Menu

Soalan Lazim Kad Kredit

Berikut adalah soalan-soalan yang sering ditanyakan berkaitan kad kredit di Malaysia. Laman soalan lazim kad kredit ini akan cuba menjawab soalan-soalan tersebut.

Share on facebook
Share on twitter
Share on google
Share on pinterest
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email

Apakah kad kredit?

Kad kredit adalah alternatif kepada pembayaran tunai atau pembayaran cek yang dikeluarkan oleh bank atau institusi kewangan. Kad kredit membenarkan pemegang kad tersebut buat pembelian atau mengeluarkan wang dalam bentuk kredit.

Kredit ini bermaksud bank atau institusi kewangan yang mengeluarkan kad kredit tersebut akan membayar dahulu setiap pembelian atau pengeluaran tunai anda. Jadi jumlah atau amaun kad kredit yang anda guna untuk pembelian atau pengeluaran tunai adalah jumlah kredit anda dengan bank, atau institusi kewangan kad kredit anda.

Setiap transaksi yang anda lakukan dengan kad kredit anda akan dikumpulkan ke dalam bil kad kredit. Bil ini perlu anda bayar setiap hujung bulan – selalunya 20 hari dari tarikh bil dikeluarkan. Tarikh ini mungkin berbeza mengikut jenis kad kredit atau institusi kewangan.

Sekiranya anda gagal buat bayaran atau menyelesaikan bil kad kredit anda, anda mungkin akan dikenakan caj faedah tambahan untuk baki yang tertunggak.

Apakah perbezaan antara kad kredit dan kad debit?

Setiap kali anda melakukan transaksi kad kredit atau buat pengeluaran, kos pembelian atau pengeluaran tunai tersebut ditanggung oleh pihak bank/institusi kewangan. Berbeza dengan kad debit di mana setiap transaksi kad debit menggunakan wang anda sendiri – iaitu dari akaun yang berkaitan dengan kad debit tersebut.

Dalam erti kata lain, anda perlu ada wang di dalam akaun bank kad debit anda untuk buat transaksi kad debit.

Apakah kelebihan kad kredit, dan kenapa saya perlu menggunakan kad kredit?

Terdapat beberapa kelebihan utama penggunaan kad kredit. Antaranya ialah:

Keselamatan
Dengan menggunakan kad kredit anda tidak perlu membawa wang tunai ke mana-mana. Anda boleh buat pembelian dengan jumlah yang tinggi (bergantung kepada had kredit) hanya dengan menggunakan kad kredit anda. Tidak perlu risau wang anda dicuri atau hilang.

Kecemasan
Sekiranya anda benar-benar terdesak nak gunakan duit, tetapi poket kosong – kad kredit sangat-sangat membantu. Dengan menggunakan kad kredit, anda boleh buat pembelian atau sebarang transaksi yang membenarkan penggunaan kad kredit walaupun anda tiada wang tunai.

Skor kredit
Salah satu kelebihan kad kredit yang jarang diberi perhatian ialah bagaimana penggunaan kad kredit boleh membantu skor kredit anda. Skor kredit yang baik boleh membantu anda dalam urusan yang melibatkan kewangan – seperti permohonan pinjaman dan sebagainya. Penggunaan kad kredit yang berhemah, iaitu tidak melebihi had kredit dan buat pembayaran setiap bulan tanpa tunggakan secara mudah akan meningkatkan skor kredit anda.

Pelan bayaran ansuran mudah (Easy Payment Plan)
Kebanyakan kad kredit menawarkan pelan bayaran ansuran mudah, atau “Easy Payment Plan”. Pelan ini membenarkan anda berbelanja atau buat pembelian dengan jumlah yang tinggi dan menukar pembelian anda kepada pelan bayaran ansuran mudah. Dengan pelan bayaran ansuran mudah, anda boleh pilih untuk membayar secara bulanan. Ada kad kredit yang menawarkan pelan Easy Payment tanpa caj faedah (0% Instalment Plan).

