Menu

Kad Kredit di Malaysia

Kad kredit adalah satu medium yang sering dikaitkan dengan kontroversi apabila bercakap tentang pengurusan kewangan. Ramai yang meletakkan kad kredit sebagai tidak perlu atau membebankan. Ada pula yang menjadi ketagih dengan penggunaan kad kredit hingga terpaksa menanggung bil kad kredit yang melampau.

Kad kredit di Malaysia

Kad Kredit di Malaysia – Secara Ringkas

Kad kredit adalah satu medium atau kaedah pembayaran yang membenarkan anda mendahulukan pembelian barang atau perkhidmatan tanpa sebarang bayaran tunai. Apabila anda beli barang atau guna perkhidmatan dengan bayaran kad kredit, pengeluar kad kredit seperti bank akan mendahulukan bayaran tersebut.

Dalam erti kata lain, anda berhutang dengan bank untuk barang atau perkhidmatan yang anda beli atau guna dengan kad kredit.

Jumlah belian anda ini akan dikumpulkan dalam betul bil kad kredit. Bil terkumpul ini anda perlu bayar semula kepada pengeluar kad kredit anda setiap hujung bulan, atau pada tarikh yang dipersetujui mengikut syarat dan terma kad kredit tersebut.

Jenis Kad Kredit

Pada masa sekarang, terdapat pelbagai jenis kad kredit di Malaysia hingga buat ramai bakal pengguna kad kredit yang keliru hendak pilih kad yang mana satu. Tambahan pula setiap institusi kewangan seperti bank boleh menawarkan lebih daripada satu kad kredit sebagai produk mereka.

Sebenarnya, variasi kad kredit ini dicipta untuk memudahkan pengguna. Perbezaan antara kad kredit ini selalunya terletak pada ciri-ciri yang ditawarkan untuk kad kredit tersebut.

Secara ringkas, kad kredit yang ditawarkan di Malaysia boleh dibahagikan kepada beberapa kategori utama, iaitu kad kredit rebat tunai, kad kredit mata ganjaran, kad kredit petrol, kad kredit perjalanan, kad kredit perniagaan dan kad kredit premium.

Kad Kredit Rebat Tunai

Rebat tunai atau cashbacks adalah istilah yang digunakan untuk pulangan dalam bentuk tunai setiap kali anda menggunakan atau swipe kad kredit anda. Ini bermaksud untuk kad kredit rebat tunai, bank akan memberikan anda pulangan wang tunai dengan penggunaan kad anda.

Lebih kerap anda swipe kad kredit anda, lebih banyak wang tunai yang anda akan dapat.

Pulangan rebat tunai ini selalunya dikira dalam bentuk peratusan atau jumlah tetap – bergantung kepada jenis kad kredit yang ditawarkan.

Kad Kredit Mata Ganjaran

Berbeza dengan kad kredit rebat tunai, kad kredit mata ganjaran menawarkan pulangan dalam bentuk mata ganjaran, atau rewards points. Mata ganjaran ini akan dikumpulkan setiap kali anda guna kad anda.

Mata ganjaran yang terkumpul ini kemudiannya boleh anda tebus mengikut tawaran yang diberikan oleh pengeluar kad kredit anda. Sebagai contoh, ada mata ganjaran yang boleh anda tebus dalam bentuk barangan, dan ada pula mata ganjaran yang membenarkan anda mendapat diskaun.

Kad Kredit Petrol

Seperti namanya, kad kredit petrol ditawarkan khusus kepada mereka yang kerap mengisi petrol. Ada kad kredit rebat tunai dan kad kredit mata ganjaran yang memberi pulangan petrol dalam bentuk cashback atau reward points, tetapi kad kredit petrol selalunya memberikan lebih rebat tunai, mata ganjaran atau diskaun untuk setiap isian minyak.

Ada juga kad kredit petrol khusus untuk jenama petrol, seperti Kad Kredit Shell, Kad Kredit Petronas dan sebagainya.

Kad Kredit Perjalanan

Jenis kad kredit ini selalu digunakan oleh mereka yang selalu travel ke luar negara atas urusan perniagaan, atau mereka yang gemar melancong. Kad kredit perjalanan ini juga sering dikenali sebagai kad kredit Air Miles kerana ganjaran yang diberikan dalam bentuk air miles. Ganjaran air miles ini kemudiannya boleh anda tebus kembali.

Sesetengah kad kredit perjalanan juga memberikan diskaun untuk tempahan tiket kapal terbang, penginapan seperti hotel, atau sebarang perkhidmatan yang melibatkan perjalanan.

Ada juga kad kredit perjalanan yang menawarkan perkhidmatan ekstra seperti akses kepada premium lounge di lapangan terbang, dan sebagainya.

Kad Kredit Perniagaan

Kad kredit ini dikhususkan kepada pemilik perniagaan di mana ciri-ciri dan kelebihan yang ditawarkan adalah lebih kepada faedah kepada perniagaan berbanding individu.

