohon sebarang pinjaman peribadi. Anda perlu lihat pada kelayakan jumlah gaji tahunan atau gaji bulanan. Perhatikan juga sama ada jumlah yang dinyatakan adalah untuk gaji kasar (gross pay) atau gaji bersih (net-pay).
  4. Jenis pendapatan – Pihak institusi kewangan juga menilai jenis pendapatan anda, sama ada  pendapatan tetap atau pendapatan tidak tetap, contohnya penerima komisen seperti Coway dan Grab. Terdapat juga pelan pinjaman yang hanya ditawarkan kepada individu berpendapatan tetap, dan terdapat pinjaman yang ditawarkan kepada semua jenis pendapatan.
  5. Risiko Pekerjaan – Jenis pekerjaan tergolong sebagai berisiko tinggi mungkin mempengaruhi kelayakan anda untuk mendapatkan pinjaman. Contohnya, pekerjaan dalam bidang pembinaan atau industri minyak dan gas mungkin dianggap lebih berisiko berbanding pekerjaan dalam sektor kerajaan atau pendidikan.
  6. Tempoh Perkhidmatan – Tempoh bekerja juga boleh menjadi syarat kelayakan. Contohnya, ada institusi kewangan yang mungkin memerlukan anda bekerja dengan majikan yang sama sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum memohon pinjaman. 
  7. Status Kredit – Semua pemberi pinjaman akan menyemak rekod kredit anda untuk menilai skor dan sejarah kredit pemohon. Jika anda mempunyai sejarah kredit yang buruk atau tiada rekod kredit, permohonan anda boleh ditolak walaupun anda mempunyai slip gaji yang tinggi.
  8. Dokumen – Setiap institusi kewangan mungkin memerlukan set dokumen yang berbeza untuk permohonan pinjaman. Ini mungkin termasuk salinan kad pengenalan, penyata gaji terkini, penyata bank, dan dokumen sokongan lain yang berkaitan dengan pekerjaan atau pendapatan.

Anda perlu meneliti setiap syarat yang dinyatakan oleh skim pembiayaan peribadi tersebut untuk menentukan anda layak atau tidak sebelum mohon.

Dokumen Yang Diperlukan

Anda perlu sediakan beberapa dokumen untuk mohon pinjaman peribadi. Selalunya dokumen yang diperlukan untuk mohon pinjaman peribadi adalah seperti berikut:

  • Dokumen pengenalan diri (MyKad/Kad Tentera dsb.).
  • Dokumen pendapatan terkini (slip gaji/baucar gaji/penyata komisen dsb.).
  • Bukti pendapatan terkini (penyata akaun bank/penyata KWSP/resit bayaran cukai pendapatan dsb.)

Keperluan dokumen mungkin berbeza bergantung kepada pelan pinjaman yang ditawarkan, dan juga mengikut jenis pekerjaan. Dokumen yang diperlukan untuk mereka yang berkhidmat di sektor awam sudah pasti berbeza dengan pekerja di sektor swasta.

Contohnya kakitangan kerajaan tidak perlu mengemukakan salinan caruman KWSP, dan pekerja sektor swasta tidak perlu mengemukakan salinan borang penyata gaji tahunan (Borang EA).

Pihak institusi kewangan juga mungkin akan memerlukan dokumen berkaitan seperti surat pengesahan majikan, sijil profesional, dan sebagainya berdasarkan kepada kelayakan pemohon.

Perhatikan sama ada dokumen anda cukup lengkap sebelum menghantar permohonan.

Caj Yang Dikenakan

Caj atau fi dikenakan untuk pinjaman peribadi adalah berbeza mengikut pelan pinjaman yang ditawarkan. Secara ringkas, berikut ialah caj-caj yang selalu dikenakan untuk pinjaman peribadi di Malaysia:

  • Caj duti setem (Stamp duty) – Caj duti setem adalah wajib seperti yang telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia. Caj setem duti dikenakan ialah 0.5% dari jumlah pinjaman yang lulus dan akan ditolak terus daripada pinjaman yang lulus.
  • Caj proses/pemprosesan (Processing fee) – Caj proses dikenakan sekira pinjaman yang dimohon diluluskan. Caj proses adalah bergantung kepada jenis pinjaman dan dikira sebagai peratusan daripada jumlah pinjaman yang lulus. Caj proses juga akan ditolak terus daripada jumlah pinjaman.
  • Penalti lewat bayar (Late penalty) – Late payment penalty ini dikenakan sekiranya peminjam gagal buat pembayaran mengikut tempoh seperti yang telah dipersetujui pada syarat pinjaman. Jumlah caj lewat bayar selalunya adalah 1% daripada jumlah tertunggak atau baki pinjaman. Ada juga institusi kewangan yang mengenakan denda lewat bayar dengan nilai tetap.
  • Yuran penamatan awal (Early settlement fee) – Caj ini dikenakan sekiranya anda ingin menyelesaikan baki pinjaman lebih awal dari tempoh pembiayaan. Jumlah yang dikenakan dikira berdasarkan peratusan dari baki pinjaman, atau dari jumlah penuh pinjaman. Pembiayaan peribadi Islamik pula tidak mengenakan sebarang caj penamatan awal dan ada rebat atau diskaun untuk penyelesaian awal pinjaman.
  • Perlindungan insurans atau Takaful – Kebanyakan pinjaman peribadi konvensional menawarkan perlindungan Insurans, dan pembiayaan Islamik pula menawarkan perlindungan Takaful bersama pelan pinjaman mereka. Terpulang kepada institusi kewangan untuk menetapkan perlindungan ini sebagai wajib atau pilihan.
  • Caj yuran Biro Perkhidmatan Angkasa – Ini adalah caj dikenakan sekiranya institusi kewangan yang memberi pinjaman menggunakan khidmat Biro Perkhidmatan Angkasa untuk bayaran bulanan pinjaman anda.

Terdapat juga caj-caj lain yang mungkin akan dikenakan sekiranya perlu seperti caj pentadbiran, caj pengeluaran, caj penyata akaun, caj penjamin, caj keahlian, caj penyelidikan, caj penilaian harta, dan caj undang-undang.

Caj-caj lain adalah tertakluk kepada institusi kewangan. Untuk maklumat lanjut tentang caj dikenakan, anda boleh rujuk pada syarat dan terma pinjaman, atau bertanya kepada pegawai yang menguruskan permohonan anda.

Bayaran Deposit Pinjaman Peribadi

Institusi kewangan yang sah, iaitu bank, koperasi berdaftar, dan syarikat kredit komuniti (pinjaman berlesen) yang berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan mengenakan sebarang caj deposit atau wang pendahuluan untuk mohon pinjaman peribadi.

Oleh itu, jika ada pihak meminta caj deposit yang bukan-bukan apabila menguruskan permohonan anda, besar kemungkinan ini adalah penipuan atau scam.

Anda boleh baca lebih lanjut tentang perkara ini di panduan lengkap cara mengenal scammer pinjaman peribadi.

Baca panduan cara mengenal scammer pinjaman peribadi.

Cara Mohon Pinjaman Peribadi di Malaysia

Cara mohon pinjaman peribadi di Malaysia

Cara memohon pinjaman peribadi pada masa sekarang adalah sangat mudah. Secara ringkas, anda boleh memohon pinjaman melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Walk-In – Jika anda boleh luangkan masa, anda boleh memohon pinjaman peribadi dengan mengunjungi cawangan terdekat institusi kewangan yang menawarkan produk tersebut. Terdapat juga institusi kewangan yang menyediakan kiosk di tempat tumpuan umum untuk memudahkan proses permohonan.
  2. Mohon atas-talian (online) – Kebanyakan institusi kewangan sudah menyediakan kemudahan untuk memohon pinjaman peribadi secara atas talian melalui laman sesawang rasmi mereka, ataupun melalui aplikasi mudah alih (mobile app).Anda cuma perlu isi maklumat berkaitan dan akan dihubungi untuk urusan selanjutnya untuk meneruskan permohonan.
  3. Perkhidmatan ejen – Sesetengah institusi kewangan akan melantik ejen untuk menguruskan permohonan anda. Ejen pinjaman peribadi dilantik secara rasmi tidak akan mengenakan sebarang caj perkhidmatan kerana komisen mereka akan dibayar oleh pihak institusi kewangan. Oleh itu, sekiranya anda ingin menggunakan khidmat ejen, pastikan tiada caj pendahuluan atau deposit yang dikenakan.

Tempoh Lulus Permohonan

Tempoh lulus permohonan pinjaman peribadi adalah bergantung kepada pelan yang anda mohon. Sesetengah institusi kewangan boleh memproses dan meluluskan permohonan yang cepat, hanya dalam tempoh tidak lebih daripada 24 jam. Dalam sesetengah kes, permohonan anda boleh lulus serta-merta, atau “on the spot” seperti yang ditawarkan oleh Pinjaman Peribadi RHB.