Pulangan lumayan
Terdapat kad kredit yang menawarkan ciri-ciri seperti rebat tunai (cashback) atau mata ganjaran (reward points), atau kedua-duanya sekali. Ciri rebat tunai memberikan anda pulangan tunai setiap kali anda berbelanja menggunakan kad kredit anda. Ciri mata ganjaran pula memberikan anda mata setiap kali anda berbelanja dengan kad kredit. Mata ganjaran ini boleh anda tebus dengan barangan yang ditawarkan oleh institusi kewangan kad kredit terbabit.

Ada berapa jenis kad kredit?

Secara ringkas, kad kredit boleh dibahagikan kepada kategori utama, iaitu:

1. Kad kredit “standard” – kad kredit ini adalah kad kredit biasa, ada kad kredit umum yang didatangkan dengan ciri-ciri asas tanpa ciri-ciri tambahan (dinyatakan di bawah).
2. Kad kredit khusus/khas – kad kredit khusus pula adalah kad kredit ditawarkan untuk keperluan khas pemegang kad kredit tersebut. Ciri-ciri ini adalah seperti rebat tunai (cashbacks), mata ganjaran (reward points), ganjaran melancong (travel) dan pelbagai lagi. Baca lebih lanjut di bawah.

Kad kredit khusus boleh di bahagikan kepada beberapa kategori, iaitu:

Kad kredit rebat tunai/pulangan tunai (cashbacks)
Kad kredit dengan ciri ini memberikan pulangan tunai untuk setiap perbelanjaan yang menggunakan kad kredit. Pulangan tunai ini dikira dalam bentuk peratusan bayaran semula. Jumlah peratusan ini pula adalah berbeza antara jenis kad kredit yang ditawarkan. Ada juga bank yang menawarkan kad kredit khusus untuk ciri rebat tunai.

Selalunya kad kredit khusus untuk rebat tunai mempunyai peratusan bayaran semula yang lebih tinggi berbanding kad kredit lain. Ada yang boleh menjangkau sehingga 20% tanpa had.

Kad kredit mata ganjaran (reward points)
Jika dengan kad kredit rebat tunai anda akan dapat pulangan tunai dengan perbelanjaan kad kredit, kad kredit ganjaran pula akan memberikan anda mata ganjaran setiap kali anda berbelanja. Mata ganjaran atau “reward points” ini boleh anda tebus kembali dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.

Mata ganjaran yang diberikan adalah bergantung kepada jenis kad kredit dan jenis bank. Selalunya anda akan mendapat 1 mata ganjaran untuk setiap RM1. Walau bagaimanapun, terdapat kad kredit ganjaran yang memberikan sehingga 2 point untuk setiap RM1.

Kad kredit perjalanan (air miles)
Kad kredit perjalanan membenarkan anda memperolehi mata ganjaran dalam bentuk “air miles” untuk setiap perbelanjaan kad kredit anda. Mata ganjaran ini kemudiannya boleh anda guna untuk diskaun atau upgrade terhadap tiket penerbangan.

Ada juga kad kredit perjalanan yang terus menawarkan diskaun untuk urusan perjalanan tanpa perlu mengumpul mata ganjaran air miles. Kad kredit ini sangat sesuai bagi mereka yang selalu “travel”.

Kad kredit petrol
Kad kredit petrol dicipta khusus buat mereka yang menghabiskan jumlah yang banyak untuk budget petrol setiap bulan. Kebanyakan kad kredit petrol memberikan beberapa faedah setiap kali anda mengisi minyak, seperti rebat tunai untuk minyak, mata ganjaran yang tinggi, atau diskaun untuk petrol.

Kad kredit premium
Kad kredit premium adalah kad kredit yang disasarkan kepada mereka yang berpendapatan tinggi dan inginkan keistimewaan dan keselesaan apabila berbelanja atau ketika melancong. Kad kredit ini menawarkan beberapa ciri istimewa yang tidak ditawarkan oleh kad kredit lain, seperti keistimewaan di padang golf, diskaun di restoran lima bintang, akses ke bilik istirehat (lounge) di lapangan terbang, dan sebagainya.

Apakah perbezaan antara VISA dan MasterCard?

Visa dan MasterCard adalah syarikat yang menawarkan teknologi untuk memproses transaksi kad kredit yang digunakan oleh institusi kewangan seperti bank yang menawarkan produk kad kredit.