Antara ciri-ciri yang ditawarkan oleh kad kredit perniagaan ialah ganjaran perjalanan untuk mereka yang selalu berurusan di luar negara. Ada juga kad kredit jenis ini yang menawarkan keistimewaan berkaitan golf – seperti “green fees” percuma, dan layanan istimewa untuk aktiviti golf.

Terdapat juga kad kredit perniagaan yang dicipta khusus supaya peniaga dapat membina skor kredit mereka untuk memudahkan pinjaman perniagaan pada masa yang akan datang.

Kad Kredit Premium

Kad kredit premium, juga dikenali sebagai kad kredit VIP adalah kad yang ditawarkan khusus kepada mereka yang berpendapatan tinggi, atau mereka yang ingin keistimewaan dan layanan istimewa dengan kad kredit mereka.

Kebanyakan kad kredit premium menawarkan ciri-ciri khusus mengikut pengeluar kad kredit tersebut. Sebagai contoh beberapa kad kredit MasterCard memberi perkhidmatan “concierge” yang akan membantu pemilik kad kredit tersebut mengurus pelancongan mereka dengan melakukan tempahan hotel, perkhidmatan limosin dan sebagainya.

Warna Kad Kredit

Bagaimana pula dengan warna-warna kad kredit seperti warna Silver, Gold dan Platinum? Adakah ciri ini juga memainkan peranan dalam menentukan perbezaan kad kredit?

Pada masa dahulu jawapannya ialah ya. Tetapi pada masa sekarang, kebanyakan warna kad kredit hanya membezakan syarat kelayakan pendapatan untuk mohon kad kredit tersebut, dan juga had kredit (credit limit) yang dibenarkan.

Warna silver berada di tahap paling bawah, diikuti dengan warna Gold, dan seterusnya warna Platinum.

Selain syarat kelayakan dan had kredit, jenis warna kad kredit juga ada perbezaan dari segi yuran tahunan, caj kadar faedah, dan APR. Kad kredit platinum sudah tentu mengenakan caj APR yang lebih tinggi daripada kad kredit silver.

Terdapat juga pengeluar kad kredit yang menawarkan warna istimewa seperti kad kredit Diamond, Black atau kad kredit Titanium.

Kad Kredit Visa, MasterCard, American Express, Diners Club, dan Discover

Secara ringkas Visa, MasterCard, American Express (AMEX), Diners Club dan Discover adalah syarikat yang memproses transaksi kad kredit.

Sebagai contoh, setiap kali anda swipe kad kredit Visa anda, syarikat Visa akan memproses transaksi tersebut. Dalam erti kata lain, mereka adalah orang tengah antara pedagang dan pengeluar kad kredit.

Cuma, perbezaan yang paling ketara antara lima syarikat pemproses transaksi kad kredit ini ialah Visa dan MasterCard tidak mengeluarkan kad kredit secara terus kepada pelanggan. Manakala, AMEX, Diners Club dan Discover pula sebaliknya.

Terdapat juga ciri khusus atau istimewa yang didatangkan dengan syarikat-syarikat ini terhadap kad kredit yang menggunakan perkhidmatan mereka. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, MasterCard menyediakan perkhidmatan “concierge” untuk kad kredit MasterCard.

Memilih Kad Kredit Yang Sesuai

Terdapat banyak kad kredit yang ditawarkan oleh bank di negara kita. Oleh itu bagaimana untuk memilih kad kredit yang sesuai untuk pengurusan kewangan yang bijak?

Yang paling utama adalah dengan melihat kepada gaji, atau pendapatan anda. Syarat kelayakan pendapatan untuk mohon kad kredit adalah berbeza antara jenis kad, oleh itu pastikan anda layak untuk mohon kad tersebut berdasarkan pendapatan anda.

Jenis kad kredit juga memainkan peranan. Lihat keperluan anda untuk mendapatkan kad kredit. Adakah anda ingin guna kad tersebut untuk perbelanjaan seperti beli-belah, atau anda selalu melancong dan inginkan kad kredit yang boleh mendatangkan pulangan untuk aktiviti anda.

Lihat juga pelan-pelan khas yang ditawarkan oleh pengeluar kad kredit, seperti pelan pindahan baki (Balance Transfer Plan), pelan bayaran ansuran mudah (Easy Payment Plan – EPP), atau pelan ansuran tunai (Cash Instalment Plan – CIP). Pelan-pelan ini akan membantu anda pada masa hadapan.

Jika anda rasa keliru dengan pilihan kad kredit di Malaysia, gunakan sistem yang telah kami sediakan untuk cari kad kredit yang sesuai dengan kelayakan dan keperluan anda. Klik pautan di bawah untuk mengakses sistem tersebut.

Anda juga boleh melihat senarai institusi kewangan atau pengeluar kad kredit yang menawarkan kad kredit di Malaysia, atau lihat senarai kad kredit melalui pautan di bawah.

Institusi Kewangan

Senarai institusi-institusi kewangan di Malaysia yang menawarkan produk kad kredit

Kad Kredit

Senarai kad kredit yang ditawarkan di Malaysia

Cari Kad Kredit

Guna sistem yang kami sediakan untuk cari kad kredit terbaik untuk anda

>