Walau bagaimanapun, kebanyakan institusi kewangan akan mengambil masa sehingga 7 hari bekerja untuk memproses permohonan pinjaman peribadi.

Kesan Pinjaman Peribadi Terhadap Skor Kredit

Pinjaman peribadi boleh memberi kesan kepada skor kredit anda, sama ada kesan baik atau buruk.

Kesan Positif

Antara kesan positif pembiayaan peribadi terhadap skor kredit anda adalah dari aspek campuran kredit (credit mix). Campuran kredit merujuk kepada jenis akaun kredit, seperti kad kredit, pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi, dan sebagainya.

Selain itu, bayaran bulanan pinjaman tepat pada masa tanpa gagal juga akan membantu meningkatkan skor kredit anda. Ini menunjukkan anda bertanggungjawab dan boleh dipercayai.

Kesan Negatif

Walau bagaimanapun, sekiranya anda sering lewat dalam membayar bayaran bulanan pinjaman anda, sejarah kredit anda akan terjejas. Secara tidak langsung ini akan memberi kesan buruk terhadap skor kredit anda.

Proses permohonan pinjaman peribadi juga akan menyebabkan skor kredit anda terjejas. Walau bagaimanapun, ini adalah kesan jangka masa pendek dan skor kredit anda akan kembali meningkat apabila anda buat bayaran ansuran bulanan.

Sebarang pinjaman juga akan meningkatkan nisbah hutang kepada pendapatan (debt to income ratio) yang memberi kesan secara terus kepada skor kredit. Nisbah yang tinggi akan merendahkan skor kredit dan sebaliknya.

CTOS, CCRIS dan PPK

Skor kredit anda memainkan peranan penting semasa anda mohon loan peribadi. Pihak institusi kewangan akan merujuk kepada laporan kredit seperti laporan CCRIS Bank Negara Malaysia atau laporan CTOS untuk menilai sejarah kredit anda.

Sekiranya skor kredit anda rendah dan anda mempunyai rekod kredit yang tidak baik, besar kemungkinan permohonan anda akan ditolak.

Begitu juga sekiranya anda sedang mengikuti Program Pengurusan Kredit AKPK. Boleh dikatakan hampir semua institusi kewangan tidak akan memproses permohonan pinjaman peribadi untuk individu yang berada di bawah program ini.

Strategi Pengurusan Pinjaman Peribadi

Terdapat beberapa strategi pengurusan kewangan yang boleh membantu seperti penstrukturan semula pinjaman, penjadualan semula pinjaman, dan pembiayaan semula pinjaman. Strategi-strategi ini boleh membantu anda mengurus pinjaman peribadi anda dengan lebih efisien dan berkesan:

Penstrukturan Semula Pinjaman

Proses ini melibatkan perubahan terma dan syarat pinjaman asal untuk mencapai bayaran bulanan yang lebih rendah atau tempoh bayaran yang lebih panjang. Ini boleh membantu mengurangkan beban kewangan bulanan anda.

Penjadualan Semula Pinjaman

Strategi ini merujuk kepada perubahan jadual pembayaran pinjaman anda. Misalnya, anda boleh meminta untuk mengubah jadual pembayaran dari bulanan ke suku tahunan, bergantung kepada keperluan kewangan anda. Ini boleh memberi anda lebih banyak fleksibiliti dalam pengurusan aliran tunai anda.

Pembiayaan Semula Pinjaman

Pembiayaan semula adalah proses penggantian pinjaman asal dengan pinjaman baru yang mempunyai terma lebih menguntungkan. Ini boleh termasuk kadar faedah lebih rendah atau tempoh bayaran berbeza. Pembiayaan semula boleh membantu anda menjimatkan wang dalam jangka panjang.

Pinjaman bertindih (overlapping facility)

Pinjaman bertindih atau overlapping facility merujuk kepada permohonan pinjaman baru ke atas pinjaman yang sedia ada dengan institusi kewangan yang sama.

Pinjaman overlap selalunya ditawarkan oleh institusi kewangan seperti Bank kepada pelanggan mereka, iaitu individu yang mempunyai pinjaman aktif dengan institusi kewangan terbabit.