Kedua-dua syarikat ini tidak menawarkan kad kredit secara terus kepada pelanggan. Jika kad kredit anda adalah kad kredit Visa, ini bermaksud setiap transaksi anda akan diproses oleh syarikat Visa. Begitu juga dengan kad kredit MasterCard. Jadi, tidak ada perbezaan antara Visa dan MasterCard.

Kedua-duanya cuma adalah sistem transaksi pembayaran kad kredit (credit card payment gateway).

Apakah perbezaan antara American Express (AMEX), Diners Club dan Discover?

American Express (AMEX), Diners Club dan Discover adalah syarikat yang menawarkan teknologi untuk memproses transaksi kad kredit – seperti juga Visa dan MasterCard. Walau bagaimanapun, jika Visa dan MasterCard tidak menawarkan kad kredit secara terus dan bergantung sepenuhnya kepada institusi kewangan, AMEX, Diners Club dan Discover menawarkan kad kredit kepada pelanggan.

Apakah perbezaan antara kad kredit Silver, Gold dan Platinum?

Suatu masa dahulu, mereka yang memegang kad kredit berwarna Gold dilihat sebagai mereka yang telah berjaya dalam hidup. Tetapi, pada masa sekarang kad kredit Gold telah digantikan dengan kad kredit Platinum, dan syarat kelayakan untuk mendapatkan kad kredit Gold tidak lagi ketat seperti dahulu. Secara ringkas, kad kredit Silver lebih rendah dari kad kredit Gold, dan kad kredit Gold pula lebih rendah dari kad kredit Platinum.

Faktor utama yang membezakan warna kad kredit ini ialah syarat kelayakan yang diperlukan untuk mohon. Lebih tinggi tahap kad kredit tersebut, lebih tinggi syarat kelayakan yang diperlukan untuk mohon. Kad kredit Platinum mempunyai banyak kelebihan berbanding kad kredit Gold atau Silver.

Sebagai contoh, kad kredit Platinum mempunyai had kredit (credit limit) yang lebih tinggi, ciri-ciri keistimewaan seperti layanan VIP dan sebagainya – bergantung kepada Bank yang menawarkan kad kredit tersebut. Walau bagaimanapun, keistimewaan-keistimewaan yang diberikan bukanlah percuma.

Kad kredit Platinum sudah mempunyai caj kadar faedah dan caj APR yang lebih tinggi. Begitu juga yuran tahunan yang dikenakan sudah pasti lebih tinggi. Selain Silver, Gold dan Platinum, terdapat juga bank yang menawarkan kad kredit istimewa seperti kad kredit Diamond, Titanium atau Black. Ciri-ciri kad kredit istimewa ini adalah bergantung sepenuhnya kepada bank yang menawarkan kad kredit tersebut.

Apakah kadar faedah kad kredit?

Kadar faedah kad kredit adalah salah satu caj yang dikenakan oleh institusi kewangan untuk terhadap produk mereka. Kad kredit adalah salah satu jenis pinjaman, di mana institusi kewangan mendahulukan wang mereka untuk kegunaan pengguna kad kredit. Oleh itu, sebagai pinjaman sudah pasti ada caj faedah yang dikenakan.

Caj faedah kad kredit dikenakan dalam bentuk tahunan, atau “per annum (p.a)”. Caj kadar faedah ini juga sering dikenali sebagai Annual Percentage Rate (APR). Caj kadar faedah kad kredit di Malaysia telah ditentukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Caj ini dibahagikan kepada 3 tingkat, iaitu:

1. Tingkat Pertama – Kadar faedah maksimum 15% p.a bagi pengguna kad kredit yang melangsaikan bayaran minimum selama 12 bulan.
2. Tingkat Kedua – Kadar faedah maksimum 17% p.a bagi pengguna kad kredit yang melangsaikan bayaran minimum sekurang-kurangnya 10 bulan dalam kitaran 12 bulan.
3. Tingkat Ketiga – Kadar faedah maksimum 18% p.a bagi pengguna kad kredit yang melangsaikan bayaran minimum kurang dari 10 bulan dalam kitaran 12 bulan.

