UOB (United Overseas Bank) ditubuhkan pada 6 Ogos 1935 sebagai United Chinese Bank oleh Datuk Wee Kheng Chiang. Induk cawangan di Malaysia adalah United Overseas Bank Limited yang beribu-pejabat di Singapura. Kumpulan United Overseas Bank bukanlah nama asing bagi industri perbankan di Asia Tenggara. UOB adalah bank ketiga terbesar di Asia Tenggara. Pada masa kini bank ini mempunyai 500 pejabat di 19 negara di Asia Tenggara, Eropah, dan Amerika Syarikat.
UOB telah bertapak di Malaysia sejak tahun 1951, tetapi United Overseas Bank (Malaysia) Bhd mula diperbadankan pada tahun 1993. Kini, bank ini mempunyai 45 cawangan di seluruh negara dan adalah antara rangkaian bank asing terbesar yang beroperasi di Malaysia.
United Overseas Bank (Malaysia) Bhd menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan perbankan yang merangkumi perbankan peribadi untuk individu, perbankan korporat dan perbankan komersial untuk perniagaan, pelaburan, perbendaharaan, dan pengurusan kewangan.
Selain perbankan konvensional, UOB Malaysia juga menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islamik menerusi UOB Islamic Banking.
Antara produk dan perkhidmatan yang ditawarkan untuk individu dalam bentuk perbankan peribadi ialah akaun simpanan, akaun semasa, akaun deposit tetap, akaun matawang asing, dan pengurusan kekayaan. Bank ini juga menawarkan koleksi kad kredit dan kad debit yang sesuai untuk setiap kegunaan, sama ada kad rebat mahupun kad ganjaran.
Pelan pembiayaan pula ditawarkan dalam bentuk pinjaman peribadi dan overdraf, atau pelan-pelan pembiayaan hartanah dalam bentuk gadai-janji untuk pinjaman perumahan dan pinjaman hartanah untuk bangunan komersial.
Untuk pelaburan pula, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd menawarkan produk unit amanah, pelaburan berstruktur, dan pelaburan Emas bagi yang berminat. Bank ini juga mempunyai produk perlindungan Insurans yang lengkap daripada Insurans peribadi hingga kepada Insurans kenderaan, Insurans perumahan, dan Insurans perjalanan.
Tidak ketinggalan kemudahan perbankan Internet menerusi sistem eServices yang memudahkan pelanggan UOB melakukan urusan perbankan secara atas talian.