Overlapping facility selalunya dilakukan apabila pelan pembiayaan baru ditawarkan oleh institusi kewangan tersebut mempunyai kadar faedah/keuntungan lebih rendah atau tempoh pembiayaan yang lebih panjang berbanding pinjaman yang sedia ada.

Pinjaman penyatuan hutang (debt consolidation)

Penyatuan hutang atau debt consolidation merujuk kepada jenis pinjaman peribadi yang boleh menghimpunkan pinjaman sedia ada kepada satu pinjaman baru.

Penyatuan hutang selalunya dilakukan apabila seseorang individu mempunyai lebih dari satu pinjaman seperti kad kredit atau pembiayaan peribadi dan ingin menyatukan kedua-dua hutang tersebut ke dalam satu pinjaman sahaja.

Pinjaman peribadi yang membenarkan penyatuan hutang selalunya mempunyai kadar faedah/keuntungan yang rendah dengan tempoh pembiayaan yang lama. 

Sebelum anda memilih untuk melakukan salah satu strategi pengurusan pinjaman yang dinyatakan di atas, penting untuk anda teliti situasi kewangan anda untuk memilih strategi terbaik. Saya telah menulis secara terperinci bagaimana untuk memilih strategi terbaik di panduan strategi pengurusan pinjaman.

Ketahui bagaimana cara menguruskan pinjaman peribadi dengan strategi ini.

Menggunakan Pembiayaan Peribadi Dengan Bijak

Tidak dinafikan pinjaman peribadi adalah antara cara yang baik untuk mencapai matlamat kewangan anda. Walau bagaimanapun, penting untuk menggunakan pembiayaan ini dengan bijak supaya anda tidak terbeban dengan hutang berlebihan.

Setelah anda tahu serba sedikit tentang pinjaman dan pembiayaan peribadi, gunakan ilmu ini untuk mendapatkan pinjaman peribadi terbaik. Guna sistem kelayakan yang pihak kami sediakan atau baca panduan berkaitan di bawah.

Sumber Tambahan

Jangan lupa untuk menambah ilmu berkaitan pinjaman peribadi melalui sumber tambahan yang kami sediakan.

Semak Kelayakan Pinjaman Peribadi

Cari dan bandingkan pilihan pinjaman peribadi di Malaysia daripada institusi kewangan terpilih. Guna Sistem Semak Kelayakan yang kami sediakan untuk cari pinjaman peribadi terbaik berdasarkan kelayakan anda.
Semak Sekarang

Soalan Lazim (FAQs)

Ada soalan tentang pinjaman peribadi? Dapatkan jawapan untuk soalan-soalan tersebut di laman Soalan Lazim Pinjaman Peribadi.
Dapatkan Jawapan

Glosari Pinjaman Peribadi

Keliru dengan terminologi pinjaman? Layari laman glosari untuk mengetahui apakah maksud sebenar istilah-istilah tersebut. Hapuskan kekeliruan anda dan kekal berinformasi dengan terminologi terkini.
Lihat Glosari

Institusi Kewangan

Kenal pasti institusi-institusi kewangan terpilih yang menawarkan produk pinjaman peribadi di Malaysia, seperti bank, koperasi kredit, and syarikat kredit komuniti. Dapatkan maklumat lanjut tentang pinjaman yang ditawarkan oleh institusi tersebut.
Lihat Institusi

Artikel & Berita Pinjaman Peribadi

Kekal berinformasi dengan artikel dan berita terkini berhubung pinjaman peribadi.
Perbezaan Penyatuan Hutang dan Pinjaman Bertindih
Oktober 26, 2023
Penyatuan hutang dan pinjaman bertindih adalah dua strategi pengurusan kewangan yang popular. Apakah perbezaan antara...
Penjadualan, Penstrukturan, dan Pembiayaan Semula Pinjaman
Ogos 8, 2023
Adakah terdapat perbezaan antara penjadualan semula pinjaman, penstrukturan semula pinjaman, dan pembiayaan semula pinjaman? Baca...
Memahami kadar faedah pinjaman peribadi
Ogos 1, 2023
Kadar faedah pinjaman peribadi adalah istilah yang sering diperhatikan apabila berbicara tentang pinjaman peribadi. Malangnya...
Pinjaman peribadi Shopee Sloan
Februari 16, 2023
Shopee telah mengumumkan produk terbaru mereka di Malaysia, iaitu pinjaman peribadi Shopee Sloan. Sebagai sebuah...
Lihat semua artikel