Anda tidak perlu risau tentang caj kadar faedah kad kredit sekiranya anda buat pembayaran kad kredit anda mengikut masa.

Apakah caj-caj lain yang dikenakan untuk kad kredit?

Selain caj kadar faedah, terdapat beberapa caj lain yang dikenakan untuk kad kredit. Caj-caj ini selalunya dinyatakan pada syarat dan terma yang perlu anda persetujui ketika memohon kad kredit. Oleh itu penting untuk anda buat research sebelum mohon untuk mengelakkan anda dikenakan caj-caj ini. Berikut adalah antara caj-caj lain yang dikenakan untuk kad kredit.

Caj Penyata Kad Kredit (Bercetak)
Jika anda memilih untuk menerima penyata kad kredit anda dalam bentuk bercetak, sesetengah institusi kewangan akan mengenakan caj untuk penyata ini. Pada masa sekarang semakin banyak bank atau institusi kewangan yang menggalakkan urusan tanpa kertas (paperless), termasuk untuk penyata akaun bank atau penyata kad kredit.

Penyata tanpa kertas yang dikenali sebagai “E-Statement” ini bukan sahaja lebih mesra alam, tetapi juga menjimatkan masa institusi kewangan dan menjimatkan poket anda. Walau bagaimanapun, tidak semua institusi kewangan yang menyediakan E-Statement sebagai pilihan pertama.

Anda mungkin perlu menukar penyata kad kredit anda daripada bercetak kepada E-Statement melalui sistem online banking, atau dengan memaklumkan kepada institusi kewangan terbabit.

Caj Lewat Bayar (Late Payment Fee/Penalty)
Ini adalah caj yang dikenakan sekiranya anda lewat buat bayaran untuk kad kredit anda. Caj atau penalti lewat bayar adalah berbeza mengikut jenis kad kredit, atau mengikut institusi kewangan yang menawarkan kad kredit tersebut. Selalunya, caj lewat bayar yang dikenakan ialah 1% dari baki yang tertunggak.

Had maksimum yang ditetapkan untuk caj ini pula selalunya dihadkan kepada RM100. Walau bagaimanapun, terdapat kad kredit yang tidak mengenakan caj lewat bayar.

Caj Yuran Tahunan (Annual Fee)
Kebanyakan kad kredit membatalkan caj yuran tahunan pada tahun pertama penggunaan kad kredit anda. Faktor ini sering buat ramai pengguna kad kredit lupa bahawa ada caj yuran tahunan yang akan dikenakan pada tahun berikutnya.

Jumlah caj yuran tahunan yang dikenakan adalah bergantung kepada jenis kad kredit. Ada kad kredit yang tidak mengenakan sebarang yuran tahunan, dan ada pula yang mengenakan yuran tahunan yang tinggi – terutama untuk kad kredit premium atau platinum.

Caj Lebih Had (Over Limit Fee)
Caj ini akan dikenakan apabila pengguna menggunakan kad kredit mereka lebih daripada had kredit (credit limit) yang telah ditetapkan. Ini sering berlaku sekiranya berlaku kecemasan di mana pengguna terpaksa berbelanja lebih daripada had kredit, atau kerana terlalu boros berbelanja.

Caj over limit dikenakan sehingga pengguna baki yang tertunggak lebih rendah daripada had kredit kad tersebut. Dalam erti kata lain pengguna perlu membayar baki yang tertunggak hasil daripada over limit supaya lebih rendah daripada had kredit yang telah ditetapkan.

Caj Penukaran Mata Wang
Ini adalah caj yang akan dikenakan kepada kad anda sekiranya anda membeli-belah di dalam matawang asing. Kebanyakan peniaga mengambil kesempatan terhadap jumlah tukaran mata wang dan mengambil keuntungan terhadap perbezaan tukaran tersebut. Caj ini boleh dielakkan sekiranya anda buat pembayaran di dalam mata wang tersebut, bukan nilai setelah berlaku tukaran.

Walau bagaimanapun, perkara ini tidak dapat dielakkan sekiranya anda membeli-belah di luar negara. Kos belian anda akan ditukar kepada Dolar Amerika Syarikat (USD) terlebih dahulu, dan ditukar semula kepada Ringgit Malaysia (MYR) pada tarikh Bank memproses transaksi tersebut.

