Alliance Bank Malaysia Berhad adalah salah satu institusi kewangan di bawah kelolaan Alliance Financial Group. Selain Alliance Bank, Institusi kewangan lain di bawah Alliance Financial Group adalah Alliance Investment Bank Berhad, Alliance Investment Management Berhad dan Alliance Islamic Bank Berhad.
Alliance Bank Malaysia Berhad ditubuhkan pada 19 Januari 2001. Pada tahun 2004, Alliance Finance Berhad bergabung dengan Alliance Bank. Pada tahun 2006 pula Alliance Merchant Bank Bhd menukar namanya kepada Alliance Investment Bank Bhd.
Alliance Islamic Bank Bhd pula mula beroperasi dengan menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islamik pada tahun 2008.
Pada masa sekarang Alliance mempunyai cawangan di seluruh Malaysia, Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak.
Pihak Alliance Bank Malaysia Berhad menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan untuk individu dan juga peniaga. Antara produk yang ditawarkan ialah akaun simpanan, akaun semasa, simpanan tetap, kad kredit dan kad debit, pelan pembiayaan peribadi, perniagaan dan perumahan, pelan perlindungan insurans peribadi, keluarga dan perniagaan, pengurusan kewangan, dan sebagainya.
Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan ini boleh didapati dalam bentuk konvensional dan juga Islamik.
Seperti kebanyakan Institusi Perbankan di Malaysia, Alliance Bank juga menyediakan perkhidmatan perbankan atas talian (internet banking) melalui sistem “allianceonline”. Allianceonline menawarkan kemudahan kepada pelanggan Alliance Bank menguruskan urusan perbankan mereka secara atas talian.