Apakah had kredit (Credit Limit) kad kredit?

Had kredit atau credit limit kad kredit adalah had yang dikenakan untuk perbelanjaan menggunakan kad kredit anda. Apabila anda memohon kad kredit, institusi mengeluarkan kad kredit tersebut akan buat penilaian terhadap profil anda. Mereka akan menilai faktor-faktor seperti pendapatan, rekod kredit dan skor kredit untuk menentukan had kredit untuk kad kredit anda. Jika rekod atau skor kredit anda bagus, anda mungkin akan diberikan had kredit yang tinggi – dan sebaliknya.

Di Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan had kredit untuk mereka yang berpendapatan tahunan RM36,000 ke bawah adalah dua kali ganda pendapatan bulanan.

Manakala untuk mereka yang berpendapatan tahunan RM36,000 ke atas – BNM memberi kebebasan penuh kepada institusi kewangan untuk meletakkan had kredit yang sesuai.

Apakah pindahan baki kad kredit (Balance Transfer)?

Pindahan baki adalah proses di mana anda memindahkan baki (tunggakan) daripada satu akaun kad kredit kepada akaun kad kredit yang lain. Apabila anda melakukan pindahan baki, baki yang tertunggak pada kredit kad lama akan dihapuskan dan dibawa ke depan kepada kredit kad baru.

Anda kemudiannya boleh membayar baki ini secara bayaran ansuran melalui pelan pindahan baki yang disediakan oleh kad kredit baru. Jumlah pindahan baki yang boleh anda lakukan bergantung kepada pelan pindahan baki (balance transfer plan) yang disediakan oleh institusi kewangan yang mengeluarkan kredit kad baru anda.

Selalunya jumlah ini ditentukan oleh had kredit (credit limit) kad kredit baru anda. Amaun atau jumlah bayaran ansuran juga bergantung kepada pelan pindahan baki tersebut. Sesetengah pelan pindahan baki tidak mengenakan caj faedah mahupun caj pengendalian. Manakala, ada pelan pindahan baki yang mengenakan caj faedah dan caj pengendalian.

Kebanyakan pelan pindahan baki kad kredit membenarkan anda untuk memilih tempoh bayaran ansuran yang diingini. Ada pelan yang menawarkan tempoh bayaran semula sesingkat 6 bulan dan ada pula sehingga menjangkau 36 bulan.

Anda boleh baca lebih lanjut tentang pelan pindahan baki yang disediakan oleh institusi kewangan di Malaysia, atau lihat senarai kad kredit yang menawarkan pelan pindahan baki.

Apakah pelan bayaran ansuran mudah kad kredit (Easy Payment Plan)?

Pelan bayaran ansuran mudah atau Easy Payment Plan adalah satu kemudahan yang disediakan oleh kad kredit anda. Melalui pelan ini, anda boleh buat pembelian barangan dengan bayaran ansuran. Selalunya pelan Easy Instalment Plan ini digunakan jika anda ingin membeli barangan atau produk dengan harga yang tinggi.

Melalui pelan bayaran ansuran kad kredit, anda boleh memilih untuk buat bayaran ansuran serendah 6 bulan hingga mencapai 36 bulan. Kebanyakan pelan bayaran ansuran mudah juga tidak mengenakan caj faedah (zero interest) dan tiada caj pengendalian (upfront handling fee).

Walau bagaimanapun, sesetengah institusi kewangan hanya menawarkan pelan ini untuk peniaga yang mengambil bahagian sahaja. Ada juga pelan bayaran bulanan kad kredit yang ditawarkan untuk sebarang pembelian anda, tanpa had. Anda perlu rujuk senarai peniaga yang dibenarkan untuk pembelian dengan pelan bayaran ansuran sebelum buat pembelian menggunakan kad kredit anda.

Lihat jenis pelan bayaran ansuran yang ditawarkan atau lihat senarai kad kredit yang mempunyai ciri pelan bayaran ansuran mudah.

Apakah pendahuluan tunai kad kredit (Cash Advance)?

Pendahuluan tunai kad kredit atau credit card cash advance adalah istilah yang digunakan apabila anda mengeluarkan wang tunai daripada mesin Auto Teller Machine (ATM) menggunakan kad kredit anda.

Cash advance boleh digunakan sekiranya anda tersedak hendak menggunakan wang tunai dengan segera. Jika tidak, anda tidak dinasihatkan untuk menggunakan fungsi pendahuluan tunai kad kredit anda terutama jika anda ingin mengeluarkan wang tunai dengan jumlah yang tinggi. Ini kerana fungsi pendahuluan tunai yang ditawarkan oleh kad kredit didatangkan dengan caj-caj yang tinggi.

Selalunya dengan menggunakan fungsi cash advance, anda akan dikenakan caj-caj berikut:

1. Caj pengeluaran tunai (Cash withdrawal fee) – RM15-RM25 atau 5% daripada jumlah pengeluaran.
2. Caj faedah pengeluaran tunai (Interest rate on cash withdrawal) – 15% hingga 18%.

Caj-caj ini adalah bergantung kepada jenis kad kredit yang anda miliki. Bayangkan jika anda mengeluarkan jumlah yang tinggi dan dikenakan caj 5% daripada jumlah tersebut – sangat rugi. Walau bagaimanapun, terdapat kad kredit yang meletakkan had untuk pengeluaran tunai harian. Ini untuk mengelakkan pemilik kad kredit tersebut melakukan pendahuluan tunai yang terlalu tinggi di luar kemampuan beliau.

Apakah pelan ansuran tunai kad kredit (Cash Instalment Plan – CIP)?

Pelan ansuran tunai kad kredit atau cash instalment plan (CIP) adalah pinjaman tunai menggunakan kad kredit anda. Pelan ansuran tunai berbeza daripada pendahuluan tunai di mana anda tidak boleh mendapatkan wang tunai melalui mesin ATM, tetapi perlu mohon terlebih dahulu untuk mendapatkan wang tunai.

Cara permohonan adalah berbeza mengikut pelan ansuran tunai yang ditawarkan. Ada pelan yang memerlukan anda mohon secara walk-in ke cawangan bank, manakala ada pelan yang boleh anda mohon melalui telefon, sms atau atas talian (online). Kelulusan permohonan anda juga bergantung kepada pelan yang ditawarkan.

Ada pelan dengan kelulusan segera, dan ada yang memerlukan anda tunggu sebelum permohonan anda diluluskan. Tempoh menunggu adalah bergantung kepada jenis pelan ansuran tunai kad kredit anda. Kelebihan pelan ansuran tunai berbanding fungsi pendahuluan tunai ialah anda tidak akan dikenakan caj-caj seperti caj pengeluaran tunai dan caj faedah pengeluaran tunai.

Anda juga boleh mohon jumlah yang lebih tinggi tanpa had pengeluaran tunai. Jumlah ini selalunya ditentukan oleh had kredit (credit limit) anda, atau akan ditentukan oleh pihak bank/institusi kewangan berdasarkan rekod dan skor kredit anda.

Walau bagaimanapun, anda mungkin akan dikenakan caj-caj berikut:

1. Caj faedah (interest).
2. Caj pendahuluan (advance fee).
3. Caj pengendalian (handling fee).

Caj-caj ini adalah berbeza dan bergantung kepada jenis pelan ansuran tunai tersebut. Ada pelan pinjaman tunai yang tidak mengenakan sebarang caj faedah, tetapi perlukan caj pendahuluan dan sebagainya.

Seperti pinjaman yang lain, anda perlu membayar semula pinjaman tunai anda. Tempoh bayaran semula juga bergantung kepada jenis pelan. Selalunya tempoh bayaran ansuran adalah antara 6 bulan hingga 36 bulan.

Fungsi ansuran tunai kad kredit ini boleh anda guna sekiranya anda ingin wang tunai dengan jumlah yang tinggi dan anda tidak ingin memeningkan kepala anda dengan pinjaman peribadi (personal loan).

Lihat senarai pelan ansuran tunai yang ditawarkan oleh institusi kewangan di Malaysia, atau lihat senarai kad kredit yang membenarkan pelan ansuran tunai.

>